Selamat Datang ke Blog Dell!

Bersama Dell di Alam Maya
Sertai Saya

Walaupun Lambat, Jangan Lepaskan!



By  Kakdell     Jumaat, Februari 06, 2015    Labels:, 
Walaupun lambat seperti siput, jangan berputus asa.

Kadang-kala, kita bukan sengaja untuk melewat-lewatkan kerja. Bebanan tugas yang banyak menyebabkan kita selalu tidak sedar masa berlalu dengan pantas. Kita selalu berada di dalam dilema hendak selesaikan yang mana satu terlebih dahulu. Ikutkan kita hendak selesaikan kesemua sekali namun ia terhalang dek kerana keterbatasan ilmu, ilham, tenaga mahupun masa.

Inilah situasi yang Dell alami. Di sebalik mengejar antara cita-cita, kerjaya dan minat, banyak masa, tenaga dan wang ringgit perlu dikorbankan. 

Dalam masa beberapa bulan ini, masa Dell sangat padat. Untuk melepaskan lelah itu, kadang-kala Dell bertemu dengan mereka yang rapat dan lepak bersama-sama. Terasa beban itu berkurangan apabila kita saling berkongsi cerita dan gelak tawa.

Kita memang perlu bersosial. Tetapi berpada-pada. Apabila kita bertemu dengan orang luar ni, kita akan bertukar-tukar pendapat dan fikiran. Tidaklah kita seperti 'katak di bawah tempurung'.

Kebiasaannya, Dell akan lepak bersama-sama mereka setelah selesai satu tugasan ataupun tugasan itu hampir siap. Jadi, tidaklah kita rasa kurang selesa ataupun ingatan kita hanya tertumpu pada kerja yang tertangguh. 

Jika kerja terlalu padat sehingga rasa tidak selesa untuk lepak di luar, Dell akan berkomunikasi dengan rakan-rakan di luar dengan menggunakan internet ataupun telefon. Sekurang-kurangnya, jiwa kita tidak tertekan dengan kerja yang berlambak-lambak itu.


KERJAYA
Menggalas tugas sebagai pensyarah di universiti walaupun hanya sambilan tidak mudah seperti yang disangkakan. Sementelah bidan terjun.

Dalam masa yang singkat, Dell perlu memahami dan menyiapkan justifikasi kursus, rangka kursus, manual pengajaran, nota, soalan-soalan untuk kuiz, ujian, peperiksaan dan tugasan, skema pemarkahan dan lain-lain.

Tambahan, Dell mengajar ketika semester pendek lagilah masa sangat terhad.

Tapi Dell sabar dan cuba bertenang dalam menyiapkan segala keperluan kerjaya sedikit demi sedikit walaupun Dell agak lambat juga untuk memahami sesetengah perkara.

Alhamdulillah dalam masa sebulan semuanya selesai walaupun bertimpa dengan urusan yang lain. 

Apa yang Dell dapat?

Sudah tentu pengalaman dan ilmu-ilmu baru.


CITA-CITA
Tipulah jika Dell kata tidak mengalami apa-apa masalah ketika dalam pengajian. Pengalaman terpaksa menukar penyelia tesis pada saat-saat akhir kerana kehendak pakar bidang bukan sesuatu yang mudah bagi seseorang pelajar.

Apabila penyelia bertukar, bermakna banyak perkara berkaitan dengan penyelidikan turut bertukar. 

Dell tidak melatah malah bersabar ketika mendalami pelbagai ilmu baru. Malah Dell bersyukur kerana walaupun agak sukar pada awalnya tetapi pada akhirnya akan menjadi mudah.

Kini, Dell dalam proses penambah baikan bab 1 sehingga 3 setelah menemui teori yang sesuai dengan penyelidikan Dell awal Januari lepas. 

Usah ditanya berapa kali penulisan tesis ini dirombak. 

Yang penting, penulisannya dan penyelidikannya diteruskan.


MINAT
Minat Dell di dalam penulisan tak pernah padam. Sudah beberapa kali Dell terpaksa pendamkan kekecewaan tidak dapat menyahut cabaran diri sendiri untuk menghantar karya di tempat yang sepatutnya.

Cemburu juga melihat rakan-rakan penulis lain yang sentiasa update status kejayaan mereka menghantar karya di mana-mana dalam facebook. 

Tercabar juga diri. Tapi terpaksa redha kerana Dell perlu mengutamakan yang penting dahulu. 

Waktu itu, Dell sedang siapkan kerja-kerja berkaitan dengan kerjaya Dell sebagai pensyarah.

Ikutkan Dell nyaris-nyaris kecewa kerana tidak sempat menghantar karya cerpen yang ditawarkan oleh editor Legacy Publishing sebelum ini. Tarikh penghantaran karya cerpen itu tamat pada 1 Februari 2015.

Alhamdulillah... semalam Dell terbaca status editor tersebut di facebook yang menyatakan tarikh tutupnya dilanjutkan sehingga 15 Februari 2015.

Dapat juga Dell meluangkan masa sedikit untuk menyiapkan cerpen tersebut. Sudah 90 % siap. Tinggal untuk penambah baikan sedikit. Tak sabar untuk menghantar karya tersebut.

Dalam masa yang sama, Dell sedang dalam proses menyiapkan kaver untuk e-cermuz Indah Lelapku. Mujur ada kenalan yang memang pandai melukis membantu Dell memvisualkan kisah ini untuk kaver itu.

Semoga semuanya dipermudahkan oleh-Nya. Amin...


Nota :
Disebabkan itulah Dell mengatakan 'walaupun lambat, jangan lepaskan!' 

Jika kita usaha dan tawakal kepada-Nya, insya-Allah akan ada jalannya walaupun kelihatan seperti mustahil untuk mencapai semuanya. 

Yakinlah kepada-Nya, insya-Allah semuanya akan terbentang di depan mata. :)


Kenali Kakdell

Panggilan nama Kak Dell ini muncul ketika Dell menjadi senior di tahun akhir pengajian Bacelor Sastera (Pengkhususan Bahasa dan Linguistik Melayu) di UPM. Junior yang me'reka' panggilan ini.

4 ulasan:

  1. Betul tu Kak Dell. Memang pelbagai jenis cabaran yang kita akan lalui kalau nak mengapai kejayaan tu. Semoga berjaya ya Kak Dell!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Pojie. Amin.... Yang paling penting, kita kena dahulukan perkara yang utama dulu. Jika tidak, takut jadi 'Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran'. :)

      Padam
  2. Teruskan usaha kak. Insya-Allah boleh berjaya.

    BalasPadam