Selamat Datang ke Blog Dell!

Bersama Dell di Alam Maya
Sertai Saya
Alhamdulillah... petang tadi, Dell mendapat khabar bahawa Buku Rahsia 100 Impian : Daripada Corot kepada Pakar telah masuk cetakan kedua. Kaver buku turut berubah. Tercapai impian kami hendak melihat buku ini diulang cetak dalam masa enam bulan selepas cetakan pertama. 

Buku 'Rahsia 100 Impian : Daripada Corot daripada Pakar' cetakan kedua.
Jika sebelum ini kami berasa sangat bersyukur buku ini dijadikan ebook. Kali ini, kami gembira buku ini masuk cetakan kedua. 


P/S : Terasa sihat sedikit Dell petang tadi setelah Dell mengetahui perkhabaran ini. Sudah seminggu Dell demam dan batuk-batuk. Badan Dell kalah dengan cuaca yang tidak menentu kali ini. Allah telah memberi nikmat. Alhamdulillah... :)
Pada 14 Oktober lepas, Dell berpeluang menghadiri Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu yang diadakan di Hotel Bangi-Putrajaya, Bandar Baru Bangi. Dell bertuah kerana sehari sebelum persidangan bermula, Dell dipelawa oleh supervisor untuk sama-sama menghadiri persidangan ini. Ramai tokoh-tokoh sastera dan linguistik berada di persidangan ini. Antaranya Datuk Dr. Awang Sariyan, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, SN Prof. Muhammad Hj. Salleh, SN Dato' Kemala dan lain-lain, turut dihadiri para ilmuan dari luar negara.

Ucaptama oleh Tan Sri Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim.
Kali pertama Dell mendengar secara langsung Tan Sri Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim berucap. Memang Dell terpegun penggunaan bahasanya. Tersusun. Malah mempunyai bunga-bunga bahasa. Bukan itu sahaja, beliau boleh berpantun secara spontan dengan menggunakan bahasa yang sangat indah.

Forum (dari kiri) : Prof. Dr. Chun Tai Hyun (Hankuk University of Foreign Studies, Prof. Dr. K. Alexander Adelaar (Melbourne Institute of Asian Languages and Societies) Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan (Universiti Malaya), Dr. Victor A. Pagadaev (Universiti Negara Moscow) dan Prof. Dustin Carell Cowell (University of Wisconsin-Madison). 

Selepas ucaptama, Datuk Dr. Awang Sariyan pula membentangkan kertas dasar yang berkaitan dan seterusnya pembentangan kertas kerja oleh Prof. Emeritus Dato' Dr. Hajah Asmah Haji Omar (Universiti Malaya) dan Prof. Wu Zong Yu (Beijing Foreign Studies University China). Setelah itu, diadakan pula forum (seperti gambar di atas). 

Cenderamata yang Dell dapat sewaktu menghadiri persidangan ini.
Perkongsian pengalaman-pengalaman pensyarah-pensyarah bangsa asing untuk bahasa Melayu dari luar negara membuka minda para peserta. Malah ada perkongsian berbaur jenaka mencuit hati kami semua. Namun, Dell sangat kagum dengan kesungguhan mereka dalam memartabatkan bahasa Melayu ke persada antarabangsa. Jika mereka sangat kagum dengan bahasa ibunda kita, kenapa tidak kita?

Dr. Abd. Rahman Ahmad.

9 Oktober 2014, Khamis - Dell berpeluang untuk menghadiri Kursus Endnote di Fakulti Veterinar, UPM. Kursus ini dianjurkan oleh SGS UPM. 

Tenaga pengajar untuk kursus ini dari UTHM Batu Pahat, Johor. Nama beliau ialah Dr. Abd. Rahman Ahmad.

Dell menghadiri kursus ini bersama-sama supervisor kerana kami berdua masih kurang faham untuk menggunakan endnote ini.

Sebelum ini, Dell banyak didedahkan dengan penggunaan perisian Mendeley oleh Dr. OT. Memandangkan setelah menghadiri pembelajaran bersama-sama Dr. Nader mendalami Effective Research Tools, Dell diminta menggunakan Endnote, tambahan pula Dell dalam proses membantu supervisor dalam hal yang berkaitan dengan penggunaan perisian tersebut.

Mudah-mudahan, Dell dapat menggunakan perisian ini dengan jayanya... Amin...
30 September 2014 - Akhirnya, impian Dell untuk bertemu Tun Dr. Mahathir Mohamad secara dekat, tercapai. Dell tidak sangka akan bertemu dengan beliau di Pameran Reka Cipta, Penyelidikan dan Inovasi 2014 yang dianjurkan oleh Pejabat TNCPI. 

Dua perasaan yang Dell dapat lepaskan di PRPI ini. Yang pertama, perasaan rindu akan suasana PRPI yang selama ini Dell selalu involve ketika bekerja dulu. Bayangkan kali pertama Dell menjadi AJK PRPI ialah ketika bekerja di Research Management Centre (RMC) pada tahun 2007 dan seterusnya sehingga pada tahun 2012 (tahun terakhir Dell bekerja di Seksyen Penyelidikan dan Inovasi, FBMK). Dapatlah Dell bertemu dengan rakan sekerja lama di sini. Tambahan, supervisor Dell mengajak semua pelajar di bawah seliaannya memeriahkan suasana memandangkan beliau turut bertanding waktu itu.

