Selamat Datang ke Blog Dell!

Bersama Dell di Alam Maya
Sertai Saya
Tidak tahu mengapa sejak kebelakangan ini, pencapaian internat Maxis Dell semakin perlahan dan kadang kala sekejap ada, sekejap tiada. Yang peliknya, GBnya masih banyak iaitu ada dalam 5GB. Dalam keadaan kerja seharian Dell banyak menggunakan internet, sedikit banyak mengganggu.

Kali ini, kerja mengedit Dell agak mencabar kerana Dell membantu Prof SN mengedit terjemahan manuskrip lama iaitu 'Soul of Malaya' ke dalam bahasa Melayu. Sudah tentu Dell perlu menggunakan e-kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Mengapa tidak guna kamus bercetak sahaja? Nak buka kedua-dua kamus ini untuk setiap perenggan? Pengsan!

Kena guna kedua-dua kamus ini.

Dell bukan sahaja perlu menyemak ejaan dalam bahasa Melayu, malah bahasa Inggeris. Itu belum lagi sesuai atau tidak dengan konsep dan pengolahan dalam teks tersebut. Jangan lupa, ianya manuskrip lama.

Keadaan ini menyebabkan kerja menjadi perlahan dan buang masa. Aduhai. Sudahlah manuskrip itu beratus-ratus muka surat. Pitam!
Seminggu ini, tugas Dell banyak melibatkan kerja-kerja mengedit manuskrip sebelum diterbitkan. Selesai sahaja, tugas untuk buku berbentuk ilmiah bersama Prof. Sasterawan Negara (SN) pada hari Selasa lepas, Dell menyiapkan penulisan buku motivasi bersama Sir Noordin pula.

Memandangkan bermula bulan November lepas, Dell asyik ditugaskan dengan kerja-kerja editing oleh Prof. SN tersebut, momentum kelajuan Dell mengedit semakin laju. Tidak seperti dulu. Kini, Dell dapat siapkan sesebuah manuskrip (bergantung kepada ketebalan muka surat) dalam masa beberapa hari sahaja.

Jauh perjalanan hari ini. Pinjam perisai Captain America kejap untuk tepis segala halangan. Hehehe.

Semalam, Dell lepak di rumah Sir N untuk mencari gambar-gambar yang sesuai dan mendapatkan beberapa info. Alhamdulillah, buku tersebut sudah siap sebanyak 90 %. Dell hanya menunggu beberapa keping gambar untuk penyusunan semula dan tambah sedikit info. Dalam masa yang sama, Dell mengedit satu lagi manuskrip Prof. SN. Bergilir-gilir dalam satu masa.

Dell kena pandai-pandai membahagikan masa dan buat perancangan. Ramai yang menasihatkan Dell tentang itu antaranya Prof SN sendiri, Tuan Fathuri Salehuddin dan Sifu Siddiq. 

Percaya atau tidak, Dell terpaksa curi-curi masa untuk membaca buku yang ada ketika berada di bilik air atau ketika makan. Itu pun jika otak tidak terasa tepu. Dulu, dengar juga beberapa orang Prof terpaksa membaca tesis ketika di dalam kapal terbang mahupun di dalam bilik air kerana kesuntukan masa. Kini, Dell pun mengalami situasi yang serupa! 

Semoga Allah permudahkan urusan penerbitan buku ini. Tak sabar menunggu. Amin. :)

Tidak terfikir hari Jumaat lepas, Dell akan bermain bowling dan berkaraoke. Terima kasih kepada kenalan yang belanja Dell. Sanggup datang dari jauh pula tu. Hilang rasa stres beban kerja yang banyak beberapa hari ini. -Alamanda, Putrajaya.


Entah mengapa sejak kebelakangan ini, ada beberapa orang bertanya kepada Dell bagaimana caranya hendak menjemput rezeki. Tambahan setelah mereka mengetahui Dell pernah membaca buku mengenai 'Mudahnya Menjemput Rezeki'. Benarkah ianya berlaku?

Jawapan Dell, "Benar ianya berlaku dan Dell telah mengalaminya sendiri."

Sebenarnya sudah banyak kali Dell mengalaminya. Tak tercukup masa untuk menceritakannya. Tetapi secara ringkas, Dell menceritakan rezeki yang paling terkini Dell alami.

Dalam keadaan terdesak, minggu ini Dell terpaksa melepaskan rezeki bernilai RM1020 kerana seseorang amat memerlukannya. Kelihatan dirinya itu amat gembira dengan rezeki itu. Dell redha dengan pemergian rezeki itu kerana pada Dell itu bukan rezeki Dell. Dell bersangka baik dengan ketentuan Ilahi dan Dell percaya janji Allah itu Pasti. 

Setiap kali ada bisikan yang mengatakan 'Rugi kau berikan kepada dia. Apa yang kau dapat?', Dell tepis sejauh-jauhnya.

Alhamdulillah, selang beberapa jam selepas itu Dell diberikan rezeki RM6500 oleh orang lain. Apakah rezeki itu?

Ianya adalah jemputan menghadiri Program selama 5 hari yang dikendalikan oleh tiga pakar motivasi yang terkenal di Malaysia serta dapat persijilan dan kemahiran advanced sebagai seorang Trainer. Lesen ini yang membolehkan Dell menjadi seorang Trainer.

Apa yang buatkan Dell rasa terharu ialah sudah lama Dell ingin mengikuti program sebegini tetapi tidak mampu dari segi kewangan. Allah makbulkan impian Dell dengan cara sebegini. 

Walaupun ianya bukan duit ringgit dan hanyalah ILMU, sesungguhnya ILMU itu lebih mahal daripada DUIT. Dengan ILMU barulah DUIT boleh berkembang.

Apa-apa pun, hati kena bersih barulah rezeki akan datang dengan sendirinya. Insya-Allah.

NOTA :
Insya-Allah, akan datang Dell akan kongsikan kisah menjemput rezeki yang lain pula. :)



Di rumah profesor.

Dalam hati, 'Nak tanya ke, tak nak ek? Kalau tak minta, tak tahu. Cuba sajalah. Untung sabut timbul.'

"Prof, saya nak pinjam buku berkaitan seloka, boleh? Nak baca." tanya Dell sambil tersengih seperti kerang busuk.

"Boleh. Cari je kat mana-mana rak buku yang ada." katanya sambil menunjukkan arah beberapa rak buku.

Beberapa minit kemudian, "Dilla, ambil buku-buku ini." katanya sambil menyerahkan buku dari rak buku di tingkat atas rumahnya.


Antara buku-buku yang berkaitan dengan penyelidikan Dell.

Alhamdulillah, dapat juga buku yang berkaitan dengan penyelidikan Dell. Mujur Prof sudi memberi pinjam buku-buku ini tanpa banyak soal. Tambahan, sasterawan negara pula yang mencadangkan buku mana yang bagus... sudah tentu tidak dapat disangkalkan lagi!

Disebabkan hati Dell sangat girang, kerja-kerja Prof sudah Dell selesaikan tadi. Cuma perlu semak sedikit beberapa bahagian di dalam manuskrip yang sedang diedit. 

Jadi, tidaklah Dell berasa susah hati. Dapatlah Dell membaca dan mencatat maklumat yang berkaitan di dalam buku yang dipinjamkan oleh Prof tadi. Hilang seketika gundah di hati Dell.

Minggu ini, Dell nak siapkan rangka yang perlu ada di dalam perisian yang sedang dibina. Diharapkan ianya sempurna seperti yang dibayangkan. Amin.
Tentu sudah ramai pembaca mengetahui mengenai Kepantasan Membaca atau bahasa Inggeris berbunyi 'Speed Reading'. Namun, tidak ramai dalam kalangan kita mempunyai kemahiran atau skil ini. 

Ketika di sekolah menengah dulu, Dell ada mempelajari skil ini melalui bengkel motivasi yang dihadiri. Tetapi waktu itu, skil yang ditunjukkan adalah terhad dan masih berkonsep agak tradisional. Ianya masih membantu. Dell dapat membaca buku-buku tebal dengan masa yang singkat. Dan Dell menggunakan skil ini ketika di dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda.

Walau bagaimanapun setelah tamat pengajian tersebut, Dell sudah kurang membaca buku dek kerana kesibukan kerja. Maklumlah, pagi sehingga petang kerja di pejabat manakala di waktu malam pula mengajar tuisyen. Semakin lama skil membaca itu terhakis sedikit demi sedikit.

Ketika Dell sambung pengajian peringkat Master, Dell tidak perlu sudah payah mencari bahan-bahan penyelidikan kerana semuanya di depan mata. Maklumlah, ketika itu Dell menjawat jawatan Penolong Pegawai di Seksyen Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK). Fail-fail himpunan jurnal, kertas prosiding, kertas kerja, majalah dan buku di simpan dalam pejabat Dell. Disebabkan itu, Dell tidak perlu ke perpustakaan. Sementelah, penyelidikan peringkat Master tidaklah terlalu mendalam.

Tetapi, kini Dell perlu mencari bahan-bahan tersebut secara online dan di perpustakaan. Penyelidikan Ph.D yang Dell lakukan sekarang ini melibatkan sedikit bidang lain selain linguistik seperti bahagian multimedia dan psikologi. Jadi, Dell kena menerokai lebih berbanding sebelum ini. 

Dan, Dell merasakan skil membaca pantas semakin berkurangan tidak seperti dulu. Jika dulu, Dell hanya perlu membaca nota-nota sekali sahaja dalam beberapa jam sebelum menjawab peperiksaan dan dapat ingat hampir 90 % apa yang dibaca. Kini, terasa agak perlahan dan terlalu santai (seperti kurang fokus). 

Jadi Dell mengambil keputusan untuk berjumpa dengan rakan Dell dan meminta beliau memberi sedikit maklumat secara ringkas mengenai skil ini kerana skil ini sentiasa updated dari semasa ke semasa. Yalah, Dell mempelajari ilmu dan skil ini pada tahun 1997. Skil itu skil lama dan mungkin ada skil yang baru.

Buku-buku berkaitan 'Speed Reading'

Tidak salah merendahkan diri mempelajari ilmu yang baru. Kita yang untung dalam mendapat pelbagai ilmu. Alhamdulillah, beliau telah memberi dua buah buku yang berkaitan dengan skil ini untuk Dell baca. Setelah diuji, memang Dell di dalam kategori pembaca yang lambat! Hish!

Peta Minda
Dell pun hendak mula semula membina peta minda. Tidak mahu membaca secara kosong sahaja. Mudah-mudahan apa yang dirancang dipermudahkan memandangkan Dell juga agak sibuk dengan tugas-tugas yang lain. Amin.

Sejak mengetahui Dell mempunyai pola bekerja dengan pantas, Dell perlu merancang dan menetapkan diri dari leka dengan sesuatu perkara apabila menyiapkan sesuatu kerja. Alhamdulillah, hari ini Dell telah siap mengedit tiga buah artikel jurnal untuk diterbitkan dalam volume ke-4 GMJ-ME nanti. 

Dalam masa yang sama, Dell sempat mengedit empat muka surat manuskrip baru yang diberikan oleh Profesor malam tadi. Seperti biasa, beliau menterjemahkan sesebuah manuskrip, Dell akan semak dari segi bahasa Melayu (susunan atur ayat, tanda wacana dan kesalahan ejaan). Ketika hendak tutup manuskrip tadi baru perasan, ada hampir 400 muka surat. Dell harap dapat siapkan cepat. Semakin lama, Dell semakin laju dalam kerja pengeditan manuskrip ini. Enjin tengah panaslah katakan. Huh!

Dalam masa yang sama, Dell perlu juga menyiapkan penulisan untuk penyediaan peperiksaan CE untuk semester depan. Bulan Februari merupakan bulan yang penuh komitmen semula. Dell menunggu juga manuskrip dari seseorang untuk Dell teliti dan edit serta menambah sedikit maklumat sebelum Dell serahkan kepada seseorang pihak untuk menilai karya kami sebelum diterbitkan.

Semoga ianya berjalan dengan lancar dan kali ini Dell tidak boleh terus leka. Yang mana harus dahulu, didahulukan. Kena pandai merancang dan bekerja dengan pantas. Walau bagaimanapun, masa untuk diri sendiri perlu juga ada. Semoga semuanya dipermudahkan oleh-Nya. Amin.
Alhamdulillah dalam beberapa bulan ini, Dell telah mendapat pelbagai peluang untuk meningkatkan diri dan pengalaman Namun, ada juga peluang tersebut Dell terpaksa lepaskan kepada orang lain kerana takut tidak boleh komitmen setelah bersetuju.

Bukan bermaksud Dell akan rugi kerana melepaskan peluang tersebut, tetapi Dell tidak berani hendak tamak hanya kerana duit. Pendapatan kerja yang Dell lakukan sekarang ini pun telah melebihi pendapatan Dell mengajar home tuition sebelum ini. Boleh diumpamakan seolah-olah Dell perlu mengajar home tuition melebihi 4 buah keluarga untuk mendapat pendapatan seperti ini. 

Kebetulan pengalaman bekerja bersama mereka ini, ada kena mengena dengan dunia Dell juga dan matlamat jangka panjang. Dell hanya mengikut flow yang ada di depan mata dan memilih mana satu yang sesuai.

Sementelah, kini Dell sudah mula menulis tesis dan melengkapkan perisian yang telah dibina. Banyak yang perlu dilakukan. Itu belum lagi penulisan jurnal yang Dell perlu terbitkan sebagai syarat bergraduat. Dell bersyukur ada sahabat-sahabat yang sudi membantu dalam mencari maklumat.

Dell target bulan Februari ini, banyak perkara dapat diselesaikan dengan mudah dan seperti yang dirancang. 

Nota:
Kelmarin Dell dipelawa untuk mengajar seorang pegawai duta Perancis di Malaysia. Beliau ingin mencari guru bahasa untuk mengajarnya Bahasa Melayu selama 4 bulan di Putrajaya. Beliau hendakkan pengajar perempuan sahaja yang boleh mengajarnya sekurang-kurangnya 3 kali seminggu pada waktu pagi. Malangnya, Dell terpaksa menolak kerana sudah ada komitmen lain. Dell akan cuba memberi peluang ini kepada rakan yang lain pula. Masih mencari.