Selamat Datang ke Blog Dell!

Bersama Dell di Alam Maya
Sertai Saya

Sedetik Al-Ikhlas



By  Kakdell     Jumaat, Jun 28, 2013    Labels: 
Sedetik Al-Ikhlas.

Pada 4 Februari 2012 lepas, Dell berkesempatan menonton drama Al-Ikhlas di TV3 sempena istimewa Maulidur Rasul. Dell tertunggu-tunggu untuk menonton drama ini setelah melihat iklannya beberapa jam sebelum bersiaran.

Pada Dell, drama ini merupakan salah satu drama berbentuk Islamik yang terbaik pernah disiarkan. Banyak pengajaran dapat diperolehi dalam setiap babak yang dipaparkan. Antaranya, sifat redha, sabar, pemaaf dan yang paling penting ialah sifat IKHLAS yang sangat bertepatan dengan tajuk dramanya iaitu AL-IKHLAS (yang merupakan salah satu surah yang terkandung dalam al-Quran). Drama ini dilakonkan oleh Lisdawati, Nasir Bilal Khan, Fauziah Nawi, Shoffi Jikan, Wan Suhaimi. 

Drama ini menceritakan tentang Solah, seorang yang sangat lurus, baik hati, redha dan penyabar. Sifat Solah ini menyebabkan orang kampung sering mengambil kesempatan terhadapnya. Namun, bagi Solah dia hanya menjalankan tugas dengan ikhlas dan tidak pernah sekali pun mengeluh.

Solah pernah berkahwin namun sejak isterinya meninggal, dia tinggal berseorangan ditemani kucing-kucing kesayangannya. Babak ketika Solah berkongsi makanannya dengan kucing-kucing disekitarnya sangat menyentuh hati Dell. Keadaannya yang seolah-olah tidak terurus menyebabkan orang kampung mengatakan dia tidak betul.

Pada waktu malam secara senyap-senyap, dia selalu berkunjung di surau lama di kampungnya untuk beribadat. Surau tersebut terletak di atas tanah yang telah diwakafkan oleh ayah Zaki, namun, apabila ayahnya meninggal dunia, Zaki ingin menjual tanah tersebut.

Ramai yang tidak jadi membeli tanah tersebut kerana adanya surau di situ. Zaki seringkali mendesak Pak Ali, ketua kampung supaya merobohkan surau tersebut supaya dia boleh menjual tanah namun Pak Ali enggan kerana surau tersebut telah diamanahkan oleh bapa Zaki kepadanya.

Zaki juga pernah cuba untuk membakar surau tersebut tetapi menghentikan hasratnya apabila mendapati Solah sedang beribadat di dalamnya.

Zaki selalu memfitnah Solah dan menghinanya secara terang-terangan. Tetapi Solah tetap bersabar, tidak mempersoalkannya, tidak membela dirinya dan tidak menghiraukan apa yang dikatakan oleh Zaki malah memaafkannya kerana Solah yakin dengan hikmah yang tersembunyi atas apa yang berlaku.

Dia berserah segala-galanya kepada Allah. Bertepatan dengan maksud yang terkandung di dalam surah Al-Ikhlas yang berbunyi, 'Dia Allah yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia.'

Kerana ketulusan hati Solah yang dapat menghayati dan mendalami makna sebenar surah AL-IKHLAS dan amalan yang berterusan itu memberi satu kelebihan kepada dirinya sehingga seorang pemuda yang sudah tersesat jauh dari landasan agama Islam (orang luar dari kampungnya) sering bermimpi berjumpa dengan Solah yang dapat membantunya untuk mendalami agama Islam.

Perkara pertama yang diajar oleh Solah kepada pemuda tersebut ialah IKHLAS (pembersihan hati) dan seterusnya bagaimana hendak bermunajat kepada Allah. Ramai yang tidak percaya pemuda tersebut belajar agama dengan Solah kerana Solah selalu kelihatan selekeh dan sentiasa berbau busuk di khayalak ramai. Mana mungkin, dia mempunyai pakaian yang sesuai untuk mengadap Ilahi. Solah turut difitnah kononnya mengajar ilmu ajaran sesat.

Pak Ali yang risau dengan khabar angin berkenaan pergi menemui Solah dan bertanyakan hal yang sebenar apa yang berlaku. Pak Ali terkedu dan menangis mengenangkan yang Solah mempraktikkan dan mengamalkan apa yang telah diajarkan guru agama mereka selama ini iaitu arwah ayah Zaki. Solah dapat mencari kunci ilmu yang terkandung di dalam surah AL-IKHLAS. Suatu ilmu yang Pak Ali sendiri sudah lama tidak mempraktikkannya.

Suatu hari, Pak Ali terkejut ketika menemui jenazah Solah yang terbujur kaku dalam pakaian jubah yang sangat bersih dan cantik di atas sejadah sambil memegang tasbih. Ini menunjukkan Solah berpakaian sangat cantik setiap kali mengadap Ilahi.

Malahan, luka dan nanah yang membusuk di tapak kakinya (kerana Solah terpijak kayu yang tajam beberapa minggu sebelum itu), hilang. Subhanallah. Manakala, Zaki yang selalu memfitnah dan menghina Solah selama ini menerima hukuman yang setimpal dek kerana keceluparan mulutnya.

Bagi Dell, drama ini sangat memberi kesan dalam hati Dell. Dell berharap sangat TV3 dapat menayangkan semula drama ini kerana pengajaran yang terkandung di dalamnya sangat berguna.

Sama-samalah kita menghayati drama ini sekiranya dapat menontonnya sekali lagi.... :)

Kenali Kakdell

Panggilan nama Kak Dell ini muncul ketika Dell menjadi senior di tahun akhir pengajian Bacelor Sastera (Pengkhususan Bahasa dan Linguistik Melayu) di UPM. Junior yang me'reka' panggilan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan