Selamat Datang ke Blog Dell!

Bersama Dell di Alam Maya
Sertai Saya


Alhamdulillah... atok, pakcik sekeluarga serta saudara yang pergi menunaikan umrah pada 19 hb lepas telah selamat kembali ke tanah air petang tadi. 

Dell dan sepupu berkonvoi untuk menjemput mereka di KLIA. Dell bergegas ke rumah pakcik Dell di Bangi selepas mengajar tuisyen di Putrajaya kerana perlu memandu kereta milik isteri pakcik untuk menjemput mereka. 

Sepanjang perjalanan kami dari KLIA ke Rembau, pakcik menceritakan pengalamannya di sana dan kisahnya bersama atok. Dell dan sepupu terketawa dengan ceritanya. Apa-apa pun syukur kerana atok berjaya mengerjakan umrah sebanyak 3 kali dan dapat melakukan ibadat dengan mudah serta dapat melawat tempat-tempat tertentu yang ingin dilawatinya.


NOTA :
Pakcik kata dia sudah doakan permintaan Dell di sana malah atok pun berdoa yang sama. Mudah-mudahan, termakbul... Amin...


Pada hari Rabu lepas, Dell menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja GMJ-ME. Mesyuarat pada kali ini, kami cuba mengemas kini laman web GMJ-ME dan memperbaharui apa yang sesuai dengan kehendak pelanggan selain membincangkan status artikel yang sedia ada. 

Salah satu perkara yang perlu Dell buat ialah mereka bentuk cover jurnal tersebut. Bukan mudah sebenarnya memandangkan Dell tidak mempunyai perisian yang sesuai. Dell sudah mereka dua bentuk cover pada hari Khamis dan tunjukkan kepada administrator kedua. Beliau berkenan dengan salah satu cover yang Dell reka. Ikutkan reka bentuk yang Dell bayangkan lebih baik dari itu tetapi Dell tidak mampu membinanya memandangkan tiada perisian. Dell akan cuba mencari idea lain untuk membuat beberapa lagi reka bentuk cover untuk dipersembahkan kepada editor nanti untuk beliau pilih yang sesuai.

Bulan April merupakan bulan yang padat untuk Dell. Menunggu kelulusan untuk menghadiri  Kursus Technical Graphic Design yang pernah Dell katakan dulu tu. Karenah birokrasi sebab itu lambat. Manakala, University Inti Nilai turut memerlukan khidmat Dell untuk membantu mereka dalam masa dua minggu pada akhir bulan tersebut. Jadi, waktu untuk tuisyen akan diatur semula mengikut kesesuaian Dell dan anak murid. 

NOTA :
1. Dell akan cuba membina storyboard ringkas untuk pembinaan laman web GMJ-ME supaya mudah diperbincangkan dalam mesyuarat bersama pegawai IT pada masa akan datang (backup sekiranya Dell tidak dapat hadir dalam mesyuarat tersebut).
2. Tidak sabar untuk menghadiri kursus yang diperkatakan sebelum ini.

Antara masalah-masalah yang dihadapi oleh seseorang anak kecil


Ramai ibu bapa dan para cikgu terlepas pandang dengan masalah anak kecil dan anak murid mereka (sila tekan pada gambar rajah di atas untuk membaca masalah-masalah yang tersenarai). Cara paksaan atau cara pembelajaran secara biasa tidak dapat membantu anak-anak kecil ini, malah ianya memberi tekanan kepada mereka seterusnya meninggalkan kesan psikologi yang tidak bagus kepada mereka.

Seharusnya para guru tuisyen juga harus melihat perspektif ini, bukan sekadar ingin mengaut keuntungan semata-mata. Jika menerima seseorang anak murid yang mempunyai masalah seperti ini, cara pengajaran turut berbeza dan kena banyak bersabar. 

Penting bagi seseorang guru mengetahui serba sedikit tentang latar belakang anak murid mereka untuk mengetahui masalah yang dihadapi oleh pelajar terbabit. Secara tidak langsung mudah untuk kita untuk mencari cara-cara pengajaran yang sesuai untuk mereka ini.

NOTA :
1. Bukan mudah menjadi seorang pendidik sebenarnya.
2. Guru tuisyen juga perlu mengetahui sedikit sebanyak ilmu psikolinguistik ini.



Dipaksa pegang hamster oleh anak murid dan dipaksa bergambar dengan hamsternya!

Keluarga C
Jadual Dell untuk mengajar keluarga ini telah diubah pada hari Isnin. Seperti biasa Dell terpaksa layan karenah si anak kecil ini. Kena berlembut, kalau tak nanti dia merajuk. Dell didera pada hari tersebut dengan hamsternya. Huhu. Sekejap dia letak hamsternya di atas baju Dell, sekejap di atas tangan, sekejap di atas peha... Fuhhh...

"Teacher datang ajar tuisyen hari apa ya?" dia bertanya kerana keliru dengan jadual tuisyen yang sudah bertukar.

"Cikgu datang sini hari Isnin, jadual dah tukar..." jawabku sambil tersenyum.

"Kenapa teacher tak datang banyak kali, hari-hari ke? Teacher malas ek?" tanyanya bersahaja.

"Eh, cikgu bukan malas! Cikgu ajar Fatin hari Isnin sahaja, seminggu sekali je." jawabku sambil tersengih.

"Teacher, boleh ajar muzik tak? Tak akan asyik ajar BM je..." dia terus bawa turun keyboard besar kepunyaannya.

Dalam hati, 'Ah sudah, minggu lepas dia suruh ajar subjek lukisan'. 

"Cikgu tak pandai baca not, nyanyi bolehlah" 

"Kalau gitu, saya main muzik cikgu nyanyi ek?" katanya sambil menekan keyboard tu tapi tak berbunyi.

"Dengan syarat, Fatini kena nyanyi dalam bahasa Melayu, buat latihan bahasa Melayu dan baca cerita Melayu yang cikgu suruh." kataku dengan tegas. Dia mengangguk-angguk kepalanya.

"Teacher, mengapa tak berbunyi ya? Cuba teacher tengok di bawah ni, ada bateri tak?" tanyanya sambil terbalikkan keyboard tu.

"Patutlah tak berbunyi, takde bateri!" dalam hati, leganya... Huh.

Akhirnya, dia terpaksa akur kerana keyboardnya tak berbunyi. Dell suruh dia membaca cerita sastera rakyat yang dia sendiri pilih dan kena baca kuat-kuat. Ada sebab, Dell suruh buat begitu. Ini kerana dia selalu salah sebut untuk sebutan e taling dan e pepet. Dell dah nampak peningkatan dia memahami sesebuah cerita berbanding sebelum ini.


NOTA :
1. Dell biarkan sahaja di Fatin membaca cerita rakyat tersebut dengan gayanya tersendiri iaitu berlagu-lagu ikut sukanya. Yang penting sebutannya betul dan dia faham apa yang dibaca.
2. Fatin pernah bertanya buat apa dia buat latihan BM bermula dari darjah satu sedangkan dia sudah berada di darjah tiga pada minggu lepas. Minggu ni, Dell suruh dia buat latihan darjah tiga iaitu buat karangan pendek. Dia terus mengaku tidak reti dan setuju buat latihan bermula dari darjah satu.
3. Dia tunjuk diari yang dia sudah tulis tetapi dalam bahasa Inggeris. Dell kata cubalah tulis dalam bahasa Melayu, dia kata tak reti. Dell kata "Takpe, nanti cikgu ajar." Sekurang-kurangnya, dia sudah faham kegunaan diari.


Dah lama Dell tidak memasuki apa-apa gateway. Dulu ketika menulis di blog Diari Putri Lindungan Bulan, selalu juga Dell ikuti gateway ini. Merasalah juga beberapa hadiah walaupun jenis yang simple. Kali ini, Dell tergerak hati hendak menyertai gateway yang dianjurkan oleh Edy Zaidi di http://www.danielzaidi.com/ kerana Dell memang suka mengumpul Fridge Magnet. Siapa cepat, dia dapat! Woha!
Selasa lepas, Dell berpeluang makan di Pak Hailam Kopitiam di TBS bersama mama dan adik, sementara menunggu bas ke Kluang pada pukul 9.30 malam. Ini antara menu yang kami order
Dell memilih coffee 3 layers sebab teringat minuman seperti ini ketika melancong di Vietnam beberapa tahun lepas. Rasa kopi ni sangat pekat dan memang kena dengan citarasa Dell. Mama pula hanya memilih Teh O Limau Ais.

Ini pula menu pilihan adik Dell. Nasi Ayam Barbeque bersama Jus Apple. Ayamnya lembut dan sosnya sangat sedap. Nasi pun sangat lembut. Menu yang memang disyorkan. Hehehe.

Manakala, Dell dan mama pula memilih Mee Udang. Rasa kuahnya pekat dan berasa segala perencahnya. Mihun dan mee yang diletakkan bersama di dalam kuah ini sangat banyak. Kiranya memang berbaloi dengan harga. Isinya pun banyak. Ini antara Mee Udang yang paling sedap Dell pernah rasa. Kiranya, menu ini juga sangat disyorkan. 

Kami juga mencuba dua set Roti Bakar di sini. Dell kurang suka dengan rasanya kerana mereka menggunakan kaya berperisa pandan. Pada Dell rasanya tidak kena. Apa-apa pun terpulang dengan citarasa seseorang individu. 

Cubalah menu yang berada di sini! :)

Hadiah button daripada anak murid Keluarga C

Keluarga C
Semalam Dell menyerahkan dua buah buku yang dibeli kepada Fatin. Gembira sungguh dia! Biasalah budak kecil, kan? Lagi satu, Dell perasan dia suka menunjuk barang-barangnya kepada Dell. Dell layankan sahaja.

Sehinggalah dia menunjukan sebuah diari berkunci. Dell minta izin untuk melihatnya. Hanya beberapa patah perkataan yang ditulis, selebihnya dia melukis. Dell pun bercerita tentang buku 'Diary of Wimpy Kids'. Dell tunjuk contoh-contoh yang terdapat di dalam diari tersebut melalui ipad Dell. Kelihatan dia cukup berminat!

Seperti biasa, akhirnya Dell yang terpaksa melukis kerana dia tidak berapa reti untuk melukis. Dialog yang perlu ditulis adalah dalam bahasa Melayu. Pada awalnya, dia tetap hendak menulis dalam bahasa Inggeris. Setelah dipujuk beberapa lama, akhirnya dia bersetuju. 

Selepas tu, dia hendak menulis diari sajalah pulak! Seperti biasa Dell pujuk beberapa lama untuk dia membuat latihan. Dell kata kepadanya, 'Cikgu nak Fatin dapat A dalam bahasa Melayu. Tapi Fatin kena rajin buat latihan. Janji kat cikgu.' Fatin hanya mengangguk-anggukkan kepala.

Tak lama selepas itu, tak sangka pula dia membuka ada satu buku nota bergambar dan meminta Dell buatkan nota peta minda untuk pelajaran sebelum ni. Dia kata senang nak baca dan nak rujuk. Boleh dibawa ke sekolah katanya. Dell senyum je.


Keluarga B
Dell menerima panggilan telefon daripada ibu mereka. Ibunya mengatakan bahawa keputusan ujian anak-anaknya meningkat terutama untuk Fir dan Sya. Mereka sendiri terkejut dengan keputusan mereka sendiri kerana biasanya mereka hanya mendapat bawah 50 markah. Sya dapat 93 markah untuk BM dan Fir dapat 58 markah untuk Matematik. Lega Dell mendengarnya. Alhamdulillah, pencapaian mereka semakin menaik.


NOTA :
1. Tak sangka Fatin nak beri button tu untuk Dell. Sudah mula berikan Dell air minuman tanpa disuruh ibunya. Pemahamannya mengenai cerita yang dibaca semakin baik (ini kerana dia lebih memahami bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu).
2. Sudah dua minggu Dell tidak mengajar keluarga A dan keluarga B kerana ada urusan tertentu. Panggilan seperti itu menggembirakan Dell. Sebenarnya, Dell pun tak sangka mereka meningkat mendadak seperti itu. 
3. Sabtu ni, Dell terpaksa berpura-pura tidak tahu akan keputusan mereka tu. :)



Terasa letih rasanya beberapa hari ini kerana menguruskan beberapa perkara. Setelah penerbangan tertangguh sebanyak dua kali, akhirnya pada pukul 5.00 petang, hari Selasa lepas, mereka selamat berangkat mengerjakan umrah. Selepas itu, Dell menghantar mama dan adik ke TBS untuk menaiki bas pulang ke kampung.

Perkhabaran dari sana :
'Hari ini baru nak g Raudhah. Org terlalu ramai. Tok Atan bersemangat. Hari2 g masjid. Mempunyai kekuatan yg luar biasa' sms Acik kepada Mak Wok. (Khamis, 21 Mac 2013, 11.27 pagi).

'Pagi tadi kami melawat masjid Quba, masjid Qiblataini, kawasan Bukit Uhud. Besok in sya allah kami akan musafir ke Mekah' sms pakcik Zul. (Khamis, 21 Mac 2013, 6.24 petang).


NOTA :
Dari Seri Kembangan-Bandar Baru Bangi-Seri Kembangan-Rembau-KLIA-Bangi-TBS-Seri Kembangan... letih rasanya..



Tadi ketika Dell sedang makan malam bersama keluarga, tiba-tiba telefon bimbit Dell berbunyi menandakan ada sms masuk. Rupa-rupanya, salah seorang pensyarah di FBMK, UPM tempat Dell bekerja dulu iaitu Dr. Kamariah Kamarudin mengajak Dell pergi ke Pelancaran Buku Pengarang Wanita ITBM di UTC Pudu Sentral eaok petang.

Dell rasa terharu kerana dah lama meninggalkan fakulti sebagai seorang staf tetapi masih ada beberapa pensyarah yang sudi sms atau menelefon Dell bertanya khabar atau mengajak Dell untuk melakukan sesuatu bersama mereka. 

Antara petikan sms daripada beliau tadi ialah "Nak bagi Dilla semangat untuk menulis... Menulis ya!"

Dell selalu membaca blog beliau. Beliau antara yang memberi semangat untuk Dell menulis walaupun Dell tidak pernah menjadi anak murid beliau secara rasmi. Ini kerana Dell tidak pernah mengambil subjek Penulisan Kreatif memandangkan ketika bacelor dulu, Dell mengambil minor komunikasi. Beliau juga memberi Dell beberapa buah buku termasuk dua buah novel tulisan beliau. 


NOTA:
Dell juga turut menerima beberapa tips menulis secara tidak langsung daripada Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin. Beliau juga turut memberi beberapa buah buku kepada Dell sebagai pedoman untuk menulis. Dell berasa serba salah jika tidak menulis memandangkan mereka banyak memberi Dell ilmu secara tidak langsung. Mudah-mudahan, semuanya berjalan lancar insyaAllah.



Diam tak diam, hari untuk atok Dell berlepas pergi ke umrah sudah hampir tiba. Hari Jumaat lepas, pakcik pulang ke kampung untuk mengambil atok, mama dan adik datang ke sini. Hari Sabtu, baru Dell datang ke rumah pakcik untuk bersama mereka. Maklumlah banyak program yang kami perlu selesaikan sebelum kami semua berkumpul di Rembau, Negeri Sembilan pada hari Ahad. 

Pada hari Sabtu, kami pergi melawat Tok Long. Kebetulan, dia berada di rumah salah seorang anaknya di Bandar Baru Bangi. Kira dekat sangat dengan rumah pakcik. Ikutkan selepas itu, kami semua hendak pergi melawat Tok Teh di Keramat, tetapi hujan lebat petang itu dan traffic jam, kami terpaksa batalkan niat tersebut.

Semalam, mama dan adik tidur di rumah Dell. Saja bawa jalan-jalan. Dell pun memang dah niat nak bawa mereka makan di Mr. Steak House. Mereka puji makanan di situ. Dell memang suka makan Lamb Chop di situ. 

Hari ini, kami semua akan bermalam selama dua hari di Rembau, Negeri Sembilan bersama saudara-mara di sini. Kami semua berkumpul di sini kerana mereka yang pergi ke umrah kebanyakan keluarga dari belah isteri pakcik Dell di sini. Disebabkan itulah kenduri dan lain-lain dilakukan di sini.

Sepatutnya, mereka bertolak esok petang ke KLIA tetapi penerbangan ditangguhkan pada hari Selasa pagi.


NOTA :
Dell belajar secara tak langsung cara-cara mengerjakan umrah dan persiapan ke sana. Patutlah Allah tangguhkan peluang untuk Dell ke sana, banyak lagi yang Dell tidak bersedia dari segi lain seperti ilmu dan psikologi.




Hamster anak muridku, Kiki dan Lala.

Ingat lagi tak artikel Dell Elok berteman untuk anak murid Dell dari keluarga C? Hari ini merupakan hari kedua Dell mengajar si kecil itu. Nampak wajahnya seperti lebih bersemangat berbanding sebelum ini, tetapi dia seperti bosan belajar keseorangan. Dia tanya Dell, " Mengapa abang saya tak tuisyen sekali ek cikgu? Dia main games je." Dell senyum je.

Hari ini, si kecil ini banyak cakap. Ada saja topik yang dia cakap dan tanya. Dell layankan sahaja. Dia tanya juga, "Cikgu tak ajar Pendidikan Seni?". 

"Maksud F.. lukisan?" Tanyaku sambil tersenyum.

"Haah, cikgu. Cikgu ajarlah lukisan sekali!" Katanya dengan tersengih-sengih.

Hari ini Dell mengajarnya secara santai sahaja. Dell buat peta minda mengenai Kata Nama. Dell pinjam colour magic dan melukis peta minda dengan berwarna-warni. Walaupun kelihatan si kecil ni macam main-main, cepat pula dia ingat contoh-contoh yang diberi tak seperti hari pertama. Cuma satu je yang dia tak suka buat iaitu PEMBETULAN. Dell terpaksa pujuk baik-baik dan bersabar dengan karenahnya.

Setelah kelas tamat, ibunya memberitahu Dell yang dia tak dapat nak mencari teman untuk anaknya kerana ibu bapa kepada kawan-kawan anaknya itu tidak setuju atas sebab-sebab tertentu. Si kecil itu pun mengadu nak berteman dan nak pergi ke pusat tuisyen yang kebanyakan kawannya berkumpul. Ibunya tidak setuju anaknya pergi ke pusat tuisyen itu sebab ramai sangat pelajar dan tidak dapat tumpu kepada anaknya. Ibunya minta tukar hari tuisyen iaitu hari Isnin bukan Khamis seperti sekarang ini. Dell bersetuju bermula minggu keempat. 


NOTA :
InsyaAllah minggu depan Dell akan mencari buku rujukan yang sesuai untuk si kecil ini. Yang penting mesti berwarna-warni. Dell akan dedahkan juga dengan sastera nanti seperti pantun, cerita rakyat dan lain-lain supaya dia ni suka akan bahasa Melayu. Betulkan firasat Dell pada hari pertama mengajar sekecil ini bahawa dia ingin berteman walaupun dia tak berkata apa-apa.


Sedar tak sedar, sudah hampir pertengahan bulan Mac 2013. Sudah dikejar tapi tetap juga masanya cepat berlalu. Walau secepat mana pun kita melakukan sesuatu, jika tuhan tidak izinkan, ianya tetap akan tertangguh.

Dell dan supervisor baru sahaja dapat surat maklum balas kelulusan dari pihak pertama mengenai permohonan kami untuk pendahuluan bagi menghadiri kursus Kursus Technical Graphic Design. Hampir sebulan kami menunggu. Ini pun kami masih perlu menjalani beberapa proses lagi sebelum dapat menghadiri kursus tersebut. Bukan mudah walaupun nampak macam mudah.

Dell akan berasa lega setelah selesai mengikuti kursus tersebut. Jika tidak, banyak yang akan bertangguh.


NOTA :
1. Masih menunggu dua quotation dari dua syarikat untuk melengkapkan dokumen permohonan pendahuluan tersebut untuk pihak kedua pula.
2. Semakin hari berlalu, getaran di dalam jiwa terasa semakin kuat! Tinggal 3 semester sahaja lagi untuk menamatkan perjalanan ini, insyaAllah... Semoga Allah permudahkan, amin...

Akhirnya, semalam Dell mengambil keputusan untuk membeli Blackberry Curve 9320 dengan menggunakan Pakej Komunikasi Belia. Seharian Dell berfikir untuk membeli telefon bimbit yang mana satu di dalam senarai yang disediakan di bawah pakej tersebut. Hanya ada empat jenama telefon bimbit sahaja yang ditawarkan iaitu Blackberry Curve 9320, HTC Desire C dan dua lagi jenama Motorola.

Setelah Dell semak di internet jenama-jenama yang disenaraikan itu, kebanyakan pelanggan berpuas hati dengan jenama Blackberry Curve 9320 tu. Dell turut menyemak spesifikasi telefon bimbit bagi setiap jenama tersebut. Akhirnya, Dell dengan senang hati memilih Blackberry.

