Selamat Datang ke Blog Dell!

Bersama Dell di Alam Maya
Sertai Saya
"Ada apa dengan hari Isnin, ya?"

Kalaulah Dell cakap begini dengan kawan-kawan Dell yang sedang bekerja, mesti kena marah punya. Hehehe. Selalunya, hari Isnin merupakan hari yang moodnya agak kureennnggg sikit, kan? Bak kata salah seorang guru Dell ketika sekolah menengah dulu, "Blue Monday..."

Sekarang ni, Dell sudah tidak mengenal hari. Kadang-kala bosan juga tidak bekerja ini. Dulu dah biasa sibuk. Yalah, bukan setiap masa Dell boleh mengadap buku. Dell mengharapkan geran penyelidikan yang dimohon berjaya. Jika berjaya, barulah hari-hari yang ada sibuk dengan penyelidikan pula. 

Sekarang ini mengharapkan tugasan-tugasan yang diberi oleh pensyarah untuk memenuhi ruang masa yang ada. Semoga geran penyelidikan yang dipohon lulus. Amin...
Dell belajar mengikuti bajet setelah bekerja di RMC, UPM. Sebelum itu, Dell langsung tidak kisah tentang apa yang dibentangkan di dalam perbentangan bajet oleh Perdana Menteri. Almaklumlah waktu itu bergelar staf kerajaan, yang menjadi tumpuan utama Dell ialah bonus, kenaikan gaji dan elaun. 

Kali ini, Dell lebih berfokus kepada pendidikan dan belia. Yalah, sekarang ni Dell merupakan siswazah sepenuh masa. Soal bonus satu bulan setengah gaji tu, Dell sempatlah merasa bonus itu untuk bahagian hari raya sebelum Dell meletakkan jawatan. Kiranya, Dell menganggap biasiswa penuh yang Dell perolehi sekarang ini sudah lebih daripada cukup sebagai bonus.

Dell tertunggu-tunggu juga, bila agaknya boleh dapat Kad Diskaun Siswa 1 Malaysia tu? Dan, adakah Baucer Buku 1 Malaysia bernilai RM250 tu akan diberi kali kedua kepada pelajar-pelajar yang sama? 

Apa-apa pun, tunggguuuu...! ;)
Wah, sudah lama Dell tidak menonton filem 3D! Hari ini, Dell berpeluang menonton filem animasi Hotel Transylvania 3D di Alamanda, Putrajaya.
 Serius, sangat best! Terasa seperti kartun tu terkeluar dari wayang gambar! Banyak kali Dell terkejut! Ini yang membuatkan Dell ketagih untuk menonton filem 3D lagi.
Selepas menonton filem 3D, sudah pasti kita akan tersenyum puas. Terima kasih kepada sepupuku, Mas kerana belanja tiket pawagam ini untuk meraikan berita gembira untuk Dell malam tadi. :)

"Jika kamu tidak berupaya berbaik sangka kepada Allah kerana sifat-Nya yang baik itu, maka berbaik sangkalah kamu kepada-Nya kerana nikmat yang dilimpahkan kepadamu. Maka, tidaklah Dia membiasakan kepadamu melainkan kebaikan. Dan tidaklah Dia mengenakan kepadamu melainkan pelbagai pemberian." (Inbu Athaillah Assakandary, Kalam Hikmah) ~via Dr. Kamariah Kamarudin~ 

Dell sangat tertarik dengan kata-kata ini. Setiap apa yang berlaku mempunyai hikmah. Dell bersyukur sangat kerana diberi banyak peluang dan dimurahkan rezeki walaupun pada masa yang sama Dell tidak lari dari pelbagai dugaan. Dell percaya dengan hikmah yang Allah berikan kemudian hari. 

Banyak yang Allah sudah gantikan untuk menggembirakan hati Dell. Banyak perkara yang Allah permudahkan untuk Dell. Dell berasa sangat syukur. 

Benarlah seperti yangg dikatakan oleh Ibnu Athaillah itu, kita kena sentiasa bersangka baik dengan Allah. ;)
Setelah pulun mencari maklumat selama sehari melalui internet (setelah kecewa tidak mendapat sebarang maklumat di mini perpustakaan di fakulti)... akhirnya Dell berjaya menyiapkan dua tugasan untuk dibentangkan di dalam kuliah petang tadi. 

Dell masuk lewat sikit ke dalam kuliah petang tadi kerana menunaikan solat Asar dulu... kebetulan kuliah sebelumnya tamat lambat. Masuk-masuk je dalam kelas terus pensyarah Dell minta Dell bentang. Dengan penuh semangat dan yakin, Dell pun bentang jawapan bagi setiap persoalan yang diberikan. Hampir kesemua pelajar yang ada di dalam kelas kurang faham apa yang Dell bentangkan. Akhirnya, pensyarah kata "Dilla, apa yang awak bentang tidak salah sebenarnya... cuma advanced sikit. Kita belum sampai ke tahap itu. Sebenarnya, saya cuma hendak yang asas sahaja. Kita akan bincang tentang hal tu dipelajaran akan datang."

La... ingatkan Dell yang terkebelakang. Disebabkan kerisauan yang melanda memikirkan pelajar-pelajar lain yang lebih dewasa dan pengalaman mereka itu membuatkan Dell tidak berani hendak membuat tugasan hanya lebih kurang.

Apa-apa pun, Dell rasa sangat lega kerana tugasan itu siap dan berjaya dibentangkan.

P/S : Mujur Sindrom Gagap Dell tempohari dah pulih! Hehehe... ;)
Malam tadi selepas tamat kelas, Dell tidak membuang masa untuk mencari Char Kuey Teow di gerai bersebelahan Tasik Seri Serdang, Selangor. 
Gambar dari Mr. Google :)

Sebenarnya, gerai ini dimiliki oleh keluarga salah seorang kawan Dell semasa kerja di UPM. Dell teringin juga hendak merasa apa bezanya Char Kuey Teow JB dengan char kuey teow yang lain. Dell berkesempatan order Char Kuey Teow Special. Yang special ini ada tambahan banyak udang dan telur mata. Rasa kuey kuey teow di sini boleh tahan. Harganya pun berbaloi. Yang special punya, berharga RM6 sepinggan tetapi berbaloi sebab udang-udangnya besar. Hendak cuba kelainan, datanglah makan di sini! :)

P/S : Waktu beroperasi jam 4.30 petang - 11.00 malam
Tutup : Hari Isnin
Sedang Dell sibuk menulis tugasan untuk perbentangan esok hari, tiba-tiba terdetik di hati untuk menyemak portal siswazahku. Teringin hendak semak sama ada permohonan nama-nama untuk jawatakuasa penyeliaanku sudah diluluskan atau belum. Alhamdulillah, ketiga-tiga nama telah lulus. Tiada lagi kegusaran dalam hatiku. Harapan semoga semuanya berjalan dengan lancar. :)
Akhirnya, malam tadi Dell ambil keputusan untuk mencuba Burger Samurai McD. Tak tahan melihat status dan komen-komen sahabat mengenai burger baru McD ni.
Ish, tak sabar nak makan... 
Itu dia...

Daging burgernya memang lembut dan disalut dengan sos Teriyaki. Sosnya rasa manis tetapi sesuai dengan rasa dagingnya. Manakala, airnya pun sedap! Campuran ainya iaitu Sprite dan Ribena sangat sedap dan kena dengan citarasa Dell. Tak rugi Dell membeli burger ini. Cubalah! :)
Sedar tak sedar, kita menghampiri seruan haji setelah berakhirnya bulan Syawal. Sudah ada saudara-mara Dell yang mendapat penggilan untuk mengerjakan haji pada tahun ini. Alhamdulillah, dapat mereka menunaikan rukun haji yang kelima.

Dell baru je mendaftar haji pada 8 Mei 2012 lepas. Itupun, setelah bapa angkat Dell sentiasa ingatkan Dell tentang ini. Dia pesan, jangan lambat-lambat daftar haji... nanti lambat gilirannya. Benar seperti dikata. Jika diikutkan dalam slip, nombor giliran Dell ialah pada tahun 2049. Aduhai, dah berketar kepala lutut Dell pada waktu itu. Almaklumlah, umur 67 tahun! Tapi, tidak mengapa. Mana tahu dapat rezeki awal nanti. Bila duit dah cukup, boleh mohon rayuan. Dell target hendak menunaikan haji dalam lingkungan umur 45 tahun ke bawah, insya-Allah.

Apabila bercerita bab haji, Dell teringat tentang buku pertama yang Dell menjadi editor. Dell diberi peluang untuk mengedit sebuah buku motivasi Islam terbitan KarnaDya pada tahun 2009.


Inilah bukunya.


Terasa sangat gembira waktu itu melihat nama tertera sebagai editor. Tercapai salah satu impian ketika sekolah dulu iaitu hendak menjadi editor.


Emel pengesahan Dell menjadi editor untuk buku ini.

Banyak ilmu yang Dell belajar ketika menyunting kandungan di dalam buku ini. Ilmu yang disampaikan bukan sahaja untuk mereka yang hendak mengerjakan haji tetapi mencakupi seluruh ruang kehidupan kita. Buku ini lebih kepada bentuk penceritaan penulisnya. Buku ini hanya berharga RM15 sebuah.

Didoakan semoga ramai yang mendapat haji mabrur pada tahun ini, insya-Allah. :)


Malam tadi beria-ria kononnya hendak ke perpustakaan UPM hari ini memandangkan rujukan yang dicari semalam di Wisata Minda, FBMK tidak berjumpa. Selepas subuh tadi, cuba memanaskan enjin di badan, supaya ada semangat hendak menyiapkan tugasan. Enjin dah panas, tapi malas pula hendak keluar dari rumah. Kiranya, berhibernasilah ni... huhu...
Akhirnya, Dell mengambil keputusan mencari segala maklumat melalui internet sahaja di rumah. Maklumlah, sekarang ni sudah ada jurnal dan kertas kerja secara online. Akhirnya, siap juga beberapa perkara. Hilang gundah-gulana dalam hati. :)
Baru-baru ni, Dell berpeluang menonton drama bersiri Indonesia berbentuk islamik iaitu "Islam KTP" di saluran TV Alhijrah pada pukul 6.00 petang. 
Sebenarnya, sudah lama Dell tidak melayan drama bersiri Indonesia. Tapi, drama 'Islam KTP' ni benar-benar menarik perhatian Dell untuk menontonnya. Banyak pengajaran dapat diambil melalui drama ini, unsur-unsur komedi yang diselitkan membuatkan kita tidak bosan menontonnya. 

Dell dapat banyak motivasi di dalam drama ini seperti bagaimana hendak menghadapi orang yang menghina dan menzalimi kita. Apa yang diketengahkan membuatkan kita berasa lega, redha dan bersyukur di atas apa yang berlaku dalam kehidupan kita. Secara tidak langsung, kita akan memahami sesuatu yang dianggap ringan selama ini sebagai contoh ungkapan 'Alhamdulillah' dengan lebih meluas di dalam drama ini.

Dell harap sangat dapat menonton drama bersiri ini dari episod 1 sehingga akhir di lain kali. 

Cubalah tonton drama bersiri ini, Dell percaya pasti banyak perkara tersirat disebalik kejadian akan diungkapkan secara tidak langsung di sini. :)
Banyak-banyak cupcakes dan kek yang Dell suka makan adalah daripada pembuat kek ni je iaitu Cik Cuppies aka Wani. Rasa keknya memang kena dengan citarasa Dell. Tambahan pula, Cik Cuppies ni berbakat dalam decoration kek. Dell memang kagum dengan bakat kreativiti dia ni. 






Kalau hendak lihat hasil tangannya yang lain dalam menghasilkan cupcakes dan kek? Mari klik di sini :

(Gambar koleksi cupcakes dan kek hanya boleh dibuka, sekiranya kita on fb kita sekali)

Penggemar dan pelanggan cupcakes dan kek boleh hubungi si Cik Cuppies ni di talian 017-6738583.

Selamat mencuba! ;)



::Tulisanku di Blog Diari Putri Lindungan Bulan pada 2 Oktober 2010::

Hendak tahu bagaimana perangai si Kimmy ketika di dalam kereta...? Meh, Putri nak cerita...

Perjalanan ke Kluang, Johor mengambil masa dalam empat jam sehala. Almaklumlah, Putri cuma pandu kereta dalam 100 KM ke bawah sejam.

Dalam perjalanan pulang ke Kluang, Putri letak Kimmy di dalam carry cage. Tak keluar-keluar. Di pun senyap dan tidur. Kadang-kala je, die mengiaw. Mungkin dia tanya, 'Lambat lagi ke nak sampai Kluang?' Ngeh... ngeh... ngeh...

Tetapi, semasa Putri dalam perjalanan pulang ke Equine Park dari Kluang... Kimmy punyalah mengiaw kuat-kuat dan tak berhenti-henti walaupun belum sampai sejam Putri drive.

Tak tahulah mengapa dan apa yang dia nampak kerana masa tu Putri drive pada waktu malam dan dalam kereta memang gelap-gelita.

Disebabkan Putri dah tak tahan mendengar Kimmy mengiaw tak berhenti-henti... akhirnya, Putri lepaskan dia di dalam kereta.

Macam biasa, dia akan meronda-ronda ke seluruh kawasan di dalam kereta, terhidu sana, terhidu sini...

Lepas dia dah puas hati, tiba-tiba dia duduk di atas riba Putri. Masa tu, Putri masih lagi di Johor. Tengok-tengok, rupa-rupanya...

Lenanya dia tidur...

Sekejap pusing macam ni, sekejap pusing macam tu....

Melipat badannya...

Putri dengan rilek memandu kereta dengan Kimmy lena di pangkuan Putri...

Sampai sahaja di Tol Kajang, dengan automatiknya Kimmy bangun! Macam tau-tau je, dah sampai di Selangor. Dia sibuk berdiri di carry cage sambil tengok ke luar tingkap.

Mesti dia dok berkata dalam hati, 'Dah nak sampai ni...'

Itulah Si Kimmy kalau berada di dalam kereta...
Setiap kali Dell buka buku di rumah, mesti mengantuk. Itu belum lagi dugaan-dugaan lain.

Ish, tak boleh jadi ni. Esok tinggal sehari je lagi untuk Dell siapkan tugasan yang diberi oleh pensyarah. Hari Jumaat dah kena bentang. Hari ini, selepas solat Zohor... Dell paksa diri untuk lepak di Wisata Minda, FBMK. Apabila melihat pelajar-pelajar lain begitu khusyuk mencari bahan untuk tugasan masing-masing, Dell pun bersemangat. Malangnya, sehingga pukul 4.30 petang Dell masih tidak berjumpa dengan apa yang dicari. Aduhai, kecewa rasanya!

Esok, Dell kena pergi pula ke perpustakaan UPM. Kena rajin, kalau tidak mesti tugasan tidak siap.

Chaiyok2!
Selalunya, Dell akan berpeluang makan puff jika mengikuti kursus di hotel. Pada Dell, rasa puff ni biasa sahaja... maknanya bukan makanan favourite. Tetapi ada seorang sahabat Dell telah berjaya mengubah citarasa Dell. Kali pertama makan puff ni... terus jatuh hati!

Tak pernah Dell makan puff seperti makan buah durian yang original. Puff durian ni sedap dimakan ketika sejuk. Memang tak terkata sedapnya!

Gerai puff ni terletak di tepi tangga di Mines. Sebenarnya, puff yang dijual ada dua perisa iaitu durian dan yogurt... pada Dell perisa durian tiada tandingan!

Untuk pengetahuan, 6 biji puff berharga RM8 tetapi berbaloi dengan rasanya. 

Cubalah jika tidak percaya! :)

::Tulisanku di Blog Diari Putri Lindungan Bulan pada 17 September 2010::

Ini merupakan kali pertama Kimmy berada di kampung bersama Putri. Putri bawa sekali cage dan semua peralatan dia.

Bagus si Kimmy ni ketika di dalam kereta. Duduk je dalam cage di kerusi depan. Asyik tidur je sampailah ke Kluang, Johor. Perjalanan mengambil masa hampir 4 jam. Nasib baik di tak mabuk kenderaan, kalau tak susah jugak.

Dulu, Putri selalu bawa kereta seorang diri kalau pulang ke kampung. Itu yang menyebabkan Putri mudah rasa mengantuk dan akan berhenti di mana-mana R & R dan tidur sekejap. Kali ni, Kimmy jadi peneman jadi mata Putri terbuka je.

Kadang-kadang, ada juga Putri terasa macam hendak terlelap. Maklumlah, cuaca panas... tapi si Kimmy ni macam tau-tau je... Dia mengiaw kuat-kuat. Nasib baik, kalau tak mesti dah terlelap.

Apabila dah sampai di kampung... Kimmy macam jakun sedikit. Mana taknya, rumah di kampung luas dan ramai orang.

Mujur keluarga Putri suka dengan Kimmy. Kalau tak, mahu terkurung dia.

Di kampung, berani pula dia duduk di atas tingkap. Tapi Putri kena jaga-jaga, takut dia terlepas keluar dari rumah. Kang hilang pula.

Oh, rupa-rupanya besarnya dunia!


Lanun : Hai, Lalink... Tengah tengok apa tu...?
Kimmy : Menyibuk je si Lanun ni!

P/S : Kimmy dan Lanun ucapkan 'Selamat Hari Raya' pada semua!
Semalam Dell mencuba Ayam Penyet di restoren ini. Hari ini Dell mencuba pula Bakso.
Boleh dikatakan Bakso di sini sedap. Dell suka rasa supnya, beberapa potong dagingnya yang lembut dan bebola dagingnya sangat besar!

Di dalam bakso ini adalah campuran mihun dan mi kuning. Bagi yang suka makan pedas, bolehlah meletak ketiga-tiga sos yang disediakan. Sedap dicampur ketiga-tiga sos.

Semangkuk Bakso hanya berharga RM4 sahaja. Mi pun banyak. Tak terhabis Dell makan. Kira memang puas dan kenyang.

Selamat mencuba! ;)
Kalau kamu semua hendak merasa cendol yang sangat sedap... datanglah ke Bandar Baru Bangi! Dah banyak tempat orang jual cendol, Dell sudah pergi... tapi menghampakan melainkan di sini.


Gerai cendol ni terletak di tepi jalan sahaja. Tapi pelanggannya sangat ramai. Hendak parking kereta pun susah.

Meh kita tengok pula antara menunya yang popular.
Cendol (boleh pilih hendak jenis apa)
Laksa (rasanya memang pekat dan sangat sedap!)
Rojak (ada pelbagai jenis rojak)

Dell sudah makan ketiga-tiga menu di sini. Rasanya sungguh sedap! Harga pun berpatutan.

Alamat gerai cendol ini : Di tepi jalan Seksyen 4 Tambahan. 
Waktu beroperasi : Dari jam 12.00 tengahari sehingga 7.00 malam. 

Apalagi, singgahlah ke gerai ini pekena cendol! ;)



::Tulisanku di Blog Diari Putri Lindungan Bulan pada 19 Ogos 2012::


"Jangan tuan, saya hanya nak seekor ikan sebab lapar!"
"Jangan tuan, jangan!"
"Kasihanilah saya!"
"Jangan tuan, jangan!"

Itulah yang mungkin dikatakan oleh seekor kucing yang bernama Hero. Seekor kucing yang telah dipotong tangannya oleh seorang taukeh restoren bukan Islam kerana mencuri seekor ikan.


Sesuai dengan namanya, Hero... kerana dengan semangat yang masih kental, dia hidup seperti kucing-kucing lain walaupun tidak sempurna...

Sedih apabila Putri baca serba sedikit tentang Hero ni.

'Saya jumpa kucing nie dalam keadaan parah. Menitis airmata saya ketika itu. Masa tue, saya cuma ada minyak gamat. Saya sapukan minyak gamat tue dilukanya yang sangat parah. Sungguh ajaib, kerana sebulan kemudian lukanya sembuh dan beransur baik...'

Putri terjumpa kisah Hero di blog kakimotong.

Blog ini mengisahkan si Hero dari kecil sehinggalah dia besar (bersama-sama haiwan yang lain).

Selepas Putri membaca kisah si Hero ni, Putri pandang pada anak bulusku, Kimmy. Putri terus panggil Kimmy dan peluk cium di. Putri terasa sayu sahaja apabila memandang Kimmy... kalaulah perkara ini terjadi pada Kimmy... Tak dapat Putri bayangkan...

Putri nak marah Kimmy pun tak sampai hati...

Putri rasa sedih sangat apabila membaca kisah sebegini. Kenapalah manusia boleh menjadi begitu kejam kepada haiwan yang tidak tahu apa-apa...?

SEORANG KUCING yang tiada akal dengan SEEKOR MANUSIA yang mempunyai akal???

P/S : Kisah antara Papa Hero (PH) bersama Hero boleh klik di sini... Kisah Sebenar antara Aku dan Hero.


::Tulisanku di Blog Diari Putri Lindungan Bulan pada 10 Ogos 2010::

Pagi tadi Putri terlambat bangun daripada tidur... pelik juga, ke mana perginya handphone Putri?

Rupa-rupanya,  handphone Putri berada di bawah perut si Kimmy!
Kalau hendak tahu, beginilah rupa dia kalau tidur di atas katil... Terfikir juga, dia tidak rasa gegaran ke bunyi alarm di bawah perut dia pagi tadi???

Bertuah punya budak! Patutlah tak dengar bunyi alarm tu.
Jangan pagi nanti Kimmy tidur di atas handphone Putri lagi, sudah... kang tak bangun sahur pula, huhuhu...
Sebenarnya, Dell baru sahaja mencuba Mesin Terapi Elektrostatik eMan petang tadi. Dell tahu tentang terapi ini pun melalui seorang kawan. Memandangkan terapi ini adalah percuma, apa salahnya Dell mencuba... betul tak?
 Terapi elektrostatik merupakan satu rawatan yang berasaskan cas-cas elektrik dan rawatan ini agak popular di Jepun. Pada asasnya, rawatan ini menggunakan kaedah getaran elektrik bagi melancarkan peredaran darah serta memecahkan lemak pada kapilari darah sekaligus membersihkan ruang kapilari darah kita. Terapi ini menggunakan 9000 voltan elektrik statik. Itulah sedikit info yang Dell dapat daripada fasilitator di situ. 

Rawatannya tidak lama, hanya 20 minit sahaja sehari. Untuk mengetahui keberkesanannya, Dell kenalah selalu datang ke situ untuk rawatan. Lagipun, fasilitator meminta Dell datang berulang kali kerana terapi adalah percuma. Berkesan atau tidak, Dell kenalah bagi laporan kemajuan kesihatan diri sendiri selepas sebulan menggunakan terapi ini.

Tidak salah mencuba, kan?

P/S : Pusat terapi ini terletak di Tingkat Bawah Permis Blok B-1-08, Pangsapuri Putra Permai, Bandar Baru Permai Selesa, Seri Kembangan, Selangor.
Selepas Dell mencuba Mesin Terapi Elektrostatik eMan di salah sebuah kedai berdekatan sini, perut pula terasa lapar. Kebetulan, ada sebuah restoren makanan bersebelahan dengan kedai terapi tadi. Apalagi, Dell pun masuk. Terkejut sebenarnya kerana restoren ni nampak kecil tetapi ada satu ruang makan lain yang berhawa dingin. Cuba tengok dalam gambar... nampak selesa, kan?

Jangan terperanjat pula, mereka akan selalu buka Astro saluran 141 Bintang di sini.
Sebenarnya, Dell terkeliru dengan restoren ni. Ingatkan ada dua buah restoren makan yang berbeza, rupa-rupanya restoren ini ada dua ruang... satu ruang yang berhawa dingin, manakala satu lagi ruang jenis makan di luar. Dell pilih ruangan berhawa dingin kerana cuaca sangat panas. Nampak kemas dan selesa, kan?
Jika kita lihat pada menu yang Dell paparkan... harganya tidaklah mahal.

Inilah menu Nasi Ayam Penyet. Rasa ayam penyet di sini boleh tahan. Nasi dan ayamnya lembut, sambal dan supnya sedap. 

Dell lihat tukang masak dan pelayannya memang orang Indonesia. Restoren ini berdekatan dengan surau, jadi tadi Dell nampak ramai pelanggan dari surau makan dan minum di sini selepas solat asar.

Restoren ini terletak di Tingkat bawah Permis Blok B, Pangsapuri Putra Permai, Bandar Baru Permai Selesa, Seri Kembangan, Selangor.
10 Ucapan Beracun

1. 'Saya Tidak Tahu di Mana Nak Mula.'

Ini masalah biasa. Jangan gelabah. Biasalah, kalau kita bingung dengan jumlah subjek yang banyak untuk di-pelajari. Mulakan dengan menyenaraikan semua perkara yang kita perlu tahu dan yang boleh dicari daripada sukatan pelajaran atau segala yang diberitahu oleh pensyarah. Bahagikan beban kerja pada beberapa bahagian yang boleh diurus. Belajar mengutamakan kerja yang utama dan jadualkan masa kita secara realistik. Displinkan diri dengan membiasakan diri kita selama beberapa minit tempoh antara kuliah untuk megulangkaji nota-nota kuliah. Elakkan menangguh kerja ke saat-saat akhir dan mula belajar seawal mungkin dengan tempoh minima empat jam sehari.

2. 'Banyaknya Nak Belajar, dan Masanya Pula Sikit.'

Bijak bertindak. Pastikan kita amalkan BTU (Baca awal, Tumpu, Ulangkaji) terhadap kuliah-kuliah kita. Buat helaian rumusan pengajian untuk semua subjek yang ada. Kerja ini boleh dipermudahkan dengan kumpulan belajar kita. Rumusan ini termasuklah nota kuliah, tutorial, pembelajaran berasaskan masalah dan kerja-kerja makmal yang perlu disaling-kaitkan. Kenalpasti topik-topik yang paling penting yang diberi penekanan oleh pensyarah dan bahagian-bahagian yang sukar difahami.

3. 'Susahnya Subjek Ini, Saya Tak Faham Langsung!'

Bersabarlah! Mempelajari ciptaan Tuhan yang paling tinggi sudah tentu tidak mudah. Tetapi percayalah pada pesanan saya, sebaik sahaja kita memperolehi ilmu pengetahuan, ia akan memberi kepuasan dalam hidup kita. Anggapnya sebagai suatu cabaran. Pendekatan yang baik ialah dengan berbincang dengan rakan- rakan lain dalam kelas. Kita akan rasa lega apabila diberitahu rakan-rakan lain juga mendapati subjek itu sukar. Beranikan diri buat temu janji dengan pensyarah untuk mendapatkan penjelasan bagi bahagian-bahagian yang sukar. Pensyarah sudah tentu amat suka untuk membantu. Secara peribadi saya berasa amat gembira apabila penuntut bertanya kepada saya. Satu perkara penting perlu diingati, bahawa lebih sukar sesuatu subjek itu, lebih berguna ianya untuk masa pratikal klinikal dan pengajian lanjutan lepas ijazah.

4. 'Saya Baca, Saya Faham, Tetapi Saya Tak Boleh Ingat Langsung.'

Berbincanglah. Kita akan ingat lebih baik bagi perkara-perkara yang dibincangkan secara mendalam. Hasil penyelidikan telah menunjukkan bahawa kita ingat 70% daripada apa yang kita bincangkan. Cuba kaitkannya dengan sesuatu yang bermakna kepada kita. Semasa berbincang, cuba kaitkan topik tersebut dengan contoh-contoh sendiri. Cuba salingkait subjek dengan apa yang kita pelajari sebelum ini.

5. 'Agak-agaknya Saya Faham.'

Jangan terlalu yakin. Uji diri sendiri dengan berbincang mengenai subjek tersebut. Bina soalan-soalan dengan rakan-rakan kita mengenai bahagian-bahagian penting dan uji sesama sendiri. Sentiasa ingat fakta yang ditekankan oleh pensyarah semasa dalam kuliah. Kaji hubungkait antara setiap topik. Cuba bina soalan-soalan peperiksaan kita sendiri untuk topik yang dibincangkan dan beri jawapan.

6. 'Banyaknya Nak Kena Ingat.'

Susun atur maklumat kita. Maklumat lebih mudah diingati jika dipersembahkan dalam bentuk rangka kerja yang tersusun supaya maklumat boleh diperolehi semula dengan cara yang sistematik. Ada banyak teknik yang dapat membantu kita menyusun atur maklumat baru, termasuklah:

7. 'Baru Sebentar Tadi Saya Ingat.'

Kaji semula. Selepas membaca satu bahagian kaji semula dan amalkan output learning iaitu mengeluarkan kembali fakta yang dipelajari. Cuba reka soalan mengenai bahagian tersebut dan jawab. Jika kita tidak boleh ingat lagi, baca semula pada tempat yang kita tidak ingat. Lebih banyak kita mengambil masa untuk belajar, lebih banyak yang boleh diingat. Walaupun kita boleh ingat kesemua fakta, kita masih perlu terus belajar kerana pembelajaran berterusan boleh menjadikan bahan yang dipelajari tidak mungkin dilupai. Dengan kata lain kita tidak mungkin terlebih belajar. Walau bagaimanapun, bagaimana kita mengatur dan menggabungkan maklumat baru amat penting daripada berapa lama kita mengambil masa untuk belajar. Bukan berapa lama kita belajar yang penting tetapi berapa banyak yang kita perolehi semasa sesi belajar itu lebih penting. Berapa banyak yang kita telah pelajari boleh dibuktikan daripada jumlah soalan yang boleh dijawab. Cuba sediakan soalan berbentuk esei dan jawab sendiri, kemudian cuba jawab soalan aneka pilihan untuk mengukuhkan apa yang telah dipelajari.

8. 'Tapi Saya Suka Belajar Atas Katil Saya.'

Ini tidak baik. Ambil berat terhadap pelajaran kita. Membaca buku untuk pengajian tidak sama dengan membaca buku cerita. Kita mesti belajar dengan kertas dan pen di tangan dan catat atau buat rajah untuk belajar secara aktif. Kita tidak boleh belajar sambil berbaring. Lagi pun, kita boleh ingat semula lebih baik bila situasi belajar sama seperti situasi semasa ujian. Lebih mirip antara suasana belajar dengan suasana ujian, maka lebih banyak bahan yang boleh diigati semasa ujian.

9. 'Saya Belajar Lebih Baik Pada Saat-saat Akhir.'

Ini tidak benar sama sekali. Ingatan bertambah apabila masa belajar meliputi tempoh masa yang panjang. Sudah pasti jika belajar pada saat akhir ada hormon yang boleh dirembeskan akibat tekanan yang membuat kita rasa tangkas, cergas dan bertenaga untuk belajar. Walau bagai-manapun kecergasan ini akan mengakibatkan kita mudah penat dan diserang gelabah terutama sekali apabila kita dapati terlalu banyak yang mesti dipelajari. Belajar di saat-saat akhir adalah sia-sia dan kesannya akan dirasai semasa peperiksaan. Saya pernah melihat rakan saya yang bersikap sedemikian akhirnya terpaksa mengulangi beberapa kertas dan akhirnya terpaksa mengulangi seluruh tahun akademik tersebut dan ada di antara mereka menamatkan pengajian mereka dua tahun lebih lewat daripada sepatutnya ber-banding dengan siswazah lain. Keadaan ini membuat mereka kecewa dan kurang keyakinan diri.

10. 'Saya Akan Berjaga Sepanjang Malam Sehingga Saya Habis Belajar.'

Keadaan ini kurang produktif. Perkara yang amat penting semasa ujian ialah berfikiran cergas. Elakkan keletihan minda. Rehat sebentar berulang kali semasa mentelaah. Sebelum ujian rehatkan minda kita. Adalah amat penting kita menjaga diri kita sebelum peperiksaan. Makan betul-betul, tidur cukup dan bersenam secukupnya dan berdoalah bersungguh-sungguh.

Dipetik daripada buku Bagaimana Menjadi Seorang Pelajar yang Baik dan Berjaya. Dapatkan buku ini di http://www.assohwah.com
/
Cerita tentang satay, ada satu lagi satay yang rasanya sangat sedap selain Satay Hj. Samuri. Kali pertama, Dell merasa satay ni terus jatuh hati!

Inilah Satay Willy! Sataynya sangat lembut dan rasanya ada sedikit kelainan.

Gerai satay Willy ini terletak di Medan Selera Ramal Junction, Taman Sri Ramal, Kajang, Selangor.

Siapa yang membeli satay di sini memang kena beratur panjang sebab pelanggannya sangat ramai.

Cubalah rasa kelainan satay ni! ;)
Kalau kamu semua hendak tahu, ada satu gerai nasi ayam yang Dell cukup suka masakannya. Setakat ini, nasi ayam di gerai ini yang paling sedap Dell pernah makan.

Di mana???
Gerai Nasi Ayam Goreng Sempoi di Medan Selera Ramal Junction, Taman Sri Ramal, Kajang, Selangor.

Kali pertama, Dell datang ke sini bersama bos (dua tahun lepas) selepas kami menziarahi salah seorang staf yang sakit di rumahnya. Bos Dell yang perkenalkan gerai ini, katanya nasi ayam di sini tidak boleh dilawan rasanya.

Inilah nasi ayamnya. 

Kalau Dell datang ke gerai ini, Dell lebih suka beli Nasi Goreng Ayam Pedas. Memang sedap! Ini diakui oleh kawan-kawan Dell yang pernah makan nasi ayam di sini.

Pelanggan juga boleh menempah nasi ayam ini untuk jamuan. Ini merupakan cara pembungkusannya

Cubalah rasa kalau tidak percaya! ;)
Usah bimbang jika kita kehilangan sahabat, percayalah, ada kemungkinan Tuhan menghantar dia sebagai sahabat kita hanya untuk setakat itu. Hidup ialah sebuah perjalanan. Nanti Tuhan kirimkan sahabat yang lain untuk sambungan perjalanan ini kelak, insya-Allah! ~Nisah Haron~
Kadang-kala anak-anak murid kita ni menghiburkan hati dengan telatah mereka. Anak murid???

Buat masa ni, Dell membantu seorang sahabat memberi tuisyen untuk keempat-empat anaknya. Anak-anak murid Dell ni seorang darjah empat, seorang darjah enam, seorang tingkatan dua dan seorang lagi tingkatan empat. Mereka ni agak lemah dalam penulisan bahasa Melayu. Dell bukan sahaja mengajar mereka  untuk subjek bahasa Melayu tetapi Sains dan Matematik. 

Dell mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu kerana mereka sememangnya lemah bahasa Inggeris. Cuba fikir, bagaimana mereka hendak faham isi kandungan dalam buku teks yang sepenuhnya dalam bahasa Inggeris? Disebabkan itulah anak-anak Melayu yang lemah bahasa Inggeris turut ketinggalan jauh kebelakangan untuk subjek Matematik dan Sains. Alah, mereka boleh menjawab kertas peperiksaan dalam dwi-bahasa. Sudah tentu, mereka akan menjawab dalam bahasa Melayu.

Apabila penulisan bahasa Melayu mereka sudah kuat, sudah tentu mereka boleh menjawab soalan Sains dengan mudah sekiranya perlu menerangkan sesuatu.

**********

Yang tua, biasanya serius sedikit, tapi yang sekolah rendah tu macam-macam karenahnya. Lawak pun ada. 

Semalam merupakan kali pertama Dell menunjukkan buku 'Kamus Dewan' kepada mereka. Dell beritahu bahawa kamus ini boleh digunakan oleh pelajar sekolah rendah sampailah peringkat orang tua. Mereka tengok Dell dengan raut muka tidak percaya. Setelah mereka melihat Dell buka kamus itu untuk cari makna seerti untuk beberapa perkataan, tiba-tiba anak murid darjah empat dan enam teruja untuk melihat kamus tu. Ke hulur ke hilir membawa kamus tu dan menyelak-yelak setiap muka surat (mungkin teruja melihat banyak perkataan yang mereka tidak pernah dengar sebelum ini). Kedengaran dari dalam rumah yang mereka meminta ibu dan ayah mereka untuk membeli kamus tu. 

**********

Tadi, ibu mereka cakap di depan mereka semua begini...

Ibu : Ibu hendak pergi opis ni, belajar rajin-rajin. Tak tahu tanya cikgu. Kalau belajar elok, nanti ibu bawa korang semua pergi bercuti. Bawa cikgu sekali.

Dell : (Tersengih)

Yana : Hah, bawa cikgu sekali? Kan kita bercuti, takkan masa bercuti kena belajar juga?

Ibu : Eh, bercuti pun kena belajar juga tau! Sebab tu kena bawa cikgu sekali.

Dell : (Tergelak-gelak)

Yana : Habis tu kalau main kat Wet World, takkan nak bawa buku sekali? Kan nanti basah.

Ibu : Nanti ibu belikan buku yang kalis air.

Kiki : Betul ke ibu nak beli buku kalis air? Ada ke?

Fakrul : Alah, takkan tengah-tengah mandi air nak kena study?

Dell : (Masih tergelak-gelak)

Ibu : Takdelah. Bercuti kita bercutilah. Bawa cikgu bercuti sekali. Dengan syarat, Yana, Kiki dan Fakrul kena belajar betul-betul... rajin-rajin... baru ibu bawa pi bercuti.

Yana dan Kiki : Yeay!

**********

Ish, lawak betul mereka ni! Tapi syukur, mereka ada minat hendak belajar. Walaupun Dell hanyalah seorang cikgu tuisyen, tapi pendekatan dan penumpuan kepada mereka sangat berbeza dengan pusat tuisyen di luar. Ini kerana kita tumpu sepenuhnya kepada mereka sahaja di rumah. Dell mengajar mereka bermula dengan yang paling asas sehinggalah mereka benar-benar dapat kuasai satu-satu subjek tu. Apa-apa pun, semoga mereka semua ni berjaya dalam pelajaran dan kehidupan... :)


Kadang-kala, kita tidak sedar bahawa haiwan jalanan boleh mengubah kehidupan kita. Setiap makhluk yang hadir dalam hidup kita merupakan pembuka pintu rezeki tetapi terpulang kepada manusia itu sendiri sama ada bersih atau tidak hatinya.

Kisah kucing jalanan yang bernama Bob bersama tuannya, James di England telah menjadi inspirasi dan motivasi kepada masyarakat seluruh dunia. Kesetiaan Bob yang sentiasa mengekori James setelah diselamatkan daripada kelaparan dan kecederaan telah menarik perhatian ramai orang disekelilingnya.

Kisah mereka ini begitu popular di internet sehingga James Bowen menerbitkan kisah mereka berdua di dalam sebuah buku yang bertajuk 'The Street Cat Named Bob : How One Man and His Cat Found Hope On The Street'.
Bagaimana seekor kucing menjadikan hidup James lebih bermakna kerana selama ini, James berasa dirinya tidak dihargai sementelah pula sudah lama dia hidup di jalanan. Kini, buku James antara yang terlaris dan menjadi contoh kepada para pencinta haiwan.

Bak kata pepatah, 'Tuah ayam nampak di kaki, Tuah manusia tiada siapa yang tahu'.

P/S : Untuk mengetahui kisah dengan lebih mendalam, sila klik 'Kisah kucing jalanan yang bernama Bob'.