Selamat Datang ke Blog Dell!

Bersama Dell di Alam Maya
Sertai Saya
Memaparkan catatan dengan label Bersama tokoh dan artis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bersama tokoh dan artis. Papar semua catatan
Lamaran melalui whatsapp.
Terkejut apabila dilamar sebegini pada petang 17 Februari 2016. Tidak pernah terfikir akan ada selebriti yang ingin mendapatkan perkhidmatan Dell untuk mempelajari bahasa Melayu.
Bersama-sama Pn. Azah Yasmin.

"Dulu saya selalu tonton 3R. Tak sangka akhirnya dapat bertemu dengan akak. Sebelum ni, saya pernah bertemu dengan kak Gwen dan Kak Tini."


Alhamdulillah. Bersama-sama Pn. Azah Yasmin. Jika tiada aral melintang, kelas persendirian bahasa Melayu akan diadakan dalam masa terdekat ini. Insya-Allah.


Prof. Dato' Dr. H. Engku Ansaruddin Agus (Perangi Sihir)

10 Februari 2016 - Seharian pada hari ini, Dell bersama-sama dengan Prof. Dato' Dr. H. Engku Ansaruddin Agus (Perangi Sihir) untuk penulisan buku. Dell benar-benar tidak sangka beliau ni kelakar orangnya.

Buku beliau 'Perangi Sihir'.
Beliau memberi Dell senaskah karya beliau terbitan PTS. Dell pernah mengikuti rancangan beliau di OASIS. Tidak sangka, Dell akan menemui beliau pada hari tersebut. Mudah-mudahan penulisan buku ini dipermudahkan oleh-Nya. Amin...
Bersama Tuan Zaini Nanyan.
Bertuah sungguh Dell apabila berpeluang mendapat satu tiket percuma ke Seminar NLP oleh Tuan Zaini Nanyan di Bangi Gateway yang dijalankan pada hari ini.

Dell sudah lama follow Tuan Zaini ini kerana berminat dengan buku beliau mengenai NLP. Tidak sangka hari ini, Dell dapat bersua muka dengan trainer ini.

Buku Motivasi Kecemerlangan Diri dengan NLP oleh Tuan Zaini Nanyan.
Kata-kata semangat daripada beliau. Amin...
Banyak perkara yang Dell pelajari melalui seminar ini. Ada beberapa persoalan yang berlegar-legar di dalam minda Dell selama ini, terjawab. Kami juga didedahkan sedikit ilmu hipnosis di sini.

Dell juga sudah memahami sedikit sebanyak bagaimana hendak mengetahui kategori manusia melalui pergerakan mata. Melalui beliau, Dell nampak lebih jelas mengenai perkara ini. 

Isi kandungan dalam buku ini mengupas sedikit sebanyak ilmu berkaitan dengan NLP. Tak rugi untuk mendapatkannya.

Hubungan kami semua (sesama peserta dan beliau) tidak putus begitu sahaja. Kami mempunyai grup alumni untuk seminar ini sama ada melalui whatsapp ataupun facebook. Terkejut juga ramai peserta di sini berminat untuk menulis buku.

Keseluruhannya, Dell sangat berpuas hati menghadiri seminar beliau hari ini.
NLP Grand Power Seminar.
Pada 28 November 2012 – Dell berpeluang menghadiri Seminar NLP Grand Power di MATRADE Kuala Lumpur bersama beberapa orang kenalan dari UPM. Rezeki Dell mendapat tiket percuma ke sini.

Bersama-sama kenalan dari UPM.
Bertuah kenalan-kenalan Dell ini. Muda-muda lagi sudah terdedah dengan seminar-seminar sebegini. Bagus untuk pengetahuan mereka sebelum mereka bergraduat.

Tiket VIP.
Dell tidak menduga sama sekali akan mendapat tiket VIP. Ingatkan duduk di bahagian biasa sahaja. Alhamdulillah. Rezeki.

Sebelum seminar bermula, kita selfie dulu!
Tidak sangka, peserta yang mengikuti seminar ini mencecah 1300 orang. Ramai sungguh! 

Berjumpa dengan Kak Fidza.
Kak Fidza dan anaknya.
Tidak sangka juga, ramai juga kenalan Dell ke sini. Bak kata orang, “Kecil sungguh dunia ni!”.

Bersama Tuan Amin Idris.
Rezeki Dell dapat bergambar dengan Tuan Amin Idris. Kebetulan waktu itu, tak ramai orang.

Buku Tuan Fadzli Yusof.

Sebelum ini, Dell ada memiliki beberapa buah buku Tuan Fadzli Yusof namun kali ini Dell dapat bersemuka dengan beliau sendiri. Dell sangat tertarik dengan gaya penyampaian beliau yang santai itu. Ketika berada di seminar, ada sesuatu yang terjadi pada diri Dell.

Ketika Dell sedang beratur membeli minuman di kantin tengah hari tadi, tiba-tiba ada seseorang memegang bahu Dell sambil berkata, "Wah, hebat adik tadi! Laju sungguh naik ke atas pentas. Nampak sangat bersemangat. Bagus! Bagus!"

Terperanjat Dell. Mujur tak melatah. "Eh, boleh cam ya muka saya?" Dell tersengih-sengih.

"Memang boleh cam sangat-sangat."

Selepas tu, adalah sesi berkenalan secara ringkas.

Dell benar-benar tak sangka orang cam muka Dell.

Dell juga tidak sangka, Dell berani bangun dari tempat duduk dan berlari ke atas pentas untuk mengambil CD yang ditawarkan oleh Tuan Fadzli Yusof dengan syarat yang beliau letakkan.

Dell cuba nak berebut dengan seorang lagi wanita yang turut menuju ke atas pentas.
Hanya kami berdua yang menuju ke atas pentas waktu itu kerana mengambil tindakan drastik.

Itulah kali pertama dalam hidup, Dell sebegitu berani naik ke atas pentas dengan adanya ribuan peserta di dalam dewan yang matanya sedang tumpu ke hadapan.
Tindakan luar kawal.

Tuan Fadzli Yusof berjaya membuatkan Dell hilang rasa takut dan gementar ketika itu.
Dell rasa tenang sewaktu naik dan turun dari pentas itu.

Tidak mengapa walaupun Dell tewas memiliki CD itu, tetapi keberanian itu bukan mudah untuk Dell keluarkan.

Hari ini, tercatat satu sejarah lagi dalam hidup Dell.

Alhamdulillah, banyak ilmu baru yang Dell dapat melalui seminar ini. Dell sangat berminat dengan dunia NLP. Insya-Allah, jika ada peluang Dell ingin mendalami ilmu ini nanti. Amin.
Pada 11 November 2015 - Tengah hari tadi, Dell berpeluang bertemu dengan Pn. Rozita Ibrahim (pengasas Sendayu Tinggi) secara peribadi.

Pertemuan ini diaturkan oleh pembantu beliau. Ketika menerima panggilan telefon itu, Dell seperti tidak percaya. Bagaikan mimpi.

Dell bertuah kerana menjadi salah seorang penulis yang di-rekomen-kan kepada beliau untuk membantunya dalam penulisan. Banyak soalan yang beliau tanya kepada Dell berkaitan dunia penulisan dan pengalaman Dell.

Sebenarnya, Dell tidak menyangka beliau suka penulisan dalam buku Rahsia 100 Impian itu. Sempatlah Dell membedah buku tersebut kepada beliau. Beliau meminta Dell beritahu kepadanya jika SirNoordin Khalid ada mengadakan kursus motivasi pada masa akan datang. Beliau juga suka dengan gaya penulisan artikel Dell dalam Akhbar Utusan terdahulu. 

Benarlah kata seseorang guru, kita tidak akan tahu siapa pembaca tulisan (karya) kita.
Oleh itu, kita kenalah menulis yang baik-baik sahaja.


*tiada gambar diambil atas permintaan beliau.
Bersama-sama blogger otai, Abang Ben Ashaari. 
Pada 30 November 2015 - Sebenarnya Dell tidak menyangka malam tadi dapat bertemu dengan Abg Ben Ashaari. Dell sudah lama mengikuti blog beliau sejak tahun 2010 ketika mula berjinak-jinak dengan dunia blog.

Asalnya Dell memenuhi ajakan rakan-rakan Kelab Blogger Ben Ashaari untuk makan-makan di MMA Santai Corner ini kerana teringin nak mencuba Mee Udang yang popular itu. Tambahan pula Dell teringin nak bertemu muka dengan mereka yang hanya bertegur sapa di dalam grup blogger ini.

Acara memotong kek harijadi.
Rupa-rupanya, semalam merupakan majlis rahsia untuk sambutan harijadi Abg Ben. Terkejut dibuatnya. 

Bersama-sama Kak Saidila, orang kuat Kelab Blogger Abang Ben Ashaari.

Menu yang disediakan.

Lihatlah juadah yang disediakan. Sesedap rupa yang dipandang. Kami semua tak terhabis nak makan kesemua menu yang disediakan.

Terima kasih kak Saidila Abdul Rahman atas jemputan dan ambilkan gambar Dell bersama-sama Abg Ben.

Terima kasih kak Norlaila Dlaila Dlaila atas masakan Mee Udang yang sangat sedap! Dell sangat rekomen menu di restoran MMA Santai Corner ini. Datanglah bawa rakan-rakan dan keluarga.

Dan terima kasih juga buat kak Nur 'Aliah Nadhirah Abdullah atas brownies coklat yang sangat sedap! Dell juga rekomen bagi mereka yang suka makan brownies, tempah dengan kak Aliah ni. Terbaik rasanya! Lembut dan moist.

Pada 14 Oktober lepas, Dell berpeluang menghadiri Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu yang diadakan di Hotel Bangi-Putrajaya, Bandar Baru Bangi. Dell bertuah kerana sehari sebelum persidangan bermula, Dell dipelawa oleh supervisor untuk sama-sama menghadiri persidangan ini. Ramai tokoh-tokoh sastera dan linguistik berada di persidangan ini. Antaranya Datuk Dr. Awang Sariyan, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, SN Prof. Muhammad Hj. Salleh, SN Dato' Kemala dan lain-lain, turut dihadiri para ilmuan dari luar negara.

Ucaptama oleh Tan Sri Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim.
Kali pertama Dell mendengar secara langsung Tan Sri Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim berucap. Memang Dell terpegun penggunaan bahasanya. Tersusun. Malah mempunyai bunga-bunga bahasa. Bukan itu sahaja, beliau boleh berpantun secara spontan dengan menggunakan bahasa yang sangat indah.

Forum (dari kiri) : Prof. Dr. Chun Tai Hyun (Hankuk University of Foreign Studies, Prof. Dr. K. Alexander Adelaar (Melbourne Institute of Asian Languages and Societies) Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan (Universiti Malaya), Dr. Victor A. Pagadaev (Universiti Negara Moscow) dan Prof. Dustin Carell Cowell (University of Wisconsin-Madison). 

Selepas ucaptama, Datuk Dr. Awang Sariyan pula membentangkan kertas dasar yang berkaitan dan seterusnya pembentangan kertas kerja oleh Prof. Emeritus Dato' Dr. Hajah Asmah Haji Omar (Universiti Malaya) dan Prof. Wu Zong Yu (Beijing Foreign Studies University China). Setelah itu, diadakan pula forum (seperti gambar di atas). 

Cenderamata yang Dell dapat sewaktu menghadiri persidangan ini.
Perkongsian pengalaman-pengalaman pensyarah-pensyarah bangsa asing untuk bahasa Melayu dari luar negara membuka minda para peserta. Malah ada perkongsian berbaur jenaka mencuit hati kami semua. Namun, Dell sangat kagum dengan kesungguhan mereka dalam memartabatkan bahasa Melayu ke persada antarabangsa. Jika mereka sangat kagum dengan bahasa ibunda kita, kenapa tidak kita?
30 September 2014 - Akhirnya, impian Dell untuk bertemu Tun Dr. Mahathir Mohamad secara dekat, tercapai. Dell tidak sangka akan bertemu dengan beliau di Pameran Reka Cipta, Penyelidikan dan Inovasi 2014 yang dianjurkan oleh Pejabat TNCPI. 

Dua perasaan yang Dell dapat lepaskan di PRPI ini. Yang pertama, perasaan rindu akan suasana PRPI yang selama ini Dell selalu involve ketika bekerja dulu. Bayangkan kali pertama Dell menjadi AJK PRPI ialah ketika bekerja di Research Management Centre (RMC) pada tahun 2007 dan seterusnya sehingga pada tahun 2012 (tahun terakhir Dell bekerja di Seksyen Penyelidikan dan Inovasi, FBMK). Dapatlah Dell bertemu dengan rakan sekerja lama di sini. Tambahan, supervisor Dell mengajak semua pelajar di bawah seliaannya memeriahkan suasana memandangkan beliau turut bertanding waktu itu.

Perasaan yang kedua pula, Dell sangat teruja untuk bertemu dengan Mantan PM itu. Terlalu lama Dell memendam impian untuk bertemu dengan beliau secara dekat.

Sebenarnya Dell tidak tahu akan kedatangan beliau di PRPI itu sehinggalah dua minggu sebelum tarikh tersebut, ada salah seorang sahabat rapat WhatsApp Dell mengatakan malam itu dia bermimpi yang kami berdua bergambar dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Dell berkata, "Jika betul, alangkah bahagianya!"

Sahabat Dell memberitahu bahawa beliau akan datang ke PRPI pada kali ini. Peluang yang tidak akan sekali-kali Dell lepaskan!

Ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad sedang berucap.
Tajuk ucaptama beliau ialah 'Developing High Income Nation Through Research Innovation and Capacity Building'. Tapi beliau telah memberi ucaptama dalam bahasa Melayu. 

Paparan di skrin.
Ketika Tun berangkat pulang.
Ikutkan, Dell terlambat datang ke majlis ini dalam 15 minit. Semua tempat duduk telah penuh. Jadi, Dell hanya berdiri di tangga betul-betul di tepi karpet merah. Hanya di situ sahaja masih ada ruang kosong.

Ketika Tun hendak berangkat pulang, Dell dan kawan hanya perlu naik ke tebing tangga itu sahaja tanpa perlu berasak-asak dengan tetamu yang hadir. Dell dapat bertemu dengan beliau secara dekat. Rezeki. Salah satu impian telah tercapai. Alhamdulillah... :)

Nota: Penyelidikan supervisor Dell telah memenangi Pingat Emas di PRPI 2014. Sekalung tahniah diucapkan. :)

Bertempat di Istana Negara (Lama)
Pada 15 September lepas, Dell berkesempatan melawat Istana Negara menemani supervisor bersama-sama pihak FRIM iaitu Dato' Dr. Hjh. Marzalina Mansor dan Dr. Lim Hin Fui. Tak sangka dapat juga Dell jejakkan kaki di Istana ini. Selalu hanya tengok di luar pagar sahaja pabila pandu kereta melalui jalan Istana.


Istana ini pada Dell tidaklah sebesar Istana Selangor di Klang yang Dell pernah masuk. Tetapi Dell sangat terpesona dengan reka bentuk istana di bahagian Yang di-Pertuan Agong beradu. Memang cantik. Malangnya, kami semua tidak dibenarkan mengambil sebarang foto. Pegawai istana pula ramah dan seronok mendengar mereka bercerita.

Cenderamata daripada Dr. Lim Hin Fui dan Pegawai Istana

Cenderamata yang Dell dapat ketika menyertai lawatan di Istana Negara semalam. Ketika membuka pampelet peta itu, baru Dell tahu betapa banyaknya muzium di Malaysia ini. Dr. Lim Hin Fui memberi Dell buku tulisannya sebagai cenderamata. 

P/S: Terkejut Dell ketika Dato' teringin hendak mendengar Dell mengalunkan Seloka selepas mengetahui kajian Ph.D Dell ada berkaitan dengan Seloka. Dah semua orang yang berada di perkarangan istana memandang Dell berseloka. Ruangan yang bertutup menghasilkan gema. Segan rasanya. :)
Pada 13-14 September lepas, Dell berpeluang menghadiri Seminar Advance Jutawan Hartanah yang dianjurkan oleh MPWS di Bandar Baru Bangi, Selangor. Ilmu hartanah ini disampaikan oleh Tn. Nazarrudin Baharom. 
Tn. Nazarrudin Baharom.
Ikutkan yuran seminar ini sangat mahal iaitu RM997 seorang tetapi Dell mendapat rebat RM500 kerana datang ketika seminar asas dan tambahan rebat RM50 kerana pergi ke Talk Show Dr. OT sebelum ini. Jadi Dell tidak lepaskan peluang untuk mengetahui perihal hartanah untuk kegunaan pada masa akan datang. 

Bagi Dell yang memang Zero tentang hartanah, terasa sangat berbaloi dengan ilmu yang disampaikan oleh Tuan Naza serta perkongsian pengalaman peserta-peserta dalam pelbagai bidang di dalam seminar tersebut. Kebanyakan peserta sudah mempunyai dua rumah atau lebih.

Tetapi bagi mereka yang sudah ada ilmu tentang hartanah sebelum ini mungkin tidak  puas dengan perkongsian yang ada dan mereka lebih berminat untuk personal coaching yang berharga RM1997 seorang selepas seminar ini. Itupun hanya dihadkan kepada 10 orang sahaja.

Peserta-peserta Seminar Advance Jutawan Hartanah.
Tak sangka ramai yang hadir ke seminar advance ini. Kami semua ditempatkan dalam satu group di fb dan telegram untuk networking dan berkongsi ilmu secara berterusan. 

Doa yang divisualkan oleh Tuan Nazarrudin.

Antara yang Dell pelajari ialah :

  1.  10 strategi membeli rumah.
  2. 88 kesilapan untuk dielakkan dalam bidang hartanah.
  3. 101 cara untuk meningkatkan nilai hartanah anda tanpa menggunakan duit yang banyak.
  4. 22 sebab pelaburan dalam hartanah sangat menguntungkan.

Dell bersyukur kerana melalui seminar ini Dell dipertemukan semula dengan sahabat lama ketika kami ke Vietnam tahun 2010 dulu. Dell tidak sangka yang dia merupakan agen hartanah sekarang ini. Dulu dia masih belajar di universiti lagi. Ish, terasa semakin tua... Huhu...

Ada juga kawan yang mempunyai minat yang sama iaitu dalam bidang hartanah ini. Senang untuk kami berbincang selepas seminar. Banyak juga yang Dell belajar daripadanya. Mudah-mudahan impian kami untuk berjaya dalam bidang ini dimakbulkan dan mendapat keredhaan dari-Nya. Amin...
Pada 24 Ogos 2014 (Ahad) lepas, Dell berpeluang mendalami ilmu mengenai Effective Research Tools daripada Dr. Nader Ale Ebrahim bersama-sama supervisor. Serba sedikit ilmu yang Dell peroleh ketika bekerja di Seksyen Penyelidikan dan Inovasi, FBMK dulu dapat membantu Dell memahami serba sedikit ilmu baharu ini.

Bersama-sama Dr. Nader Ale Ebrahim dan Prof. Madya Dr. Normahdiah Sheik Said.

Banyak ilmu baru yang kami pelajari pada hari tersebut. Walaupun pertemuan ini hanya berlaku selama 2 jam tetapi ilmu yang diajar oleh Dr. Nader sangat dalam meskipun hanya Part 1. Ada beberapa lagi sesi pembelajaran yang kami akan lalui selepas ini bersama-sama dengan beliau.

Ketika bertemu dengan beliaulah baru Dell bertambah faham bagaimana hendak menaikkan cited kepada penerbitan jurnal kita. Kiranya ilmu yang diajar oleh beliau ini sangat berkaitan dengan penulisan jurnal berimpak tinggi sekaligus menaikkan ranking universiti.

Apa yang diajar oleh beliau benar-benar menarik perhatian Dell! 

Beliau meminta Dell membantu supervisor melakukan praktikal berdasarkan apa yang diajar dan pastikan apa yang beliau minta itu siap sebelum sesi pertemuan selanjutnya. Jadi Dell dan supervisor cuba memahami keperluan beliau itu dan menyiapkan tugasan seperti yang diminta dalam masa seminggu ini.

Semoga urusan kami semua dipermudahkan oleh-Nya. Amin...
Pada 23 Ogos 2014 (Sabtu) lepas, Dell berpeluang menghadiri Talk Show bersama Dr. Othman Talib. Awalnya ada juga terlintas di hati Dell untuk menghadiri program ini tetapi Dell membatalkan niat tersebut dek kerana semangat Dell menurun sedikit setelah kesukaran Dell untuk mengambil CE pada semester ini. Bukan mudah apabila kita di dalam bidang multi-disiplin ini. Tambahan pula Dell baru sahaja bertukar supervisor kerana kepakaran bidang.

