Keluarga A :
Nampak gayanya, minggu hadapan Dell terpaksa bertegas sedikit dengan mereka ni kerana kelihatan mereka dalam keadaan selesa dan suka menyiapkan latihan yang diberikan dengan masa yang lama. Terutama bagi subjek BM, kelihatan mereka tidak suka menulis karangan. Mereka lebih suka Dell ajar Matematik dan Sains. Mereka selalu pujuk Dell untuk mengajar subjek-subjek tersebut apabila Dell suruh mereka buat latihan BM.
Bukan apa, Dell risau dengan tahap penulisan BM mereka yang masih lemah walaupun sudah ada peningkatan sedikit. Mungkin tekanan untuk peperiksaan belum lagi terasa memandangkan masih awal tahun. Tetapi kalau boleh, Dell nak mereka belajar lebih awal supaya ada masa untuk ulangkaji pelajaran.
Kadang-kadang, kelihatan mereka semua hendakkan perhatian lebih daripada Dell tapi sukar untuk Dell bahagikan kepada empat pelajar. Keempat-empat mempunyai level yang berbeza dan mereka belajar berbeza subjek dalam masa yang sama. Itu belum mereka usik- mengusik antara satu sama lain sehingga akhirnya bergaduh dan menangis. Pening kepala Dell dibuatnya. Dell memang sukar nak marah, selalunya emak mereka atau kakak yang sulung akan marah mereka ni.
Keluarga B :
Dell sedang memikirkan bagaimana hendak mencari cara mengajar yang baru untuk salah seorang pelajar dari empat beradik ini. Dia sukar untuk mengeja perkataan walaupun sudah Darjah 5. Kakaknya kata dia sendiri sudah tak sanggup untuk membantu adiknya itu dan berharap Dell mencari idea bagaimana hendak membantu adiknya.
Bagi Dell, adiknya ini ada keistimewaan tersendiri. Dia pandai melukis dan pandai muzik. Tulisan pun cantik. Cuma kelemahannya adalah dari segi ejaan. Dia akan mengeja sesuatu melalui sebutan yang dia fahami. Ini bermakna dia tidak tahu menyebut dengan betul. Mungkin disebabkan masalah ini, dia berasa kerdil dan sentiasa ingin berkepit dengan abangnya.
NOTA :
1. Bukan mudah menjadi cikgu tuisyen secara persendirian ini, Dell perlu mencari kaedah yang sesuai untuk tahap seseorang pelajar yang tidak dapat menangkap apa yang dipelajari di sekolah.
2. Dell kena banyak bersabar dengan karenah mereka.
3. Dell selalu juga memberi sedikit ceramah motivasi kepada mereka supaya mereka ada semangat untuk maju dan berjaya walaupun pelajaran mereka masih lemah.
Tidak tahu mengapa, petang tadi terasa bosan sangat selepas berehat seketika dari mengajar tuisyen di Putrajaya. Mujur sempat makan tengah hari di kedai mamak di Presint 9. Sampai je rumah, rehat sekejap terus solat Zohor.
Selepas tu, Dell hanya menunggu cerita komedi Joe's Apartment di HBO tayangan jam 5.15 petang. Habis je cerita tersebut, Dell mulai rasa bosan. Nak ajak kawan keluar macam malas. Tiba-tiba ada seorang kawan yang duduk berdekatan dengan blok Dell nak datang rumah. Dah alang-alang, Dell ajak keluar makan malan sekali.
Kawan Dell kata ada restoren baru buka berdekatan dengan rumah kami. Jadi, kami pun bersetuju makan di situ. Sampai je di luar restoren, baru Dell tahu rupa-rupanya restoren ini menyajikan masakan barat. Yelah, dah nama restoren tersebut ialah Mr. Steak House.
Kawan Dell memilih air kelapa sebagai minuman.
Dell pula memilih air lime. Harganya hanya RM2 sahaja. Gelas pun besar!
Ini pula menu pilihan Dell, Lamb Leg. Harga jauh lebih murah berbanding di tempat lain. Menu yang Dell makan ini harganya hanya RM12.90.
Cubalah datang ke restoren ini yang terletak di hujung bangunan di belakang Bazaar Rakyat Taman Equine. Makan kenyang, harga pun berbaloi-baloi.
Beberapa minggu lepas, Kelab Staf Kontrak UPM add Dell sebagai senarai ahli kelab tersebut. Antara perjuangan yang sedang hebat dilakukan ialah ingin membela nasib staf kontrak UPM yang kini kontrak mereka hanya diperbaharui untuk enam bulan sahaja (sehingga bulan jun tahun ini) dan tiada jaminan akan diperbaharui selepas tempoh tersebut.
Tambah membimbangkan apabila ura-ura mengenai masalah ini sejak tahun lepas menjadi kenyataan apabila ramai staf kontrak tidak diperbaharui kontraknya dan ditamatkan terus perkhidmatan mereka. Hal ini yang menyebabkan staf kontrak berasa tidak selamat dengan kedudukan mereka. Pihak pengurusan juga telah memberitahu tentang hal ini dari awal supaya kami semua bersedia dengan segala kemungkinan.
Inilah antara sebab Dell juga mencari pekerjaan lain waktu itu dan cuba juga memohon biasiswa untuk melanjutkan pelajaran. Itupun Dell memohon secara senyap-senyap. Ramai juga kawan-kawan Dell yang diberhentikan kerja secara tiba-tiba waktu itu walaupun telah bekerja lebih 5 tahun. Bayangkan bagi mereka yang sudah berkeluarga dan mempunyai komitmen yang banyak.
Alhamdulillah, Dell berjaya mendapat biasiswa penuh dari KPT pada bulan September lepas. Jika tidak, sudah tentu Dell akan risau tentang status Dell pada akhir tahun tersebut. Sewaktu sahabat-sahabat sedang gusar dengan masalah tersebut, Dell pula hampir terlupa tentang hal itu kerana terasa terlepas dari masalah itu.
Apa-apa pun, kita kena berani keluar dari satu kepompong untuk lebih berjaya. Kita tidak boleh selama-lamanya berada di zon selesa. Cuba bayangkan jika Dell masih berada di situ. Bebanan tugas semakin banyak kerana kekurangan staf. Tekanan hidup pun semakin bertambah.
Dell berasakan keputusan Dell meletakkan jawatan pada hari tersebut adalah satu pilihan yang tepat. Memang ramai terkejut kerana Dell meletakkan jawatan secara tiba-tiba dengan notis sebulan. Waktu itu, bulan Ramadan dan orang sedang sibuk fikir tentang raya dan cuti.
Dell berterima kasih juga keadaan ini berlaku, jika tidak, tentu kehidupan Dell tidak sebaik sekarang ini. Kadang-kala, tekanan seperti ini perlu untuk kita merubah kehidupan kepada lebih baik.
NOTA :
1. Dell pernah dijanjikan untuk diserap ke jawatan tetap, janji tinggal janji.
2. Jangan menaruh harapan tinggi jika tiada perjanjian secara bertulis.
3. Kita kena fikirkan diri sendiri juga, jika ada peluang ke tempat lain, pergi jika sesuai. Mungkin itu rezeki yang lebih baik untuk kita.
P/S : Kawan-kawan Dell yang sudah keluar dari UPM kebanyakannya sudah mendapat jawatan tetap dengan jawatan yang setaraf dengan mereka.
Ada salah satu tempat Gerai Nasi Ayam yang Dell suka makan. Tempatnya di Giant Equine Park. Nasi ayamnya sedap. Nasi dan ayamnya lembut dan berasa rempahnya. Ada dua jenia ayam yang disediakan di sini. Satu ayam panggang, satu lagi ayam stim.
Dell suka order Nasi Ayam Panggang bahagian peha. Untuk bahagian peha, kita kena tambah 40 sen. Jadi harganya RM5.90 sepinggan. Nasi ayam di sini cepat habis. Cubalah!
Atas izin ibu kepada anak-anak murid Dell, Dell membeli beberapa buah buku yang sesuai dengan tahap masing-masing. Minggu lepas, Dell nampak semangat mereka semua tinggi untuk belajar tetapi latihan agak terhad dek kerana buku latihan yang ada tidak sesuai. Dell lebih suka latihan matematik dan sains mengikut bab dan bukan bercampur kerana Dell nak mengenal pasti mereka lemah bab yang mana satu.
Apabila adik yang paling kecil (darjah dua) melihat kakak dan abang-abangnya belajar sains, dia pun nak belajar juga. Spontan dia bertanya, "Cikgu, saya tak belajar sains?". Bukan itu sahaja, ketika Dell mengajar karangan untuk kakak dan abang-abangnya, dia berkata, "Tak sabar nak belajar buat karangan". Semangat sebeginilah yang Dell cukup suka.
Mujur Dell jumpa buku yang sesuai untuk si kecil itu. Kelihatan dia seperti bosan hanya belajar bahasa Melayu dan matematik sahaja. Dell harap minggu ni, dia rasa gembira dengan kehadiran buku-buku baru itu.
NOTA :
1. Dell tak sabar nak mengajar mereka dengan buku-buku baru ni.
2. Dell harap keputusan prestasi mereka meningkat di sekolah.
3. Dell berasa lega mendapat komen yang baik dari ibu kedua-dua buah keluarga yang Dell ajar tuisyen sekarang ini. Dell akan cuba yang terbaik supaya mereka dapat memahami subjek yang diajar.
Alhamdulillah, tadi ada seorang lagi pensyarah yang meminta Dell membantu anaknya dalam subjek bahasa Melayu. Anaknya baru darjah 3 tetapi ibunya risau kerana anaknya lemah dalam subjek bahasa Melayu. Dell juga akan bantu anaknya dalam subjek Sains. Kelas tuisyen akan bermula pada minggu hadapan.
Dell bersyukur setelah berhenti mengajar di pusat tuisyen tempoh hari, Dell diberi rezeki mengajar tuisyen di rumah pensyarah dan kawan Dell. Sekurang-kurangnya Dell dapat mengisi masa yang terluang selain menjana pendapatan tambahan.
NOTA :
1. Satu lagi pengalaman mengajar anak murid yang baru.
2. Ini merupakan keluarga ketiga Dell memberi perkhidmatan mengajar tuisyen setakat ini.
3. Sesungguhnya, rezeki itu rahsia Allah.









