Selamat Datang ke Blog Dell!

Bersama Dell di Alam Maya
Sertai Saya
Memaparkan catatan dengan label Lukisan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Lukisan. Papar semua catatan
Cuti kali ini, Dell malas nak bawa peralatan melukis walaupun untuk 'sketch'. Lagipun, Dell tak terfikir nak melukis semasa di kampung, nak rehat puas-puas katanya.

Tapi tulah, tiba-tiba terasa gian sangat nak melukis. Itu pun selepas Dell menghantar artikel ketiga di akhbar pada malam raya haji. Mujur salah seorang kawan Dell perkenalkan aplikasi 'Pen & Ink' di iPad. Sekali je cuba terus rasa 'excited'! Mana taknya, kita hanya perlu menyentuh jari di skrin untuk melukis. Lihatlah hasil lukisan Dell menggunakan iPad.

Merenung impian....
Bunga-bunga tulip...


Dulu, Dell jarang hendak menyimpan duit syiling di dalam dompet kerana ianya akan memberatkan dompet. Tapi kini Dell perlu menggunakannya kembali. Untuk apa? Untuk membeli air minuman yang ditapis di mesin air berdekatan rumah.

Sebelum ini, Dell hanya masak air di paip rumah sahaja tetapi sejak kebelakangan ini Dell perasan bahawa air tersebut seperti tidak bersih kerana tidak bertapis. 

Pada awalnya, Dell kerap membeli sebotol besar air mineral di kedai-kedai berdekatan. Harganya agak mahal. Selalunya mencapai lebih RM10 sebotol. 

Secara kebetulan, baru-baru ini Dell ternampak ada satu mesin air jenama baru ada berdekatan dengan rumah Dell yang menawarkan dua jenis air. Seposen 500ml untuk air tapis biasa dan dua posen 500ml untuk air yang ditapis beserta hidro ion. Dell lupa nama jenama mesin air tersebut.

Jadi, petang tadi Dell membelanjakan duit syiling sebanyak hampir RM3 untuk mengisi air tersebut. Dell memilih air yang ditapis berserta hidro ion. Tak salah berbelanja lebih sedikit untuk kesihatan, kan?

Apa-apa pun, ianya lebih murah berbanding membeli air yang sudah siap dibotolkan di kedai, kan? Maklumlah, sekarang ini kita kena berhemah dalam berbelanja. :)

Lukisan terbaru Dell pagi tadi.

Tajuk : Mencari ilham



Dell masih ingat beberapa tahun dahulu ada 'orang' kata Dell tidak tahu apa-apa kerana bukan orang seni. Dell tertanya-tanya, dari sudut mana mereka pandang pada seseorang itu sehinggakan boleh tahu bahawa orang itu tiada seni?

Sewaktu 'mereka' mengatakan begitu, Dell diamkan sahaja. Pada Dell, mereka bukan orang yang sebenar-benar layak untuk berkata demikian. Untuk mengetahui potensi kita sendiri, jumpalah dengan golongan yang benar-benar berkelayakan. Jika tidak, orang seperti itu akan membunuh semangat kita.

Salah satu cara Dell gunakan untuk mengetahui sejauh mana potensi Dell, Dell siapkan sesebuah karya kemudian Dell akan berjumpa mereka yang benar-benar pakar dan bertauliah di dalam bidang itu. 

Sebagai contoh, Dell pernah menghasilkan beberapa puisi secara spontan dan Dell tunjukkan puisi-puisi tersebut kepada Dr. Lim Swee Tin dan Dato' Kemala. 

Alhamdulillah, komen mereka membuatkan Dell tersenyum. Ingat lagi ketika mereka mengatakan tidak sangka Dell boleh mengarang puisi yang cukup baik bagi seseorang penulis yang tiada ilmu mengenai puisi. 

Mereka terus meminta Dell jangan berhenti menulis dan teruskan menulis kerana bakat itu sudah ada cuma perlukan banyak latihan dan belajar teknik-teknik untuk penambahbaikan.

Hal ini juga berlaku dalam bidang nyanyian. Bakat sudah ada cuma Dell perlu menggilapnya. Nyanyian tu hanya sebagai hobi Dell ketika lapang dan tidak pernah terfikir untuk menjadikannya sebagai kerjaya. Dan seperti biasa, Dell akan meminta pendapat daripada mereka yang pakar selain mereka yang berada disekeliling Dell.

Begitu juga dengan hobi terbaru Dell dalam bidang lukisan. Secara kebetulan, Dell mengenali seseorang yang memang mempunyai Diploma dalam Seni Halus dan Master dalam multimedia dan reka bentuk. Beliau merupakan pensyarah di salah sebuah IPTA di Perak. 

Letih melayan orang sebegini....

Dell tunjukkan lukisan Dell kepadanya petang semalam untuk meminta pendapat. Alhamdulillah, komen beliau turut membuatkan Dell tersenyum. Beliau juga turut memberi sedikit tips untuk melukis. Beliau kata Dell memang ada bakat melukis tapi perlu belajar teknik-teknik supaya lukisan akan jadi lebih baik.

Percubaan melukis gambar sepasang pengantin...

Jadi Dell tertanya-tanya lagi, dari sudut mana 'mereka itu' pandang pada seseorang itu sehinggakan boleh tahu bahawa orang itu tiada seni?

Dell berbincang juga isu ini bersama pensyarah tersebut. Beliau kata, "orang yang benar-benar mempunyai darah seni tidak akan sekali-kali mengatakan orang lain itu tiada seni." Dell teringat yang Dr. Lim Swee Tin turut menyatakan penyataan yang hampir sama dengan pensyarah ini beberapa tahun dulu.


Sebenarnya ramai yang tidak mengetahui bahawa Dell memang mempunyai darah seni. Atok sebelah ayah Dell merupakan penyanyi ghazal dan pandai bermain alat muzik. Beliau bersama adik-beradiknya menubuhkan sebuah kumpulan muzik dan selalu membuat persembahan di sekitar Johor. 

Tidak hairanlah, kebanyakan sepupu Dell di belah bapa mewarisi kemahiran lakonan, nyanyian dan tarian. Yang benar-benar terserlah sepupu Dell iaitu Kumpulan Shiro Raja Lawak.

Manakala, moyang di sebelah ibu Dell pula pandai bertukang dan mengukir kayu. Maklumlah, beliau dari Minangkabau, Indonesia. Beliau ini Dell sempat jaga ketika hidupnya. Isterinya pula pandai berpantun dan bersyair secara spontan. Manakala, bapa kepada moyang pula pandai mengaji, seni bela diri dan seni perubatan Islam.

Seni ini ada pelbagai... Ada seni melukis, menyanyi, berlakon, menulis, perubatan, bertukang, menjahit, tarian dan sebagainya. Jadi siapa yang berani kata bahawa seseorang itu tiada seni? Siapa yang tahu bahawa seseorang itu tiada berdarah seni? 










Dengan teknologi moden yang ada sekarang ini, kita boleh mencuba dulu apa yang diimaginasikan sebelum kita melaksanakannya. Dell cuba membayangkan sekiranya salah satu lukisan Dell dibingkaikan. Agak-agaknya laku tak kalau Dell jual lukisan sebegini? ;)

Allah

Beberapa tahun lepas, Dell pernah cuba menjahit manik. Alhamdulillah, ianya menjadi kerana Dell hanya menjahit manik bentuk kerang di sekeliling pergelangan tangan baju kebaya Dell. 

Tapi, mengapa Dell tidak meneruskan aktiviti menjahit manik? Cukuplah sekali Dell menjahit untuk sepasang baju (hanya kedua-dua pergelangan tangan sahaja) telah mengambil masa selama 3 hari! Fuh, tak sanggup hendak mengulanginya lagi. Tertekan rasanya.

Jahitan manik pertama Dell

Walau bagaimanapun, hobi melukis ini Dell rasa sangat berbeza. Membuatkan hati sentiasa hendak melukis sesuatu yang baru. Terutama jika lukisan yang Dell lukis itu menjadi. Terasa sangat puas dan Dell akan menatapnya berhari-hari. Kalaulah Dell tahu yang Dell boleh melukis, dari dulu lagi Dell asah bakat ini.

So relaxing!




Serius Dell katakan, Dell rasa sangat gembira selepas Dell melukis. Malah, ada rasa hendak membaca bahan-bahan yang berkaitan dengan penyelidikan sambil melukis peta minda yang ringkas. Kalau tidak, mood sebelum ini mesti 'slow'. Mungkin ianya disebabkan Dell bermain dengan warna selama beberapa jam.
Alat-alat lukisan Dell setakat ini...
Nampak tak berus yang besar tu? Akhirnya Dell jumpa berus yang dicari di kedai alat tulis di flat ikan. Itu pun tinggal satu batang je. Ada juga beberapa batang berus lukisan lain yang Dell beli di situ.

Dell telah membeli buku lukisan dan pensel yang sesuai untuk melukis 'sketch'. Apabila Dell dah mula melukis ini, baru Dell tahu berus mana yang benar-benar sesuai dengan jiwa. Ini Dell sertakan dua lagi lukisan yang sempat dilukis.

'Bagai pungguk rindukan bulan'

'Allah'


Sudah lama Dell tidak melukis. Rasanya dah lebih 15 tahun. Tak tahu mengapa, tiba-tiba Dell rasa gian sangat nak melukis. Akhirnya Dell membeli peralatan melukis pada Ahad lepas. Lega sangat selepas melukis. Hilang rasa tensen dan Dell rasa gembira sangat!

Alat-alat lukisan yang baru dibeli...
Karya pertama....
Karya kedua...
    Karya ketiga...