Selamat Datang ke Blog Dell!

Bersama Dell di Alam Maya
Sertai Saya

Cerpen "Rezekiku dalam Tahajud-Mu"
Alhamdulillah, akhirnya siap juga cerpen yang kisahnya pernah dilamar oleh salah seorang editor sebelum ini. Malam semalam, sudah selamat Dell menghantar cerpen ini ke emel editor tersebut. Sekadar mencuba nasib. Ada rezeki... terpilih... terbitlah ia. 
Komentar di facebook.
Sengaja Dell cuba-cuba mempromosi cerpen ini di facebook. Ada ke yang berminat untuk membaca? Alhamdulillah... komen-komen sebegini menaikkan semangat Dell untuk menulis.

Sebenarnya, Dell tidak menyangka. Pengalaman menjadi pensyarah sambilan di salah satu universiti swasta di Kuala Lumpur ini menjadi perencah rasa dalam hidup sehingga boleh melahirkan sebuah karya kreatif. Bermula daripada dialog-dialog yang ringkas akhirnya menjadi sebuah cerpen.

Status daripada salah seorang pelajar Dell.
Selesai sahaja Dell menghantar karya tersebut ke pihak penerbitan untuk penilaian, tiba-tiba Dell menerima satu notification yang datangnya daripada salah seorang pelajar Dell di grup facebook kami.

Status tersebut benar-benar berjaya menjentik perasaan Dell. Mana tidaknya, semalam merupakan kelas terakhir bagi subjek yang Dell ajar untuk semester pendek ini. Tidak sedar, tujuh minggu itu berlalu dengan sangat pantas. 

Insya-Allah, Dell akan kongsikan dialog-dialog ringkas Dell bersama-sama kesemua pelajar ini dalam tulisan yang akan datang. :)
Writer's Block!

Tipulah jika Dell kata tidak pernah kena penyakit 'Writer's Block'.

Semalam... seharian Dell tidak dapat menulis. Pandang sahajalah laptop tu tetapi seolah-olah tiada ayat yang terbit di minda manakala hati pula tiada ghairah untuk menulis. Nak keluar rumah, malas.

Jadi, Dell habiskan masa seharian semalam dengan mencari maklumat dan membaca sahaja sambil berchit chat dengan kawan-kawan. 

Sekurang-kurangnya dapatlah juga idea untuk selesaikan sesuatu semalam. Tinggal tunggu maklum balas daripada pihak yang satu lagi.

Writer's Block ini terjadi mungkin disebabkan selama seminggu, Dell tidur lewat dalam pukul 3.00 lebih pagi menyiapkan kerja-kerja yang melibatkan penulisan. Bangun semula untuk solat subuh. Rehat sebentar dan tidur sekejap pagi itu.

Ada sekali kerana terlalu ghairah menulis, sedar-sedar sudah pukul 5.00 lebih pagi. Tunggu azan subuh, solat dan baru Dell tidur sebentar dalam 4 jam pagi itu. 

Semalam, Dell tidur agak awal dalam pukul 1.00 pagi. Jadi, pagi tadi terasa segar. Kebetulan pula, dua hari berturut-turut Dell berminpi indah.

Kelmarin Dell bermimpi melancong di luar negara kemudian pergi ke Universiti Ohio, US. Semalam pula, Dell mimpi mengumpul pelbagai jenis bunga yang cantik-cantik dan wangi-wangi.

Mungkin roh Dell berkata dalam hatinya, 'Baik aku pi melancong dok asyik buat kerja je tak habis-habis.' :P

Nak tahu bagaimana gambaran dalam mimpi Dell itu? Disebabkan mimpi itulah Dell mula meng-google gambar-gambar Universiti Ohio tu. Tak pernah terfikir sebelum ini.


Di awal mimpi itu, Dell ingat lagi. Dell berjalan-jalan menaiki kereta melalui tempat yang sebegini. Daun-daun pokok semuanya berwarna seperti dalam gambar. Musim luruhlah kan? 

Dell menikmati pandangan dengan membuka cermin tingkap kereta. Dan menghirup udara yang segar ketika itu.

Tiba-tiba Dell meminta pemandu kereta itu, "Saya nak masuk Universiti Ohio la. Rugi pula dah alang-alang kita kat sini."

Pemandu tu ikut sahaja kehendak Dell.


Ketika kereta memasuki kawasan universiti, Dell seakan jakun jugalah berada di situ. Dell berjalan kaki sebentar di kawasan seperti di atas. Jumpa beberapa orang pelajar di situ yang memakai sweater tertulis 'Ohio University' di belakangnya.

Lepas tu, terus terjaga. Sampai ke hari ini, Dell tidak tahu "Siapa pemandu itu ek?"

Aku Terima Cintanya.

Petang semalam Dell meluangkan masa dalam sejam membaca beberapa bab di dalam buku ini untuk menulis testimonial. Buku ini akan dicetak beserta testimonial yang terpilih sebelum Pesta Buku Antarabangsa berlangsung pada bulan April 2015. Mana tahu, jika ada rezeki terbitlah testimonial beserta gambar Dell yang comel di dalam buku itu nanti. Hihihi...

Dell terpaut hati ketika membaca bab pertama di dalam buku ini. Tajuknya "Serasi". Sesuatu di luar jangkaan Dell ialah arwah nenek pernah sentuh isu ini sewaktu Dell masih bersekolah menengah dulu. 

Teringat Dell akan petua rumahtangga yang diturunkan oleh nenek. Dalam bab "Serasi" ini seolah-olah mengupas dengan lebih mendalam tentang apa yang nenek Dell katakan dulu. Ini yang menyebabkan hati Dell meronta-ronta tidak sabar untuk menghabiskan bacaan.

Satu lagi, Dell suka cara penulisan di bab satu ini berbanding bab-bab lain. Penulisannya agak ringan, tersusun dan mempercepatkan bacaan kerana tiada ayat berbentuk naratif yang terlampau panjang. Semuanya telah dipecahkan melalui dialog-dialog. Dell berharap dapat menulis dengan cara sebegini. 

Di saat Dell ingin menambah baik penulisan cerpen yang sedang ditulis baru-baru ini, buku ini telah muncul untuk membantu. Alhamdulillah...

Biasalah bagi penulis baru seperti Dell. Masih mencari rentak yang sesuai dengan jiwa. Semoga ia dirahmati. Amin... :)
Hah!
Ada yang bertanya kepada Dell, "Dilla tak nak menulis artikel berbentuk ilmiah ke? Terutamanya mengenai bahasa."

Secara jujurnya, Dell sudah ada perancangan untuk menulis artikel dalam bidang Dell nanti setelah tesis lulus. Berkaitan dengan bahasa juga tetapi berkait rapat dengan penyelidikan Dell.

Bagi orang yang di dalam bidang bahasa, artikel mengenai isu-isu bahasa sebenarnya sudah terlalu banyak ditulis sama ada di akhbar, majalah malah di dalam jurnal.

Jadi, Dell lebih berminat untuk memperkembangkan ilmu dalam penyelidikan sendiri yang secara tidak langsung ia berkaitan dalam bidang bahasa.

Karya kreatif?

Dell mengambil pendekatan karya kreatif untuk meluahkan perasaan tentang apa saja situasi yang berlaku di sekeliling.

Dialog-dialog malahan watak-watak yang digunakan di dalam cerita adalah datang dari mereka yang berada di sekitar kehidupan Dell.

Ditakdirkan Dell boleh mengingati ayat-ayat yang dikeluarkan oleh seseorang kepada Dell. Mimik wajah dan karektor. Cuma nama watak sahaja diubah suai agar ia tidak secara terus kepada empunya diri.

Sejak zaman sekolah lagi, setiap kali membaca novel Dell selalu berangan-angan. Suatu hari nanti, novel Dell akan berada di setiap kedai buku. 

Kisah angan-angan ini, Dell ada selitkan babaknya di dalam cerpen Indah Lelapku. Mudah-mudahan menjadi kenyataan. Amin...

Itulah ia jawapan Dell bagi menjawab persoalan ini. :)

Psssttt... masih ingatkan bak kata Dell semalam 'Walaupun lambat, jangan lepaskan!' ;)
Walaupun lambat seperti siput, jangan berputus asa.

Kadang-kala, kita bukan sengaja untuk melewat-lewatkan kerja. Bebanan tugas yang banyak menyebabkan kita selalu tidak sedar masa berlalu dengan pantas. Kita selalu berada di dalam dilema hendak selesaikan yang mana satu terlebih dahulu. Ikutkan kita hendak selesaikan kesemua sekali namun ia terhalang dek kerana keterbatasan ilmu, ilham, tenaga mahupun masa.

Inilah situasi yang Dell alami. Di sebalik mengejar antara cita-cita, kerjaya dan minat, banyak masa, tenaga dan wang ringgit perlu dikorbankan. 

Dalam masa beberapa bulan ini, masa Dell sangat padat. Untuk melepaskan lelah itu, kadang-kala Dell bertemu dengan mereka yang rapat dan lepak bersama-sama. Terasa beban itu berkurangan apabila kita saling berkongsi cerita dan gelak tawa.

