Selamat Datang ke Blog Dell!

Bersama Dell di Alam Maya
Sertai Saya

Soal jawab bersama Kak Dell



By  Kakdell     Selasa, September 24, 2013    Labels:,, 
Pada hari Sabtu lepas (21 September 2013) merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh Dell. Ianya merupakan hari yang bersejarah buat Dell kerana artikel pertama Dell diterbitkan di salah satu akhbar bahasa Melayu nombor satu di negara ini. Tercapai salah satu impian Dell. 

Ruangan Cuti-cuti Bajet di Citra Orang Muda (.com) Utusan Malaysia pada 21 September 2013
Kali ini Dell hendak berkongsi sedikit al-kisah penulisan artikel ini bagi menjawab beberapa soalan yang telah diajukan kepada Dell oleh beberapa orang rakan di luar sana. Mudah-mudahan ianya bermanfaat ya.

Bagaimana tercetusnya idea menulis artikel di ruangan Cuti-cuti Bajet di Citra Orang Muda (.com) Utusan Malaysia?
Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah. Terima kasih kepada yang bertanyakan soalan ini. Idea untuk menulis di akhbar tempatan merupakan impian yang sudah lama terpendam di hati saya. Saya bukan hanya ingin menulis di akhbar biasa tetapi memasang impian untuk menulis di salah satu akhbar bahasa Melayu No. 1 Malaysia.

Bagaimana proses menulis artikel tersebut bermula?
Pada asalnya, saya hanya menulis secara suka-suka di blog saya mengenai tempat tersebut. Sehinggalah pada suatu hari, salah seorang rakan blogger saya menyusulkan satu pendapat meminta saya ubahsuai tulisan di blog tersebut menjadi sebuah artikel dan menghantarnya di akhbar ataupun di majalah. Beliau sangat yakin dengan penulisan saya. Maka, saya menyahut cabarannya itu. Itu baru titik pertama, ada lagi perkara yang perlu dilakukan.

Menarik! Boleh saudari teruskan lagi?
Bukan mudah untuk menulis sesebuah artikel di akhbar jika tidak tahu caranya. Setelah saya memilih akhbar yang berkenan di hati, saya 'membedah' akhbar tersebut untuk beberapa keluarannya. Saya teliti pola penulisan di ruangan yang saya berkenan untuk hantar artikel. Dari situ, kita akan tahu gaya penulisan yang disukai oleh editor akhbar tersebut.

Bagaimana saudari menulis artikel tersebut?
Selepas selesai 'membedah' artikel-artikel di ruangan akhbar berkenaan, saya terus menulis sebuah artikel yang panjangnya sekurang-kurang 700 patah perkataan. Setelah siap artikel tersebut, baru saya hubungi emel editor seperti yang tertera di akhbar berkenaan. Saya bertanyakan format yang dikehendaki. Selepas itu, saya baiki artikel tersebut mengikut format yang ditetapkan. Yang penting, seboleh-bolehnya 'zero' kesalahan ejaan, tanda wacana dan tatabahasa. Ini prinsip saya.

Sukar juga ya.
Benar. Ianya tidak semudah yang kita sangkakan. Apatah lagi kita ini hanyalah penulis muda yang baru hendak mulakan langkah pertama. Bukan mudah untuk mendapatkan kepercayaan editor. Alhamdulillah, kini saya telah dipelawa oleh editor untuk menghantar artikel di mana-mana ruangan di Citra Orang Muda (.com) tersebut.

Mengapa pilih akhbar Utusan Malaysia untuk menghantar artikel pertama?
Itu adalah impian saya sejak alam persekolahan lagi. Saya selalu berangan-angan bahawa suatu hari nanti artikel saya dibaca oleh pembaca seluruh Malaysia. Seperti yang kita ketahui, akhbar Utusan Malaysia antara akhbar yang popular di Malaysia dan pembelinya ramai berbanding akhbar berbentuk tabloid. Golongan pembaca akhbar tersebut luas, yakni tidak tertumpu hanya golongan remaja atau orang muda sahaja.

Apakah perancangan saudari seterusnya?
Insya-Allah, saya akan mempelbagaikan penulisan saya. Saya bercita-cita hendak menghasilkan buku sendiri suatu hari nanti. Jika ada rezeki, saya akan mendalami ilmu penulisan melalui bengkel, forum dan sebagainya. Tanpa ilmu, sukar kita hendak melangkah dengan lebih jauh.

Adakah saudari pernah menghantar penulisan bentuk lain selain di akhbar?
Pada akhir tahun 2011, saya pernah menghantar beberapa buah puisi kepada Dato' KEMALA yang merupakan Sasterawan Negara ke-11 untuk diterbitkan di salah satu buku antologi selenggaraannya. Itulah percubaan pertama saya menghantar penulisan puisi kepada seseorang yang sangat berpengaruh dalam dunia sastera. Tujuannya, saya hendak mengetahui sejauh mana pencapaian puisi saya itu. Saya ingin mendengar komen daripada sasterawan negara sendiri.

Boleh saudari kongsikan pengalaman tersebut?
Boleh, apa salahnya. Saya masih ingat lagi kata-kata beliau kepada saya, "Saya akan teliti dulu puisi-puisi tersebut, jika saya tidak berpuas hati, kamu kena baiki sehingga saya puas hati." Telan air liur saya ketika itu. Saya tetap hantar puisi-puisi tersebut dan bertawakal. Alhamdulillah, beliau berjumpa dengan saya secara peribadi di pejabat dan menyatakan bahawa dia akan terbitkan salah satu puisi saya tanpa perlu ada pembetulan. Beliau meminta saya terus menulis. Kata-kata beliau pada hari tersebut membuatkan semangat menulis saya semakin tinggi dan saya berasa yakin diri.

Ucapan penghargaan Dato Kemala di laman Sastrawan Numera. 

Puisi tersebut diterbitkan di mana ya?
Puisi saya bertajuk 'Dalam Hati ada Rasa' diterbitkan dalam Buku 'Mencari Cinta Haqiqi' oleh Dato KEMALA pada tahun 2012.

Akhir kata, mungkin saudari ingin berkongsi sesuatu dengan pembaca di luar sana.
Jika anda suka menulis, tulislah tanpa berhenti. Jangan putus asa. Jangan sombong untuk mencari ilmu tentang penulisan secara perseorangan mahu pun di mana-mana majlis ilmu. Ilmu itu penting. Lagi satu, setiap kali ingin menulis, berdoalah kepada Allah agar diberi ilham. Dialah sebaik-baik ilham. :)


NOTA :
Artikel tersebut boleh dibaca di laman web Utusan Malaysia, Terokai Farm In The City.

Kenali Kakdell

Panggilan nama Kak Dell ini muncul ketika Dell menjadi senior di tahun akhir pengajian Bacelor Sastera (Pengkhususan Bahasa dan Linguistik Melayu) di UPM. Junior yang me'reka' panggilan ini.

4 ulasan:

  1. alhamdulillah, tahniah akak :)

    BalasPadam
  2. Tahniah kak! Teruskan usaha lagi. Saya yakin kak boleh!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah, terima kasih... InsyaAllah akak akan buat yang lebih baik lagi... :)

      Padam