Selamat Datang ke Blog Dell!

Bersama Dell di Alam Maya
Sertai Saya

Sejadah Putih



By  nurdilla zaini     Rabu, Jun 10, 2015    Labels: 
Sejadah Putih

Tanpa disedari cepat benar masa berlalu. Dah masuk bulan Jun. Seminggu lagi kita akan menemui Ramadan. Dell pun sudah lama tidak berkesempatan menulis kerana dalam masa sebulan lebih ini, Dell banyak pula ke luar kawasan. Sekejap ke sini, sekejap ke sana. Lebih-lebih lagi ke arah utara. Dek kerana kepenatan dengan pelbagai urusan, terkubur sebentar penulisan Dell di sini.

Insya-Allah, jika berkesempatan Dell akan berkongsi kisah-kisah yang berlaku sepanjang dua bulan ini untuk tatapan pembaca.

Kesibukan Dell menguruskan sesuatu yang di luar perancangan membuatkan Dell berasa sedikit stres. Sementelah ia bukan sahaja menggunakan tenaga tetapi minda dalam menyelesaikan sesuatu. Keadaan ini menyebabkan Dell agak kepenatan kerana kurangnya juga masa untuk berehat. 

Dalam pada itu, Dell tercari-cari sejadah berwarna putih. Sejadah ini muncul di dalam mimpi Dell. Pada Dell, sejadah itu sangat cantik dan teringin untuk memilikinya.

Puas Dell mencari namun tak berjumpa. Cuba juga Google gambar sejadah putih namun tiada yang berkenan di hati. Tidak seperti yang tergambar di dalam mimpi Dell itu.

Keinginan yang begitu kuat membuatkan Dell melahirkan hasrat untuk memiliki sejadah ini kepada salah seorang sahabat rapat Dell dengan harapan beliau tahu di mana boleh mendapatkannya.

Sehinggalah pada suatu hari, abangnya yang baru pulang dari umrah menghadiahkan sejadah putih kepada sahabat rapat Dell itu. Terpana Dell melihat sejadah itu. 

Itulah sejadah putih yang Dell cari!

Ini bermakna sejadah putih seperti di dalam mimpi itu benar-benar wujud!

Serba salah sahabat Dell itu. Kerana dia tahu Dell sudah lama mencari sejadah putih itu sejak berbulan-bulan dulu. Jika dia tahu, dia akan suruh abangnya belikan sejadah itu untuk Dell.

Dell tidak menyalahkannya. Tak siapa tahu sejadah putih itu yang Dell berkenan. Cuma Dell bersyukur sekurang-kurangnya Allah beri petunjuk kepada Dell bahawa sejadah putih yang Dell bayangkan itu wujud.

Keesokkan harinya selepas Zohor, Dell pergi ke area Jalan Masjid India dan mencari sejadah putih itu di kesemua kedai. Dell masuk dari sebesar-besar kedai sehinggalah sekecil-kecil kedai.

Kedai pertama yang Dell masuk, penjual itu menjual sejadah itu dengan harga RM350 sehelai. Terkejut Dell. Mahal sangat!

Kedai seterusnya Dell jumpa dengan harga RM265. Cari lagi. Jumpa pula kedai menjual dengan harga RM165. Tapi sayangnya, design-nya Dell tidak berkenan.

Setelah dua jam mencari, Dell berhenti solat Asar terlebih dahulu. Sambil-sambil melepaskan lelah. Kaki pun dah terasa sakit. Maklumlah dah lama Dell tidak berjalan kaki dengan jarak yang jauh.

Dalam hati, Dell berharap sangat dapat memiliki sejadah putih itu dengan harga yang Dell mampu.

Dell teruskan pencarian dengan mengikut gerak hati. 

Dell memasuki lorong kedai-kedai yang tidak pernah Dell lalui sebelum ini. Dell ikut sahaja gerak hati sehinggalah Dell berhenti di salah satu kedai ini.

Kelihatan dari luar, kedai ini memiliki banyak design untuk sejadah putih. Dell terus bertanya kepada penjual tersebut, "Berapa harga sejadah putih ini?"

"RM130 sehelai, boleh kurang RM120."

Ya Allah, betapa besarnya Kekuasaan-Mu. Tak henti-henti Dell mengucap kesyukuran kepada-Nya.

Tak kisahlah jika dipandang pelik oleh penjual itu.

Akhirnya, Dell jumpa sejadah putih yang harganya Dell mampu beli dan design yang ada sangat cantik pada pandangan mata Dell.

Atas ketentuan Ilahi, memang Dell serasi menggunakan sejadah putih ketika solat dan mengaji. Dell dapat duduk di sejadah putih itu dengan lebih lama. Daya fokus pun lebih baik. Sehingga Dell tidak sedar dapat habiskan bacaan satu juzuk al-Quran dalam masa sehari.

Alhamdulillah. Memang sudah ada niat di hati Dell untuk khatam Quran sebelum habis Ramadan ini. Insya-Allah. Amin...

Itulah pengalaman Dell bersama sejadah putih ini. :)

Nota : Carilah cara yang terbaik untuk tingkatkan ibadah kita. Mintalah petunjuk dan ilham dari-Nya. Insya-Allah dipermudahkan.




Kenali nurdilla zaini

Panggilan nama Kak Dell ini muncul ketika Dell menjadi senior di tahun akhir pengajian Bacelor Sastera (Pengkhususan Bahasa dan Linguistik Melayu) di UPM. Junior yang me'reka' panggilan ini.

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum sis, saya juga mencari sejadah puth. Mohon kongsikan di mana sis beli sejadah tu...saya sangat terdesak utk mendapakannya sebelum Rejab. Mohon bantuan.. Sila hubungi saya..Ida 0196965404 (Wsap/call/message) terima kasih

    BalasPadam
    Balasan
    1. Di Jalan TAR. Kedai-kedai kecik kat situ. Kena tanya dulu ada tak jual sejadah putih? Pastu Tanya pula harga. Kena survey harga, cari yang murah.

      Padam