Kita memang perlu bersosial. Tetapi berpada-pada. Apabila kita bertemu dengan orang luar ni, kita akan bertukar-tukar pendapat dan fikiran. Tidaklah kita seperti 'katak di bawah tempurung'.

Kebiasaannya, Dell akan lepak bersama-sama mereka setelah selesai satu tugasan ataupun tugasan itu hampir siap. Jadi, tidaklah kita rasa kurang selesa ataupun ingatan kita hanya tertumpu pada kerja yang tertangguh. 

Jika kerja terlalu padat sehingga rasa tidak selesa untuk lepak di luar, Dell akan berkomunikasi dengan rakan-rakan di luar dengan menggunakan internet ataupun telefon. Sekurang-kurangnya, jiwa kita tidak tertekan dengan kerja yang berlambak-lambak itu.


KERJAYA
Menggalas tugas sebagai pensyarah di universiti walaupun hanya sambilan tidak mudah seperti yang disangkakan. Sementelah bidan terjun.

Dalam masa yang singkat, Dell perlu memahami dan menyiapkan justifikasi kursus, rangka kursus, manual pengajaran, nota, soalan-soalan untuk kuiz, ujian, peperiksaan dan tugasan, skema pemarkahan dan lain-lain.

Tambahan, Dell mengajar ketika semester pendek lagilah masa sangat terhad.

Tapi Dell sabar dan cuba bertenang dalam menyiapkan segala keperluan kerjaya sedikit demi sedikit walaupun Dell agak lambat juga untuk memahami sesetengah perkara.

Alhamdulillah dalam masa sebulan semuanya selesai walaupun bertimpa dengan urusan yang lain. 

Apa yang Dell dapat?

Sudah tentu pengalaman dan ilmu-ilmu baru.


CITA-CITA
Tipulah jika Dell kata tidak mengalami apa-apa masalah ketika dalam pengajian. Pengalaman terpaksa menukar penyelia tesis pada saat-saat akhir kerana kehendak pakar bidang bukan sesuatu yang mudah bagi seseorang pelajar.

Apabila penyelia bertukar, bermakna banyak perkara berkaitan dengan penyelidikan turut bertukar. 

Dell tidak melatah malah bersabar ketika mendalami pelbagai ilmu baru. Malah Dell bersyukur kerana walaupun agak sukar pada awalnya tetapi pada akhirnya akan menjadi mudah.

Kini, Dell dalam proses penambah baikan bab 1 sehingga 3 setelah menemui teori yang sesuai dengan penyelidikan Dell awal Januari lepas. 

Usah ditanya berapa kali penulisan tesis ini dirombak. 

Yang penting, penulisannya dan penyelidikannya diteruskan.


MINAT
Minat Dell di dalam penulisan tak pernah padam. Sudah beberapa kali Dell terpaksa pendamkan kekecewaan tidak dapat menyahut cabaran diri sendiri untuk menghantar karya di tempat yang sepatutnya.

Cemburu juga melihat rakan-rakan penulis lain yang sentiasa update status kejayaan mereka menghantar karya di mana-mana dalam facebook. 

Tercabar juga diri. Tapi terpaksa redha kerana Dell perlu mengutamakan yang penting dahulu. 

Waktu itu, Dell sedang siapkan kerja-kerja berkaitan dengan kerjaya Dell sebagai pensyarah.

Ikutkan Dell nyaris-nyaris kecewa kerana tidak sempat menghantar karya cerpen yang ditawarkan oleh editor Legacy Publishing sebelum ini. Tarikh penghantaran karya cerpen itu tamat pada 1 Februari 2015.

Alhamdulillah... semalam Dell terbaca status editor tersebut di facebook yang menyatakan tarikh tutupnya dilanjutkan sehingga 15 Februari 2015.

Dapat juga Dell meluangkan masa sedikit untuk menyiapkan cerpen tersebut. Sudah 90 % siap. Tinggal untuk penambah baikan sedikit. Tak sabar untuk menghantar karya tersebut.

Dalam masa yang sama, Dell sedang dalam proses menyiapkan kaver untuk e-cermuz Indah Lelapku. Mujur ada kenalan yang memang pandai melukis membantu Dell memvisualkan kisah ini untuk kaver itu.

Semoga semuanya dipermudahkan oleh-Nya. Amin...


Nota :
Disebabkan itulah Dell mengatakan 'walaupun lambat, jangan lepaskan!' 

Jika kita usaha dan tawakal kepada-Nya, insya-Allah akan ada jalannya walaupun kelihatan seperti mustahil untuk mencapai semuanya. 

Yakinlah kepada-Nya, insya-Allah semuanya akan terbentang di depan mata. :)