Perasaan yang kedua pula, Dell sangat teruja untuk bertemu dengan Mantan PM itu. Terlalu lama Dell memendam impian untuk bertemu dengan beliau secara dekat.

Sebenarnya Dell tidak tahu akan kedatangan beliau di PRPI itu sehinggalah dua minggu sebelum tarikh tersebut, ada salah seorang sahabat rapat WhatsApp Dell mengatakan malam itu dia bermimpi yang kami berdua bergambar dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Dell berkata, "Jika betul, alangkah bahagianya!"

Sahabat Dell memberitahu bahawa beliau akan datang ke PRPI pada kali ini. Peluang yang tidak akan sekali-kali Dell lepaskan!

Ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad sedang berucap.
Tajuk ucaptama beliau ialah 'Developing High Income Nation Through Research Innovation and Capacity Building'. Tapi beliau telah memberi ucaptama dalam bahasa Melayu. 

Paparan di skrin.
Ketika Tun berangkat pulang.
Ikutkan, Dell terlambat datang ke majlis ini dalam 15 minit. Semua tempat duduk telah penuh. Jadi, Dell hanya berdiri di tangga betul-betul di tepi karpet merah. Hanya di situ sahaja masih ada ruang kosong.

Ketika Tun hendak berangkat pulang, Dell dan kawan hanya perlu naik ke tebing tangga itu sahaja tanpa perlu berasak-asak dengan tetamu yang hadir. Dell dapat bertemu dengan beliau secara dekat. Rezeki. Salah satu impian telah tercapai. Alhamdulillah... :)

Nota: Penyelidikan supervisor Dell telah memenangi Pingat Emas di PRPI 2014. Sekalung tahniah diucapkan. :)
Malaysia Design Festival 2014.

27 September 2014, Sabtu - Dell berpeluang menghadiri Malaysia Design Festival 2014 di Perpustakaan Kuala Lumpur bersama-sama dengan supervisor. Inilah kali pertama Dell jejak kaki di Perpustakaan Kuala Lumpur. Kiranya rezeki Dell pada hari tersebut. Kami terlewat sedikit datang kerana tersalah tempat, kami terpergi ke Perpustakaan Negara. Huhu...
Dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dato. Dr. Ahmad Haji Zainuddin, Chairman of Malaysia Design Council.
Supervisor Dell ingin meneroka dengan lebih jauh berkenaan dengan reka bentuk ini. Dapatlah Dell sedikit input dalam bidang ini. Banyak juga perkara baru yang Dell pelajari melalui festival ini malah dapat melihat beberapa model reka bentuk terkini. 
Antara cenderamata yang Dell dapat di sini.
Pengalaman sangat berbeza dengan hanya membaca buku atau menontonnya di kaca televisyen mahupun di internet. Pendedahan secara langsung seperti ini akan membuatkan kita lebih banyak berfikir mengenai sesuatu. Dell berpendapat sebegitu. Ada masa eloklah sekali sekala kita pergi ke pameran sebegini untuk membuka minda mengenai sesuatu perkara.
Trainer pertama, Tuan Zamri Mohamad.
Pada hari Ahad lepas (21 september 2014), Dell berpeluang menghadiri Bengkel Penulisan Buku Bisnes di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur. 

Para sifu dan para peserta Bengkel Penulisan Buku Bisnes.
Sebenarnya bengkel ini diadakan secara percuma kepada semua pembeli e-book Tawaran Meleleh yang dijual pada bulan Ramadan lalu. Walaupun percuma, terlalu banyak ilmu yang Dell peroleh di sini. Bayangkan, penulisan e-book turut disentuh. Syok rasanya! Segala perkongsian oleh otai-otai penulisan seperti Tuan Zamri Mohamad, Tuan Azree Hanifah dan Tuan Izwan sangat membantu. 

Dell tidak sangka rupa-rupanya tedapat 16 jenis buku bisnes iaitu Kajian kes, buku kerja, motivasi, temu bual, FAQ, Template, Penjenamaan, Quotes, 101, Klasik, Buku Ibu, Fiksyen, Infografik, Ilustrasi, Konsep dan Auto/Biografi.
Ilmu pelaburan saham.

Ramai yang mengetahui bahawa kekayaan diperolehi melalui pelaburan saham atau hartanah selain perniagaan. Bukan Skim Cepat Kaya ya! Namun, melabur dalam apa-apa jua bidang tanpa ilmu dan mentor yang betul akan menyebabkan kerugian. Sebab itulah Dell mempunyai mentor yang berbeza untuk pelaburan saham dan pelaburan hartanah.

Sifu Dell ada mengatakan perkara pertama sebelum melakukan sebarang pelaburan, kita harus ada simpanan terlebih dahulu. Apabila dah ada simpanan, baru boleh melabur. Kemudian, pastikan ada kawan yang sekepala dalam bidang yang sama. Berjemaah. Sekiranya ada apa-apa berlaku, kita boleh berkongsi idea dan semangat untuk menghadapi masalah yang berkaitan. Tidaklah kita terkapai-kapai sendirian dan seterusnya patah semangat. Tak gitu?

Kali pertama Dell jejak kaki di MIMOS.

Pada hari Rabu lepas (17 September 2014), Dell berpeluang menghadiri seminar berkaitan dengan bidang penyelidikan Dell iaitu Ergonomik bersama-sama supervisor. Ada tiga perbentangan iaitu :

1. "HFE in Process Safety" oleh Ms. Karen Jacka dari Bumi Armada Berhad.

2. "User Experience Design Methods for Product and Service Development" oleh Dr. Ketut Silistyawati dari Somia Customer Experience, Indonesia.

3. "School Ergonomics" oleh Prof. Madya Dr. Shamsul Bahari, UPM.


Setelah menghadiri seminar sebegini, sedikit sebanyak Dell memahami bidang Ergonomik. Bidang Ergonomik ini luas. Bidang Dell lebih kepada Ergonomik Kognitif. Seminar ini dianjurkan oleh Human Factors and Ergonomics Society Malaysia (HFEM) di MIMOS.

Bertempat di Istana Negara (Lama)
Pada 15 September lepas, Dell berkesempatan melawat Istana Negara menemani supervisor bersama-sama pihak FRIM iaitu Dato' Dr. Hjh. Marzalina Mansor dan Dr. Lim Hin Fui. Tak sangka dapat juga Dell jejakkan kaki di Istana ini. Selalu hanya tengok di luar pagar sahaja pabila pandu kereta melalui jalan Istana.


Istana ini pada Dell tidaklah sebesar Istana Selangor di Klang yang Dell pernah masuk. Tetapi Dell sangat terpesona dengan reka bentuk istana di bahagian Yang di-Pertuan Agong beradu. Memang cantik. Malangnya, kami semua tidak dibenarkan mengambil sebarang foto. Pegawai istana pula ramah dan seronok mendengar mereka bercerita.

Cenderamata daripada Dr. Lim Hin Fui dan Pegawai Istana

Cenderamata yang Dell dapat ketika menyertai lawatan di Istana Negara semalam. Ketika membuka pampelet peta itu, baru Dell tahu betapa banyaknya muzium di Malaysia ini. Dr. Lim Hin Fui memberi Dell buku tulisannya sebagai cenderamata. 

P/S: Terkejut Dell ketika Dato' teringin hendak mendengar Dell mengalunkan Seloka selepas mengetahui kajian Ph.D Dell ada berkaitan dengan Seloka. Dah semua orang yang berada di perkarangan istana memandang Dell berseloka. Ruangan yang bertutup menghasilkan gema. Segan rasanya. :)
Pada 13-14 September lepas, Dell berpeluang menghadiri Seminar Advance Jutawan Hartanah yang dianjurkan oleh MPWS di Bandar Baru Bangi, Selangor. Ilmu hartanah ini disampaikan oleh Tn. Nazarrudin Baharom. 
Tn. Nazarrudin Baharom.
Ikutkan yuran seminar ini sangat mahal iaitu RM997 seorang tetapi Dell mendapat rebat RM500 kerana datang ketika seminar asas dan tambahan rebat RM50 kerana pergi ke Talk Show Dr. OT sebelum ini. Jadi Dell tidak lepaskan peluang untuk mengetahui perihal hartanah untuk kegunaan pada masa akan datang. 

Bagi Dell yang memang Zero tentang hartanah, terasa sangat berbaloi dengan ilmu yang disampaikan oleh Tuan Naza serta perkongsian pengalaman peserta-peserta dalam pelbagai bidang di dalam seminar tersebut. Kebanyakan peserta sudah mempunyai dua rumah atau lebih.

Tetapi bagi mereka yang sudah ada ilmu tentang hartanah sebelum ini mungkin tidak  puas dengan perkongsian yang ada dan mereka lebih berminat untuk personal coaching yang berharga RM1997 seorang selepas seminar ini. Itupun hanya dihadkan kepada 10 orang sahaja.

Peserta-peserta Seminar Advance Jutawan Hartanah.
Tak sangka ramai yang hadir ke seminar advance ini. Kami semua ditempatkan dalam satu group di fb dan telegram untuk networking dan berkongsi ilmu secara berterusan. 

Doa yang divisualkan oleh Tuan Nazarrudin.

Antara yang Dell pelajari ialah :

  1.  10 strategi membeli rumah.
  2. 88 kesilapan untuk dielakkan dalam bidang hartanah.
  3. 101 cara untuk meningkatkan nilai hartanah anda tanpa menggunakan duit yang banyak.
  4. 22 sebab pelaburan dalam hartanah sangat menguntungkan.

Dell bersyukur kerana melalui seminar ini Dell dipertemukan semula dengan sahabat lama ketika kami ke Vietnam tahun 2010 dulu. Dell tidak sangka yang dia merupakan agen hartanah sekarang ini. Dulu dia masih belajar di universiti lagi. Ish, terasa semakin tua... Huhu...

Ada juga kawan yang mempunyai minat yang sama iaitu dalam bidang hartanah ini. Senang untuk kami berbincang selepas seminar. Banyak juga yang Dell belajar daripadanya. Mudah-mudahan impian kami untuk berjaya dalam bidang ini dimakbulkan dan mendapat keredhaan dari-Nya. Amin...
Alhamdulillah pada hari Khamis lepas (11 September 2014), Dell berpeluang mengikuti bengkel 'Dari Blog menjadi Buku' anjuran Perbadanan Kota Buku. Trainer yang mengendalikan bengkel ini ialah mentor penulisan Dell iaitu Tuan Zamri Mohamad. Dell berminat mengikuti bengkel ini kerana Dell juga merupakan seorang blogger. Dell memang sudah lama mempunyai impian untuk menjadikan blog sebagai medium perkembangan ilmiah seperti kebanyakan blog yang berpengaruh di dunia sehingga dapat menerbitkannya sebagai sebuah buku.

Bengkel Dari Blog menjadi Buku
Banyak perkara yang didedahkan oleh Tuan Zamri. Rupa-rupanya, banyak perkara yang Dell terlepas pandang sebelum ini. Dengan ilmu yang diberi, sekurang-kurangnya kami semua ada garis panduan untuk menulis dengan lebih sistematik. Bukan senang nak membuatkan orang 'asyik' dengan blog kita. Sampai bila kita dapat memegang pengunjung blog untuk kekal menjadi pembaca kita?

Tuan Zamri memberitahu kami semua, beliau pernah berguru dengan seorang blogger Bill Belew (BB). BB menjana sumber pendapatan melalui penulisan blog. Blog beliau mempunyai 90, 000, 000 pembaca. Kata BB untuk mencapai tahap itu, tiada apa tips melainkan perlu menjadi 'Mad Man' (kerja keras).

Penyampaian sijil oleh 'orang kuat' Perbadanan Kota Buku.
Alhamdulillah di dalam bengkel ini, Dell bertemu dengan otai-otai dalam penulisan. Mereka juga sangat positif dan supportive. Hubungan kami semua tidak terputus selepas tamat bengkel, kami semua ditemukan di dalam group khas facebook yang ditubuhkan secara secret untuk kami berbincang mengenai penulisan blog sesama kami.
Gambar kenangan bersama-sama dengan kesemua peserta bengkel.
Menulis autograf sebagai kenang-kenangan.
Harap-harap adalah yang sudi melawat blog kakdell.blogspot tu.
Bersama-sama blogger 'Syurga di Hati'
Dell suka betul dengan ruangan ini.
Bayangkan membaca sambil minum kopi di sini.
Tuan Zamri ada mengatakan, suatu hari nanti apabila kita sudah sampai tahap tertentu... resume atau pengenalan diri kita mungkin akan menjadi hanya dua atau tiga ayat sahaja. La ni kita dok tulis panjang-panjang pengenalan diri kita.

"Budak universiti biasanya memang sebegitu." seloroh Tuan Zamri. Dell tersengih je.
Pada hari Ahad lepas (7 September 2014), Dell berpeluang pergi ke Program Klinik Usahawan Siri Mudahnya Berniaga 2014 bersama-sama Dr. Azizan Osman (DAO). Sebenarnya Dell tak sangka peluang untuk ke bengkel bersama-sama DAO tercapai. Terima kasih kepada kawan Dell iaitu Iqa yang telah mengajak Dell ke program tersebut.

Ber-selfie dahulu sebelum program bermula. Hihi...
Walaupun klinik ini adalah percuma, tetapi banyak ilmu yang Dell perolehi. Dell sangat terkesan bagaimana para penganjur memulakan suasana yang sangat bertenaga beberapa minit sebelum DAO naik ke atas pentas. Permulaan acara dengan lagu yang sangat rancak sambil melakukan tarian yang ringkas sangat mengujakan kami. Jadi, kami tidak berasa mengantuk dan rasa sangat gembira.

Keadaan ini menjadikan kami bersedia menerima sebarang ilmu yang hendak disampaikan. Program yang ringkas sebegini adalah perkara biasa dalam bidang konsultan. Ia sebagai modul pengenalan untuk menarik minat audien supaya mengikuti program mereka seterusnya. Namun, Dell tidak menafikan bahawa ilmu yang ingin disampaikan itu sangat bagus bagi mereka yang ingin mengetahui bagaimana hendak menjadi usahawan yang lebih strategik.

Seperti yang kita ketahui, dalam menjalankan sesebuah bisnes kita boleh memilih sama ada :
  1. Cuba sendiri.
  2. Belajar daripada orang lain. Atau
  3. Ber-partner dengan orang yang sudah berjaya.
Geram melihat Gitar Merdeka ini!
DAO mengajukan soalan-soalan ini kepada kami semua :
  1. Apakah tahap kewangan yang anda inginkan 3/5/10 tahun akan datang?
  2. Apakah impian gaya hidup yang anda impikan?
  3. Impian kebebasan masa?
  4. Berapa banyak kita hendak menyumbang kepada masyarakat?
  5. Apakah impian kebahagiaan semasa hidup dan mati?

Jika Dell mempunyai sumber kewangan yang banyak, Dell tidak akan teragak-agak untuk mengikuti program ini. Melalui program sebegini, kita dapat menjimatkan masa dari segi pembacaan buku dan penggunaan teori yang silih berganti dengan menggunakan pengalaman mereka. 

Apa-apa pun, ilmu yang ada perlu dilaksanakan, jika tidak ia akan menjadi sia-sia. Betul tak?

Tengahari tadi, Dell berpeluang ke salon rambut yang Dell selalu sebut sebelum ini. Dell 'claim treatment' rambut percuma yang diberikan sempena rawatan 'rebonding' yang dibuat sebulan dulu.


Selesai rawatan, secara berseloroh Dell bertanya kepada tauke salon, "Rambut saya ada uban, tak?"

Dari kisah perihal rambut, tanpa diminta tiba-tiba beliau bercerita tentang kisah pengalaman beliau membuka perniagaan salon.

Beliau memberitahu bahawa beliau datang dari keluarga yang miskin, mempunyai 10 orang adik beradik. Malah beliau tidak habis belajar tingkatan 1.

Katanya, banyak ilmu dari pengalaman yang beliau pelajari sejak menjadi kuli, ilmu yang tidak ada di sekolah.

Melalui pelanggan yang datang ke salon, beliau mula mempelajari karektor setiap pelanggan. Beliau sangat mementingkan 'networking'. Baginya, ia umpama 'snow ball'. Bermakna, semakin lama bola tersebut semakin besar.

Sambil memegang tangan Dell, beliau berkali-kali mengatakan bahawa kesihatan itu sangat penting. Kesihatan yang terbaik, akan membawa kekayaan. Itulah kata-kata amanat bapanya yang sering dipegang.

Setiap pagi, beliau akan bersenam sekurang-kurangnya 15 minit untuk menghirup udara segar. Bukan itu sahaja, kulit mestilah kena dengan cahaya awal matahari untuk mendapatkan Vitamin D.

Setiap malam sebelum tidur, beliau akan meluangkan beberapa minit untuk bermeditasi. Beliau akan membersihkan minda dan jiwa sebelum tidur. Yang mana negatif sama ada di dalam hati atau minda, beliau buang. Beliau mengatakan kita patut sentiasa bersyukur dengan sekecil-kecil nikmat yang kita dapat.

Patutlah beliau kelihatan lebih muda dari usia asal. Dell tidak sangka umurnya sudah 50 tahun.

Beliau turut berkongsi bagaimana cara untuk menjaga hati pekerja dan hatinya dalam pemberian komisen. Dengan cara begitu, pekerjanya akan berasa gembira, tidak lari malah akhirnya mereka menjadi 'bisnes partner'.

Sehingga kini, beliau masih belajar dalam ilmu kehidupan.

Setelah sejam lebih beliau bercerita, Dell terpaksa meminta diri untuk pulang kerana petang itu, Dell ada temujanji yang lain pula.

Alhamdulillah... Rezeki Dell pada hari ini mendapat ilmu pengalaman daripada seorang tauke salon. Beliau antara mereka yang berjaya dalam hidup, from zero to hero. — feeling inspired.
Pada hari Sabtu lepas, Dell mengambil keputusan untuk pergi ke Halal Fiesta Malaysia (Halfest) yang berlangsung di MIECC, Mines Seri Kembangan, Selangor. Dell mengetahui Halfest ini melalui seorang kawan yang kini berniaga makanan sejuk beku secara sambilan. Asalnya, Dell tidak berminat hendak pergi kerana tidak suka di tempat yang sesak namun disebabkan teringin hendak membeli minuman atau makanan yang Dell suka, akhirnya Dell kuatkan hati untuk ke situ.

Dell mengajak keluarga angkat jalan-jalan ke fiesta itu. Banyak yang ilmu yang Dell peroleh di sini. Dell dapat melihat bagaimana mereka membuat packaging dan promosi untuk produk mereka. 

Aiskrim paraBella.

Ketika kami sedang menikmati aiskrim paraBella ini, tiba-tiba ada seorang staf meminta kami menunjukkan jari 'best' dan mengambil gambar kami.
Dell membeli beberapa produk yang menarik hati Dell setelah mencubanya. Yang mana berkenan dan sedap, terus Dell beli. Ada produk yang dipamerkan, sukar untuk didapati di pasar raya. Payah juga Dell selepas ini. Jika diikutkan hati, nak je beli semua tapi kenalah berpada-pada takut ada yang tak termakan atau guna nanti.

Produk yang Dell sangat rekomen. Sedap! Minyak wangi tu pun wangi sangat.
Pada hari Ahad, Dell teringin hendak pergi sekali lagi. Kali ini, Dell ajak Iqa, salah seorang kawan Dell. Kebetulan kami baru sahaja pulang dari menghadiri program di KL.  

Dell rekomen produk ini. Memang sedap!

Asalnya, Dell ingin mencari minuman perisa Mocha tetapi tidak berjumpa. Di akhir pusingan, Dell tergerak hati pergi ke booth ini dan mencuba rasanya. Air koko ini sangat sedap! Rasanya seperti menggunakan susu segar. Ekstrak kismis dan kurma membuatkan air koko ini rasanya manis-manis buah.

Namun begitu, pakejingnya sedikit mengelirukan. Pada mulanya, Dell ingat minuman ini adalah untuk kanak-kanak, rupa-rupanya untuk seisi keluarga. Director yang bertugas di booth ketika itu menyatakan bahawa pada asalnya minuman ini disasarkan kanak-kanak sebagai pelanggan. Tidak sangka, ibu bapa turut menyukai produk itu. Jadi, Dell meninggalkan komen membina di laman facebook produk ini sebagai penambah baikan.

Maklum balas yang positif. 

Dell : Saya antara pembeli produk ini di Halfest 2014. Serius saya katakan bahawa air koko ini sedap. Saya yakin jika design kotak ini dapat direka lebih premium (untuk kegunaan umum bukan terhad kepada kanak-kanak sahaja), jualan produk ini akan laku keras melebihi sekarang. Semoga berjaya!

KokoLove : Salam Nurdilla Zaini. This is Dr. N, penasihat kepada Hawari Group, pengilang Kokolove. Terima kasih atas komen yang sangat memberi semangat. Kami sedang dalam proses pengeluaran produk Kokolove dengan formulasi lain. InshaAllah akan ada 7 lagi produk. Dan kami sedang juga review packaging. Kami mengalu-alukan input untuk penambahbaikan packaging kami. Thank you so much for your input. You will possibly see a premium packaging soon. I hope you will like it. We are also looking for serious Marketing Reps.... do let us know if you are interested. Stay cool! Drink Kokolove!


Kiranya positif maklum balas yang diberikan oleh pihak mereka berkenaan dengan komen Dell. Siap di-offer jika berminat untuk bekerjasama dengan mereka dalam memasarkan produk ini. Hihihi.

Dell tidak dapat melawat semua booth. Dua hari tersebut, Dell hanya dapat datang ke sana dalam satu jam lebih sahaja sebelum jam 7 petang kerana ada pelbagai urusan sebelum itu. Dell berharap akan datang Halfest ini diadakan di tempat yang lebih luas seperti di MAEPS Serdang.

Apa-apa pun, sokonglah produk tempatan kita!
Alhamdulillah, e-book Rahsia 100 Impian : Daripada Corot menjadi Pakar telah diterbitkan beberapa hari lepas di Google Play. 

E-book 'Rahsia 100 Impian : Daripada Corot menjadi Pakar' di Google Play.

Tercapai salah satu impian Dell untuk menerbitkan e-book. Dell sudah mula menerokai mengenai dunia e-book ketika di Syawal lepas. Kuat hati Dell ingin menerokai dunia e-book ini sehingga Dell membeli beberapa e-book dari penulis-penulis otai untuk melihat sendiri gaya penulisan e-book mereka. Tidak dinafikan, gaya e-book mereka sangat berbeza antara satu sama lain.

Jika dulu Dell tidak berapa yakin dengan penggunaan e-book, kini Dell menyukai pembacaan e-book kerana mudah untuk dibaca di mana-mana hanya melalui mini iPad. 

Sangat fleksibel! 

Malah dengan adanya e-book, sifat Dell yang hanya bermain games sahaja sebelum ini semakin berkurangan. Dell lebih selesa membaca e-book ketika menunggu makanan di restoren, di dalam tren, ketika menunggu sahabat malah di dalam 'rest room'.

Amat mudah, bukan? 

Tambahan, harga e-book berkali-kali ganda lebih murah berbanding buku bercetak. 

Insya-Allah, akan datang Dell akan mendalami pula ilmu Blog menjadi Buku. Tunggguuuu.... :)
Pada 24 Ogos 2014 (Ahad) lepas, Dell berpeluang mendalami ilmu mengenai Effective Research Tools daripada Dr. Nader Ale Ebrahim bersama-sama supervisor. Serba sedikit ilmu yang Dell peroleh ketika bekerja di Seksyen Penyelidikan dan Inovasi, FBMK dulu dapat membantu Dell memahami serba sedikit ilmu baharu ini.

Bersama-sama Dr. Nader Ale Ebrahim dan Prof. Madya Dr. Normahdiah Sheik Said.

Banyak ilmu baru yang kami pelajari pada hari tersebut. Walaupun pertemuan ini hanya berlaku selama 2 jam tetapi ilmu yang diajar oleh Dr. Nader sangat dalam meskipun hanya Part 1. Ada beberapa lagi sesi pembelajaran yang kami akan lalui selepas ini bersama-sama dengan beliau.

