Pada 23 Ogos 2014 (Sabtu) lepas, Dell berpeluang menghadiri Talk Show bersama Dr. Othman Talib. Awalnya ada juga terlintas di hati Dell untuk menghadiri program ini tetapi Dell membatalkan niat tersebut dek kerana semangat Dell menurun sedikit setelah kesukaran Dell untuk mengambil CE pada semester ini. Bukan mudah apabila kita di dalam bidang multi-disiplin ini. Tambahan pula Dell baru sahaja bertukar supervisor kerana kepakaran bidang.
Setelah faham apa yang perlu ditulis setelah diperbetulkan oleh supervisor baharu, Dell pula mengalami kesukaran menulis pula. Mungkin kerana sikap Dell terlampau berhati-hati kerana takut melakukan sebarang kesalahan menyebabkan Dell sukar untuk menulis.
Namun atas perancangan Allah, seminggu sebelum program ini bermula ada salah seorang rakan seperjuangan iaitu Kak Rabaayah mengajak Dell mengikuti program ini dengan berkongsi bayaran yuran iaitu RM100 untuk tiga orang. Dan, Dell pun bersetuju.
|
Tak sangka ada pula gambar Dell beratur untuk pendaftaran. |
Pagi itu, Dell sampai di Fakulti Kejuruteraan pada 8.20 pagi. Selepas mendaftar, Dell terus masuk ke Dewan walaupun masih awal. Saja nak berehat kerana malam itu, Dell tidur agak lewat dan tak cukup tidur. Kak Rabaayah lambat sampai kerana dia bertolak dari Batu Pahat, Johor selepas menghantar anak ke sekolah pagi itu.
|
Buku 10 Panduan Menulis Tesis, Tentatif Program dan sekeping button. |
Kami diberi buku nota kecil mengenai panduan menulis
tesis cepat dan efisyen sebagai pengenalan. Untuk mempelajari dengan lebih mendalam, pembaca perlu membeli buku-buku lain tulisan Dr. OT. Dell sudah memilikinya dan alhamdulillah banyak membantu.
|
Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris (Mantan TNC UPM) - Indahnya Menjadi Seorang Pendidik. |
Prof. Datin Paduka Dr. Aini berkongsi pengalaman beliau ketika melanjutkan pelajaran suatu ketika dahulu di mana waktu itu belum ada teknologi yang canggih mahupun sumber manusia (seperti RA) untuk membantu beliau membuat penyelidikan. Dan juga pengorbanan keluarga kerana beliau terpaksa melanjutkan pelajaran ke luar negara sedangkan suami dan anak-anaknya yang masih kecil tidak dapat mengikutnya sekali. Sehingga ada insiden kekeliruan identiti anak-anaknya kerana beberapa bulan sekali mereka bergiliran tinggal di kedua-dua belah nenek (Kelantan dan Pulau Pinang) apabila mereka berkata, "Tok seh ayaq." Semua hadirin ketawa.
|
Dr. Othman Talib - Dari Pencarian Tajuk ke Defend Proposal. |
Seperti biasa, Dr. OT akan memperkenalkan penggunaan perisian Mendeley dan lain-lain konsep untuk memudahkan pelajar. Beliau juga berkongsi pengalamannya sewaktu menjadi seorang pelajar dulu. Beliau juga menjemput pelajar-pelajar Master dan PhD yang telah berjaya di dalam viva masing-masing untuk berkongsi pengalaman.
|
"It's time to change the way we do research." |
|
Sesi perkongsian Idea/Pengalaman/Maklumat/Tip - Sdri. Nor Amlizan Ramli, Sdri. Ainul Azmin, Sdr. Azraai Othman, Sdri. Soliha Sanusi, Sdr. Iskandar, Sdri. Airien Malek dan Sdri. Sharifah Sharie. |
|
Juara 3MT Kebangsaan 2014 - Sdri. Siti Aimi Sarah. |
|
Sesi perkongsian Idea/Pengalaman/Maklumat/Tip - Dr. Zulkifli Mansor, Dr. Teo Wil Ly dan Sdri. Siti Nazirah Butai. |
|
Para peserta program. |
|
Peserta program Talk Show Dr. OT. |
Apabila mendengar mereka semua bercerita di atas pentas mengenai dugaan-dugaan yang dihadapi, Dell agak terkejut kerana tidak sangka hal sebegitu boleh berlaku. Ada kes yang pelajar PhD bergraduat selepas 8 tahun pengajian!
Kisah mereka itu memberi motivasi kepada Dell agar semangat Dell konsisten kembali dalam menulis tesis. Bukan mudah tetapi kena kuat semangat. Kepada mereka yang hendak mempelajari ilmu mengenai penulisan tesis boleh layari Blog
Dr. OT ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan