Selamat Datang ke Blog Dell!

Bersama Dell di Alam Maya
Sertai Saya

You cannot push anyone...



By  nurdilla zaini     Ahad, Oktober 07, 2012    Labels: 
You cannot push anyone up the ladder unless he/she is willing to climb a little.
~Andrew Carnegie~

Benar apa yang dikatakan oleh Andrew Carnegie tu!

Dell sendiri pernah melalui situasi yang memeningkan kepala apabila memikirkan apa yang dicakapkan oleh orang di sekeliling sedangkan kita terlupa bahawa setiap orang ada rezeki masing-masing yang telah ditentukan oleh Allah (sudah semestinya kita kena berusaha!).

Asalnya ketika sekolah menengah dulu, Dell berada di dalam bidang sains tulen. Tapi disebabkan masalah-masalah tertentu, keputusan SPM tidak begitu baik. Jadi, Dell mengambil keputusan untuk sambung belajar ke tingkatan 6. Pada waktu itu, ramai yang menentang! Mereka kata tingkatan 6 ni, susah la... tak laku la... dan macam-macam lagilah. Tapi Dell kuatkan semangat dan pedulikan apa orang kata. Masa tu, Dell bertukar bidang ke sains sosial. Dell ambil subjek BM, Ekonomi, Sejarah dan Pengajian Am.

Dell masih ingat lagi, ada seorang cikgu berkata sesuatu kepada Dell...

"Saya tengok Dilla ni ada bakat dalam bidang penulisan terutamanya pengolahan. Teruskan menulis dan insya-Allah Dilla akan berjaya..."

Terima kasih, cikgu Rashid! Benar, Dell telah berjaya mendapat A dalam subjek BM (A1 untuk karangan, A2 untuk tatabahasa). Kata-kata cikgu tu, membuatkan Dell berjaya dalam bidang bahasa Melayu. Dan kini, Dell sudah memiliki Master dalam bidang bahasa. Dan kini sedang menyambung pelajaran lagi ke peringkat PhD.

Ketika Dell melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda masih lagi orang mengatakan yang orang bahasa akan menganggur dan tiada pekerjaan! Dell cuba menyangkal pendapat sebegitu. Kita kena berusaha keras untuk mendapatkan kerja.

Kalau Dell tidak berani berjumpa dengan Prof. Dr. Lekhraj Rampal dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan pada tahun 2005 dulu untuk menjadi Research Assistant (RA) dia, mungkin tiada siapa yang akan pandang Dell seperti ini. Ini kerana, pihak Research Management Centre (RMC) mengambil Dell bekerja kerana mempunyai pengalaman dalam bidang penyelidikan. Mana tidaknya, beliau mempunyai geran yang terbesar di UPM pada waktu itu berkaitan Kempen 'Tak Nak Merokok'. Malah, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), FBMK mengambil Dell bekerja pun kerana ada pengalaman dalam bidang pengurusan penyelidikan dari RMC.

Sehinggalah, Dell masih lagi belajar walaupun sudah bekerja sehingga Ogos lepas. Banyak lagi perancangan yang Dell hendak laksanakan. Bukan bermaksud Dell hanya belajar bahasa. Dell belajar tentang pengurusan memandangkan Dell bekerja dalam bidang pentadbiran.

Pada Dell, ilmu tu ada pelbagai jenis. Cuma terpulang kepada kita sama ada hendak belajar dan bila hendak menggunakannya. Yang paling penting, kena yakin dengan diri sendiri.

Kini, Dell sudah mempunyai keyakinan untuk memohon pekerjaan dari negeri lain selain KL dan Selangor. Dell juga mempunyai pengalaman mengajar secara sambilan di luar waktu pejabat sebelum ini sebagai tutor dan guru tuisyen. Dell juga cuba mencari peluang kerja sambilan yang berkaitan dalam bidang bahasa seperti freelance editor dan lain-lain.

Lagi satu, siapa kata orang bahasa tidak akan pandai menguruskan ekonomi? Semua itu, boleh dipelajari.

Cuba kita lihat kisah Albert Einstein, dia antara kanak-kanak yang boleh dikatakan tidak nampak genius pada mulanya kerana tidak boleh membaca begitu juga dengan Prof. Diraja Ungku Aziz. Tetapi mereka ni, antara mereka yang tidak kenal erti gagal dalam hidup. Kalaulah mereka putus asa pada pertengahan jalan, mungkin nama mereka tidak dikenali seperti sekarang ni...

Lagi satu, jika hendak berjaya kita kena berani sikit mengambil risiko dan perubahan serta  kena tahan dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Mana taknya, bukan semua orang akan suka jika kita ni proaktif dan berjaya. Tengok Thomas Edison, semua orang kata dia gila! Kalau tidak kerana kegilaannya tu, sampai sekarang kita hanya pakai lilin je...

Bak kata orang tua-tua...
'Jangan takut untuk menduga lautan, kalau takut, manakan dapat hasil tangkapannya'

Jadi, tepuk dada... tanya selera... :)

Kenali nurdilla zaini

Panggilan nama Kak Dell ini muncul ketika Dell menjadi senior di tahun akhir pengajian Bacelor Sastera (Pengkhususan Bahasa dan Linguistik Melayu) di UPM. Junior yang me'reka' panggilan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan