Tema Hari Kemerdekaan ke-56 |
Sedar tak sedar, sudah 56 tahun negara kita merdeka. Ingat lagi ketika Dell kecil dahulu, suka sangat nak tonton siaran langsung perbarisan di kaca televisyen. Maklumlah, tiada siapa hendak bawa Dell pergi meraikan perbarisan di mana-mana tempat. Tapi apabila sudah dewasa seperti sekarang ini, Dell malas pula untuk mengharungi kesesakan kenderaan dan orang ramai untuk pergi ke mana-mana tempat berkumpul untuk apa-apa sambutan besar seperti itu. Dell lebih rela menontonnya di kaca televisyen.
Dalam banyak-banyak tema kemerdekaan yang telah dicatatkan sebelum ini, Dell rasa tema kemerdekaan pada tahun ini yang benar-benar membakar semangat. "Malaysiaku Berdaulat : Tanah Tumpah Darahku", terasa jati diri dan semangat patriotiknya tinggi.
Teringat lagu "Saya Anak Malaysia" oleh Dr. Sam |
Dell berasa sangat beruntung, negara kita membangun dari segi pendidikan, pengangkutan, teknologi dan sebagainya. Keadaan ini banyak merubah fasa kehidupan kita. Maklumlah, atok Dell suka mengimbau kenangannya ketika sebelum, semasa dan selepas merdeka kepada Dell sekeluarga. Atok Dell merupakan bekas tentera. Satu ayat keramat yang selalu diucapkan sehingga sekarang, "Kamu semua tak pernah rasa bagaimana susahnya orang dulu.."
Semangat patriotik atok Dell memang tinggi. Arwah moyang (bapa kepada atok Dell) iaitu Hj. Mohamad bin Hj. Tahir telah mendapat pingat J.P.S dari Almarhum Sultan Ismail Al-Khalidi ibni Ibrahim Al-Masyhur. Orang dulu bermati-matian menentang penjajah. Jasanya membuka kampung di Kampung Api-api, Pontian, Johor diingati dengan pembinaan Balai Raya Hj. Mohamad bin Hj. Tahir.
Malah sebelum arwah nenek Dell meninggal dunia, dia selalu cerita bagaimana dia bersama kakaknya (tok long) pergi menghadiri perhimpunan Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Betapa semangatnya mereka ketika hendak melaungkan perkataan "Merdeka! Merdeka! Merdeka!" bersama-sama dengan Tunku Abdul Rahman waktu itu.
Nenek juga pernah bercerita bagaimana keadaan mereka ketika zaman Jepun dan zaman darurat. Antara kisah arwah nenek yang Dell masih ingat ialah selepas Jepun diisytiharkan kalah dan mereka perlu meninggalkan Tanah Melayu, ada seorang Jepun melukis gambar orang-orang kampung sebagai kenang-kenangan. Salah seorang yang menjadi model lukisannya adalah nenek Dell. Malangnya akibat perpindahan, lukisan tersebut hilang. Jika tidak, boleh dijadikan arkib.
Walau bagaimanapun, kita tidak boleh terleka dengan arus kemodenan dan kemewahan yang ada. Kita harus bijak dan rasional dalam meniti apa-apa yang dilakukan. Ilmu pengetahuan dan agama adalah penting untuk panduan kita.
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-56!
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan juga kak!
BalasPadamTerima kasih... :)
Padam