Selamat Datang ke Blog Dell!

Bersama Dell di Alam Maya
Sertai Saya
Akhirnya, semalam Dell mengambil keputusan untuk membeli Blackberry Curve 9320 dengan menggunakan Pakej Komunikasi Belia. Seharian Dell berfikir untuk membeli telefon bimbit yang mana satu di dalam senarai yang disediakan di bawah pakej tersebut. Hanya ada empat jenama telefon bimbit sahaja yang ditawarkan iaitu Blackberry Curve 9320, HTC Desire C dan dua lagi jenama Motorola.

Setelah Dell semak di internet jenama-jenama yang disenaraikan itu, kebanyakan pelanggan berpuas hati dengan jenama Blackberry Curve 9320 tu. Dell turut menyemak spesifikasi telefon bimbit bagi setiap jenama tersebut. Akhirnya, Dell dengan senang hati memilih Blackberry.

Inilah dia Blackberry yang menjadi pilihan Dell. Kali pertama guna Blackberry. Terkial-kial juga. Sebelum ini, Dell hanya pakai telefon bimbit jenama Nokia. Kenapa Dell tidak memilih telepun bimbit dengan touch screen? Ini kerana Dell sudah memakai telefon bimbit seperti itu sebelum ini dan merasa sedih setelah empat tahun penggunaannya, telefon tersebut dah tak berfungsi dengan baik. Lain yang ditekan, lain yang keluar. Malah, ada juga yang ditekan, langsung tak keluar apa-apa! Kameranya juga langsung dah tak boleh pakai. Jika Dell baiki pun, kosnya mencapai RM200 lebih. Elok sahaja Dell beli yang baru. 

Selamat tinggal Nokiaku. Sebenarnya Dell masih sayang nokia Dell ini. Banyak jasanya kepada Dell selama hampir 5 tahun ni. Dan Dell sangat puas hati dengannya dari segi rakaman video, gambar, radio dan lain-lain. Inilah telefon bimbit yang paling lama Dell pernah pakai sehinggalah ianya tidak dapat berfungsi dengan elok.


NOTA :
Cuba membiasakan diri menggunakan telefon jenama lain. Melihat salah seorang anak murid Dell yang kelihatan seronok menggunakan Blackberry turut mengujakan Dell. Nampak gayanya Dell terpaksa berguru dengannya untuk pakai Blackberry ni.




Khamis lepas merupakan hari pertama Dell mengajar seorang anak kepada keluarga C. Comel budaknya, baru darjah 3. Anak kecil ini tiada masalah dalam membaca tetapi dia lemah dalam bahasa Melayu. Ini kerana bahasa perantaraannya di rumah sejak kecil adalah bahasa Inggeris walaupun dia berada dalam keluarga Melayu. Ibunya merupakan pensyarah bahasa Inggeris di salah sebuah IPTA di sini, manakala ayahnya pengajar bahasa Inggeris di ibu kota Kuala Lumpur.

Pada pandangan Dell, anak kecil ini bijak dan mudah belajar. Cuma apabila dia tidak menguasai bahasa Melayu secara tidak langsung, ianya memberi kesan terhadap pemahamannya untuk subjek Matematik dan Sains. Dell hanya membantu subjek bahasa Melayu dan Sains sahaja kerana tidak mahu dia terkeliru dengan cara pembelajaran yang berbeza untuk Matematik di KUMON.

Setelah Dell amati selama dua jam mengajarnya pada hari pertama, Dell beritahu kepada ibunya bahawa lebih elok sekiranya dia belajar dengan seorang lagi kawan supaya motivasinya lebih tinggi. Belajar bersendirian seperti itu akan membuatkan dia tak bersemangat sementelah penat kerana bersekolah dari pagi sehingga petang. Ibunya memberitahu ada seorang kawan baiknya yang merupakan jiran di situ pun mempunyai masalah yang serupa seperti anaknya. Nanti dia akan berbincang dengan keluarga kawan baik anaknya itu.

Ibunya bertanyakan tentang bayaran jika dimasukkan kawan baik anaknya itu. Adakah sama nilainya yakni didarabkan dua? Dell tidak berkira, Dell hanya meminta amaun yang dipersetujui sebelum ini dan pandai-pandailah mereka bahagi-bahagikan amaun tersebut untuk dua keluarga. Tak elok rasanya, Dell meminta harga berganda walaupun tahu mereka tidak kisah tentang bayaran memandangkan mereka golongan yang berduit. Takut duit tak berkat nanti. Lagipun Dell mengajar di dalam rumah yang sama. Cuma syarat Dell, hendak tambah satu sahaja teman. Tak boleh ramai nanti tak boleh tumpu. Tambahan, niat Dell supaya anaknya itu elok berteman supaya dia bersemangat hendak belajar. Kita akan berasa seronok mengajar jika lihat anak murid kita bersemangat untuk belajar, betul kan?

Pada Dell, rezeki lain ada nanti. Tak perlu tamak.

NOTA :
1. Setiap pelajar yang mempunyai masalah dalam bahasa Melayu mempunyai latar belakang yang berbeza.
2. Kadang-kala, kita perlu melihat juga kondisi pelajar terbabit sama ada sesuai atau tidak dalam persekitaran itu.

Diam tak diam, lagi seminggu sahaja lagi atok bersama pakcik dan isterinya akan pergi umrah. Dah lama rancang, walaupun duitnya sudah lama mencukupi baru kini ada rezeki dan peluang. Mana taknya, atok Dell tidak boleh pergi keseorangan sebab umur dah tua. Sekurang-kurangnya, pakcik dan isteri ada untuk tengok-tengokkannya. Ikutkan Dell berhasrat juga untuk mengikuti mereka mengerjakan umrah atas keizinan mama Dell, tetapi koata penuh untuk rombongan tersebut. Tidak mengapalah, lain kali. Yang penting, lepaskan atok Dell dahulu. Dia memang teringin sangat hendak pergi haji tapi giliran tak sampai-sampai.


NOTA :
1. Tidak semestinya apabila wang sudah mencukupi, keinginan untuk ke tanah suci akan terlaksana serta-merta. Kadang-kala, Allah menangguhkan dahulu perjalanan kita ke sana atas sebab-sebab tertentu. Allah maha Mengetahui.
2. Insya-Allah, jika ada rezeki Dell memang hendak mengerjakan umrah. Menunggu peluang untuk pergi sahaja. Semoga Allah perkenankan hajat Dell.




Tak sabar Dell hendak survey kedai telefon bimbit yang menerima Pakej Komunikasi Belia (PKB) tu. Rugi pula tidak menggunakan peruntukan yang telah diberikan oleh kerajaan untuk para belia. RM200... banyak tu! Rezeki terpijak sebenarnya. Kawan Dell tidak mahu menggunakannya kerana dia memperuntukkan wangnya untuk membaiki rumah barunya. Kebetulan pula telefon bimbit Dell dah mulai rosak. Touch screen telefon bimbit Dell mempunyai masalah, lain yang ditekan, lain yang keluar. Ianya melambatkan urusan Dell ketika ingin menaip SMS atau membuat panggilan telefon. Kamera lagilah langsung sudah tidak boleh berfungsi.


NOTA :
Sebenarnya Dell masih sayang dengan telefon bimbit yang dipakai sekarang ini kerana inilah telefon bimbit yang paling mahal Dell pernah beli iaitu RM1300 (waktu itu). Hampir 5 tahun Dell menggunakannya. Kalau dibaiki pun harganya mencecah RM200 lebih! Elok Dell beli telefon yang baharu. Tapi Dell tak akan beli yang mahal seperti sebelum ini kerana sudah mempunyai iPad. Buat apa membazir. 


Jika anda bercita-cita untuk menjadi penulis, maka hendaklah menulis. Benar apa yang dikatakan itu. Jika kita tidak mula dari sekarang, bila lagi betul tak? Dan jika tidak mula menulis, mana hendak tahu hasilnya. 

Kertas kerja
Tiga hari lepas, ada seorang pensyarah mesej Dell menyatakan bahawa beliau bercadang untuk menulis artikel dengan Dell jika Dell bersetuju. Terkejut juga dengan cadangan beliau itu. Sekarang ini beliau mengajar bahasa Melayu selama setahun di Korea. Tahun lepas, Dell membantu beliau mencari pelbagai maklumat dan data mengikut keperluan beliau untuk menulis kertas kerja yang perlu dibentangkan di seminar Indonesia. Beliau menulis dan Dell edit dari segi bahasa. Dell menyatakan persetujuan tersebut dengan syarat Dell perlu selesaikan beberapa perkara dahulu, jika tidak Dell sendiri tidak tahu hendak tulis apa yang berkaitan dengan bidang kami berdua. 

Sebenarnya, Dell masih bertatih hendak menulis jurnal dan kertas kerja. Tidak dinafikan Dell berminat untuk menulis dan berharap suatu hari nanti dapat membentangkannya di konferensi luar negara. Tetapi sebelum itu, Dell perlu memastikan bahawa Dell menguasai bidang Dell terlebih dahulu. 


Puisi dan cerpen
Dell berangan-angan untuk masuk peraduan pertandingan karya puisi atau menghantar puisi ke majalah tetapi masih belum dilakukan lagi. Entahlah mood masih belum ada. Kononnya apabila sudah tidak bekerja, masa Dell banyak terluang tapi itulah leka buat kerja lain.


NOTA :
1. Pernah menyuarakan hasrat untuk belajar menulis daripada supervisor tetapi beliau meminta Dell ikuti kursus yang perlu kami hadiri. Dah selesai banyak perkara baru Dell menulis apa yang berkaitan dengan tesis dan bidang Dell nanti.
2. Sudah lama tidak menulis puisi. Cerpen yang perlu diperbaiki pun tak bersentuh lagi kerana mood belum datang.


Akhirnya terjebak Dell dengan satu permainan ini iaitu Candy Crush Saga. Dell mula bermain dengan permainan ini tiga minggu yang lalu. Dell diperkenalkan dengan permainan ini melalui facebook. Ada juga Dell cuba main beberapa permainan dan akhirnya Dell terpikat dengan permainan ini. 

Sebenarnya, Dell dah lama tidak bermain dengan apa-apa jenis permainan tetapi ada suatu hari tu Dell terasa sangat stres dengan kerja-kerja yang memerlukan tempoh yang singkat. Bila Dell bermain dengan permainan, Dell akan lega dan akan dapat ilham seterusnya menyiapkan kerja-kerja Dell. 

Sehingga kini Dell masih bermain dengan permainan ini. Sedar tak sedar, Dell sudah berada di level 91. Pada Dell, permainan ini bagus kerana ianya dapat melatih minda kita supaya lebih berfikiran kreatif dan tangkas dalam membuat keputusan.


NOTA :
1. Ada salah seorang sahabat Dell tanya bagaimana Dell boleh cepat naik level? Adakah Dell membeli atau membayar secara online untuk nyawa dan peluru. Dell kata Dell tak akan membazirkan wang semata-mata untuk permainan ini walaupun Dell suka main. Dell belum sampai tahap fanatik. Dell bermain mengikut urutan tanpa menipu.
2. Ada yang tanya Dell, ada masa pula Dell bermain permainan. Susah nak jawab sebab Dell jenis orang yang boleh buat dua atau tiga kerja serentak walaupun dalam waktu sangat tertekan.
3. Ada juga yang soal Dell, apalah faedahnya bermain permainan ini. Pada Dell ianya bagus kerana dapat membuatkan otak kita kerap berfikir dari segi strategi, kreativiti dan tangkas.