Ketika bertemu dengan beliaulah baru Dell bertambah faham bagaimana hendak menaikkan cited kepada penerbitan jurnal kita. Kiranya ilmu yang diajar oleh beliau ini sangat berkaitan dengan penulisan jurnal berimpak tinggi sekaligus menaikkan ranking universiti.

Apa yang diajar oleh beliau benar-benar menarik perhatian Dell! 

Beliau meminta Dell membantu supervisor melakukan praktikal berdasarkan apa yang diajar dan pastikan apa yang beliau minta itu siap sebelum sesi pertemuan selanjutnya. Jadi Dell dan supervisor cuba memahami keperluan beliau itu dan menyiapkan tugasan seperti yang diminta dalam masa seminggu ini.

Semoga urusan kami semua dipermudahkan oleh-Nya. Amin...
Pada 23 Ogos 2014 (Sabtu) lepas, Dell berpeluang menghadiri Talk Show bersama Dr. Othman Talib. Awalnya ada juga terlintas di hati Dell untuk menghadiri program ini tetapi Dell membatalkan niat tersebut dek kerana semangat Dell menurun sedikit setelah kesukaran Dell untuk mengambil CE pada semester ini. Bukan mudah apabila kita di dalam bidang multi-disiplin ini. Tambahan pula Dell baru sahaja bertukar supervisor kerana kepakaran bidang.

Setelah faham apa yang perlu ditulis setelah diperbetulkan oleh supervisor baharu, Dell pula mengalami kesukaran menulis pula. Mungkin kerana sikap Dell terlampau berhati-hati kerana takut melakukan sebarang kesalahan menyebabkan Dell sukar untuk menulis.

Namun atas perancangan Allah, seminggu sebelum program ini bermula ada salah seorang rakan seperjuangan iaitu Kak Rabaayah mengajak Dell mengikuti program ini dengan berkongsi bayaran yuran iaitu RM100 untuk tiga orang. Dan, Dell pun bersetuju.

Tak sangka ada pula gambar Dell beratur untuk pendaftaran.
Pagi itu, Dell sampai di Fakulti Kejuruteraan pada 8.20 pagi. Selepas mendaftar, Dell terus masuk ke Dewan walaupun masih awal. Saja nak berehat kerana malam itu, Dell tidur agak lewat dan tak cukup tidur. Kak Rabaayah lambat sampai kerana dia bertolak dari Batu Pahat, Johor selepas menghantar anak ke sekolah pagi itu. 
Buku 10 Panduan Menulis Tesis, Tentatif Program dan sekeping button.
Kami diberi buku nota kecil mengenai panduan menulis tesis cepat dan efisyen sebagai pengenalan. Untuk mempelajari dengan lebih mendalam, pembaca perlu membeli buku-buku lain tulisan Dr. OT. Dell sudah memilikinya dan alhamdulillah banyak membantu.
Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris (Mantan TNC UPM) - Indahnya Menjadi Seorang Pendidik.
Prof. Datin Paduka Dr. Aini berkongsi pengalaman beliau ketika melanjutkan pelajaran suatu ketika dahulu di mana waktu itu belum ada teknologi yang canggih mahupun sumber manusia (seperti RA) untuk membantu beliau membuat penyelidikan. Dan juga pengorbanan keluarga kerana beliau terpaksa melanjutkan pelajaran ke luar negara sedangkan suami dan anak-anaknya yang masih kecil tidak dapat mengikutnya sekali. Sehingga ada insiden kekeliruan identiti anak-anaknya kerana beberapa bulan sekali mereka bergiliran tinggal di kedua-dua belah nenek (Kelantan dan Pulau Pinang) apabila mereka berkata, "Tok seh ayaq." Semua hadirin ketawa.

Dr. Othman Talib -  Dari Pencarian Tajuk ke Defend Proposal.
Seperti biasa, Dr. OT akan memperkenalkan penggunaan perisian Mendeley dan lain-lain konsep untuk memudahkan pelajar. Beliau juga berkongsi pengalamannya sewaktu menjadi seorang pelajar dulu. Beliau juga menjemput pelajar-pelajar Master dan PhD yang telah berjaya di dalam viva masing-masing untuk berkongsi pengalaman. 

"It's time to change the way we do research."
Sesi perkongsian Idea/Pengalaman/Maklumat/Tip - Sdri. Nor Amlizan Ramli, Sdri. Ainul Azmin, Sdr. Azraai Othman, Sdri. Soliha Sanusi, Sdr. Iskandar, Sdri. Airien Malek dan Sdri. Sharifah Sharie.
Juara 3MT Kebangsaan 2014 - Sdri. Siti Aimi Sarah.
Sesi perkongsian Idea/Pengalaman/Maklumat/Tip - Dr. Zulkifli Mansor, Dr. Teo Wil Ly dan Sdri. Siti Nazirah Butai.
Para peserta program.
Peserta program Talk Show Dr. OT.

Apabila mendengar mereka semua bercerita di atas pentas mengenai dugaan-dugaan yang dihadapi, Dell agak terkejut kerana tidak sangka hal sebegitu boleh berlaku. Ada kes yang pelajar PhD bergraduat selepas 8 tahun pengajian!

Kisah mereka itu memberi motivasi kepada Dell agar semangat Dell konsisten kembali dalam menulis tesis. Bukan mudah tetapi kena kuat semangat. Kepada mereka yang hendak mempelajari ilmu mengenai penulisan tesis boleh layari Blog Dr. OT ini.

"Yumeiho? Siapa tu? Nama pakwe baru ko ke Dell?"

"Ish, ke situ pulak perginya! Bukanlah. Itu nama salah satu proses rawatan untuk betulkan tulang belakang. Nak tahu apa itu Yumeiho?"


Terapi Yumeiho adalah suatu metode untuk membetulkan posisi tulang seluruh tubuh, mengendurkan otot-otot dan jaringan sel-sel organik serta secara radikal menghilangkan penyakitnya, dengan tulang pinggul sebagai pusatnya.


Metode Yumeiho sebagai suatu terapi pemijatan, penarikan serta tekanan-tekanan vertikal dapat memulihkan sendi-sendi yang terkehel dan meletakkan kembali tulang-tulang yang mengalami dislokasi/perubahan. 

 


Sejarah Yumeiho 
Sebelum perang dunia ke-2 (1945), seorang pemuda berusia 16 tahun yang bernama Shuichi Ohno, begitu tertarik dengan seni bela diri Shaolin, kerana tertarik Shuichi Ohno datang ke Tiongkok, selama  di Tiongkok, Shuichi Ohno mempelajari terapi relokada yang merupakan sebahagian dari seni bela diri Shaolin. Beliau juga mempelajari pelbagai terapi rakyat yang meletakan dasar pembetulan tulang pinggul dengan menggabungkan bersama terapi relokada. 

 Shuichi Ohno


Masayuki Saionji (peletak dasar Terapi Yumeiho) sangat tertarik dengan metode dan penyembuhan Shuichi Ohno yang mengkagumkan. Maka, masa muda Masayuki Saionji digunakan untuk mempelajari terapi yang dilakukan oleh Shuichi Ohno. Kemudian Masayuki Saionji mengatur kembali dan menyusun atur semula metode-metode yang telah ia pelajari lebih dari 20 tahun. Atas persetujuan sang Guru (yaitu Shuichi Ohno) , Masayuki Saionji menamakan terapinya dengan nama terapi YUMEIHO yang berdasar pada terapi Thionghoa “ Zeng Ti Fa “ (penyembuhan menyeluruh).
 Masayuki Saionji

Manfaat Terapi Yumeiho

Terapi Yumeiho bertujuan memulihkan keseimbangan tubuh dengan  meningkatkan kekuatan tubuh dalam melawan setiap penyakit. Terapi ini boleh meningkatkan kemampuan tubuh dalam menyembuhkan diri sendiri kerana,tubuh merupakan doktor terbaik bagi setiap penyakit.

   


Kelebihan terapi Yumeiho

  • Terapi Yumeiho bukan sahaja menyembuhkan banyak penyakit, tetapi juga bertindak dengan elok untuk mencegah banyak penyakit danmenghilangkan lelah badan.
  • Terapi tersebut akan memberikan anda rasa hangat, rasa segar serta nyaman.
  • melancarkan peredaran darah dalam tubuh, serta melancarkan metabolisme tubu.
  • mencegah penyakit-penyakit berat. Kerana terapi ini mampu meningkatkan kemampuan penyembuhan diri pada tubuh anda.
  • memberi kekebalan terhadap hawa dingin.
  • boleh membantu meninggikan badan, berkat pembetulan tulang-tulang pinggul, maka kesannya akan memperelokkan tulang-tulang kelangkang, jarak intervetebrata menjadi lebar dan tulang belakang menjadi lurus, dengan demikian boleh meningkatkan tinggi badan terutama untuk anak-anak. Terapi ini boleh menghilangkan kerutan pada wajah.
  • membentuk dan menegang payudara yang diingini.
  • boleh mengubati bintik-bintik kecil, ekzima, penyakit kulit pada kaki dan tapak kaki, dan rambut rosak.
  • membuat tubuh menjadi lentur dan gerakan tubuh menjadi lincah.
  • memperbaiki fungsi reproduksi/seks



Tidak dinafikan, proses rawatannya memang sakit. Tetapi rasa lega selepas rawatan.

Masa sekolah dulu, Dell pernah tergelincir dan jatuh di bahagian belakang badan. Mujur tiada slip disc. Cuma kesan jatuh itu, kini Dell selalu rasa lenguh di pinggang dan belakang badan serta kebas kaki jika duduk bersila dalam tempoh yang singkat. Selepas rawatan, Dell dapat duduk bersila selama setengah jam tanpa rasa kebas.

Dell mendapatkan rawatan di sini : Pusat Terapi Bekam dan Ghurah Zeekay. Cubalah! :)