Selamat Datang ke Blog Dell!

Bersama Dell di Alam Maya
Sertai Saya

Impian



By  Kakdell     Sabtu, Jun 08, 2013    Labels:,, 
"Never give up on what you really want to do. The person with big dreams is more powerful than one with all the facts" - Albert Einstein

Benar apa yang dikatakan oleh Albert Einstein tu. Tanpa angan-angan atau impian, apa yang kita imaginasi itu tidak akan wujud. Tetapi, sebagai orang Islam jika impian, angan-angan atau cita-cita itu di jalan kebaikan walaupun agak lambat nampak hasilnya... percayalah jalan menuju ke situ akan dipermudahkan oleh-Nya dengan tidak kita sangka-sangka. Yang penting, kita kena rajin berusaha, berdoa dan tawakal. 

Dell akan menceritakan sedikit sebanyak perjalanan Dell sehingga kini.

Dengan berbekalkan kepercayaan seorang cikgu lelaki berbangsa Cina yang merupakan cikgu penyelaras untuk aliran Sains Tulen (beliau guru untuk subjek biologi), pada tahun 1998 Dell diserap masuk ke aliran ini walaupun keputusan PMR Dell bukan hebat seperti pelajar-pelajar sekarang ini. Disebabkan masalah-masalah tertentu yang dihadapi waktu itu, keputusan SPM Dell tidak baik iaitu hanya lulus sahaja. 

Waktu itu, puas juga la Dell diperli dan disindir. Permohonan Dell untuk memasuki universiti, kolej komuniti dan politeknik tidak berjaya. Sungguh pun begitu, Dell percaya Dell tetap boleh berjaya suatu hari nanti. Dalam diam, Dell sudah membuat satu peta minda apa yang perlu Dell buat jika gagal masuk ke satu-satu tempat (Dell masih ingat lagi lukisan peta minda itu).

Atas kepercayaan seorang ustazah di sekolah menengah, beliau telah membantu Dell untuk membuat rayuan masuk ke Tingkatan Enam. Alhamdulillah, Dell diterima. Dell masih ingat lagi reaksi guru yang melihat keputusan SPM Dell ketika Dell melapor diri. Beliau seperti tidak yakin dengan Dell. Maklumlah, Dell diminta masuk sekolah cemerlang iaitu Sekolah Tinggi Kluang dan mereka sangat mementingkan prestasi sekolah. Dell cuma kata, "Insya-Allah, saya akan cuba yang terbaik untuk STPM ni". Dell tahu ini peluang terakhir untuk Dell membuktikan Dell boleh berjaya walaupun Dell terpaksa tukar aliran.

Ketika Dell sudah melapor diri, ada cabaran lain yang Dell hadapi. Ramai yang memperlekehkan keputusan Dell masuk ke Tingkatan Enam. Alhamdulillah... pada tahun 2001, Dell mendapat 4 prinsiple dalam STPM (salah satu subjek, Dell mendapat A). Satu kebetulan, keputusan STPM waktu itu dikatakan mencatat sejarah di Malaysia kerana ramai yang mendapat 4 prinsiple. Ini bermakna, syarat memasuki universiti semakin tinggi.

Pada tanggal 18 Mei 2002, Dell berjaya menjejakkan kaki di UPM sebagai seorang mahasiswa Bacelor Sastera (Pengkhususan Bahasa dan Linguistik Melayu), minor komunikasi. Waktu itu, masih juga orang memperlekehkan aliran yang Dell ambil dengan mengatakan susah untuk mencari pekerjaan. Dell buat tidak tahu sahaja APA YANG MEREKA KATA. Dell teruskan pengajian dan akhirnya bergraduat pada 31 Julai 2005 dengan Kepujian Kelas Kedua Tinggi.


Konvokesyen 2005

Tidak dinafikan, selepas bergraduat agak sukar untuk mencari pekerjaan. Malah Dell pernah ditipu duit dengan skim pekerjaan. Keluarga suruh balik dan duduk di kampung. Dell berdegil dan terus duduk di Serdang kerana yakin Dell akan dapat pekerjaan walaupun lambat. Keluarga Dell terpaksa akur dengan keputusan Dell. Akhirnya pada 6 Oktober 2005, Dell diterima bekerja sebagai Pembantu Penyelidik (RA) di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM di atas kepercayaan Prof. Dr. Lekhraj Rampal untuk geran penyelidikan beliau. Jika ada yang masih ingat tentang Kempen TAK NAK MEROKOK  tu. Dalam masa yang sama, Dell buat kerja sambilan mengajar tuisyen dan tutor di institusi berdekatan di situ.

