Selamat Datang ke Blog Dell!

Bersama Dell di Alam Maya
Sertai Saya

Sehari di Seminar Facebook Menjadi Buku



By  Kakdell     Ahad, Januari 18, 2015    Labels:, 
Suasana pendaftaran.
Semalam Dell berkesempatan menghadiri Seminar Facebook Menjadi Buku. Tetapi bukan sebagai peserta seperti biasa. Dell menjadi salah seorang tim pengurusan yang membantu penganjur seminar tersebut. 

Seawal pukul 6.30 pagi, Dell sudah keluar dari rumah kerana perlu mengambil seorang lagi rakan sepasukan di Putrajaya. Kami bersetuju untuk sampai di Wisma Sejarah dalam pukul 8.00 pagi. Maklumlah, kami menjaga bahagian pendaftaran. Seminar pula akan bermula pada pukul 9.00 pagi.

Ketika singgah di Petronas untuk mengisi minyak, kami berdua membeli nasi lemak dan karipap sebagai sarapan kami di sana. Kebetulan pula, pagi itu Dell terasa sangat lapar walaupun di awal pagi. Terlepas nafsu mengidam Dell nak makan nasi lemak daun pisang yang sedap!

Nasi lemak ini sangat sedap!

Seperti yang dirancang, kami sampai di Wisma Sejarah beberapa minit sebelum pukul 8.00 pagi. Seramai 183 orang peserta yang telah mendaftar untuk menghadiri seminar ini. Dell cuba mengecam wajah setiap peserta yang datang. Maklumlah ada nama yang tersenarai tu, Dell hanya berpeluang memandang wajah melalui facebook sahaja.

Terima kasih kak Mazura Stapah kerana sudi mengambil gambar ini sebagai kenangan. Dell pun tak terfikir malah terlupa. Huhuhu... 

Jualan buku Rahsia 100 Impian dan buku Antologi Cerpen Muzikal.

Selesai berada di meja pendaftaran, dalam pukul 10.00 lebih Dell bawa masuk buku-buku Dell ke meja jualan untuk para alumni penulisan. Dell berkongsi meja dengan seorang lagi penulis buku Genius dari Syurga iaitu Puan Ainizal Abdul Latif. Pada mulanya, Dell agak segan juga. Maklumlah, ramai penulis senior yang hadir dan karya-karya mereka hebat-hebat belaka. Tetapi Dell teringat kata-kata Prof. Dr. Zainon Ismail di status facebooknya beberapa tahun yang lalu, "Buat apa nak malu jual buku sendiri?"

Buku-buku Dell.

Terima kasih sekali lagi kepada kak Mazura Stapah di atas gambar ini. Terima kasih Dell ucapkan kepada mereka yang sudi membeli buku-buku ini. Di sebelah Dell ini namanya Ardina, anak kepada penulis buku Genius dari Syurga. Si anak kecil inilah yang membantu ibunya dalam penjualan buku sementara ibunya mendengar seminar. 

Menulis kata-kata indah kepada si kecil ini.

Kehadiran si anak kecil ini membuatkan masa Dell terisi dengan kisahnya. Seronok mendengar si comel ini bercerita tentang pengalamannya menjaga adik yang merupakan seorang autistik. Berusia 10 tahun tetapi petah berkata-kata, ayatnya tersusun, penggunaan intonasi suara yang sesuai malah turut menggunakan ekspresi wajah yang berbeza untuk setiap babak cerita. Cerdik si comel ini. 

Secara tidak langsung, Dell mendapat ilmu pengetahuan yang lebih mengenai kanak-kanak autistik melalui si kecil itu. Dell kagum dengan kesabarannya melayan kerenah kanak-kanak autistik pada usia yang sangat muda. Dari segi percakapannya, sememangnya pemikiran dia jauh lebih matang dari usia. Dia juga kerap mengulang kata-kata nasihat daripada ibunya dalam menangani karenah adiknya yang istimewa itu.

Kenang-kenangan bersama-sama si kecil yang petah berkata-kata.

Dell ada bertanya, jika si anak kecil ini mempunyai facebook ataupun blog. Dia mengatakan belum bersedia untuk semua itu. Dia terasa ia menyesakkan kepala. Mungkin apabila umurnya belasan tahun, baru dia nak ada facebook. Dell memberitahu kepadanya, "Adik boleh menulis kisah pengalaman adik itu di dalam blog. Pengalaman yang ada ilmu pengetahuan dan kesedaran. Ramai orang hendak tahu. Mana tahu, suatu hari nanti adik pula ada buku sendiri."  Dia hanya tersenyum sahaja.

Buku bertukar tangan. Bersama-sama Puan Ainizal Abdul Latif.

Kepetahannya itu membuatkan Dell menghadiahkan sebuah buku Antologi Cerpen Muzikal (Cermuz) kepadanya sebagai tanda kenang-kenangan. Sengaja Dell meletakkan alamat blog Dell di situ kerana Dell mengharapkan dia akan menyapa Dell suatu hari nanti. Kebetulan, dia memang minat membaca novel. Mujur rakan setugas Dell, Izham sudi menangkap beberapa gambar Dell bersama-sama mereka sebagai kenang-kenangan. 

Kata-kata motivasi daripada penulis.

Ibunya ternampak Dell memberi buku Antologi Cermuz itu kepadanya. Lalu, ibunya turut menghadiahkan buku tulisannya itu kepada Dell. Alhamdulillah, rezeki dari Allah.

Mobile Bookcafe.

Sebelum pulang, Dell sempat bergambar di tepi Mobile Bookcafe ini. Sangat teruja! Sudah lama Dell menanti peluang untuk bergambar disisinya. Dell selalu berangan-angan, suatu hari nanti buku-buku Dell akan berada di dalam Mobile Bookcafe ini dan menjelajah ke seluruh pelosok negeri. Insya-Allah.

Dell bersyukur kerana diberi peluang membantu Tuan Zamri Mohamad di dalam seminar ini. Ia merupakan sebuah rahmat buat Dell. Dapat ilmu baru, pengalaman baru serta kenalan baru. Terima kasih jua saya ucapkan.

Kenali Kakdell

Panggilan nama Kak Dell ini muncul ketika Dell menjadi senior di tahun akhir pengajian Bacelor Sastera (Pengkhususan Bahasa dan Linguistik Melayu) di UPM. Junior yang me'reka' panggilan ini.

2 ulasan: