Selamat Datang ke Blog Dell!

Bersama Dell di Alam Maya
Sertai Saya


Ketika Dell membelek fb sebentar tadi, mata Dell tertumpu ke arah gambar ini. Dell cuba mengalih pandangan ke arah lain tetapi tangan Dell mencari semula gambar ini tadi. Dell pandang semula gambar ini. Hati Dell terus terasa sangat sebak. Hati Dell berkata, 'Walaupun ada ketikanya aku dalam kesusahan, tapi belum pernah lagi sesusah ini...'.

Dell berasa amat bersyukur dengan limpahan rezeki yang Allah beri. Setiap kali Dell berada dalam kesusahan, Allah akan menggembirakan Dell dengan sesuatu sebagai ganti. Ada kalanya, sesuatu yang di luar jangkaan Dell sendiri. Bergenang air mata Dell memikirkan kebesaran Ilahi.

Bayangkan baru sahaja terdetik di hati Dell kerana lapar, tiba-tiba akan ada seseorang membawa makanan atau ajak keluar makan. Kadang kala Dell teringin hendak makan sesuatu yang mungkin kosnya mahal dan hanya pendamkan di dalam hati, tiba-tiba ada seseorang akan bawa Dell ke situ dan belanja. Itu baru hanya DETIK DI HATI, Allah sudah perkenankan hajat Dell.

Pabila mengenangkan semua ini, Dell akan berasa sangat terharu dan bersyukur di atas kenikmatan yang Allah beri. Jika Dell ditimpa musibah atau masalah, Dell akan mengingati kenikmatan yang diberi sebelum ini sehinggakan Dell berasa redha segala apa yang terjadi tanpa ada rasa marah, kesal dan sedih. Dell percaya akan rezeki yang Allah beri. Tak elok kita berasa tamak. Percayalah akan rezeki Allah. Setiap makhluk-Nya sudah tertulis rezekinya.


NOTA :
1. Jika kita percaya akan rezeki Allah, sudah tentu penyakit PHD dapat disingkirkan.
2. Sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberikan oleh Allah walaupun hanya sekecil cuma. Kerana sifat syukur itu akan memberi kenikmatan yang lebih besar pada masa akan datang.
3. Sentiasalah Sujud Syukur sekiranya Allah memakbulkan permintaan kita sama ada zahir atau batin. Lakukanlah solat sunat jika berkemampuan.
4. Perbanyakkanlah sedekah, nazar dan zakat di masjid-masjid, surau, rumah anak-anak yatim, orang susah, orang OKU, orang sakit dan yang berkaitan.
5. Lunaskan hutang yang ada sehingga selesai.




"Ala, cikgu... kena buat pembetulan ke?", tanya salah seorang anak murid.

"Eh, kenalah buat! Nanti adik tak ingat kesilapan adik yang mana satu.", pujuk Dell.

"Malas nak buatlah cikgu, banyak sangat salah...", katanya lagi sambil tersengih dan berkerut-kerut muka.

"Adik nak jadi pandai, kan? Lepas ni, adik kena buat dengan lebih berhati-hati. Jadi tiada kesalahan yang sama berulang...", pujuk Dell lagi. 

Ketika dia sedang membuat pembetulan, Dell dan adik beradiknya yang lain bercerita tentang sains. Asyik syok sangat bercerita, alih-alih termasuk bab cita-cita. Abangnya ada yang nak jadi jurutera seperti ayahnya manakala abangnya yang lagi satu... lupa pula nak jadi apa. 

Tiba-tiba si kecil ni mencelah dengan penuh semangat, "Saya nak jadi angkasawan!"

Dell pun berkata, "Hah, nak jadi angkasawan kenalah rajin buat pembetulan matematik tu...!"

Mereka semua ketawa. Mereka tanya Dell, apakah cita-cita itu boleh menjadi kenyataan. Dell menyatakan tiada yang mustahil sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya dan yang paling penting jangan sekali-kali lupa berdoa meminta pertolongan dari Allah.


NOTA :
1. Budak-budak sekarang ni malas betul hendak membuat pembetulan jika ada kesalahan. Tidak seperti zaman Dell dulu, kadang-kadang cikgu sekolah suruh buat pembetulan lebih tiga kali. La ni, satu kali pun dah tak nak buat.
2. Pada pendapat Dell, pembetulan harus dibuat supaya pelajar ingat akan kesalahan mereka agar mereka tidak membuat kesalahan yang sama.
3. Setiap kesalahan harus diterangkan kepada pelajar sehingga mereka faham dan nampak kenapa ianya salah walaupun kesalahan itu kelihatan kecil bagi kita.




Sejak Dell meninggalkan alam pekerjaan dan bergelar sebagai siswazah sepenuh masa, Dell telah meninggalkan salah satu daripada rutin harian Dell iaitu membaca surat khabar. Entahlah, tidak tahu mengapa. Kalau nak tahu isu semasa pun, Dell hanya mendengar berita (itu pun tak sepenuhnya), membaca blog atau pun melalui status kawan-kawan di FB. 

Baru-baru ini ketika berada di kampung, Dell rajin jugalah membelek sehelai demi sehelai helaian surat khabar Utusan Malaysia yang dibeli oleh mama. Mama Dell memang membeli surat khabar setiap hari kerana atok Dell suka membaca.

Hendak dijadikan cerita, ketika membelek surat khabar tersebut, Dell terbaca berita mengenai KUIS. Berita yang mendukacitakan mengenai penutupan Fakulti Bahasa Moden di sana kerana ada masalah pengurusan. Apa kena mengena dengan Dell tentang kisah ni?

Sebenarnya selepas Dell konvo MA pada tahun 2010, Dell telah cuba memohon jawatan pensyarah bahasa Melayu di fakulti tersebut. Dell memohon di situ atas nasihat bapa saudara Dell. Dan beliau sendiri menyerahkan resume Dell kepada kawannya yang merupakan Pendaftar di sana. Mungkin ditakdirkan bukan rezeki Dell di situ, permohonan tersebut tidak diproses dan tertangguh.

Tidak dinafikan, Dell terasa sedikit kecewa kerana tiada panggilan temuduga oleh pihak di sana. Apabila kami bertanyakan status permohonan, mereka mengatakan masih dalam proses. Kawan kepada bapa saudara Dell (Pendaftar tersebut), menasihatkan supaya Dell sambung PhD. 

Akhirnya, Dell bertekad untuk sambung belajar lagi. Mungkin perjalanannya agak sedikit lewat berbanding rakan lain kerana banyak urusan yang perlu diselesaikan sebelum Dell sambung pengajian. Alhamdulillah, Dell berjaya sambung pengajian dengan tajaan biasiswa penuh KPT dan turut mendapat pembiayaan penyelidikan dari geran penyelidikan UPM melalui supervisor Dell. 


NOTA :
1. Apa yang berlaku pasti ada hikmah. Ianya rahsia Allah. Cuba bayangkan sekiranya Dell sudah bekerja di situ, tiba-tiba hilang pekerjaan.
2. Cepat atau lambat, kita kena yakin dengan rezeki dari Allah.
3. Usaha tangga kejayaan. Kena kerja keras untuk memperolehinya.


Sepanjang hari ini, Dell hanya menumpukan kerja-kerja mengedit artikel-artikel GMJ-ME yang akan diterbitkan untuk isu akan datang. Lega rasanya semuanya berjaya disiapkan tadi. Sebelum mesyuarat besar (melibatkan semua ahli jawatankuasa) yang akan diadakan pada bulan Mac nanti, Dell perlu menyemak semula laman web jurnal online ini untuk penambahbaikan. Tambahan, jurnal ini telah membuka penghantaran artikel dalam bahasa Melayu. Seharusnya, laman web ini ditulis dalam dwibahasa. Jadi, Dell akan menterjemahkan kandungan laman web sedia ada ke dalam bahasa Melayu dan menyerahkannya kepada editor untuk disemak sebelum dimasukkan ke dalam sistem.


NOTA :
1. Mungkin ada antara mereka mengganggap kerja ini mudah, sebenarnya ianya tidak mudah seperti yang disangkakan. Ianya memerlukan pengorbanan dari segi masa dan tenaga. Itu tidak termasuk menyelesaikan masalah-masalah teknikal yang dihadapi. Semuanya menduga kesabaran. 
2. Apa-apa pun, Dell gembira isu kedua akan diterbitkan dalam masa terdekat ini. Insya-Allah.
3. Dell mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terlibat dalam membantu jurnal ini terus beroperasi walaupun banyak cabaran yang dihadapi.


Letih betul Dell beberapa hari ini disebabkan kejadian yang tidak diduga berlaku. Sampai sahaja di rumah pada tengah malam Jumaat minggu lepas dari kampung, buka sahaja paip, tiada air! Ingatkan sehari sahaja tiada air, tunggu hari Sabtu... masih tiada air. Ingatkan balik dari mengajar tuisyen, Dell hendak mengemas rumah dan membasuh baju kotor. Akhirnya, Dell terpaksa bermalam di rumah kawan malam tu kerana keesokkan harinya Dell ada kelas tuisyen yang lain pula. 

Ahad malam, selepas Dell dah siap mandi dan solat di rumah kawan yang berdekatan... dengan berbekalkan sebaldi air, Dell pulang ke rumah dengan harapan air sudah ada. Malangnya, air masih tiada. Akhirnya, Dell memberitahu kepada tuan rumah berkenaan hal ini. Beliau suruh Dell pergi ke pejabat pengurusan pangsapuri berdekatan sini dan meminta pihak di situ memeriksa meter di rumah Dell ditakuti ianya rosak.

Alhamdulillah, pagi tadi Dell dapat berurusan dengan pihak pengurusan pangsapuri dengan mudah. Tak sampai beberapa minit air keluar dari paip yang dibuka setelah staf di sana memeriksa meter di rumah Dell. Rupa-rupanya, meter tersumbat dan mereka perlu menggantikan sesuatu di situ. Lega rasanya. Susah tiada air ni, banyak kerja tergendala.

NOTA :
1. Terpaksa menebalkan muka membawa beberapa pinggan, mangkuk dan cawan untuk dibasuh di rumah kawan kerana ditakuti berbau busuk jika air masih tiada. 
2. Terasa banyak kerja tertangguh kerana terpaksa bermalam di rumah kawan.
3. Dan terasa menyusahkan kawan, huhu.
4. Hari ini, proses membasuh pakaian dan barang-barang tertentu untuk proses mengemas rumah.
5. Kali pertama berurusan dengan pihak pengurusan pangsapuri.


Setiap kali Dell hendak mengajar anak-anak murid tentang karangan bahasa Melayu, mesti mereka dengan penuh yakin mengatakan bahawa bahasa Melayu tu senang. Dell mudah saja apabila mereka berkata demikian, Dell akan kata, "Mesti keputusan BM kamu 90% ke atas, kan?" Mereka diam sambil tersengih-sengih.

"Oleh kerana kamu kata BM ini senang, cuba buat karangan 'Saya sebuah kereta'."

Mereka tersengih-sengih dan berkata, "Senangnya tajuk karangan ni, masuk dalam peperiksaan ke?"

"Saya tak mahu karangan biasa-biasa tau! Saya nakkan sebuah karangan yang boleh menyentuh hati saya." Mereka terdiam lagi sekali.

Setelah membaca karangan mereka itu, "Setakat ni saya belum lagi jumpa karangan 'Saya sebuah kereta' yang dapat menyentuh hati saya."

"Kalau tajuk karangan seperti ini pun kamu tidak boleh menulis sehingga dapat menyentuh hati saya, bagaimana kamu hendak menulis karangan berbentuk fakta dan lain-lain? Beza karangan terbaik adalah cara kamu mengolah ayat selain mempunyai tatabahasa dan struktur ayat yang betul."

Dell pun memberi contoh karangan yang terbaik untuk rujukan mereka. Dell tunjuk beberapa contoh karangan gred A dan gred C supaya mereka dapat lihat perbezaannya. Dell akan saring segala rujukan mereka supaya mereka mendapat contoh yang terbaik. Sejak itu, mereka lebih berhati-hati untuk menulis karangan, tidak seperti sebelum ini, hanya sambil lewa sahaja kerana menganggapnya mudah.


NOTA :
1. Dell tidak pernah menanda latihan bahasa Melayu dengan hanya memberi markah sahaja. Dell akan kupas masalah yang didapati supaya mereka lebih berhati-hati. 
2. Walaupun ada ayat mereka itu betul, Dell akan beri contoh ayat yang lebih baik dari segi pengolahannya supaya mereka nampak keindahan bahasa tersebut.
3. Apa-apa pun, Dell hanya memberi tunjuk ajar. Selebihnya adalah usaha mereka sendiri. Jika mereka tidak mahu mengikutnya, Dell tidak boleh berkata apa-apa. Dan jangan salahkan sesiapa jika dalam peperiksaan sebenar mendapat markah rendah.




Beberapa minggu ni Dell banyak menumpukan subjek Sains dan Matematik untuk sekolah rendah dan sekolah menengah. Dah lama Dell meninggalkan subjek ini, Dell bukanlah terror dalam subjek matematik tetapi Dell bersyukur dapat mengajar mereka dari peringkat asas. Atas kepercayaan keluarga mereka, Dell bantu. Alhamdulillah, mungkin kerana niat baik untuk membantu, Dell diberi ilham dan dipermudahkan untuk mengajar subjek tu. Jika diikutkan, subjek utama yang perlu Dell ajar adalah BM.

Manakala untuk subjek Sains, subjek itu merupakan subjek kegemaran Dell ketika sekolah menengah. Apa yang cikgu Dell ajar masa sekolah dulu, memang ternampak seperti wayang gambar ketika Dell mengajar mereka. Jadi, Dell mengulang semula apa yang cikgu Dell ajar dulu dan sertakan sedikit kretiviti untuk membantu mereka memahami konsep serta dapat kaitkan dengan kehidupan harian.

Dell mengajar subjek-subjek tersebut dalam bahasa Melayu. Memang Dell sudah cakap awal-awal kepada keluarga mereka tentang hal ini kerana Dell belajar kedua-dua subjek ini dalam BM ketika bersekolah dulu. Mereka bersetuju. Dell rasa gembira kerana nampak peningkatan mereka memahami subjek-subjek tersebut sekarang ini. Terasa puas sebenarnya. 

Dell selalu memberitahu mereka supaya menonton National Geography, Discovery Channel dan The Animal Planet untuk memudahkan mereka faham tentang sains. Dell gembira kerana memang mereka kerap menonton saluran tersebut setelah Dell bercerita tentang keseronokan menonton rancangan seperti itu dan kaitkan dengan sains yang dipelajari dengan kehidupan mereka. Dell memberitahu mereka bahawa ketika Dell sebaya mereka, tiada internet seperti sekarang manakala nak langgan Astro tak mampu jadi Dell menonton rancangan-rancangan tersebut di TV dan juga suka membaca ensiklopedia sama ada di rumah mahu pun di perpustakaan.

Dell beritahu mereka bahawa Dell memang suka menonton TV ketika kecil dan Dell juga suka menonton drama bersiri seperti CSI, The X-Files, Emergency Room, Chicago Hope dan lain-lain yang melibatkan dunia sains. Sekurang-kurangnya, ianya memberi kita gambaran tentang dunia sains. 


NOTA :
1. Niat baik selalu dipermudahkan oleh Allah. Setiap kali mengajar mereka untuk subjek Matematik dan Sains, Dell akan baca dulu nota di buku teks mereka kemudian terangkan kepada mereka. Dell hanya baca sekejap sahaja nota tersebut dan dapat memahaminya dalam masa yang singkat dan terus dapat idea bagaimana hendak menerangkan kepada mereka dengan pelbagai cara sehingga mereka faham.
2. Secara tidak langsung, Dell turut belajar semula subjek-subjek tersebut melalui mereka. Terasa seronok juga menyelesaikan soalan-soalan untuk kedua-dua subjek tersebut.
3. Mudah-mudahan ini merupakan ilmu bermanfaat yang Dell dapat tinggalkan sebagai saham Dell di akhirat nanti.
Vitamin C 1000mg Pahang Pharma
Vitamin C ialah antioksidan yang diperlukan oleh sekurang-kurangnya 300 fungsi metabolik dalam badan, termasuklah pertumbuhan dan penggantian tisu, fungsi kilang adrenal, dan untuk gusi yang sihat.

Ia menolong dalam pengeluaran hormon anti-stress dan interferon, sejenis protin sistem imuniti yang penting , dan diperlukan juga untuk metabolisma folik asid , tairosin, dan phenylalanine.

Kajian menunjukkan bahawa dengan mengambil vitamin C boleh mengurangkan gejala penyakit asma. Ia mencegah daripada kesan merbahaya pencemaran , menolong mencegah kanser, memelihara daripada jangkitan, dan meningkatkan imuniti.

Vitamin C meningkatkan penyerapan zat besi. Ia boleh bercantum dengan bahan toksik seperti sesetengah logam berat, dan menjadikan mereka tidak merbahaya, oleh yang demikian bahan tersebut boleh dinyahkan daripada badan. Sedangkan racun labah hitam yang bisa boleh ditawarkan dengan memberi vitamin C dalam dos yang tinggi.

Vitamin ini juga boleh mengurangkan paras "low-density lipoproteins" (LDL) atau kolestrol yang tidak baik , dan pada masa yang sama meningkatkan " high-density lipoproteins " (HDL) atau kolestrol yang baik , juga menurunkan tekanan darah tinggi dan membantu mencegah " atherosclerosis" .

Ia juga sebagai keperluan dalam pembentukan collagen, vitamin C mencegah daripada pembekuan darah yang tidak normal dan lebam , boleh mengurangkan risiko katarak (cataracts), dan mencepatkan penyembuhan luka dan terbakar.

KEKURANGAN
Kekurangan vitamin C boleh menyebabkan :
-Lemah badan.
-Sakit-sakit dan sengal badan.
-Bengkak gusi.
-Hidung berdarah.
-Scurvy ( pendarahan pada badan, lebam-lebam, dan gusi berdarah; gigi mudah tercabut; pendarahan ke dalam otot dan sendi, yang menyebabkan kesakitan).
-Anemia


Ada sesiapa ingin membeli Vitamin C Pahang Pharma 1000mg? Boleh pm saya di alamat emel : n_dilla_82@yahoo.com. Satu botol ada 100 biji untuk 100 hari. Harga RM75, percuma pos. :) ~vitamin tambahan untuk tubuh badan, terutama bagus untuk kulit~


Dell diperkenalkan pisang goreng ini oleh salah seorang sepupu Dell beberapa bulan yang lalu. Mula-mula Dell ingatkan pisang tu tergoreng hangit, rupa-rupanya memang pisang itu digoreng sebegitu. Kata sepupu Dell pisang goreng ini antara pisang goreng yang popular di Kluang dan sentiasa cepat habis jualannya. Siapa lambat, memang kempunan la jawabnya. Benar Dell tak dapat menafikan, pisang goreng ini sangat sedap!

Walaupun pisang ini terbiar lama, tepungnya tetap ranggup! Gerai pisang goreng ni terletak di tepi jalan di Kampung Melayu. Lupa pula nama jalannya, ianya berdekatan dengan Jalan Orkid. Cubalah! :)
Akhirnya Dell dapat makan lempeng dengan sambal tumis di kampung. Susah nak jumpa yang sedap. Kiranya, kali ni Dell dah jumpa! Kali ni mudah sebab Dell dah tahu jadual makcik tu buka gerai di mana dan masanya.

Lempeng dicecah dengan sambal tumis dan kari. Lempengnya memang cukup rasa. Sambal tumisnya pedas sedikit dan kuah karinya pun sedap.

Makcik ini ada mengambil tempahan. Selain lempeng, dia ada juga menjual ubi rebus, mee kari kerang dan Nasi Ambeng.

NOTA
Gambar ini diambil di Pasar Malam Kluang Barat pada hari Selasa.
Mula-mula, ketika hendak masukkan Kimmy ni dalam carry cage dia, punyalah payah! Agaknya dia ingat Dell nak bawa dia jumpa Dr. Vet agaknya. Setelah perjalanan telah melepasi tol, barulah dia nampak tenang dan dia tahulah tu, kami nak pulang ke kampung.


Tengoklah gaya dia tu bila dah sampai sempadan Johor. Terjengok- jengok di tingkap. Hidung pula terkembang-kempis. Kimmy tak berapa berani jengok tingkap ketika waktu siang sebab dia takut dengan kenderaan besar yang lalu. Malam dia ok. Bila sampai je rumah di kampung, nampak sangat dia suka. Tergolek sana tergolek sini. Itulah dia si Kimmy!
Dell berasa sangat gembira kerana di dalam mesyuarat tadi, akhirnya Editor bersetuju menerima artikel dalam bahasa Melayu bermula untuk isu akan datang. Editor bahasa dan reviewer juga sudah dilantik untuk artikel dalam bahasa Melayu ini. Maka, bertambahlah jawatankuasa dalam GMJ-ME ni. Insya-Allah, ada rezeki salah satu jurnal Dell berkaitan dengan penyelidikan dalam tesis PhD Dell akan dihantar ke sini.

NOTA :
Sekurang-kurangnya selain menjadi Administrator, Dell berpeluang menyumbangkan artikel suatu hari nanti. Insya-Allah.
Dulu Dell tidak berapa suka makan Roti Boy nie sebab ada rasa kopi sehinggalah beberapa minggu lepas sepupu Dell beli Roti Boy Original. Terus Dell jatuh cinta. Nak dijadikan cerita sebelum kami pulang dari KLCC tadi, kami singgah sekejap di Kedai Roti Boy ni. Jadi Dell pun teringin nak beli Roti Boy Original. Malangnya, perisa yang Dell nak tu dah habis dan hanya tinggal satu perisa sahaja iaitu Roti Boy Mocha. Melihat sepupu membeli dua keping, Dell cuba beli sekeping. Nak merasa kononnya. 

Setelah gigit beberapa kali roti ni, Dell ternampak ada cairan coklat di dalamnya! Oh, my favourite! 


Terasa menyesal pula tak beli beberapa keping. Boleh dibuat sarapan. Makan panas-panas. Terasa nikmat makan dengan secawan kopi. Harga roti perisa ini RM2.50 sekeping. Sekeping pun dah rasa kenyang. Cubalah!
Akhirnya, Dell terbeli juga langsir berjurai ni. Comel sangat langsir ni. Sekurang-kurangnya, jika ada tetamu datang ke rumah Dell... Tak nampak sangat ruangan tertentu. Harga pun murah.


Alhamdulillah, setelah beberapa hari Dell mengemas pakaian-pakaian lama di almari akhirnya siap dua karung besar berisi pakaian-pakaian yang Dell tidak pakai lagi untuk disumbangkan kepada mereka yang lebih memerlukan. Terasa lega sangat-sangat. Sekurang-kurangnya pakaian itu dapat dimanfaatkan daripada terbiar usang di dalam almari. Kebanyakan pakaian tersebut masih kelihatan baru kerana Dell memang jaga elok-elok kerana sayang.

Kini, Dell sudah boleh fokus mengemas bilik yang Dell hendak jadikan Pejabat Kecil. Semester baru pun dah nak mula. Pelajar pun dah mula mendaftar subjek. Dell sudah fikir tidak mahu mengambil apa-apa subjek pada semester ini kerana mahu fokus kepada penyelidikan sahaja. Lagipun tinggal satu subjek sahaja lagi yang perlu Dell ambil sebelum bergraduat. Semoga Allah kurniakan ilham, kudrat dan masa untuk menyelesaikannya lebih awal dari apa yang dirancang, amin...


NOTA :
Tak sangka banyak pakaian yang tak digunakan di rumah Dell. Mengejutkan diri sendiri kerana sedar tak sedar ada dua karung besar! Itu tak termasuk baju-baju kurung yang Dell tak agihkan untuk sumbangan. InsyaAllah lain kali.

Yana : Cikgu nak tahu, setiap kali cikgu datang sini mengajar tuisyen mesti mak masak sedap-sedap!

Dell : Oh, ye ke?

Yana : Iye, cikgu.

Dell : Masakan mak kamu memang sedap! Mesti mak kamu selalu masak sedap-sedap setiap hari.

Yana : Takdelah cikgu. Selalu mak masak biasa-biasa je. 

Dell : Takkanlah kot.

Yana : Betul... Cikgu selalulah datang mengajar tuisyen. Datang tiap-tiap hari... boleh?

Dell tersenyum je dengar kata-kata anak murid yang seorang ni... 


NOTA :
Tak dinafikan masakan mak anak murid Dell ni memang sedap. Setiap kali datang mengajar tuisyen, mesti ternanti-nanti apa menu akan dijamu terutamanya untuk makan tengah hari. Merasa makan macam keluarga dengan mereka ni. Maklumlah, kampung Dell jauh. -Rindu masakan mama...-
Ketika Dell sedang membuka pintu rumah setelah pulang dari membeli barang di kedai berdekatan dengan rumah, tiba-tiba Dell disapa oleh seseorang dari belakang. 

"Cik ni (nama penuh Dell)?" tanya staf DHL.

Dell mengangguk-anggukkan kepala sambil bertanya, "Kenapa ya?"

"Ini iPad untuk cik" kata staf tu sambil menunjukkan sebuah kotak. 

Setelah Dell menunjukkan kad pengenalan seperti diminta untuk pengesahan dan menurunkan tandatangan secara elektronik, kotak itu berpindah tangan kepada Dell.

Gembiranya hati Dell tak dapat digambarkan. Akhirnya, Mini iPad berwarna putih ini berada di dalam genggaman Dell. Betapa sukarnya untuk mendapatkan iPad ni. Tambahan pula, di belakang Mini iPad tu terukir nama penuh Dell. Terasa terlalu istimewa!

NOTA :
Belum sempat untuk jelajah sepenuhnya iPad ini kerana masa sangat mencemburui Dell. 
Inilah kali pertama Dell tak balik kampung pada musim perayaan. Bukan tak nak balik tetapi terlalu banyak sangat urusan yang masih belum selesai. Hal-hal berkaitan dengan jurnal GMJ-ME pun belum selesai lagi. Jumaat ni sudah ada mesyuarat. Hal KERETA lagi. Jika tiada aral melintang, selepas siapkan semua hal-hal yang tertangguh atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan ini... dapatlah Dell pulang ke kampung sebentar. Kali ni Dell akan pulang ke kampung pada musim di luar perayaan dan pada hari biasa, bukan cuti hujung minggu kerana perlu menjalankan tanggungjawab sebagai seorang guru tuisyen pula. 

NOTA :
Selamat menyambut Tahun Baru Cina kepada kawan-kawan yang berbangsa Cina. ~Hampir dua jam mercun berdentam-dentum di luar rumah. Kimmy dah tak sembunyi lagi~ :)
Kadang-kala Dell tergelak melihat telatah anak-anak murid Dell ni. Macam-macam perangai. Sampai sekarang Dell tersenyum jika teringat kes petang tadi.

"Cikgu, saya nak minta izin, nak kentut kat dapur ya.'' katanya sambil tersengih-sengih.

Terus Dell berhenti tanda buku dan pandang ke arahnya dengan keadaan terkejut. "Ok." balasku dengan muka separa tersengih.

Selepas beberapa saat kemudian dia duduk semula di kerusinya setelah ke dapur. Terus kakaknya menegur, "Apalah adik ni, tak payahlah cakap nak kentut. Cakap jelah nak ke dapur sekejap, sudah."

Dell tak marah pun anak murid ni sebab dia jujur. Umur pun baru 8 tahun. Setiap kali berbuat sesuatu memang dia meminta izin kepada Dell walaupun untuk minum air. Kalau sepanjang kelas tu 5 kali dia hendak minum air, 5 kali dia akan minta izin. Cuma dia tak tahu bagaimana hendak meminta izin untuk sesuatu. Dell terangkan kepada dia bagaimana hendak meminta izin untuk perkara-perkara yang agak 'rahsia' sikit.


NOTA :
Jika berdepan dengan kes sebegini, jangan terus marah mereka. Terangkan serba sedikit adab Melayu. Sebab mereka tidak tahu. Elok-elok mereka seorang yang jujur, jika dimarah terus akan menyebabkan mereka belajar menipu sebab takut kena marah. :)
Hari ini baru Dell bersempatan membeli ayam goreng di Raja Ayam Goreng Malaysia (Kelantan Freid Chicklen) berdekatan dengan rumah Dell. 

Dulu ayam goreng ini dijual hanya menggunakan lori serba guna tetapi setelah maju, empunya ayam goreng ini menyewa kedai berhadapan tempat beliau selalu berniaga dulu. Memang tidak dinafikan ayam gorengnya sedap. Sebelum restoren ini dibuka, Dell pernah beli ayam goreng ini di lori sebanyak dua kali. Tak sangka Jalan-jalan cari makan TV3 singgah di sini dua minggu lepas. Selepas itu, tempat ini sentiasa penuh dengan pelanggan. Dell bernasib baik kerana ketika Dell datang ke sini, tiada pelanggan lagi (maklumlah baru pukul 4.15 petang). Jadi, tidaklah menunggu lama. Kali ni, Dell mencuba Rangka Ayam Goreng bersama Wedges.

Rangka Ayam Goreng + Wedges = RM5

Dell makan rangka ni sewaktu makan malam bersama nasi goreng. Masih ranggup dan rasanya sedap walaupun tanpa cecah sos. Kira berbaloi. Dell juga membeli Ice Blended Mocha (saiz kecil) berharga RM2, rasanya sedap juga. Cubalah ayam goreng di sini. Ada pelbagai menu ayam disediakan dengan pelbagai bahagian ayam. Restoren ini terletak di Taman Equine, Seri Kembangan, Selangor.

NOTA :
Ramai yang menegur adakah ejaan nama restoren ini salah, 'Kelantan Freid Chicklen'? Salah seorang sahabat Dell pernah menegur empunya kedai ini mengenai ejaan ini (semasa mula-mula restoren ini dibuka), empunya kedai itu kata memang sengaja dieja sebegitu untuk menunjukkan kelainan. 
Lega rasanya selepas menghantar laporan kemajuan pelajar ke KPT petang tadi. Masa yang terluang ni, Dell memulakan proses pembungkusan pakaian dan barang-barang yang perlu dibuang. Pakaian tu semua masih elok lagi tapi Dell dah tak pakai sebab tak muat, jadi Dell nak hantar ke tempat-tempat yang memerlukan. Proses mengemas semula almari-almari yang sedia ada setelah banyak pakaian dikeluarkan pun bermula. Maklumlah banyak baju untuk kerja dulu yang Dell dah tak pakai. Jadi Dell susun ke dalam satu tempat supaya kelihatan lebih kemas. Selepas selesai mengemas dalam almari, Dell akan mula mengemas di bilik kecil tu pula. 


NOTA :
Ketika melihat pakaian yang masih elok dan sudah tidak digunakan tiba-tiba terkenang mereka yang kurang bernasib baik. Sekurang-kurangnya kita masih lagi mampu untuk memiliki sesuatu dengan mudah walaupun bersusah-payah. Mungkin mereka sudah berusaha tetapi rezeki itu masih lambat untuk mereka, jadi kitalah yang perlu bantu yang mana mampu. Insaf seketika. Mudah-mudahan apa yang Dell beri nanti akan mendatangkan manfaat kepada golongan ini. Amin.
Sehingga ke hari ini Dell ternanti-nanti kehadiran Apple Pujaan Hatiku. Petang tadi Dell menerima sms dari syarikat Apple bagi pengesahan penghantaran Mini iPad yang sudah ditempah melalui talian.

"Good news! Items in order W4++++++++ have shipped and will deliver by 13/02/2013."

Terasa sangat gembira setelah menerima sms tersebut. Bayangkanlah sampai ke Terengganu, sepupu Dell tolong carikan model yang Dell nak, tapi semuanya kehabisan stok! Akhirnya, Dell bersetuju membeli gajet tersebut melalui talian. Dell meminta sepupu Dell belikan kerana dia pernah membeli iPad secara talian sebelum ni. Di belakang Mini iPad Dell nanti akan terukir secara kekal nama penuh Dell. Kehadiran gajet ini akan membuatkan Dell bertambah bersemangat untuk belajar dan melakukan penyelidikan. Banyak masa akan jimat sebab Dell boleh membawa gajet ini ke hulu ke hilir berbanding terpaksa duduk setempat mengadap laptop sehingga banyak kerja tertangguh.
Semalam baru Dell dapat peluang untuk bertemu dengan supervisor. Maklumlah beliau sibuk dengan tugas-tugas di pejabat. Pertemuan kali ini membuatkan Dell terasa lapang di hati kerana beberapa perkara dapat diselesaikan berkaitan dengan penyelidikan kami dan laporan kemajuan Dell. Mana taknya, 3 hari Dell tak lena tidur mencari info penginapan yang sesuai berdekatan dengan tempat kami akan menjalani Kursus Technical Graphic Design dan menunggu maklum balas pihak penganjur mengenai kursus tersebut. Bukan mudah untuk meminta PENDAHULUAN daripada geran penyelidikan jika tak cukup maklumat.

Tersenyum Dell ketika terdengar supervisor berkata begini ketika menyemak keputusan peperiksaan Dell untuk pengesahan, "Eh, tinggi juga ya CGPA awak, 3.917!"

Siap sahaja surat dan dokumen yang perlu dihantar ke RMC, kami terus pergi ke The Mines  untuk makan tengah hari. Kami memilih Restoren The Garden. Berselera betul Dell makan hari itu sebab terasa lega beberapa perkara selesai, tambahan pula menu di situ sangat sedap!


NOTA :
Esok Dell sudah boleh hantar laporan kemajuan pelajar untuk MyPhD tu di KPT. Selesai lagi satu perkara. La ni kami perlu menunggu kelulusan dari RMC untuk tindakan selanjutnya. Mudah-mudahan kami dapat keputusan cepat. Amin.
Semalam seharian Dell bersama dengan supervisor Dell membincangkan tentang penyelidikan kami. Selepas kerja kami siap, supervisor Dell ajak Dell makan tengah hari di Mines. Sebenarnya, kami tak tahu nak makan di restoren mana semalam. Selalu singgah Pizza San Fransisco, Secret Receipi dan Kenny Rogers. Sedang kami berpusing-pusing mencari restoren yang lain, ternampak Restoren The Garden. Baru buka di sini rupa-rupanya. Selama ni, Dell cuma pernah nampak di Alamanda dan Mid Valley. 


Mula-mula, kami tak perasan restoren ni kerana susunan bunga di depan restoren ini kelihatan seperti kedai bunga. Setelah diamati, baru perasan The Garden. Dell suka sangat dengan suasana restoren ini. Warna putih memang warna kesukaan Dell. Kami memilih untuk duduk di sudut tepi restoren ini.

Kami duduk di meja kedua dari hujung.



Menu yang disediakan di sini membuatkan kami rambang mata! Semua kelihatan sangat sedap. Ini antara menu utama dan dessert yang kami pilih.



Dell memilih Lamb Shank. Teringin nak mencuba. Memang dagingnya sangat lembut dan juicy. Kentang lenyeknya pun sedap sesuai dengan sos yang diletakkan. Persembahan menu ini di dalam pinggannya sangat menarik dan cantik sehinggakan kami terasa sayang nak makan.



Ini pula menu pilihan supervisor Dell. Beliau memilih ayam kerana tak boleh makan kambing. Katanya sangat sedap dan lembut ayam ni. 

Untuk dessert kami memilih dua menu iaitu :


Selera betul supervisor Dell makan kali ni. Beliau menambah menu lain iaitu French Fries dan Cappucino selepas minum Jus Oren. Manakala, Dell hanya memilih air kegemaran Dell iaitu Chocolate Shake. 


Dell memang dah lama teringin nak merasa menu di restoren The Garden ni. Baru dapat peluang. Makanan yang kami pilih semuanya sangat sedap termasuk airnya. Terima kasih kepada supervisor Dell kerana sudi belanja Dell makan di sini semalam.


NOTA :
Dengan muka tak malu Dell meminta untuk pinjam kamera telefon bimbit beliau kerana kamera telefon bimbit Dell rosak. Mujur dia ok dan tak kisah. Beliau tahu Dell ambil gambar makanan ni untuk menulis blog. Dell bandingkan gambar menu yang diambil  dengan gambar hiasan menu The Garden itu sendiri. Cantikkan persembahan menu mereka, seperti di dalam katalog menu!

Masih ingatkah Dell pernah menyatakan bahawa Dell akan mengubah suai salah satu bilik tidur yang paling kecil di dalam rumah sebagai pejabat kecil? Baca di sini : Pejabat kecil. Dell bertuah kerana tadi ada sesorang memberi Dell sekotak fail-fail terpakai yang masih elok dan bersih dengan pelbagai saiz. Mula-mula sewaktu dia offer nak beri fail-fail terpakai setelah mendengar Dell beritahu nak jadikan bilik kecil di belakang tu pejabat kecil, ingatkan sikit je tapi tak sangka satu kotak! Elok-elok pula tu. Jimat duit. Semoga pemberi ni dilapangkan pintu rezekinya.

NOTA :
Masih belum berkesempatan untuk mengemas bilik tersebut. Baru letak meja dan sedang fikir bagaimana hendak menyusun barang-barang yang berada di dalam kotak dan barang-barang yang harus dibuang (kalaulah boleh buat garage sale seperti di luar negara, kan senang). Sekarang ni Dell sedang sibuk uruskan perkara-perkara berkaitan dengan penyelidikan Dell. Harap selepas ni, ada masa untuk sambung semula mengemas bilik tersebut.
Sebenarnya Dell ni pemalas betul nak makan buah. Apatah lagi jika nak mengupas kulitnya. Masa kecil-kecil dulu rajin, dah besar pula jadi malas. Hehe. Tetapi, bila Dell cuba makan epal dan jambu madu yang dipotong oleh saudara cecah dengan kuah rojak yang tersedia tempoh hari ketika kami semua bermalam di Homestay Air Manis, Sabak Bernam dua minggu lepas, membuatkan Dell teringat-ingat selama beberapa hari. Sedap pula rupa-rupanya. Kuah Rojak tu memang Dell beli di sana. Sudah beberapa hari, Dell dok makan epal cecah kuah rojak ni je. Kuah rojak tu ada sedikit rasa pedas, jadi Dell takkan cecah banyak-banyak, sekadar ada rasa di epal tu. Bagi sesiapa yang mempunyai masalah malas makan buah-buahan macam Dell, cuba makan buah dengan kuah rojak. Mesti nak lagi! Cubalah!
Setelah salah seorang anak murid Dell, Yana sudah siap latihan matematiknya tiba-tiba dia bertanya, "Cikgu pandai melukis, tak?"

"Nak lukis apa?" tanya Dell. Dalam hati, takkan nak suruh ajar subjek lukisan pula kot.

Dia pun mencari-cari sesuatu di dalam beg sekolahnya dan mengeluarkan buku Sains. Rupa-rupanya, dia tak pandai lukis gambar binatang yang berkaitan dengan habitat haiwan. 

Dell bukannya terror sangat melukis ni tapi bolehlah sikit-sikit. Dell pun melukis beberapa gambar haiwan yang sesuai seperti yang dikehendaki oleh cikgu sekolahnya. Dell cover kekurangan lukisan itu dengan pensel warna. Setelah siap Yana pun cakap, "Eh, cikgu lukis macam dalam gambar!" sambil menunjukkan lukisan tu kat adik-beradiknya yang lain. Dell cuma senyum je. Sebenarnya, lukisan tu biasa je...


NOTA :
Seronok juga melukis ni terutama jika menggunakan warna air. Terlepas juga gianku untuk bermain dengan warna ni. :)


Selepas berjalan-jalan di sekitar Kampung Gelam, kami pun mencari restoren untuk makan tengah hari. Berpandukan peta, kami ke kawasan Jalan Pisang! 

Jalan Pisang
Di sini banyak restoren halal yang sedap makanannya. Kami singgah Restoren Hjh Maimunah dulu.



Bakso Singapore
Kami membeli Bakso. Memang sedap supnya. Harga semangkuk 3.50 SGD. Lauk-pauk untuk makan tengah hari di sini juga sedap.

Sebelum kami pergi ke hotel yang kami perlu check-in selepas pukul 2.00 petang, kami singgah di Restoren Mamak Zam-Zam di situ untuk tapau Murtabak Singapore yang dikatakan sedap oleh ramai pengunjung di sini.


Murtabak Singapore
Murtabak Singapore di kedai ini memang sangat sedap! Karinya sangat pekat! Sekeping murtabak bersaiz sederhana ini berharga 6SGD. Rugi kalau datang sini tak mencuba murtabak yang popular ni.

BACA :