Kontrak Dell tamat pada 15 Jun 2006. Waktu itu, Dell berbekalkan duit kerja sambilan sahaja yang Dell dapat berjimat-cermat sementara mencari kerja lain. Boleh hidup tapi tak boleh bermewah.  Alhamdulillah pada 2 Oktober 2006, Dell diterima bekerja sebagai Pembantu Tadbir di Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), UPM. Di dalam temuduga sebelum itu, Pengarah RMC bertanya kepada Dell, "Bagaimana awak boleh menjadi RA di Fakulti Perubatan sedangkan awak pelajar bahasa?" Dell jawab, "Saya yakin saya boleh buat kerja yang ditawarkan." Dell masih meneruskan kerja sambilan selepas waktu pejabat. Bos Dell tahu tapi dengan syarat tidak memberi kesan terhadap kerja hakiki. 

Setelah setahun bekerja di RMC, Dell membuat keputusan untuk sambung Master dalam bidang yang sama. Bos Dell tahu akan impian Dell. Beliau memberi galakan dan dorongan kepada Dell. Jadilah Dell, pekerja sambil belajar pada tahun 2007.

Pada tahun 2008, Dell ditawarkan jawatan Penolong Pegawai Tadbir di Seksyen Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM. Soalan yang sama ditanya oleh bos di tempat baru, "Bagaimana awak boleh kerja di RMC sedangkan kamu bidang bahasa?" Dell menjawab, "Saya yakin saya boleh buat kerja yang ditawarkan". Niat ikhlas untuk sambung belajar, Allah permudahkan dari segi kewangan Dell. Jadi, Dell berhenti buat kerja sambilan dan hanya tumpukan kerja hakiki serta pengajian sahaja.

Pada 9 Oktober 2010, Dell berjaya menamatkan pengajian dan mendapat Master Bahasa Melayu.

Bersama Duli Yg. Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Setahun kemudian bertarikh 28 Jun 2011, Dell mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang untuk tahun 2010. Kira berbaloi kerana Dell pernah dimasukkan di dalam wad sehari kerana jatuh sakit disebabkan stress kerja. Semangat je kuat, rupa-rupanya badan tak tahan. Maklumlah, waktu itu Audit RU dan Audit KPT sedang berjalan untuk menentukan status Universiti Penyelidikan. 

Bersama Dato' Ir. Dr. Radin Omar Radin Sohadi, Naib Canselor UPM waktu itu. Dapat RM1000 tu... :) Siapa kata orang bahasa tidak boleh berjaya dalam pengurusan?
Dell meneruskan kerja seperti biasa tetapi dalam diam-diam, Dell menulis proposal untuk sambung pengajian PhD dan memohon juga geran penyelidikan bersama bakal supervisor Dell waktu itu. Saja Dell tidak mahu kecoh-kecoh. Salah satu impian Dell untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi termakbul. 

Pada 31 Ogos 2012, Dell membuat keputusan berhenti kerja setelah mendapat Biasiswa Penuh KPT untuk pengajian PhD Dell. Dell juga menerima geran penyelidikan dari UPM bersama supervisor untuk penyelidikan kami. Kami sedang membina perisian interaktif bahasa visual 3D. Ramai yang terkejut dengan keputusan Dell tu kerana mereka tahu pun setelah Dell serahkan surat letak jawatan. Kini, Dell mengajar home tuition secara sambilan untuk pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah yang sangat lemah pelajarannya serta menjadi editor BM dan penulis sambilan.

Perjalanan hidup tidak mudah sebenarnya. Banyak suka duka yang dihadapi, Dell tidak nyatakan secara terperinci di sini. Insiden nyawa hampir melayang pun ada. Tapi itu semua lumrah hidup jika diduga zahir dan batin. Kena redha, usaha, doa berterusan dan tawakal. Impian Dell sangat besar, bukan hanya duduk ditakuk lama. Disebabkan itulah, Dell berusaha keras untuk berjaya dan menggunakan peluang yang hanya sekali datang untuk setiap perkara. 


SAYA BIJAK, SAYA BOLEH! 


NOTA :
Diharap coretan ini dapat menjawab soalan-soalan yang sering ditujukan kepada Dell selama ini, terutamanya ketika di Kem Motivasi Super Smarts tempoh hari. Impian Dell bukan hanya ingin menggenggam PhD tau. Ingat, hampir kesemua pemenang nobel pernah diperli malah dianggap gila oleh masyarakat di tempat itu.







Kenali Kakdell

Panggilan nama Kak Dell ini muncul ketika Dell menjadi senior di tahun akhir pengajian Bacelor Sastera (Pengkhususan Bahasa dan Linguistik Melayu) di UPM. Junior yang me'reka' panggilan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan