Selamat Datang ke Blog Dell!

Bersama Dell di Alam Maya
Sertai Saya
Lama juga ya Dell menyepikan diri daripada blog ini. Bulan November ini merupakan bulan yang paling sibuk bagi Dell, jadual pun padat! Dell ceritakan sedikit segala aktiviti-aktiviti yang dilakukan sepanjang bulan tersebut. 

Pada 1 November - Secara rasmi, Dell menjadi pembantu kepada Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh (Sasterawan Negara Keenam) untuk membantu beliau dalam bidang penulisan. Dell akan membantunya sepanjang proses beliau hendak menerbitkan buku-bukunya seperti mencari data/maklumat, mengedit manuskrip dan sebagainya. Secara tidak langsung, Dell menimba banyak ilmu daripada beliau selain mendapat sedikit pendapatan tambahan.


Seminar SUPER N. B. I oleh Sifu Siddiq

Pada 3 November - Dell telah dipelawa oleh Coach Addin menghadiri satu seminar. Entah mengapa Dell terasa berat mulut untuk bertanya seminar apakah itu. Dell bersetuju menghadirinya tanpa sebarang pertanyaan walaupun Dell diminta memakai blazer (ala korporat). rupa-rupanya, Dell menghadiri Seminar Super N. B. I (Networking Business Investment) yang dikendalikan oleh Sifu Siddiq dan Mentor Arab. Tak sangka impian Dell untuk bertemu dengan beliau tercapai pada hari tersebut. Alhamdulillah, banyak ilmu yang dapat Dell pelajari di dalam seminar tersebut termasuk sedikit ilmu metafizik.

Keychain dari Korea

Pada 4 November - Selepas seharian Dell berada di Perpustakaan UKM, Dell lepak sebentar di rumah pakcik kerana rumahnya berdekatan dengan UKM. Rupa-rupanya, sepupu Dell baru pulang bercuti dari Korea. Kiranya Dell langkah kanan pada hari itu. Dia memberi key-chain dari Korea. Seronok pula dengar dia ke sana dengan kawan-kawannya cara 'backpacker', hampir seminggu dia berada di sana. Apa-apa pun, key-chain ini cantik. :)


Pada 6 November - Dell ke rumah Prof untuk menyiapkan kerja-kerja penulisan.

Secara rasminya, Dell telah menerima draft sebuah buku motivasi daripada Sir N untuk proses penyuntingan, pengeditan, pengolahan dan penambahan buku sulung beliau pada petang tersebut. 


Pada 7 November - Dell menerima emel Notis Peringatan Peperiksaan Komprehensif Pelajar (CE) untuk PhD daripada GSO UPM. Dell perlu mengambil peperiksaan ini pada semester 5. Sedar tak sedar, Dell sudah berada di semester 4. Kini, Dell dalam proses bersiap sedia untuk peperiksaan ini.

Pada hari tersebut juga, Dell bersama supervisor Dell pergi ke Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) untuk buat pemeriksaan gigi untuk rawatan gigi.


Pada 8 November - Dell ke rumah Prof untuk menyiapkan kerja-kerja penulisan.


Pada 9 November - Dell menerima buletin dari salah sebuah organisasi IPTA untuk mengedit bahasa Melayu. Alhamdulillah, Dell juga diberi peluang untuk menulis sebuah artikel di salah satu ruangan di buletin tersebut untuk keluaran tahun 2014.


Pada 10 November - Dell ke rumah Prof untuk mengambil buku-buku.


Pada 11 November - Dell ke KLIDC untuk x-ray gigi.


Pada 12 November - Hari tersebut, Dell ber'amazing race' di UPM untuk menyelesaikan beberapa perkara seperti mendapatkan Budget Transaction Detail dari pihak Bendahari UPM, mengambil buku dari salah seorang kawan di Fakulti Pertanian UPM dan akhir sekali ke Perpustakaan UPM untuk pemulangan dan pemimjaman buku. Letih juga dibuatnya kerana jarak antara satu tempat ke satu tempat adalah jauh. Besar UPM ini!


Pada 13 - 14 November - Dell menghadiri Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), KL bersama seorang rakan yang sama-sama berjuang dalam pengajian PhD ini. Pada 14hb, Dell sempat singgah sebentar di Perpustakaan Negara untuk mengambil dokumen untuk Prof.

Ketika Dell berada di dalam seminar, Dell menerima sebuah panggilan yang tidak berjawab. Rupa-rupanya daripada salah seorang anak murid yang dell pernah ajar tuisyen dulu. dia mendapat 4A 1B dalam UPSR dan ingin bercakap dengan Dell. Gembira hati Dell mendengar kejayaannya. Ingat juga dia pada Dell walaupun Dell hanya sempat mengajarnya untuk beberapa bulan sahaja. Sesungguhnya, seorang guru tidak akan lupa akan anak-anak muridnya.


Wetland Putrajaya

Pada 15 November - Dell menemani salah seorang kawan ke Taman Wetland, Putrajaya untuk melepaskan tekanan dan merehatkan minda. Sementelah, Dell juga tengah tensen dengan kepadatan jadual yang ada. Tepu otak Dell. Jadi, apa salahnya Dell berehat sebentar sambil mendapatkan ilham untuk menulis artikel.


Pada 16 November - Dell menghantar artikel mengenai Taman Wetland, Putrajaya kepada Editor Utusan Malaysia.


Pada 18 November - Dell ke rumah Prof untuk menyerahkan dokumen dari Perpustakaan Negara dan menyiapkan kerja-kerja penulisan.


Pada 19 November - Dell ke KLIDC untuk menampal kesemua gigi yang tidak elok (termasuk tampalan yang lama). Pada hari yang sama, supervisor meminta Dell membantunya untuk projek penyelidikannya yang kedua dan Dell bersetuju.


Pada 20 November - Dell menerima panggilan dari INTI University untuk mengetahui jawapan Dell untuk menjadi pengawas peperiksaan di tempatnya pada awal bulan Disember 2013. Kali ini, Dell terpaksa menolak kerana kepadatan jadual yang sedia ada. Terlalu banyak komitmen bermula awal bulan November.


Pada 22 November - Dell ke rumah Prof untuk mengambil manuskrip beliau untuk pengeditan.


Pada 23 November - Memanjakan diri dengan pergi berurut di rumah emak angkat Dell. Disebabkan terlalu banyak menghadap komputer setiap hari untuk menyiapkan kerja-kerja berkaitan dengan pengeditan dan lain-lain, kepala dan pinggang Dell sakit. Lega rasanya selepas urut. Urat-urat Dell pun pandai stres disebabkan banyak kerja duduk sahaja tanpa bersenam.

Anaknya meminta Dell mengajarnya tuisyen nanti kerana dia berasa lemah untuk beberapa subjek tetapi bukan dalam masa terdekat ini. Mungkin pada tahun depan. InsyaAllah, jika Dell berkesempatan.


Pada 25 November - Dell ke Takaful Etiqa di Putrajaya untuk menyelesaikan bayaran bulanan dan mengisi beberapa borang untuk pemotongan terus dari bank Dell. Ini disebabkan setiap 5 tahun sekali, kadar bayaran insuran meningkat sedikit, jadi tanpa kebenaran Dell, pemotongan tidak dapat dilakukan.

Kali pertama ke pejabat takaful dan serik rasanya kerana servisnya terlalu lambat. Nombor giliran Dell hanya ke 11 tetapi Dell terpaksa menunggu hampir 2 jam untuk mendapatkan bertemu dengan pegawai yang bertugas.

Petang tu, Dell singgah sebentar ke Jaya Jusco Equine Park untuk membeli barangan dapur. Beli stok untuk makan di rumah sekiranya malas hendak keluar rumah disebabkan banyak kerja.


Pada 26 November - Ke UPM berjumpa supervisor.


Pada 27 November - Dell menerima video animasi pertama untuk penyelidikan Dell. Alhamdulillah, Dell berpuas hati dengan hasil kerjanya. Hanya tinggal pengubah suaian muzik dan suara sahaja. Dell sudah boleh fikir untuk storyboard untuk video kedua dan ketiga.

Pada hari yang sama, Dell perlu ke Fakulti Pertanian UPM untuk berjumpa dengan seorang sahabat blogger untuk meminta bantuannya memuat turun beberapa perisian ke dalam laptop Dell. Dell juga tertarik dengan pendapatnya untuk menggunakan One Note dalam penulisan. 


Chit chat dengan As sambil minum kopi
Pada 29 November - Dell berjumpa dengan salah seorang sahabat baik Dell, As di Jaya Jusco Equine Park. Maklumlah dah lama tak jumpa. Masing-masing sibuk. 

Petang itu, Dell singgah ke Klinik Haiwan dan Surgeri Taman Equine untuk beli makanan si Kimmy. Dalam masa yang sama, Dell menerima sms daripada supervisor untuk 'kerja' baru pula iaitu persediaan Seminar Psikolinguistik pada tahun depan.


Ruangan Cuti-cuti Bajet di .COM, Utusan Malaysia
Pada 30 November - Alhamdulillah, artikel Dell mengenai Taman Wetland, Putrajaya disiarkan pada hari tesebut.  


Itulah jadual Dell sepanjang bulan November ini. Walaupun ada hari yang tidak tertera, kerja Dell tetap berjalan. Almaklumlah, proses pengeditan dan pencarian data merupakan proses yang panjang. Jadual untuk bulan Disember, Dell tidak tahu lagi bagaimana rupanya walaupun ada beberapa tarikh telah bertanda untuk beberapa aktiviti. Semoga semuanya dipermudahkan oleh-Nya. Amin.