Selamat Datang ke Blog Dell!

Bersama Dell di Alam Maya
Sertai Saya
Memaparkan catatan dengan label Kursus dan Bengkel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kursus dan Bengkel. Papar semua catatan
Bersama Tuan Zaini Nanyan.
Bertuah sungguh Dell apabila berpeluang mendapat satu tiket percuma ke Seminar NLP oleh Tuan Zaini Nanyan di Bangi Gateway yang dijalankan pada hari ini.

Dell sudah lama follow Tuan Zaini ini kerana berminat dengan buku beliau mengenai NLP. Tidak sangka hari ini, Dell dapat bersua muka dengan trainer ini.

Buku Motivasi Kecemerlangan Diri dengan NLP oleh Tuan Zaini Nanyan.
Kata-kata semangat daripada beliau. Amin...
Banyak perkara yang Dell pelajari melalui seminar ini. Ada beberapa persoalan yang berlegar-legar di dalam minda Dell selama ini, terjawab. Kami juga didedahkan sedikit ilmu hipnosis di sini.

Dell juga sudah memahami sedikit sebanyak bagaimana hendak mengetahui kategori manusia melalui pergerakan mata. Melalui beliau, Dell nampak lebih jelas mengenai perkara ini. 

Isi kandungan dalam buku ini mengupas sedikit sebanyak ilmu berkaitan dengan NLP. Tak rugi untuk mendapatkannya.

Hubungan kami semua (sesama peserta dan beliau) tidak putus begitu sahaja. Kami mempunyai grup alumni untuk seminar ini sama ada melalui whatsapp ataupun facebook. Terkejut juga ramai peserta di sini berminat untuk menulis buku.

Keseluruhannya, Dell sangat berpuas hati menghadiri seminar beliau hari ini.
NLP Grand Power Seminar.
Pada 28 November 2012 – Dell berpeluang menghadiri Seminar NLP Grand Power di MATRADE Kuala Lumpur bersama beberapa orang kenalan dari UPM. Rezeki Dell mendapat tiket percuma ke sini.

Bersama-sama kenalan dari UPM.
Bertuah kenalan-kenalan Dell ini. Muda-muda lagi sudah terdedah dengan seminar-seminar sebegini. Bagus untuk pengetahuan mereka sebelum mereka bergraduat.

Tiket VIP.
Dell tidak menduga sama sekali akan mendapat tiket VIP. Ingatkan duduk di bahagian biasa sahaja. Alhamdulillah. Rezeki.

Sebelum seminar bermula, kita selfie dulu!
Tidak sangka, peserta yang mengikuti seminar ini mencecah 1300 orang. Ramai sungguh! 

Berjumpa dengan Kak Fidza.
Kak Fidza dan anaknya.
Tidak sangka juga, ramai juga kenalan Dell ke sini. Bak kata orang, “Kecil sungguh dunia ni!”.

Bersama Tuan Amin Idris.
Rezeki Dell dapat bergambar dengan Tuan Amin Idris. Kebetulan waktu itu, tak ramai orang.

Buku Tuan Fadzli Yusof.

Sebelum ini, Dell ada memiliki beberapa buah buku Tuan Fadzli Yusof namun kali ini Dell dapat bersemuka dengan beliau sendiri. Dell sangat tertarik dengan gaya penyampaian beliau yang santai itu. Ketika berada di seminar, ada sesuatu yang terjadi pada diri Dell.

Ketika Dell sedang beratur membeli minuman di kantin tengah hari tadi, tiba-tiba ada seseorang memegang bahu Dell sambil berkata, "Wah, hebat adik tadi! Laju sungguh naik ke atas pentas. Nampak sangat bersemangat. Bagus! Bagus!"

Terperanjat Dell. Mujur tak melatah. "Eh, boleh cam ya muka saya?" Dell tersengih-sengih.

"Memang boleh cam sangat-sangat."

Selepas tu, adalah sesi berkenalan secara ringkas.

Dell benar-benar tak sangka orang cam muka Dell.

Dell juga tidak sangka, Dell berani bangun dari tempat duduk dan berlari ke atas pentas untuk mengambil CD yang ditawarkan oleh Tuan Fadzli Yusof dengan syarat yang beliau letakkan.

Dell cuba nak berebut dengan seorang lagi wanita yang turut menuju ke atas pentas.
Hanya kami berdua yang menuju ke atas pentas waktu itu kerana mengambil tindakan drastik.

Itulah kali pertama dalam hidup, Dell sebegitu berani naik ke atas pentas dengan adanya ribuan peserta di dalam dewan yang matanya sedang tumpu ke hadapan.
Tindakan luar kawal.

Tuan Fadzli Yusof berjaya membuatkan Dell hilang rasa takut dan gementar ketika itu.
Dell rasa tenang sewaktu naik dan turun dari pentas itu.

Tidak mengapa walaupun Dell tewas memiliki CD itu, tetapi keberanian itu bukan mudah untuk Dell keluarkan.

Hari ini, tercatat satu sejarah lagi dalam hidup Dell.

Alhamdulillah, banyak ilmu baru yang Dell dapat melalui seminar ini. Dell sangat berminat dengan dunia NLP. Insya-Allah, jika ada peluang Dell ingin mendalami ilmu ini nanti. Amin.
Suasana pendaftaran.
Semalam Dell berkesempatan menghadiri Seminar Facebook Menjadi Buku. Tetapi bukan sebagai peserta seperti biasa. Dell menjadi salah seorang tim pengurusan yang membantu penganjur seminar tersebut. 

Seawal pukul 6.30 pagi, Dell sudah keluar dari rumah kerana perlu mengambil seorang lagi rakan sepasukan di Putrajaya. Kami bersetuju untuk sampai di Wisma Sejarah dalam pukul 8.00 pagi. Maklumlah, kami menjaga bahagian pendaftaran. Seminar pula akan bermula pada pukul 9.00 pagi.

Ketika singgah di Petronas untuk mengisi minyak, kami berdua membeli nasi lemak dan karipap sebagai sarapan kami di sana. Kebetulan pula, pagi itu Dell terasa sangat lapar walaupun di awal pagi. Terlepas nafsu mengidam Dell nak makan nasi lemak daun pisang yang sedap!

Nasi lemak ini sangat sedap!

Seperti yang dirancang, kami sampai di Wisma Sejarah beberapa minit sebelum pukul 8.00 pagi. Seramai 183 orang peserta yang telah mendaftar untuk menghadiri seminar ini. Dell cuba mengecam wajah setiap peserta yang datang. Maklumlah ada nama yang tersenarai tu, Dell hanya berpeluang memandang wajah melalui facebook sahaja.

Terima kasih kak Mazura Stapah kerana sudi mengambil gambar ini sebagai kenangan. Dell pun tak terfikir malah terlupa. Huhuhu... 

Jualan buku Rahsia 100 Impian dan buku Antologi Cerpen Muzikal.

Selesai berada di meja pendaftaran, dalam pukul 10.00 lebih Dell bawa masuk buku-buku Dell ke meja jualan untuk para alumni penulisan. Dell berkongsi meja dengan seorang lagi penulis buku Genius dari Syurga iaitu Puan Ainizal Abdul Latif. Pada mulanya, Dell agak segan juga. Maklumlah, ramai penulis senior yang hadir dan karya-karya mereka hebat-hebat belaka. Tetapi Dell teringat kata-kata Prof. Dr. Zainon Ismail di status facebooknya beberapa tahun yang lalu, "Buat apa nak malu jual buku sendiri?"

Buku-buku Dell.

Terima kasih sekali lagi kepada kak Mazura Stapah di atas gambar ini. Terima kasih Dell ucapkan kepada mereka yang sudi membeli buku-buku ini. Di sebelah Dell ini namanya Ardina, anak kepada penulis buku Genius dari Syurga. Si anak kecil inilah yang membantu ibunya dalam penjualan buku sementara ibunya mendengar seminar. 

Menulis kata-kata indah kepada si kecil ini.

Kehadiran si anak kecil ini membuatkan masa Dell terisi dengan kisahnya. Seronok mendengar si comel ini bercerita tentang pengalamannya menjaga adik yang merupakan seorang autistik. Berusia 10 tahun tetapi petah berkata-kata, ayatnya tersusun, penggunaan intonasi suara yang sesuai malah turut menggunakan ekspresi wajah yang berbeza untuk setiap babak cerita. Cerdik si comel ini. 

Secara tidak langsung, Dell mendapat ilmu pengetahuan yang lebih mengenai kanak-kanak autistik melalui si kecil itu. Dell kagum dengan kesabarannya melayan kerenah kanak-kanak autistik pada usia yang sangat muda. Dari segi percakapannya, sememangnya pemikiran dia jauh lebih matang dari usia. Dia juga kerap mengulang kata-kata nasihat daripada ibunya dalam menangani karenah adiknya yang istimewa itu.

Kenang-kenangan bersama-sama si kecil yang petah berkata-kata.

Dell ada bertanya, jika si anak kecil ini mempunyai facebook ataupun blog. Dia mengatakan belum bersedia untuk semua itu. Dia terasa ia menyesakkan kepala. Mungkin apabila umurnya belasan tahun, baru dia nak ada facebook. Dell memberitahu kepadanya, "Adik boleh menulis kisah pengalaman adik itu di dalam blog. Pengalaman yang ada ilmu pengetahuan dan kesedaran. Ramai orang hendak tahu. Mana tahu, suatu hari nanti adik pula ada buku sendiri."  Dia hanya tersenyum sahaja.

Buku bertukar tangan. Bersama-sama Puan Ainizal Abdul Latif.

Kepetahannya itu membuatkan Dell menghadiahkan sebuah buku Antologi Cerpen Muzikal (Cermuz) kepadanya sebagai tanda kenang-kenangan. Sengaja Dell meletakkan alamat blog Dell di situ kerana Dell mengharapkan dia akan menyapa Dell suatu hari nanti. Kebetulan, dia memang minat membaca novel. Mujur rakan setugas Dell, Izham sudi menangkap beberapa gambar Dell bersama-sama mereka sebagai kenang-kenangan. 

Kata-kata motivasi daripada penulis.

Ibunya ternampak Dell memberi buku Antologi Cermuz itu kepadanya. Lalu, ibunya turut menghadiahkan buku tulisannya itu kepada Dell. Alhamdulillah, rezeki dari Allah.

Mobile Bookcafe.

Sebelum pulang, Dell sempat bergambar di tepi Mobile Bookcafe ini. Sangat teruja! Sudah lama Dell menanti peluang untuk bergambar disisinya. Dell selalu berangan-angan, suatu hari nanti buku-buku Dell akan berada di dalam Mobile Bookcafe ini dan menjelajah ke seluruh pelosok negeri. Insya-Allah.

Dell bersyukur kerana diberi peluang membantu Tuan Zamri Mohamad di dalam seminar ini. Ia merupakan sebuah rahmat buat Dell. Dapat ilmu baru, pengalaman baru serta kenalan baru. Terima kasih jua saya ucapkan.
Pada 14 Oktober lepas, Dell berpeluang menghadiri Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu yang diadakan di Hotel Bangi-Putrajaya, Bandar Baru Bangi. Dell bertuah kerana sehari sebelum persidangan bermula, Dell dipelawa oleh supervisor untuk sama-sama menghadiri persidangan ini. Ramai tokoh-tokoh sastera dan linguistik berada di persidangan ini. Antaranya Datuk Dr. Awang Sariyan, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, SN Prof. Muhammad Hj. Salleh, SN Dato' Kemala dan lain-lain, turut dihadiri para ilmuan dari luar negara.

Ucaptama oleh Tan Sri Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim.
Kali pertama Dell mendengar secara langsung Tan Sri Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim berucap. Memang Dell terpegun penggunaan bahasanya. Tersusun. Malah mempunyai bunga-bunga bahasa. Bukan itu sahaja, beliau boleh berpantun secara spontan dengan menggunakan bahasa yang sangat indah.

Forum (dari kiri) : Prof. Dr. Chun Tai Hyun (Hankuk University of Foreign Studies, Prof. Dr. K. Alexander Adelaar (Melbourne Institute of Asian Languages and Societies) Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan (Universiti Malaya), Dr. Victor A. Pagadaev (Universiti Negara Moscow) dan Prof. Dustin Carell Cowell (University of Wisconsin-Madison). 

Selepas ucaptama, Datuk Dr. Awang Sariyan pula membentangkan kertas dasar yang berkaitan dan seterusnya pembentangan kertas kerja oleh Prof. Emeritus Dato' Dr. Hajah Asmah Haji Omar (Universiti Malaya) dan Prof. Wu Zong Yu (Beijing Foreign Studies University China). Setelah itu, diadakan pula forum (seperti gambar di atas). 

Cenderamata yang Dell dapat sewaktu menghadiri persidangan ini.
Perkongsian pengalaman-pengalaman pensyarah-pensyarah bangsa asing untuk bahasa Melayu dari luar negara membuka minda para peserta. Malah ada perkongsian berbaur jenaka mencuit hati kami semua. Namun, Dell sangat kagum dengan kesungguhan mereka dalam memartabatkan bahasa Melayu ke persada antarabangsa. Jika mereka sangat kagum dengan bahasa ibunda kita, kenapa tidak kita?

Dr. Abd. Rahman Ahmad.

9 Oktober 2014, Khamis - Dell berpeluang untuk menghadiri Kursus Endnote di Fakulti Veterinar, UPM. Kursus ini dianjurkan oleh SGS UPM. 

Tenaga pengajar untuk kursus ini dari UTHM Batu Pahat, Johor. Nama beliau ialah Dr. Abd. Rahman Ahmad.

Dell menghadiri kursus ini bersama-sama supervisor kerana kami berdua masih kurang faham untuk menggunakan endnote ini.

Sebelum ini, Dell banyak didedahkan dengan penggunaan perisian Mendeley oleh Dr. OT. Memandangkan setelah menghadiri pembelajaran bersama-sama Dr. Nader mendalami Effective Research Tools, Dell diminta menggunakan Endnote, tambahan pula Dell dalam proses membantu supervisor dalam hal yang berkaitan dengan penggunaan perisian tersebut.

Mudah-mudahan, Dell dapat menggunakan perisian ini dengan jayanya... Amin...
30 September 2014 - Akhirnya, impian Dell untuk bertemu Tun Dr. Mahathir Mohamad secara dekat, tercapai. Dell tidak sangka akan bertemu dengan beliau di Pameran Reka Cipta, Penyelidikan dan Inovasi 2014 yang dianjurkan oleh Pejabat TNCPI. 

Dua perasaan yang Dell dapat lepaskan di PRPI ini. Yang pertama, perasaan rindu akan suasana PRPI yang selama ini Dell selalu involve ketika bekerja dulu. Bayangkan kali pertama Dell menjadi AJK PRPI ialah ketika bekerja di Research Management Centre (RMC) pada tahun 2007 dan seterusnya sehingga pada tahun 2012 (tahun terakhir Dell bekerja di Seksyen Penyelidikan dan Inovasi, FBMK). Dapatlah Dell bertemu dengan rakan sekerja lama di sini. Tambahan, supervisor Dell mengajak semua pelajar di bawah seliaannya memeriahkan suasana memandangkan beliau turut bertanding waktu itu.

Perasaan yang kedua pula, Dell sangat teruja untuk bertemu dengan Mantan PM itu. Terlalu lama Dell memendam impian untuk bertemu dengan beliau secara dekat.

Sebenarnya Dell tidak tahu akan kedatangan beliau di PRPI itu sehinggalah dua minggu sebelum tarikh tersebut, ada salah seorang sahabat rapat WhatsApp Dell mengatakan malam itu dia bermimpi yang kami berdua bergambar dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Dell berkata, "Jika betul, alangkah bahagianya!"

Sahabat Dell memberitahu bahawa beliau akan datang ke PRPI pada kali ini. Peluang yang tidak akan sekali-kali Dell lepaskan!

Ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad sedang berucap.
Tajuk ucaptama beliau ialah 'Developing High Income Nation Through Research Innovation and Capacity Building'. Tapi beliau telah memberi ucaptama dalam bahasa Melayu. 

Paparan di skrin.
Ketika Tun berangkat pulang.
Ikutkan, Dell terlambat datang ke majlis ini dalam 15 minit. Semua tempat duduk telah penuh. Jadi, Dell hanya berdiri di tangga betul-betul di tepi karpet merah. Hanya di situ sahaja masih ada ruang kosong.

Ketika Tun hendak berangkat pulang, Dell dan kawan hanya perlu naik ke tebing tangga itu sahaja tanpa perlu berasak-asak dengan tetamu yang hadir. Dell dapat bertemu dengan beliau secara dekat. Rezeki. Salah satu impian telah tercapai. Alhamdulillah... :)

Nota: Penyelidikan supervisor Dell telah memenangi Pingat Emas di PRPI 2014. Sekalung tahniah diucapkan. :)
Malaysia Design Festival 2014.

27 September 2014, Sabtu - Dell berpeluang menghadiri Malaysia Design Festival 2014 di Perpustakaan Kuala Lumpur bersama-sama dengan supervisor. Inilah kali pertama Dell jejak kaki di Perpustakaan Kuala Lumpur. Kiranya rezeki Dell pada hari tersebut. Kami terlewat sedikit datang kerana tersalah tempat, kami terpergi ke Perpustakaan Negara. Huhu...
Dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dato. Dr. Ahmad Haji Zainuddin, Chairman of Malaysia Design Council.
Supervisor Dell ingin meneroka dengan lebih jauh berkenaan dengan reka bentuk ini. Dapatlah Dell sedikit input dalam bidang ini. Banyak juga perkara baru yang Dell pelajari melalui festival ini malah dapat melihat beberapa model reka bentuk terkini. 
Antara cenderamata yang Dell dapat di sini.
Pengalaman sangat berbeza dengan hanya membaca buku atau menontonnya di kaca televisyen mahupun di internet. Pendedahan secara langsung seperti ini akan membuatkan kita lebih banyak berfikir mengenai sesuatu. Dell berpendapat sebegitu. Ada masa eloklah sekali sekala kita pergi ke pameran sebegini untuk membuka minda mengenai sesuatu perkara.
Trainer pertama, Tuan Zamri Mohamad.
Pada hari Ahad lepas (21 september 2014), Dell berpeluang menghadiri Bengkel Penulisan Buku Bisnes di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur. 

Para sifu dan para peserta Bengkel Penulisan Buku Bisnes.
Sebenarnya bengkel ini diadakan secara percuma kepada semua pembeli e-book Tawaran Meleleh yang dijual pada bulan Ramadan lalu. Walaupun percuma, terlalu banyak ilmu yang Dell peroleh di sini. Bayangkan, penulisan e-book turut disentuh. Syok rasanya! Segala perkongsian oleh otai-otai penulisan seperti Tuan Zamri Mohamad, Tuan Azree Hanifah dan Tuan Izwan sangat membantu. 

Dell tidak sangka rupa-rupanya tedapat 16 jenis buku bisnes iaitu Kajian kes, buku kerja, motivasi, temu bual, FAQ, Template, Penjenamaan, Quotes, 101, Klasik, Buku Ibu, Fiksyen, Infografik, Ilustrasi, Konsep dan Auto/Biografi.

Kali pertama Dell jejak kaki di MIMOS.

Pada hari Rabu lepas (17 September 2014), Dell berpeluang menghadiri seminar berkaitan dengan bidang penyelidikan Dell iaitu Ergonomik bersama-sama supervisor. Ada tiga perbentangan iaitu :

1. "HFE in Process Safety" oleh Ms. Karen Jacka dari Bumi Armada Berhad.

2. "User Experience Design Methods for Product and Service Development" oleh Dr. Ketut Silistyawati dari Somia Customer Experience, Indonesia.

3. "School Ergonomics" oleh Prof. Madya Dr. Shamsul Bahari, UPM.


Setelah menghadiri seminar sebegini, sedikit sebanyak Dell memahami bidang Ergonomik. Bidang Ergonomik ini luas. Bidang Dell lebih kepada Ergonomik Kognitif. Seminar ini dianjurkan oleh Human Factors and Ergonomics Society Malaysia (HFEM) di MIMOS.
Pada 13-14 September lepas, Dell berpeluang menghadiri Seminar Advance Jutawan Hartanah yang dianjurkan oleh MPWS di Bandar Baru Bangi, Selangor. Ilmu hartanah ini disampaikan oleh Tn. Nazarrudin Baharom. 
Tn. Nazarrudin Baharom.
Ikutkan yuran seminar ini sangat mahal iaitu RM997 seorang tetapi Dell mendapat rebat RM500 kerana datang ketika seminar asas dan tambahan rebat RM50 kerana pergi ke Talk Show Dr. OT sebelum ini. Jadi Dell tidak lepaskan peluang untuk mengetahui perihal hartanah untuk kegunaan pada masa akan datang. 

Bagi Dell yang memang Zero tentang hartanah, terasa sangat berbaloi dengan ilmu yang disampaikan oleh Tuan Naza serta perkongsian pengalaman peserta-peserta dalam pelbagai bidang di dalam seminar tersebut. Kebanyakan peserta sudah mempunyai dua rumah atau lebih.

Tetapi bagi mereka yang sudah ada ilmu tentang hartanah sebelum ini mungkin tidak  puas dengan perkongsian yang ada dan mereka lebih berminat untuk personal coaching yang berharga RM1997 seorang selepas seminar ini. Itupun hanya dihadkan kepada 10 orang sahaja.

Peserta-peserta Seminar Advance Jutawan Hartanah.
Tak sangka ramai yang hadir ke seminar advance ini. Kami semua ditempatkan dalam satu group di fb dan telegram untuk networking dan berkongsi ilmu secara berterusan. 

Doa yang divisualkan oleh Tuan Nazarrudin.

Antara yang Dell pelajari ialah :

  1.  10 strategi membeli rumah.
  2. 88 kesilapan untuk dielakkan dalam bidang hartanah.
  3. 101 cara untuk meningkatkan nilai hartanah anda tanpa menggunakan duit yang banyak.
  4. 22 sebab pelaburan dalam hartanah sangat menguntungkan.

Dell bersyukur kerana melalui seminar ini Dell dipertemukan semula dengan sahabat lama ketika kami ke Vietnam tahun 2010 dulu. Dell tidak sangka yang dia merupakan agen hartanah sekarang ini. Dulu dia masih belajar di universiti lagi. Ish, terasa semakin tua... Huhu...

Ada juga kawan yang mempunyai minat yang sama iaitu dalam bidang hartanah ini. Senang untuk kami berbincang selepas seminar. Banyak juga yang Dell belajar daripadanya. Mudah-mudahan impian kami untuk berjaya dalam bidang ini dimakbulkan dan mendapat keredhaan dari-Nya. Amin...
Alhamdulillah pada hari Khamis lepas (11 September 2014), Dell berpeluang mengikuti bengkel 'Dari Blog menjadi Buku' anjuran Perbadanan Kota Buku. Trainer yang mengendalikan bengkel ini ialah mentor penulisan Dell iaitu Tuan Zamri Mohamad. Dell berminat mengikuti bengkel ini kerana Dell juga merupakan seorang blogger. Dell memang sudah lama mempunyai impian untuk menjadikan blog sebagai medium perkembangan ilmiah seperti kebanyakan blog yang berpengaruh di dunia sehingga dapat menerbitkannya sebagai sebuah buku.

Bengkel Dari Blog menjadi Buku
Banyak perkara yang didedahkan oleh Tuan Zamri. Rupa-rupanya, banyak perkara yang Dell terlepas pandang sebelum ini. Dengan ilmu yang diberi, sekurang-kurangnya kami semua ada garis panduan untuk menulis dengan lebih sistematik. Bukan senang nak membuatkan orang 'asyik' dengan blog kita. Sampai bila kita dapat memegang pengunjung blog untuk kekal menjadi pembaca kita?

Tuan Zamri memberitahu kami semua, beliau pernah berguru dengan seorang blogger Bill Belew (BB). BB menjana sumber pendapatan melalui penulisan blog. Blog beliau mempunyai 90, 000, 000 pembaca. Kata BB untuk mencapai tahap itu, tiada apa tips melainkan perlu menjadi 'Mad Man' (kerja keras).

Penyampaian sijil oleh 'orang kuat' Perbadanan Kota Buku.
Alhamdulillah di dalam bengkel ini, Dell bertemu dengan otai-otai dalam penulisan. Mereka juga sangat positif dan supportive. Hubungan kami semua tidak terputus selepas tamat bengkel, kami semua ditemukan di dalam group khas facebook yang ditubuhkan secara secret untuk kami berbincang mengenai penulisan blog sesama kami.
Gambar kenangan bersama-sama dengan kesemua peserta bengkel.
Menulis autograf sebagai kenang-kenangan.
Harap-harap adalah yang sudi melawat blog kakdell.blogspot tu.
Bersama-sama blogger 'Syurga di Hati'
Dell suka betul dengan ruangan ini.
Bayangkan membaca sambil minum kopi di sini.
Tuan Zamri ada mengatakan, suatu hari nanti apabila kita sudah sampai tahap tertentu... resume atau pengenalan diri kita mungkin akan menjadi hanya dua atau tiga ayat sahaja. La ni kita dok tulis panjang-panjang pengenalan diri kita.

"Budak universiti biasanya memang sebegitu." seloroh Tuan Zamri. Dell tersengih je.
Pada hari Ahad lepas (7 September 2014), Dell berpeluang pergi ke Program Klinik Usahawan Siri Mudahnya Berniaga 2014 bersama-sama Dr. Azizan Osman (DAO). Sebenarnya Dell tak sangka peluang untuk ke bengkel bersama-sama DAO tercapai. Terima kasih kepada kawan Dell iaitu Iqa yang telah mengajak Dell ke program tersebut.

Ber-selfie dahulu sebelum program bermula. Hihi...
Walaupun klinik ini adalah percuma, tetapi banyak ilmu yang Dell perolehi. Dell sangat terkesan bagaimana para penganjur memulakan suasana yang sangat bertenaga beberapa minit sebelum DAO naik ke atas pentas. Permulaan acara dengan lagu yang sangat rancak sambil melakukan tarian yang ringkas sangat mengujakan kami. Jadi, kami tidak berasa mengantuk dan rasa sangat gembira.

Keadaan ini menjadikan kami bersedia menerima sebarang ilmu yang hendak disampaikan. Program yang ringkas sebegini adalah perkara biasa dalam bidang konsultan. Ia sebagai modul pengenalan untuk menarik minat audien supaya mengikuti program mereka seterusnya. Namun, Dell tidak menafikan bahawa ilmu yang ingin disampaikan itu sangat bagus bagi mereka yang ingin mengetahui bagaimana hendak menjadi usahawan yang lebih strategik.

Seperti yang kita ketahui, dalam menjalankan sesebuah bisnes kita boleh memilih sama ada :
  1. Cuba sendiri.
  2. Belajar daripada orang lain. Atau
  3. Ber-partner dengan orang yang sudah berjaya.
Geram melihat Gitar Merdeka ini!
DAO mengajukan soalan-soalan ini kepada kami semua :
  1. Apakah tahap kewangan yang anda inginkan 3/5/10 tahun akan datang?
  2. Apakah impian gaya hidup yang anda impikan?
  3. Impian kebebasan masa?
  4. Berapa banyak kita hendak menyumbang kepada masyarakat?
  5. Apakah impian kebahagiaan semasa hidup dan mati?

Jika Dell mempunyai sumber kewangan yang banyak, Dell tidak akan teragak-agak untuk mengikuti program ini. Melalui program sebegini, kita dapat menjimatkan masa dari segi pembacaan buku dan penggunaan teori yang silih berganti dengan menggunakan pengalaman mereka. 

Apa-apa pun, ilmu yang ada perlu dilaksanakan, jika tidak ia akan menjadi sia-sia. Betul tak?
Pada 24 Ogos 2014 (Ahad) lepas, Dell berpeluang mendalami ilmu mengenai Effective Research Tools daripada Dr. Nader Ale Ebrahim bersama-sama supervisor. Serba sedikit ilmu yang Dell peroleh ketika bekerja di Seksyen Penyelidikan dan Inovasi, FBMK dulu dapat membantu Dell memahami serba sedikit ilmu baharu ini.

Bersama-sama Dr. Nader Ale Ebrahim dan Prof. Madya Dr. Normahdiah Sheik Said.

Banyak ilmu baru yang kami pelajari pada hari tersebut. Walaupun pertemuan ini hanya berlaku selama 2 jam tetapi ilmu yang diajar oleh Dr. Nader sangat dalam meskipun hanya Part 1. Ada beberapa lagi sesi pembelajaran yang kami akan lalui selepas ini bersama-sama dengan beliau.

Ketika bertemu dengan beliaulah baru Dell bertambah faham bagaimana hendak menaikkan cited kepada penerbitan jurnal kita. Kiranya ilmu yang diajar oleh beliau ini sangat berkaitan dengan penulisan jurnal berimpak tinggi sekaligus menaikkan ranking universiti.

Apa yang diajar oleh beliau benar-benar menarik perhatian Dell! 

Beliau meminta Dell membantu supervisor melakukan praktikal berdasarkan apa yang diajar dan pastikan apa yang beliau minta itu siap sebelum sesi pertemuan selanjutnya. Jadi Dell dan supervisor cuba memahami keperluan beliau itu dan menyiapkan tugasan seperti yang diminta dalam masa seminggu ini.

Semoga urusan kami semua dipermudahkan oleh-Nya. Amin...
Pada 17 Ogos (Ahad) yang lepas, Dell berpeluang mengikuti Mini Seminar Jutawan Hartanah yang dianjurkan oleh MPWS di Bangi. Mini seminar ini diadakan secara percuma sebagai pengenalan mengenai hartanah. Tak sangka akhirnya, Dell dapat juga menghadiri seminar sebegini. Dell memang sangat menyukai bidang hartanah. Sejak kecil, nenek Dell suka bercerita tentang moyang Dell di Pontian, Johor yang merupakan Tuan Tanah Kedaung (banyak tanah). 

Sejak itu, Dell suka berangan-angan jika dapat memiliki hartanah seperti moyang Dell. Ketika di zaman sekolah, Dell beranggapan mudah untuk mendapat pekerjaan sekiranya kita mempunyai ijazah. Rupa-rupanya, tidak seperti yang Dell bayangkan. Selepas Dell bekerja, agak sukar juga hendak membeli rumah kerana jawatan Dell ketika itu hanyalah bertaraf kontrak. Dell tidak berani menanggung risiko kerana tiada ilmu. Tetapi Dell rasa risau kerana dalam usia sebegini masih belum memiliki apa-apa.

Inilah coachnya, En Nazarudin yang merupakan Jutawan Hartanah. Penerangannya sangat mudah difahami.
Melalui seminar ini, minda Dell semakin terbuka untuk memiliki hartanah. Impian yang dulu hambar, kini dah mula berapi semula. 

Tak sangka Dell bertemu dengan teman lama iaitu Diyana. Teman yang dikenali ketika bercuti di Vietnam pada tahun 2010. Tak sangka juga dia kini bekerja dalam bidang hartanah.
Dell cekalkan diri datang ke sini. Kebanyakan peserta semuanya sudah memiliki sekurang-kurangnya sebuah rumah.
Dell terpilih menjadi subjek contoh ketika di dalam seminar. Rezeki. Sepanjang seminar Dell asyik melihat nama Dell memiliki hartanah itu. Tervisual impian.
Kesemua peserta seminar.

Dell akan pergi ke seminar Advance pada bulan hadapan. Dell perlu mempelajari selok belok tentang hartanah untuk masa depan. Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu dan harga rumah yang semakin tinggi, kita perlu bersedia dengan ilmu. Semoga impian Dell memiliki banyak hartanah tercapai suatu hari nanti. Amin...