Inilah dia Blackberry yang menjadi pilihan Dell. Kali pertama guna Blackberry. Terkial-kial juga. Sebelum ini, Dell hanya pakai telefon bimbit jenama Nokia. Kenapa Dell tidak memilih telepun bimbit dengan touch screen? Ini kerana Dell sudah memakai telefon bimbit seperti itu sebelum ini dan merasa sedih setelah empat tahun penggunaannya, telefon tersebut dah tak berfungsi dengan baik. Lain yang ditekan, lain yang keluar. Malah, ada juga yang ditekan, langsung tak keluar apa-apa! Kameranya juga langsung dah tak boleh pakai. Jika Dell baiki pun, kosnya mencapai RM200 lebih. Elok sahaja Dell beli yang baru. 

Selamat tinggal Nokiaku. Sebenarnya Dell masih sayang nokia Dell ini. Banyak jasanya kepada Dell selama hampir 5 tahun ni. Dan Dell sangat puas hati dengannya dari segi rakaman video, gambar, radio dan lain-lain. Inilah telefon bimbit yang paling lama Dell pernah pakai sehinggalah ianya tidak dapat berfungsi dengan elok.


NOTA :
Cuba membiasakan diri menggunakan telefon jenama lain. Melihat salah seorang anak murid Dell yang kelihatan seronok menggunakan Blackberry turut mengujakan Dell. Nampak gayanya Dell terpaksa berguru dengannya untuk pakai Blackberry ni.




Khamis lepas merupakan hari pertama Dell mengajar seorang anak kepada keluarga C. Comel budaknya, baru darjah 3. Anak kecil ini tiada masalah dalam membaca tetapi dia lemah dalam bahasa Melayu. Ini kerana bahasa perantaraannya di rumah sejak kecil adalah bahasa Inggeris walaupun dia berada dalam keluarga Melayu. Ibunya merupakan pensyarah bahasa Inggeris di salah sebuah IPTA di sini, manakala ayahnya pengajar bahasa Inggeris di ibu kota Kuala Lumpur.

Pada pandangan Dell, anak kecil ini bijak dan mudah belajar. Cuma apabila dia tidak menguasai bahasa Melayu secara tidak langsung, ianya memberi kesan terhadap pemahamannya untuk subjek Matematik dan Sains. Dell hanya membantu subjek bahasa Melayu dan Sains sahaja kerana tidak mahu dia terkeliru dengan cara pembelajaran yang berbeza untuk Matematik di KUMON.

Setelah Dell amati selama dua jam mengajarnya pada hari pertama, Dell beritahu kepada ibunya bahawa lebih elok sekiranya dia belajar dengan seorang lagi kawan supaya motivasinya lebih tinggi. Belajar bersendirian seperti itu akan membuatkan dia tak bersemangat sementelah penat kerana bersekolah dari pagi sehingga petang. Ibunya memberitahu ada seorang kawan baiknya yang merupakan jiran di situ pun mempunyai masalah yang serupa seperti anaknya. Nanti dia akan berbincang dengan keluarga kawan baik anaknya itu.

Ibunya bertanyakan tentang bayaran jika dimasukkan kawan baik anaknya itu. Adakah sama nilainya yakni didarabkan dua? Dell tidak berkira, Dell hanya meminta amaun yang dipersetujui sebelum ini dan pandai-pandailah mereka bahagi-bahagikan amaun tersebut untuk dua keluarga. Tak elok rasanya, Dell meminta harga berganda walaupun tahu mereka tidak kisah tentang bayaran memandangkan mereka golongan yang berduit. Takut duit tak berkat nanti. Lagipun Dell mengajar di dalam rumah yang sama. Cuma syarat Dell, hendak tambah satu sahaja teman. Tak boleh ramai nanti tak boleh tumpu. Tambahan, niat Dell supaya anaknya itu elok berteman supaya dia bersemangat hendak belajar. Kita akan berasa seronok mengajar jika lihat anak murid kita bersemangat untuk belajar, betul kan?

Pada Dell, rezeki lain ada nanti. Tak perlu tamak.

NOTA :
1. Setiap pelajar yang mempunyai masalah dalam bahasa Melayu mempunyai latar belakang yang berbeza.
2. Kadang-kala, kita perlu melihat juga kondisi pelajar terbabit sama ada sesuai atau tidak dalam persekitaran itu.

Diam tak diam, lagi seminggu sahaja lagi atok bersama pakcik dan isterinya akan pergi umrah. Dah lama rancang, walaupun duitnya sudah lama mencukupi baru kini ada rezeki dan peluang. Mana taknya, atok Dell tidak boleh pergi keseorangan sebab umur dah tua. Sekurang-kurangnya, pakcik dan isteri ada untuk tengok-tengokkannya. Ikutkan Dell berhasrat juga untuk mengikuti mereka mengerjakan umrah atas keizinan mama Dell, tetapi koata penuh untuk rombongan tersebut. Tidak mengapalah, lain kali. Yang penting, lepaskan atok Dell dahulu. Dia memang teringin sangat hendak pergi haji tapi giliran tak sampai-sampai.


NOTA :
1. Tidak semestinya apabila wang sudah mencukupi, keinginan untuk ke tanah suci akan terlaksana serta-merta. Kadang-kala, Allah menangguhkan dahulu perjalanan kita ke sana atas sebab-sebab tertentu. Allah maha Mengetahui.
2. Insya-Allah, jika ada rezeki Dell memang hendak mengerjakan umrah. Menunggu peluang untuk pergi sahaja. Semoga Allah perkenankan hajat Dell.




Tak sabar Dell hendak survey kedai telefon bimbit yang menerima Pakej Komunikasi Belia (PKB) tu. Rugi pula tidak menggunakan peruntukan yang telah diberikan oleh kerajaan untuk para belia. RM200... banyak tu! Rezeki terpijak sebenarnya. Kawan Dell tidak mahu menggunakannya kerana dia memperuntukkan wangnya untuk membaiki rumah barunya. Kebetulan pula telefon bimbit Dell dah mulai rosak. Touch screen telefon bimbit Dell mempunyai masalah, lain yang ditekan, lain yang keluar. Ianya melambatkan urusan Dell ketika ingin menaip SMS atau membuat panggilan telefon. Kamera lagilah langsung sudah tidak boleh berfungsi.


NOTA :
Sebenarnya Dell masih sayang dengan telefon bimbit yang dipakai sekarang ini kerana inilah telefon bimbit yang paling mahal Dell pernah beli iaitu RM1300 (waktu itu). Hampir 5 tahun Dell menggunakannya. Kalau dibaiki pun harganya mencecah RM200 lebih! Elok Dell beli telefon yang baharu. Tapi Dell tak akan beli yang mahal seperti sebelum ini kerana sudah mempunyai iPad. Buat apa membazir. 


Jika anda bercita-cita untuk menjadi penulis, maka hendaklah menulis. Benar apa yang dikatakan itu. Jika kita tidak mula dari sekarang, bila lagi betul tak? Dan jika tidak mula menulis, mana hendak tahu hasilnya. 

Kertas kerja
Tiga hari lepas, ada seorang pensyarah mesej Dell menyatakan bahawa beliau bercadang untuk menulis artikel dengan Dell jika Dell bersetuju. Terkejut juga dengan cadangan beliau itu. Sekarang ini beliau mengajar bahasa Melayu selama setahun di Korea. Tahun lepas, Dell membantu beliau mencari pelbagai maklumat dan data mengikut keperluan beliau untuk menulis kertas kerja yang perlu dibentangkan di seminar Indonesia. Beliau menulis dan Dell edit dari segi bahasa. Dell menyatakan persetujuan tersebut dengan syarat Dell perlu selesaikan beberapa perkara dahulu, jika tidak Dell sendiri tidak tahu hendak tulis apa yang berkaitan dengan bidang kami berdua. 

Sebenarnya, Dell masih bertatih hendak menulis jurnal dan kertas kerja. Tidak dinafikan Dell berminat untuk menulis dan berharap suatu hari nanti dapat membentangkannya di konferensi luar negara. Tetapi sebelum itu, Dell perlu memastikan bahawa Dell menguasai bidang Dell terlebih dahulu. 


Puisi dan cerpen
Dell berangan-angan untuk masuk peraduan pertandingan karya puisi atau menghantar puisi ke majalah tetapi masih belum dilakukan lagi. Entahlah mood masih belum ada. Kononnya apabila sudah tidak bekerja, masa Dell banyak terluang tapi itulah leka buat kerja lain.


NOTA :
1. Pernah menyuarakan hasrat untuk belajar menulis daripada supervisor tetapi beliau meminta Dell ikuti kursus yang perlu kami hadiri. Dah selesai banyak perkara baru Dell menulis apa yang berkaitan dengan tesis dan bidang Dell nanti.
2. Sudah lama tidak menulis puisi. Cerpen yang perlu diperbaiki pun tak bersentuh lagi kerana mood belum datang.


Akhirnya terjebak Dell dengan satu permainan ini iaitu Candy Crush Saga. Dell mula bermain dengan permainan ini tiga minggu yang lalu. Dell diperkenalkan dengan permainan ini melalui facebook. Ada juga Dell cuba main beberapa permainan dan akhirnya Dell terpikat dengan permainan ini. 

Sebenarnya, Dell dah lama tidak bermain dengan apa-apa jenis permainan tetapi ada suatu hari tu Dell terasa sangat stres dengan kerja-kerja yang memerlukan tempoh yang singkat. Bila Dell bermain dengan permainan, Dell akan lega dan akan dapat ilham seterusnya menyiapkan kerja-kerja Dell. 

Sehingga kini Dell masih bermain dengan permainan ini. Sedar tak sedar, Dell sudah berada di level 91. Pada Dell, permainan ini bagus kerana ianya dapat melatih minda kita supaya lebih berfikiran kreatif dan tangkas dalam membuat keputusan.


NOTA :
1. Ada salah seorang sahabat Dell tanya bagaimana Dell boleh cepat naik level? Adakah Dell membeli atau membayar secara online untuk nyawa dan peluru. Dell kata Dell tak akan membazirkan wang semata-mata untuk permainan ini walaupun Dell suka main. Dell belum sampai tahap fanatik. Dell bermain mengikut urutan tanpa menipu.
2. Ada yang tanya Dell, ada masa pula Dell bermain permainan. Susah nak jawab sebab Dell jenis orang yang boleh buat dua atau tiga kerja serentak walaupun dalam waktu sangat tertekan.
3. Ada juga yang soal Dell, apalah faedahnya bermain permainan ini. Pada Dell ianya bagus kerana dapat membuatkan otak kita kerap berfikir dari segi strategi, kreativiti dan tangkas.




Keluarga A :
Nampak gayanya, minggu hadapan Dell terpaksa bertegas sedikit dengan mereka ni kerana kelihatan mereka dalam keadaan selesa dan suka menyiapkan latihan yang diberikan dengan masa yang lama. Terutama bagi subjek BM, kelihatan mereka tidak suka menulis karangan. Mereka lebih suka Dell ajar Matematik dan Sains. Mereka selalu pujuk Dell untuk mengajar subjek-subjek tersebut apabila Dell suruh mereka buat latihan BM. 

Bukan apa, Dell risau dengan tahap penulisan BM mereka yang masih lemah walaupun sudah ada peningkatan sedikit. Mungkin tekanan untuk peperiksaan belum lagi terasa memandangkan masih awal tahun. Tetapi kalau boleh, Dell nak mereka belajar lebih awal supaya ada masa untuk ulangkaji pelajaran. 

Kadang-kadang, kelihatan mereka semua hendakkan perhatian lebih daripada Dell tapi sukar untuk Dell bahagikan kepada empat pelajar. Keempat-empat mempunyai level yang berbeza dan mereka belajar berbeza subjek dalam masa yang sama. Itu belum mereka usik- mengusik antara satu sama lain sehingga akhirnya bergaduh dan menangis. Pening kepala Dell dibuatnya. Dell memang sukar nak marah, selalunya emak mereka atau kakak yang sulung akan marah mereka ni. 


Keluarga B :
Dell sedang memikirkan bagaimana hendak mencari cara mengajar yang baru untuk salah seorang pelajar dari empat beradik ini. Dia sukar untuk mengeja perkataan walaupun sudah Darjah 5. Kakaknya kata dia sendiri sudah tak sanggup untuk membantu adiknya itu dan berharap Dell mencari idea bagaimana hendak membantu adiknya. 

Bagi Dell, adiknya ini ada keistimewaan tersendiri. Dia pandai melukis dan pandai muzik. Tulisan pun cantik. Cuma kelemahannya adalah dari segi ejaan. Dia akan mengeja sesuatu melalui sebutan yang dia fahami. Ini bermakna dia tidak tahu menyebut dengan betul. Mungkin disebabkan masalah ini, dia berasa kerdil dan sentiasa ingin berkepit dengan abangnya. 


NOTA :
1. Bukan mudah menjadi cikgu tuisyen secara persendirian ini, Dell perlu mencari kaedah yang sesuai untuk tahap seseorang pelajar yang tidak dapat menangkap apa yang dipelajari di sekolah.
2. Dell kena banyak bersabar dengan karenah mereka. 
3. Dell selalu juga memberi sedikit ceramah motivasi kepada mereka supaya mereka ada semangat untuk maju dan berjaya walaupun pelajaran mereka masih lemah.

Tidak tahu mengapa, petang tadi terasa bosan sangat selepas berehat seketika dari mengajar tuisyen di Putrajaya. Mujur sempat makan tengah hari di kedai mamak di Presint 9. Sampai je rumah, rehat sekejap terus solat Zohor. 

Selepas tu, Dell hanya menunggu cerita komedi Joe's Apartment di HBO tayangan jam 5.15 petang. Habis je cerita tersebut, Dell mulai rasa bosan. Nak ajak kawan keluar macam malas. Tiba-tiba ada seorang kawan yang duduk berdekatan dengan blok Dell nak datang rumah. Dah alang-alang, Dell ajak keluar makan malan sekali. 


Kawan Dell kata ada restoren baru buka berdekatan dengan rumah kami. Jadi, kami pun bersetuju makan di situ. Sampai je di luar restoren, baru Dell tahu rupa-rupanya restoren ini menyajikan masakan barat. Yelah, dah nama restoren tersebut ialah Mr. Steak House. 

Kawan Dell memilih air kelapa sebagai minuman.

Dell pula memilih air lime. Harganya hanya RM2 sahaja. Gelas pun besar!

Ini pula menu pilihan Dell, Lamb Leg. Harga jauh lebih murah berbanding di tempat lain. Menu yang Dell makan ini harganya hanya RM12.90.

Ini pula menu Rib Beef oleh kawan Dell. Katanya boleh tahan juga. Dell tengok licin dia makan malam tu.

Cubalah datang ke restoren ini yang terletak di hujung bangunan di belakang Bazaar Rakyat Taman Equine. Makan kenyang, harga pun berbaloi-baloi.


Beberapa minggu lepas, Kelab Staf Kontrak UPM add Dell sebagai senarai ahli kelab tersebut. Antara perjuangan yang sedang hebat dilakukan ialah ingin membela nasib staf kontrak UPM yang kini kontrak mereka hanya diperbaharui untuk enam bulan sahaja (sehingga bulan jun tahun ini) dan tiada jaminan akan diperbaharui selepas tempoh tersebut.

Tambah membimbangkan apabila ura-ura mengenai masalah ini sejak tahun lepas menjadi kenyataan apabila ramai staf kontrak tidak diperbaharui kontraknya dan ditamatkan terus perkhidmatan mereka. Hal ini yang menyebabkan staf kontrak berasa tidak selamat dengan kedudukan mereka. Pihak pengurusan juga telah memberitahu tentang hal ini dari awal supaya kami semua bersedia dengan segala kemungkinan.

Inilah antara sebab Dell juga mencari pekerjaan lain waktu itu dan cuba juga memohon biasiswa untuk melanjutkan pelajaran. Itupun Dell memohon secara senyap-senyap. Ramai juga kawan-kawan Dell yang diberhentikan kerja secara tiba-tiba waktu itu walaupun telah bekerja lebih 5 tahun. Bayangkan bagi mereka yang sudah berkeluarga dan mempunyai komitmen yang banyak.

Alhamdulillah, Dell berjaya mendapat biasiswa penuh dari KPT pada bulan September lepas. Jika tidak, sudah tentu Dell akan risau tentang status Dell pada akhir tahun tersebut. Sewaktu sahabat-sahabat sedang gusar dengan masalah tersebut, Dell pula hampir terlupa tentang hal itu kerana terasa terlepas dari masalah itu.

Apa-apa pun, kita kena berani keluar dari satu kepompong untuk lebih berjaya. Kita tidak boleh selama-lamanya berada di zon selesa. Cuba bayangkan jika Dell masih berada di situ. Bebanan tugas semakin banyak kerana kekurangan staf. Tekanan hidup pun semakin bertambah.

Dell berasakan keputusan Dell meletakkan jawatan pada hari tersebut adalah satu pilihan yang tepat. Memang ramai terkejut kerana Dell meletakkan jawatan secara tiba-tiba dengan notis sebulan. Waktu itu, bulan Ramadan dan orang sedang sibuk fikir tentang raya dan cuti.

Dell berterima kasih juga keadaan ini berlaku, jika tidak, tentu kehidupan Dell tidak sebaik sekarang ini. Kadang-kala, tekanan seperti ini perlu untuk kita merubah kehidupan kepada lebih baik.


NOTA :
1. Dell pernah dijanjikan untuk diserap ke jawatan tetap, janji tinggal janji.
2. Jangan menaruh harapan tinggi jika tiada perjanjian secara bertulis.
3. Kita kena fikirkan diri sendiri juga, jika ada peluang ke tempat lain, pergi jika sesuai. Mungkin itu rezeki yang lebih baik untuk kita.

P/S : Kawan-kawan Dell yang sudah keluar dari UPM kebanyakannya sudah mendapat jawatan tetap dengan jawatan yang setaraf dengan mereka.



 

Ada salah satu tempat Gerai Nasi Ayam yang Dell suka makan. Tempatnya di Giant Equine Park. Nasi ayamnya sedap. Nasi dan ayamnya lembut dan berasa rempahnya. Ada dua jenia ayam yang disediakan di sini. Satu ayam panggang, satu lagi ayam stim.

Dell suka order Nasi Ayam Panggang bahagian peha. Untuk bahagian peha, kita kena tambah 40 sen. Jadi harganya RM5.90 sepinggan. Nasi ayam di sini cepat habis. Cubalah!


Atas izin ibu kepada anak-anak murid Dell, Dell membeli beberapa buah buku yang sesuai dengan tahap masing-masing. Minggu lepas, Dell nampak semangat mereka semua tinggi untuk belajar tetapi latihan agak terhad dek kerana buku latihan yang ada tidak sesuai. Dell lebih suka latihan matematik dan sains mengikut bab dan bukan bercampur kerana Dell nak mengenal pasti mereka lemah bab yang mana satu. 

Apabila adik yang paling kecil (darjah dua) melihat kakak dan abang-abangnya belajar sains, dia pun nak belajar juga. Spontan dia bertanya, "Cikgu, saya tak belajar sains?". Bukan itu sahaja, ketika Dell mengajar karangan untuk kakak dan abang-abangnya, dia berkata, "Tak sabar nak belajar buat karangan". Semangat sebeginilah yang Dell cukup suka. 

Mujur Dell jumpa buku yang sesuai untuk si kecil itu. Kelihatan dia seperti bosan hanya belajar bahasa Melayu dan matematik sahaja. Dell harap minggu ni, dia rasa gembira dengan kehadiran buku-buku baru itu.


NOTA :
1. Dell tak sabar nak mengajar mereka dengan buku-buku baru ni. 
2. Dell harap keputusan prestasi mereka meningkat di sekolah. 
3. Dell berasa lega mendapat komen yang baik dari ibu kedua-dua buah keluarga yang Dell ajar tuisyen sekarang ini. Dell akan cuba yang terbaik supaya mereka dapat memahami subjek yang diajar.






Alhamdulillah, tadi ada seorang lagi pensyarah yang meminta Dell membantu anaknya dalam subjek bahasa Melayu. Anaknya baru darjah 3 tetapi ibunya risau kerana anaknya lemah dalam subjek bahasa Melayu. Dell juga akan bantu anaknya dalam subjek Sains. Kelas tuisyen akan bermula pada minggu hadapan. 

Dell bersyukur setelah berhenti mengajar di pusat tuisyen tempoh hari, Dell diberi rezeki mengajar tuisyen di rumah pensyarah dan kawan Dell. Sekurang-kurangnya Dell dapat mengisi masa yang terluang selain menjana pendapatan tambahan.


NOTA :
1. Satu lagi pengalaman mengajar anak murid yang baru.
2. Ini merupakan keluarga ketiga Dell memberi perkhidmatan mengajar tuisyen setakat ini.
3. Sesungguhnya, rezeki itu rahsia Allah.