Setelah faham apa yang perlu ditulis setelah diperbetulkan oleh supervisor baharu, Dell pula mengalami kesukaran menulis pula. Mungkin kerana sikap Dell terlampau berhati-hati kerana takut melakukan sebarang kesalahan menyebabkan Dell sukar untuk menulis.

Namun atas perancangan Allah, seminggu sebelum program ini bermula ada salah seorang rakan seperjuangan iaitu Kak Rabaayah mengajak Dell mengikuti program ini dengan berkongsi bayaran yuran iaitu RM100 untuk tiga orang. Dan, Dell pun bersetuju.

Tak sangka ada pula gambar Dell beratur untuk pendaftaran.
Pagi itu, Dell sampai di Fakulti Kejuruteraan pada 8.20 pagi. Selepas mendaftar, Dell terus masuk ke Dewan walaupun masih awal. Saja nak berehat kerana malam itu, Dell tidur agak lewat dan tak cukup tidur. Kak Rabaayah lambat sampai kerana dia bertolak dari Batu Pahat, Johor selepas menghantar anak ke sekolah pagi itu. 
Buku 10 Panduan Menulis Tesis, Tentatif Program dan sekeping button.
Kami diberi buku nota kecil mengenai panduan menulis tesis cepat dan efisyen sebagai pengenalan. Untuk mempelajari dengan lebih mendalam, pembaca perlu membeli buku-buku lain tulisan Dr. OT. Dell sudah memilikinya dan alhamdulillah banyak membantu.
Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris (Mantan TNC UPM) - Indahnya Menjadi Seorang Pendidik.
Prof. Datin Paduka Dr. Aini berkongsi pengalaman beliau ketika melanjutkan pelajaran suatu ketika dahulu di mana waktu itu belum ada teknologi yang canggih mahupun sumber manusia (seperti RA) untuk membantu beliau membuat penyelidikan. Dan juga pengorbanan keluarga kerana beliau terpaksa melanjutkan pelajaran ke luar negara sedangkan suami dan anak-anaknya yang masih kecil tidak dapat mengikutnya sekali. Sehingga ada insiden kekeliruan identiti anak-anaknya kerana beberapa bulan sekali mereka bergiliran tinggal di kedua-dua belah nenek (Kelantan dan Pulau Pinang) apabila mereka berkata, "Tok seh ayaq." Semua hadirin ketawa.

Dr. Othman Talib -  Dari Pencarian Tajuk ke Defend Proposal.
Seperti biasa, Dr. OT akan memperkenalkan penggunaan perisian Mendeley dan lain-lain konsep untuk memudahkan pelajar. Beliau juga berkongsi pengalamannya sewaktu menjadi seorang pelajar dulu. Beliau juga menjemput pelajar-pelajar Master dan PhD yang telah berjaya di dalam viva masing-masing untuk berkongsi pengalaman. 

"It's time to change the way we do research."
Sesi perkongsian Idea/Pengalaman/Maklumat/Tip - Sdri. Nor Amlizan Ramli, Sdri. Ainul Azmin, Sdr. Azraai Othman, Sdri. Soliha Sanusi, Sdr. Iskandar, Sdri. Airien Malek dan Sdri. Sharifah Sharie.
Juara 3MT Kebangsaan 2014 - Sdri. Siti Aimi Sarah.
Sesi perkongsian Idea/Pengalaman/Maklumat/Tip - Dr. Zulkifli Mansor, Dr. Teo Wil Ly dan Sdri. Siti Nazirah Butai.
Para peserta program.
Peserta program Talk Show Dr. OT.

Apabila mendengar mereka semua bercerita di atas pentas mengenai dugaan-dugaan yang dihadapi, Dell agak terkejut kerana tidak sangka hal sebegitu boleh berlaku. Ada kes yang pelajar PhD bergraduat selepas 8 tahun pengajian!

Kisah mereka itu memberi motivasi kepada Dell agar semangat Dell konsisten kembali dalam menulis tesis. Bukan mudah tetapi kena kuat semangat. Kepada mereka yang hendak mempelajari ilmu mengenai penulisan tesis boleh layari Blog Dr. OT ini.

Pada 17 Ogos (Ahad) yang lepas, Dell berpeluang mengikuti Mini Seminar Jutawan Hartanah yang dianjurkan oleh MPWS di Bangi. Mini seminar ini diadakan secara percuma sebagai pengenalan mengenai hartanah. Tak sangka akhirnya, Dell dapat juga menghadiri seminar sebegini. Dell memang sangat menyukai bidang hartanah. Sejak kecil, nenek Dell suka bercerita tentang moyang Dell di Pontian, Johor yang merupakan Tuan Tanah Kedaung (banyak tanah). 

Sejak itu, Dell suka berangan-angan jika dapat memiliki hartanah seperti moyang Dell. Ketika di zaman sekolah, Dell beranggapan mudah untuk mendapat pekerjaan sekiranya kita mempunyai ijazah. Rupa-rupanya, tidak seperti yang Dell bayangkan. Selepas Dell bekerja, agak sukar juga hendak membeli rumah kerana jawatan Dell ketika itu hanyalah bertaraf kontrak. Dell tidak berani menanggung risiko kerana tiada ilmu. Tetapi Dell rasa risau kerana dalam usia sebegini masih belum memiliki apa-apa.

Inilah coachnya, En Nazarudin yang merupakan Jutawan Hartanah. Penerangannya sangat mudah difahami.
Melalui seminar ini, minda Dell semakin terbuka untuk memiliki hartanah. Impian yang dulu hambar, kini dah mula berapi semula. 

Tak sangka Dell bertemu dengan teman lama iaitu Diyana. Teman yang dikenali ketika bercuti di Vietnam pada tahun 2010. Tak sangka juga dia kini bekerja dalam bidang hartanah.
Dell cekalkan diri datang ke sini. Kebanyakan peserta semuanya sudah memiliki sekurang-kurangnya sebuah rumah.
Dell terpilih menjadi subjek contoh ketika di dalam seminar. Rezeki. Sepanjang seminar Dell asyik melihat nama Dell memiliki hartanah itu. Tervisual impian.
Kesemua peserta seminar.

Dell akan pergi ke seminar Advance pada bulan hadapan. Dell perlu mempelajari selok belok tentang hartanah untuk masa depan. Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu dan harga rumah yang semakin tinggi, kita perlu bersedia dengan ilmu. Semoga impian Dell memiliki banyak hartanah tercapai suatu hari nanti. Amin...

Pada 20 Julai (Ahad) lepas, Dell berpeluang menghadiri Bengkel Penulisan Buku Motivasi yang dianjurkan oleh Tuan Zamri Mohamad. Alhamdulillah, dapat juga Dell menghadiri bengkel ini dengan tajaan Smarts Coach bagi memantapkan lagi siri penulisan buku motivasi yang akan datang.

Gerun pula ada kata-kata perjanjian yang tertulis di situ.
Kami diberi tugas membedah sebuah buku motivasi yang terpilih di dalam kumpulan.
Memperkenalkan buku Dell di bengkel tersebut.
Terharu rasanya apabila mentor penulisan menggunakan buku kami sebagai sampel.
Bertambah lagi jemaah penulis.
Walaupun Dell sudah menerbitkan sebuah buku motivasi bersama-sama dengan seorang motivator, Dell tetap merasakan bahawa ilmu penulisan belum lengkap. Tidak salah kita sentiasa update ilmu yang kita ada supaya kita dapat memperbaiki mutu penulisan kita. Terus terang Dell katakan, banyak ilmu yang Dell pelajari di sini. 

Kami semua turut diberi tugasan iaitu menulis sebuah artikel untuk sebuah e-book Motivasi Ibu yang akan diterbitkan di Google Play oleh PTS. Alhamdulillah, Dell telah menghantar artikel tersebut pada minggu lepas untuk diterbitkan. Tak sabar rasanya.

Nota:
Pendekatan penulisan Dell pada kali ini agak berlainan daripada buku motivasi Rahsia 100 Impian itu. Dell menulisnya dalam bentuk cerpen. Dell juga telah menghantar sedikit sedutan kisah tersebut sebagai sampel kepada beberapa orang untuk penilaian. Alhamdulillah, mereka menyukainya. Insya-Allah, Dell akan menggunakan kaedah penulisan tersebut untuk terbitan yang lain pula. Sekali sudah mendapat rentak, sukar untuk berhenti. :)