Khamis lepas merupakan hari pertama Dell mengajar seorang anak kepada keluarga C. Comel budaknya, baru darjah 3. Anak kecil ini tiada masalah dalam membaca tetapi dia lemah dalam bahasa Melayu. Ini kerana bahasa perantaraannya di rumah sejak kecil adalah bahasa Inggeris walaupun dia berada dalam keluarga Melayu. Ibunya merupakan pensyarah bahasa Inggeris di salah sebuah IPTA di sini, manakala ayahnya pengajar bahasa Inggeris di ibu kota Kuala Lumpur.
Pada pandangan Dell, anak kecil ini bijak dan mudah belajar. Cuma apabila dia tidak menguasai bahasa Melayu secara tidak langsung, ianya memberi kesan terhadap pemahamannya untuk subjek Matematik dan Sains. Dell hanya membantu subjek bahasa Melayu dan Sains sahaja kerana tidak mahu dia terkeliru dengan cara pembelajaran yang berbeza untuk Matematik di KUMON.
Setelah Dell amati selama dua jam mengajarnya pada hari pertama, Dell beritahu kepada ibunya bahawa lebih elok sekiranya dia belajar dengan seorang lagi kawan supaya motivasinya lebih tinggi. Belajar bersendirian seperti itu akan membuatkan dia tak bersemangat sementelah penat kerana bersekolah dari pagi sehingga petang. Ibunya memberitahu ada seorang kawan baiknya yang merupakan jiran di situ pun mempunyai masalah yang serupa seperti anaknya. Nanti dia akan berbincang dengan keluarga kawan baik anaknya itu.
Ibunya bertanyakan tentang bayaran jika dimasukkan kawan baik anaknya itu. Adakah sama nilainya yakni didarabkan dua? Dell tidak berkira, Dell hanya meminta amaun yang dipersetujui sebelum ini dan pandai-pandailah mereka bahagi-bahagikan amaun tersebut untuk dua keluarga. Tak elok rasanya, Dell meminta harga berganda walaupun tahu mereka tidak kisah tentang bayaran memandangkan mereka golongan yang berduit. Takut duit tak berkat nanti. Lagipun Dell mengajar di dalam rumah yang sama. Cuma syarat Dell, hendak tambah satu sahaja teman. Tak boleh ramai nanti tak boleh tumpu. Tambahan, niat Dell supaya anaknya itu elok berteman supaya dia bersemangat hendak belajar. Kita akan berasa seronok mengajar jika lihat anak murid kita bersemangat untuk belajar, betul kan?
Pada Dell, rezeki lain ada nanti. Tak perlu tamak.
NOTA :
1. Setiap pelajar yang mempunyai masalah dalam bahasa Melayu mempunyai latar belakang yang berbeza.
2. Kadang-kala, kita perlu melihat juga kondisi pelajar terbabit sama ada sesuai atau tidak dalam persekitaran itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan