Selamat Datang ke Blog Dell!

Bersama Dell di Alam Maya
Sertai Saya
Tema Hari Kemerdekaan ke-56
Sedar tak sedar, sudah 56 tahun negara kita merdeka. Ingat lagi ketika Dell kecil dahulu, suka sangat nak tonton siaran langsung perbarisan di kaca televisyen. Maklumlah, tiada siapa hendak bawa Dell pergi meraikan perbarisan di mana-mana tempat. Tapi apabila sudah dewasa seperti sekarang ini, Dell malas pula untuk mengharungi kesesakan kenderaan dan orang ramai untuk pergi ke mana-mana tempat berkumpul untuk apa-apa sambutan besar seperti itu. Dell lebih rela menontonnya di kaca televisyen.  

Dalam banyak-banyak tema kemerdekaan yang telah dicatatkan sebelum ini, Dell rasa tema kemerdekaan pada tahun ini yang benar-benar membakar semangat. "Malaysiaku Berdaulat : Tanah Tumpah Darahku", terasa jati diri dan semangat patriotiknya tinggi.

Teringat lagu "Saya Anak Malaysia" oleh Dr. Sam
Dell berasa sangat beruntung, negara kita membangun dari segi pendidikan, pengangkutan, teknologi dan sebagainya. Keadaan ini banyak merubah fasa kehidupan kita. Maklumlah, atok Dell suka mengimbau kenangannya ketika sebelum, semasa dan selepas merdeka kepada Dell sekeluarga. Atok Dell merupakan bekas tentera. Satu ayat keramat yang selalu diucapkan sehingga sekarang, "Kamu semua tak pernah rasa bagaimana susahnya orang dulu.."

Semangat patriotik atok Dell memang tinggi. Arwah moyang (bapa kepada atok Dell) iaitu Hj. Mohamad bin Hj. Tahir telah mendapat pingat J.P.S dari Almarhum Sultan Ismail Al-Khalidi ibni Ibrahim Al-Masyhur. Orang dulu bermati-matian menentang penjajah. Jasanya membuka kampung di Kampung Api-api, Pontian, Johor diingati dengan pembinaan Balai Raya Hj. Mohamad bin Hj. Tahir.

Malah sebelum arwah nenek Dell meninggal dunia, dia selalu cerita bagaimana dia bersama kakaknya (tok long) pergi menghadiri perhimpunan Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Betapa semangatnya mereka ketika hendak melaungkan perkataan "Merdeka! Merdeka! Merdeka!" bersama-sama dengan Tunku Abdul Rahman waktu itu. 

Nenek juga pernah bercerita bagaimana keadaan mereka ketika zaman Jepun dan zaman darurat. Antara kisah arwah nenek yang Dell masih ingat ialah selepas Jepun diisytiharkan kalah dan mereka perlu meninggalkan Tanah Melayu, ada seorang Jepun melukis gambar orang-orang kampung sebagai kenang-kenangan. Salah seorang yang menjadi model lukisannya adalah nenek Dell. Malangnya akibat perpindahan, lukisan tersebut hilang. Jika tidak, boleh dijadikan arkib. 

Walau bagaimanapun, kita tidak boleh terleka dengan arus kemodenan dan kemewahan yang ada. Kita harus bijak dan rasional dalam meniti apa-apa yang dilakukan. Ilmu pengetahuan dan agama adalah penting untuk panduan kita.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-56!  

Tongkat Gujerat

Pedang Gujerat ini dibeli oleh pakcik untuk atok Dell. Dell tertarik dengan tongkat ini kerana selalu melihatnya di dalam filem tamil atau hindustan tentang kisah zaman raja mereka. Di dalam tongkat ini ada sebilah pedang. Pedang ini yang menyebabkan tongkat ini berat. Hulu tongkat ini pun cantik dengan ukiran emas. Cubalah mencari tongkat ini di kedai barangan antik. Semoga berjumpa. :).

Hampir-hampir Dell terlupa dengan tarikh ulang tahun kelahiran atok yang ke-80 pada 4 Ogos 2013 yang lalu. Kiranya Dell bernasib baik pulang berhari raya ke kampung awal pada tahun ini. Dapatlah kami sambut. Secara senyap-senyap, Dell dan mama belikan atok kek harijadi. Dell memilih Chocolate Cheese Cake.

Chocolate Cheese Cake
Kami menghidangkan kek tersebut setelah atok pulang dari solat terawih. Dia pun tak teringat agaknya hari itu ulang tahun kelahirannya. Terkejut sebenarnya dia waktu itu.

Upacara memotong kek

Mujur atok tak menangis... hihi...

Nampak sungguh menyelerakan!
Kek ini sungguh sedap. Siap ada potongan kecil kacang gajus diselitkan di dalam kek ini. Sedap dimakan ketika sejuk. Terasa sungguh berpuas hati membeli kek di Kedai Milky, Kluang ini. Harga pun berpatutan. Atok pun makan banyak potongan kek ini. Sekali-sekala menyambut harijadi ini, seronok juga. :)

Novel HAMKA
Hari raya kedua, Dell sekeluarga pergi berhari raya di rumah tok saudara Dell bersama pakcik sekeluarga. Kami dihidangkan dengan mihun soto. Apalagi, memang Dell menambah makan sebanyak dua pinggan! Hehehe... nak buat macam mana... menu kegemaran... 

Seperti biasa, setelah selesai menjamu menu yang berat-berat, Dell akan mengadap balang-balang biskut raya. Sedang Dell makan biskut raya bersama sepupu, tok busu Ahmad menceritakan tentang sebuah novel yang paling bagus dia pernah baca seumur hidupnya. Dell tertanya-tanya juga novel siapa yang dia katakan itu?

Lantas, dia masuk ke dalam biliknya dan memberi Dell sebuah buku lama cetakan tahun 1961 tulisan HAMKA bertajuk 'Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck'. Terkejut juga tiba-tiba tok saudara memberi Dell buku tersebut dan meminta Dell membacanya dengan perlahan-lahan serta menjiwainya. Bukan mudah untuk membaca novel ini kerana ejaannya sangat berbeza dengan sebutan kita memandangkan buku ini adalah cetakan asli dari Indonesia.

Bukan senang atok saudara Dell ini hendak memberi barangan kepunyaannya kerana dia merupakan orang yang sangat cermat. Dia pun meminta Dell menjaga buku ini baik-baik. Dengan berhati-hati Dell membuka buku ini kerana kertasnya sudah usang dan ditakuti rosak. 

Setelah mendengar cerita daripada atok saudara Dell ini, Dell memang teringin nak membaca novel ini walaupun mungkin terpaksa merangkak-rangkak. Insya-Allah, Dell akan membaca novel ini setelah pulang ke kota nanti. 


Bersiap-siap untuk berkonvoi ke Pontian, kampung Moyang
Untung Dell pada tahun ini. Kain baju raya ini merupakan hadiah daripada makcik Dell, Dell hanya perlu hantarnya ke tukang jahit. Manakala, tudung ini pula merupakan hadiah daripada ibu kepada salah sebuah keluarga yang Dell ajar tuisyen anak-anaknya. Merasalah Dell memakai Tudung Fareeda, nak beli mahal. Kebetulan pula 'matching' dengan baju Dell. Dan kebetulan juga, baju raya mama Dell berwarna merah. Maka dapatlah kami sedondon semasa berhari raya tempoh hari.


Bergambar dulu sebelum berkonvoi. Tak cukup korum ini sebenarnya...

Kami sekeluarga memang sudah rancang untuk pulang ke Pontian, rumah moyang pada hari raya ketiga. Sementelah, adik-beradik dan saudara-mara atok berada di sana. Pontian merupakan destinasi wajib bagi kami kerana atok hendak menziarahi kubur arwah ibu dan bapanya di sana. Selepas itu, kami ke Kulai pula menziarahi saudara yang lain. 

Uncle Joe dan Achik Lina
Pada petang hari raya pertama, Dell berkesempatan singgah beraya di rumah atok saudara Dell ini. Rumahnya tak jauh dari rumah Dell. Mesti ada yang tertanya-tanya, mengapa panggil atok saudara dengan panggilan uncle dan achik? Sebenarnya, umur mereka ini tak jauh beza dengan mama Dell. Kalau panggil atok, terasa pula tua, kan? Hehehe...

Inilah ketupat periuk kera...
Rezeki Dell bertandang di rumah mereka pada hari itu, kebetulan anaknya yang sulung pulang pada petang tersebut. Mereka membawa juadah dari rumah mak mertua. Ikutkan mereka kata nak pulang pada hari raya kedua. Dapatlah Dell merasa ketupat ini. Selama ini hanya melihatnya di kaca televisyen. Susah nak jumpa ketupat ini.

Ketupat ini diperbuat daripada pulut. Rasanya lebih sedap daripada lemang. Lembut dan tidak padat sangat. Dimakan pula dengan rendang daging. Pergh, memang meletup!

Selesai makan menu yang berat-berat, Dell merasa biskut raya pula. Kali ini, Dell merasa makan biskut Bangkit Keju. Maklumlah, kali pertama jumpa biskut ini.
Biskut Bangkit Keju...
Rasanya memang jauh berbeza dengan biskut bangkit biasa. Lembut dan rapuh. Paling tidak, rasanya sangat creamy... Jakon sekejap. Hehehe...





Menunggu tetamu sambil menjawab ucapan raya... hehehe....
Hampir sebulan Dell menyepikan diri setelah Hari Raya Aidilfitri menjelma. Sibuk menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti di kampung. Hehehe...

Kepulangan Dell ke kampung kali ini, Dell banyak menemani mama Dell keluar membeli-belah barangan selain kerap pergi ke bazar Ramadan sekitar Kluang. Maklumlah, Dell balik awal iaitu seminggu sebelum raya.

Di malam raya, Dell sudah menikmati juadah nasi impit, rendang daging dan sambal kacang. Juadah kegemaran Dell sejak dulu sehingga kini. Raya kali ini, Dell hanya membuat satu sahaja biskut raya kegemaran Dell iaitu Cornflakes Madu. Ingatkan Dell nak buat biskut Sugi tapi memandangkan biskut raya yang dibeli oleh Dell dan mama Dell ada beberapa jenis, ditakuti membazir. Dan benar, rezeki kali ini melimpah ruah, ada pula saudara-mara yang datang memberi kami beberapa jenis biskut raya, kek dan kerepek.

Biskut Cornflakes Madu, biskut kegemaran Dell...

Antara biskut raya yang dihidangkan selain kerepek...
Juadah di rumah Dell pada hari raya pertama ialah nasi impit, ketupat, rendang daging, sambal kacang, ayam masak kurma dan sambal jawa. Di pagi raya, seperti biasa Dell akan menukar dulang sesama jiran terdekat (bertukar juadah). Sambil-sambil tu, Dell beraya sekali. Soalan yang popular Dell kena jawab ialah "Bila habis belajar?" dan "Bila nak kahwin?" Fuhhh...

Selepas sembahyang raya, saudara-mara terdekat datang berhari raya di rumah Dell. Sebelah petang, Dell pergi pula ke rumah mereka. Sebelah malam, Dell berehat sambil menonton televisyen. Dell menunggu kepulangan keluarga pakcik pada hari raya kedua.





Salam Aidilfitri

Salam Ramadan buat semua kenalan, sahabat-handai serta saudara mara jauh dan dekat yang mengenali diri ini. Sempena hari raya yang akan menjelang tak lama lagi, saya ingin menyusun jari memohon ampun dan maaf di atas segala kesilapan yang sengaja atau tidak sengaja dilakukan selama ini. Semoga raya pada kali ini memberi hikmah kepada kita semua. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin! 

Bertemu dengan Dr Lim Swee Tin dan isterinya...

Alhamdulillah... Setelah beberapa minggu mengadakan temujanji, akhirnya kami dapat bertemu. Dell terasa sangat lega setelah bertemu dengan beliau, banyak ilmu yang Dell dapati dari hasil perbincangan kami. Beliau merupakan pakar bidang untuk rujukan puisi tradisional dalam projek penyelidikan Dell.

Sebelum ini, Dell telah bertemu dengan pakar bidang untuk multimedia tetapi projek penyelidikan Dell tertangguh kerana menunggu pertemuan dengan pakar rujuk puisi tradisional. 

Setelah memahami keperluan kedua-dua belah pihak, Dell sudah boleh memulakan tindakan seterusnya tanpa ragu-ragu. :)


Nota :
Perbincangan kami kerap terganggu dek kerana peminat beliau yang asyik menyapa beliau. Apabila difikirkan semula, tidak sangka yang Dell berpeluang duduk semeja dengan beliau sejak bekerja di UPM beberapa tahun lepas. Mana taknya ketika Dell bersekolah menengah dulu, Dell hanya melihat beliau di kaca televisyen. 


Percayalah dengan rezeki Allah...

Keluarga B

Hari Sabtu minggu lepas merupakan hari terakhir Dell mengajar anak-anak murid daripada keluarga B ini. Penangguhan pengajaran ini dibuat memandangkan kelas tuisyen Dell bertindih dengan aktiviti mereka di sekolah. Selalu sangat kelas dibatalkan. Bayangkan sudah lebih dua bulan Dell tidak berjumpa dengan si Sya. Sama juga dengan situasi si kakaknya Ain. 

Apabila kelas tuisyen diajar pada waktu malam, mereka rasa sangat letih kerana mereka ada aktiviti di sekolah sehingga lewat petang. Mereka kata sistem PBS menyebabkan jadual mereka penuh dengan aktiviti di luar waktu persekolahan juga.

Dell pun terasa tidak selesa juga mengajar mereka ketika mereka dalam keadaan letih. Sudah tentu ilmu sukar untuk melekat memandangkan otak mereka letih dan mereka tidak dapat tumpu sepenuhnya.


Nota :
Beberapa hari selepas perkhabaran itu, Dell menerima sms daripada seorang kenalan yang mengajak Dell mengajar subjek BM untuk pelajar sekolah rendah selepas cuti raya di pusat tuisyennya. Dell bersetuju. Bertemulah Dell dengan anak murid yang baharu pula.