Lama juga ya Dell menyepikan diri daripada blog ini. Bulan November ini merupakan bulan yang paling sibuk bagi Dell, jadual pun padat! Dell ceritakan sedikit segala aktiviti-aktiviti yang dilakukan sepanjang bulan tersebut.
Pada 1 November - Secara rasmi, Dell menjadi pembantu kepada Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh (Sasterawan Negara Keenam) untuk membantu beliau dalam bidang penulisan. Dell akan membantunya sepanjang proses beliau hendak menerbitkan buku-bukunya seperti mencari data/maklumat, mengedit manuskrip dan sebagainya. Secara tidak langsung, Dell menimba banyak ilmu daripada beliau selain mendapat sedikit pendapatan tambahan.
| Seminar SUPER N. B. I oleh Sifu Siddiq |
Pada 3 November - Dell telah dipelawa oleh Coach Addin menghadiri satu seminar. Entah mengapa Dell terasa berat mulut untuk bertanya seminar apakah itu. Dell bersetuju menghadirinya tanpa sebarang pertanyaan walaupun Dell diminta memakai blazer (ala korporat). rupa-rupanya, Dell menghadiri Seminar Super N. B. I (Networking Business Investment) yang dikendalikan oleh Sifu Siddiq dan Mentor Arab. Tak sangka impian Dell untuk bertemu dengan beliau tercapai pada hari tersebut. Alhamdulillah, banyak ilmu yang dapat Dell pelajari di dalam seminar tersebut termasuk sedikit ilmu metafizik.
| Keychain dari Korea |
Pada 4 November - Selepas seharian Dell berada di Perpustakaan UKM, Dell lepak sebentar di rumah pakcik kerana rumahnya berdekatan dengan UKM. Rupa-rupanya, sepupu Dell baru pulang bercuti dari Korea. Kiranya Dell langkah kanan pada hari itu. Dia memberi key-chain dari Korea. Seronok pula dengar dia ke sana dengan kawan-kawannya cara 'backpacker', hampir seminggu dia berada di sana. Apa-apa pun, key-chain ini cantik. :)
Pada 6 November - Dell ke rumah Prof untuk menyiapkan kerja-kerja penulisan.
Secara rasminya, Dell telah menerima draft sebuah buku motivasi daripada Sir N untuk proses penyuntingan, pengeditan, pengolahan dan penambahan buku sulung beliau pada petang tersebut.
Pada 7 November - Dell menerima emel Notis Peringatan Peperiksaan Komprehensif Pelajar (CE) untuk PhD daripada GSO UPM. Dell perlu mengambil peperiksaan ini pada semester 5. Sedar tak sedar, Dell sudah berada di semester 4. Kini, Dell dalam proses bersiap sedia untuk peperiksaan ini.
Pada hari tersebut juga, Dell bersama supervisor Dell pergi ke Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) untuk buat pemeriksaan gigi untuk rawatan gigi.
Pada 8 November - Dell ke rumah Prof untuk menyiapkan kerja-kerja penulisan.
Pada 9 November - Dell menerima buletin dari salah sebuah organisasi IPTA untuk mengedit bahasa Melayu. Alhamdulillah, Dell juga diberi peluang untuk menulis sebuah artikel di salah satu ruangan di buletin tersebut untuk keluaran tahun 2014.
Pada 10 November - Dell ke rumah Prof untuk mengambil buku-buku.
Pada 11 November - Dell ke KLIDC untuk x-ray gigi.
Pada 12 November - Hari tersebut, Dell ber'amazing race' di UPM untuk menyelesaikan beberapa perkara seperti mendapatkan Budget Transaction Detail dari pihak Bendahari UPM, mengambil buku dari salah seorang kawan di Fakulti Pertanian UPM dan akhir sekali ke Perpustakaan UPM untuk pemulangan dan pemimjaman buku. Letih juga dibuatnya kerana jarak antara satu tempat ke satu tempat adalah jauh. Besar UPM ini!
Pada 13 - 14 November - Dell menghadiri Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), KL bersama seorang rakan yang sama-sama berjuang dalam pengajian PhD ini. Pada 14hb, Dell sempat singgah sebentar di Perpustakaan Negara untuk mengambil dokumen untuk Prof.
Ketika Dell berada di dalam seminar, Dell menerima sebuah panggilan yang tidak berjawab. Rupa-rupanya daripada salah seorang anak murid yang dell pernah ajar tuisyen dulu. dia mendapat 4A 1B dalam UPSR dan ingin bercakap dengan Dell. Gembira hati Dell mendengar kejayaannya. Ingat juga dia pada Dell walaupun Dell hanya sempat mengajarnya untuk beberapa bulan sahaja. Sesungguhnya, seorang guru tidak akan lupa akan anak-anak muridnya.
| Wetland Putrajaya |
Pada 15 November - Dell menemani salah seorang kawan ke Taman Wetland, Putrajaya untuk melepaskan tekanan dan merehatkan minda. Sementelah, Dell juga tengah tensen dengan kepadatan jadual yang ada. Tepu otak Dell. Jadi, apa salahnya Dell berehat sebentar sambil mendapatkan ilham untuk menulis artikel.
Pada 16 November - Dell menghantar artikel mengenai Taman Wetland, Putrajaya kepada Editor Utusan Malaysia.
Pada 18 November - Dell ke rumah Prof untuk menyerahkan dokumen dari Perpustakaan Negara dan menyiapkan kerja-kerja penulisan.
Pada 19 November - Dell ke KLIDC untuk menampal kesemua gigi yang tidak elok (termasuk tampalan yang lama). Pada hari yang sama, supervisor meminta Dell membantunya untuk projek penyelidikannya yang kedua dan Dell bersetuju.
Pada 20 November - Dell menerima panggilan dari INTI University untuk mengetahui jawapan Dell untuk menjadi pengawas peperiksaan di tempatnya pada awal bulan Disember 2013. Kali ini, Dell terpaksa menolak kerana kepadatan jadual yang sedia ada. Terlalu banyak komitmen bermula awal bulan November.
Pada 22 November - Dell ke rumah Prof untuk mengambil manuskrip beliau untuk pengeditan.
Pada 23 November - Memanjakan diri dengan pergi berurut di rumah emak angkat Dell. Disebabkan terlalu banyak menghadap komputer setiap hari untuk menyiapkan kerja-kerja berkaitan dengan pengeditan dan lain-lain, kepala dan pinggang Dell sakit. Lega rasanya selepas urut. Urat-urat Dell pun pandai stres disebabkan banyak kerja duduk sahaja tanpa bersenam.
Anaknya meminta Dell mengajarnya tuisyen nanti kerana dia berasa lemah untuk beberapa subjek tetapi bukan dalam masa terdekat ini. Mungkin pada tahun depan. InsyaAllah, jika Dell berkesempatan.
Pada 25 November - Dell ke Takaful Etiqa di Putrajaya untuk menyelesaikan bayaran bulanan dan mengisi beberapa borang untuk pemotongan terus dari bank Dell. Ini disebabkan setiap 5 tahun sekali, kadar bayaran insuran meningkat sedikit, jadi tanpa kebenaran Dell, pemotongan tidak dapat dilakukan.
Kali pertama ke pejabat takaful dan serik rasanya kerana servisnya terlalu lambat. Nombor giliran Dell hanya ke 11 tetapi Dell terpaksa menunggu hampir 2 jam untuk mendapatkan bertemu dengan pegawai yang bertugas.
Petang tu, Dell singgah sebentar ke Jaya Jusco Equine Park untuk membeli barangan dapur. Beli stok untuk makan di rumah sekiranya malas hendak keluar rumah disebabkan banyak kerja.
Pada 26 November - Ke UPM berjumpa supervisor.
Pada 27 November - Dell menerima video animasi pertama untuk penyelidikan Dell. Alhamdulillah, Dell berpuas hati dengan hasil kerjanya. Hanya tinggal pengubah suaian muzik dan suara sahaja. Dell sudah boleh fikir untuk storyboard untuk video kedua dan ketiga.
Pada hari yang sama, Dell perlu ke Fakulti Pertanian UPM untuk berjumpa dengan seorang sahabat blogger untuk meminta bantuannya memuat turun beberapa perisian ke dalam laptop Dell. Dell juga tertarik dengan pendapatnya untuk menggunakan One Note dalam penulisan.
| Chit chat dengan As sambil minum kopi |
Pada 29 November - Dell berjumpa dengan salah seorang sahabat baik Dell, As di Jaya Jusco Equine Park. Maklumlah dah lama tak jumpa. Masing-masing sibuk.
Petang itu, Dell singgah ke Klinik Haiwan dan Surgeri Taman Equine untuk beli makanan si Kimmy. Dalam masa yang sama, Dell menerima sms daripada supervisor untuk 'kerja' baru pula iaitu persediaan Seminar Psikolinguistik pada tahun depan.
| Ruangan Cuti-cuti Bajet di .COM, Utusan Malaysia |
Pada 30 November - Alhamdulillah, artikel Dell mengenai Taman Wetland, Putrajaya disiarkan pada hari tesebut.
Itulah jadual Dell sepanjang bulan November ini. Walaupun ada hari yang tidak tertera, kerja Dell tetap berjalan. Almaklumlah, proses pengeditan dan pencarian data merupakan proses yang panjang. Jadual untuk bulan Disember, Dell tidak tahu lagi bagaimana rupanya walaupun ada beberapa tarikh telah bertanda untuk beberapa aktiviti. Semoga semuanya dipermudahkan oleh-Nya. Amin.
| Bersama Sasterawan Negara Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh. |
Alhamdulillah, pada hari Jumaat (1 November 2013), Dell berpeluang bertemu dengan Sasterawan Negara, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh di rumahnya di Kajang.
Gementar sebenarnya ketika Dell ditemuduga oleh beliau. Beliau teliti setiap sijil yang Dell ada termasuk artikel yang pernah Dell tulis dan terbit serta pencapaian lain yang ada. Alhamdulillah, Dell lulus.
Dell ingin mendalami ilmu penulisan dan peluang ini datang ketika beliau ingin mencari pembantu untuk penulisan beliau. Dell mencuba nasib atas peluang itu. Secara tidak langsung, Dell akan belajar bagaimana hendak menulis buku akademik dan buku antologi puisi.
Dell rasa terharu ketika beliau sudi membaca artikel-artikel Dell yang pernah diterbitkan di akhbar Utusan Malaysia itu. Malah beliau memberi galakan dan perangsang bagaimana untuk menulis artikel yang lebih panjang. Kata-kata beliau itu sudah cukup menyuntik semangat Dell. Maklumlah, Dell hanya penulis pecisan sahaja.
Beliau berkenan dengan artikel pertama Dell iaitu 'Terokai Farm In The City' terutama pada gambar-gambar yang Dell ambil. Beliau suka fotografi rupa-rupanya. Beliau ada menulis artikel mengenai kembara di luar negara dalam beberapa buah majalah, jadi beliau meminta Dell membantu memilih gambar-gambar nanti untuk tulisan beliau.
Seronok juga berbual dengan isteri beliau. Isterinya pun jenis peramah dan merendah diri. Dell rasa sangat selesa ketika berada di rumah beliau.
Tugasan Dell pun sudah bermula pada hari tersebut. Selepas ini, kuranglah sikit masa-masa 'lagha' Dell. Jika tidak, banyak masa Dell terbuang begitu je apabila tidak melakukan hal-hal berkaitan dengan penyelidkan Dell. Semoga Allah permudahkan urusan kami semua. Amin...
![]() |
| Bengkel Kepimpinan dan Usahawan Muda |
Dell didedahkan dengan dunia usahawan sejak kecil kerana nenek merupakan peniaga kuih di belakang Coronation Kluang (stesen bas lama Kluang). Tempat itu merupakan syurga bagi para peniaga. Berpanas, berhujan, ribut... adalah perkara biasa. Suasana yang paling sibuk adalah pada bulan Ramadan.
Ada satu ketika, seorang penjual membawa kotak dan menjual jam kepada nenek. Dell tertanya-tanya, berapa jualannya untuk sehari? Sebab nenek Dell berniaga, pelanggan yang mencarinya untuk membeli, tetapi penjual jam itu mencari pelanggan untuk menjual.
Dua minggu sebelum menyambung pengajian ke Tingkatan 6, Dell minta izin daripada nenek untuk berniaga seperti penjual jam tadi tu. Dell hendak tahu cara penjual tu berniaga. Selama ini, Dell hanya baca dalam buku sahaja. Dalam keberatan, nenek memberi izin.
Pengurus syarikat 'direct selling' tersebut mengajar Dell bagaimana untuk berniaga sedemikian. Banyak teori dan praktikal yang dipelajari tiada dalam buku yang Dell pernah baca waktu itu. Dell kena jual 'teko teh mini' dan 'pistol mainan'.
Dell dikehendaki jual barangan tersebut di daerah-daerah yang dipilih oleh ketua dalam negeri Johor. Dengan gabungan pengalaman berniaga bersama nenek dan ilmu yang diajar oleh pengurus syarikat itu, hari pertama Dell dapat menjual 27 set teko mini. Rekod Dell menjual bersama mereka ialah antara 25 -30 set sehari dalam jangkamasa kurang 5 jam. Pengalaman kena halau, kena perli dan sindir itu adalah perkara biasa.
Melepaskan gian berniaga ketika di tahun akhir pengajian ijazah muda dengan menceburi MLM dan gembira kerana dapat yakinkan beberapa buah kedai runcit untuk terima produk kita dan letak di situ. Pernah juga ada pengalaman jadi 'dropshipper'.
Berniaga ini memang seronok jika fokus dan banyak networking. Lagi satu kena ada minat yang mendalam, jika tidak semangat akan jatuh. Bagaimana hendak menguruskan kewangan pun penting iaitu modal dan keuntungan. Jika tidak, akan jatuh rugi untuk jangka masa panjang.
Kini Dell cuba memahami konsep pelaburan pula tetapi bukan Skim Cepat Kaya ye... Bahaya tu!
Ilmu usahawan ini luas. Mesti anak-anak muda gembira didedahkan pada usia yang muda. :)
P/S : Selalu menjadi sukarelawan tolong berniaga jika ada yang buka meja (berniaga secara tradisional) untuk melepaskan gian. :)
![]() |
| Konsep Tawaf dan OtakKanan, ruangan Bicara Remaja, Citra Orang Muda, Utusan Malaysia pada 19 Oktober 2013 |
Dah lama Dell tidak menyapa blog ini. Maklumlah, demam selepas itu sibuk pula dengan beberapa hal. Hari ini, baru ada sedikit lapang untuk bercerita.
Alhamdulillah, artikel Dell yang ketiga telah selamat diterbitkan dalam ruangan Bicara Remaja di Citra Orang Muda (.com), Utusan Malaysia pada 19 Oktober 2013.
Atas galakan daripada salah seorang kenalan Dell yang merupakan pereka jam tangan tawaf Raudah yang telah mengkaji kebaikan tawaf, membuatkan hati Dell terpanggil untuk menulis artikel ini pada malam raya Aidil Adha dan menghantarnya ke akhbar. Tambahan pula, ianya agak bertepatan dengan musim orang mengerjakan haji. Memudahkan artikel ini disiarkan.
Orang lain bersengkang mata masak rendang di malam raya, Dell pula bersengkang mata menulis artikel untuk akhbar. Ilham sudah sampai, rugi jika tidak dimanfaatkan... Betul tak?
Kini Dell sudah mendapat beberapa idea untuk fokus beberapa isu. InsyaAllah, Dell akan menulis untuk artikel seterusnya. Sekarang ini, Dell sedang mengumpul maklumat yang sesuai.
Semoga ianya dipermudahkan oleh-Nya. Amin.
Cuti kali ini, Dell malas nak bawa peralatan melukis walaupun untuk 'sketch'. Lagipun, Dell tak terfikir nak melukis semasa di kampung, nak rehat puas-puas katanya.
Tapi tulah, tiba-tiba terasa gian sangat nak melukis. Itu pun selepas Dell menghantar artikel ketiga di akhbar pada malam raya haji. Mujur salah seorang kawan Dell perkenalkan aplikasi 'Pen & Ink' di iPad. Sekali je cuba terus rasa 'excited'! Mana taknya, kita hanya perlu menyentuh jari di skrin untuk melukis. Lihatlah hasil lukisan Dell menggunakan iPad.
Sedar tak sedar, dah masuk hari raya haji. Rasa seperti baru sahaja selesai hari raya puasa. Mana taknya, sebulan Dell berada di kampung pada waktu itu. Kali ini, Dell berada seminggu di kampung untuk menyambut hari raya haji.
Bila sebut hari raya haji, tidak sah jika tiada 'korban'. Tahun ini, atok Dell buat korban lagi di surau berdekatan dengan rumah. Tapi, Dell tak pergi pun ke surau untuk melihat lembu disembelih tu... tak sanggup! Dell pernah pergi sekali sahaja melihat kerja-kerja sembelihan lembu dari mula hingga akhir beberapa tahun lepas. Cukuplah sebagai pengalaman.
![]() |
| Sijil untuk korban dan aqiqah |
Ini kali pertama Dell melihat sijil untuk sesiapa yang melaksanakan ibadah korban dan aqiqah di salah satu surau di sini. Sebelum ini, kami tidak menerima mana-mana sijil di tempat kami buat korban.
Pada Dell, sijil ini bagus dilaksanakan sebagai rujukan kita pada masa akan datang. Maklumlah, kita tidak tahu ketika kecil dahulu adakah ibu bapa kita mampu untuk melakukan aqiqah untuk kita. Sekurang-kurangnya dengan adanya sijil ini, kita tahu bahawa kita sudah diaqiqahkan oleh ibu bapa kita dan kita tidak akan berasa was-was sama ada hendak melakukan aqiqah atau korban apabila kita dewasa kelak.
![]() |
| Menu di pagi raya haji... |
Seperti biasa, menu hari raya haji sama seperti menu pada hari raya puasa. Malah, Dell berpeluang makan makanan kegemaran di rumah saudara-mara Dell seperti rendang siat dan ayam masak merah.
Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha kepada semua. :)





