Keluarga B
Sudah dua minggu Dell tidak berjumpa dengan anak-anak murid keluarga ini. Maklumlah cuti sekolah, minggu pertama mereka balik kampung. Manakala minggu kedua pula saudara-mara mereka pula datang ke rumah. Kedatangan Dell kali ini ingin membuat pembaharuan untuk pembelajaran si Sya. Risau Dell melihat dia tak tumpu dalam pelajarannya.
Sabtu hari itu, Dell minta Sya baca satu unit untuk subjek Sains selama satu jam dan selepas itu Dell akan bersoal-jawab secara lisan. Dell perasan, kalau suruh buat latihan bertulis empat jam pun belum tentu dia siap dan buat. Dia memang tak boleh fokus.
Dell masih belum berkesempatan untuk membeli buku latihan BM dan Sains untuk kakak sulungnya, Ain. Jadi, Ain buat karangan BM. Manakala Farhan dan Fir diminta buat latihan Matematik.
Sedang Dell menanda latihan-latihan yang terdahulu, tiba-tiba si Sya dan Fir berbisik-bisik. Mereka pandang Dell tersengih-sengih.
"Kenapa awak berdua tersengih-sengih?" Soalku memandang Sya dan Fir.
"Sebenarnya, mereka tu nak bagi cikgu hadiah Hari Guru", kata Ain.
"Oooo..." Kataku sambil tersenyum.
Mereka pun menyerahkan dua bungkus batang pen dakwat basah kepada Dell. Terkejut juga Dell dapat hadiah tiba-tiba. Mana taknya, Hari Guru dah lama berlalu. Adalah kejadian selepas buka bungkusan tu yang menyebabkan kami semua ketawa. Mana taknya, tanda harga tak dibuka sebab mereka lupa.
Sedang kami ketawa, tiba-tiba ada bunyi ketukan pintu dari luar. Rupa-rupanya ada jiran memberi keledek goreng. Kiranya hari tersebut, Dell langkah kanan. :)
Insya-Allah dalam masa sebulan ini, Dell akan menerima sebuah manuskrip buku motivasi untuk diedit. Sebenarnya, Dell tidak sangka diberi kepercayaan untuk menjadi editor untuk buku beliau ini. Dell akan buat yang terbaik. Pengeditan kali ini akan lebih mudah kerana Dell mengenali penulisnya dan Dell tahu gaya pemikirannya bagaimana, jadi senang untuk Dell mengolah ayatnya.
Dapat juga Dell meningkatkan KPI Dell. Setelah buku ini diterbitkan nanti, ianya akan menjadi buku kedua genre motivasi yang Dell menjadi editornya. Semoga semuanya dipermudahkan oleh-Nya. Amin.
![]() |
| Bersama Sir Noordin Khalid (bukan Ally Iskandar ya... hihi...) |
![]() |
| Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah juga turut hadir dalam kem tersebut. Seramai 113 orang peserta yang terlibat dalam kem ini. |
![]() |
| Team Smarts Coach |
Banyak pengalaman dan ilmu Dell belajar di sini terutamanya ilmu metafizik. Sampai sekarang Dell teringat akan telatah-telatah fasilitator yang terlibat, kelakar habis! Tak pernahlah Dell berasa sangat gembira berada di dalam kem walaupun letih tapi tiada tekanan langsung. Dell sedang menunggu gambar-gambar di kem dimuat turun nanti. :)
NOTA :
Ketika berada di sekolah menengah dulu, Dell pernah berangan-angan hendak terlibat dengan aktiviti-aktiviti berbentuk motivasi tetapi bukan sebagai peserta. Waktu tu, Dell sangat meminati motivator Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah. Dell tak sangka dapat peluang itu la ni. Dell gembira kerana mendapat feedback yang positif daripada Sir Noordin yang beliau masih memerlukan khidmat Dell untuk aktiviti-aktiviti akan datang.
"Never give up on what you really want to do. The person with big dreams is more powerful than one with all the facts" - Albert Einstein
Benar apa yang dikatakan oleh Albert Einstein tu. Tanpa angan-angan atau impian, apa yang kita imaginasi itu tidak akan wujud. Tetapi, sebagai orang Islam jika impian, angan-angan atau cita-cita itu di jalan kebaikan walaupun agak lambat nampak hasilnya... percayalah jalan menuju ke situ akan dipermudahkan oleh-Nya dengan tidak kita sangka-sangka. Yang penting, kita kena rajin berusaha, berdoa dan tawakal.
Dell akan menceritakan sedikit sebanyak perjalanan Dell sehingga kini.
Dengan berbekalkan kepercayaan seorang cikgu lelaki berbangsa Cina yang merupakan cikgu penyelaras untuk aliran Sains Tulen (beliau guru untuk subjek biologi), pada tahun 1998 Dell diserap masuk ke aliran ini walaupun keputusan PMR Dell bukan hebat seperti pelajar-pelajar sekarang ini. Disebabkan masalah-masalah tertentu yang dihadapi waktu itu, keputusan SPM Dell tidak baik iaitu hanya lulus sahaja.
Waktu itu, puas juga la Dell diperli dan disindir. Permohonan Dell untuk memasuki universiti, kolej komuniti dan politeknik tidak berjaya. Sungguh pun begitu, Dell percaya Dell tetap boleh berjaya suatu hari nanti. Dalam diam, Dell sudah membuat satu peta minda apa yang perlu Dell buat jika gagal masuk ke satu-satu tempat (Dell masih ingat lagi lukisan peta minda itu).
Atas kepercayaan seorang ustazah di sekolah menengah, beliau telah membantu Dell untuk membuat rayuan masuk ke Tingkatan Enam. Alhamdulillah, Dell diterima. Dell masih ingat lagi reaksi guru yang melihat keputusan SPM Dell ketika Dell melapor diri. Beliau seperti tidak yakin dengan Dell. Maklumlah, Dell diminta masuk sekolah cemerlang iaitu Sekolah Tinggi Kluang dan mereka sangat mementingkan prestasi sekolah. Dell cuma kata, "Insya-Allah, saya akan cuba yang terbaik untuk STPM ni". Dell tahu ini peluang terakhir untuk Dell membuktikan Dell boleh berjaya walaupun Dell terpaksa tukar aliran.
Ketika Dell sudah melapor diri, ada cabaran lain yang Dell hadapi. Ramai yang memperlekehkan keputusan Dell masuk ke Tingkatan Enam. Alhamdulillah... pada tahun 2001, Dell mendapat 4 prinsiple dalam STPM (salah satu subjek, Dell mendapat A). Satu kebetulan, keputusan STPM waktu itu dikatakan mencatat sejarah di Malaysia kerana ramai yang mendapat 4 prinsiple. Ini bermakna, syarat memasuki universiti semakin tinggi.
Pada tanggal 18 Mei 2002, Dell berjaya menjejakkan kaki di UPM sebagai seorang mahasiswa Bacelor Sastera (Pengkhususan Bahasa dan Linguistik Melayu), minor komunikasi. Waktu itu, masih juga orang memperlekehkan aliran yang Dell ambil dengan mengatakan susah untuk mencari pekerjaan. Dell buat tidak tahu sahaja APA YANG MEREKA KATA. Dell teruskan pengajian dan akhirnya bergraduat pada 31 Julai 2005 dengan Kepujian Kelas Kedua Tinggi.
![]() |
| Konvokesyen 2005 |
Tidak dinafikan, selepas bergraduat agak sukar untuk mencari pekerjaan. Malah Dell pernah ditipu duit dengan skim pekerjaan. Keluarga suruh balik dan duduk di kampung. Dell berdegil dan terus duduk di Serdang kerana yakin Dell akan dapat pekerjaan walaupun lambat. Keluarga Dell terpaksa akur dengan keputusan Dell. Akhirnya pada 6 Oktober 2005, Dell diterima bekerja sebagai Pembantu Penyelidik (RA) di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM di atas kepercayaan Prof. Dr. Lekhraj Rampal untuk geran penyelidikan beliau. Jika ada yang masih ingat tentang Kempen TAK NAK MEROKOK tu. Dalam masa yang sama, Dell buat kerja sambilan mengajar tuisyen dan tutor di institusi berdekatan di situ.
Kontrak Dell tamat pada 15 Jun 2006. Waktu itu, Dell berbekalkan duit kerja sambilan sahaja yang Dell dapat berjimat-cermat sementara mencari kerja lain. Boleh hidup tapi tak boleh bermewah. Alhamdulillah pada 2 Oktober 2006, Dell diterima bekerja sebagai Pembantu Tadbir di Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), UPM. Di dalam temuduga sebelum itu, Pengarah RMC bertanya kepada Dell, "Bagaimana awak boleh menjadi RA di Fakulti Perubatan sedangkan awak pelajar bahasa?" Dell jawab, "Saya yakin saya boleh buat kerja yang ditawarkan." Dell masih meneruskan kerja sambilan selepas waktu pejabat. Bos Dell tahu tapi dengan syarat tidak memberi kesan terhadap kerja hakiki.
Setelah setahun bekerja di RMC, Dell membuat keputusan untuk sambung Master dalam bidang yang sama. Bos Dell tahu akan impian Dell. Beliau memberi galakan dan dorongan kepada Dell. Jadilah Dell, pekerja sambil belajar pada tahun 2007.
Pada tahun 2008, Dell ditawarkan jawatan Penolong Pegawai Tadbir di Seksyen Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM. Soalan yang sama ditanya oleh bos di tempat baru, "Bagaimana awak boleh kerja di RMC sedangkan kamu bidang bahasa?" Dell menjawab, "Saya yakin saya boleh buat kerja yang ditawarkan". Niat ikhlas untuk sambung belajar, Allah permudahkan dari segi kewangan Dell. Jadi, Dell berhenti buat kerja sambilan dan hanya tumpukan kerja hakiki serta pengajian sahaja.
Pada 9 Oktober 2010, Dell berjaya menamatkan pengajian dan mendapat Master Bahasa Melayu.
![]() |
Bersama Duli Yg. Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.
|
Setahun kemudian bertarikh 28 Jun 2011, Dell mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang untuk tahun 2010. Kira berbaloi kerana Dell pernah dimasukkan di dalam wad sehari kerana jatuh sakit disebabkan stress kerja. Semangat je kuat, rupa-rupanya badan tak tahan. Maklumlah, waktu itu Audit RU dan Audit KPT sedang berjalan untuk menentukan status Universiti Penyelidikan.
![]() |
| Bersama Dato' Ir. Dr. Radin Omar Radin Sohadi, Naib Canselor UPM waktu itu. Dapat RM1000 tu... :) Siapa kata orang bahasa tidak boleh berjaya dalam pengurusan? |
Dell meneruskan kerja seperti biasa tetapi dalam diam-diam, Dell menulis proposal untuk sambung pengajian PhD dan memohon juga geran penyelidikan bersama bakal supervisor Dell waktu itu. Saja Dell tidak mahu kecoh-kecoh. Salah satu impian Dell untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi termakbul.
Pada 31 Ogos 2012, Dell membuat keputusan berhenti kerja setelah mendapat Biasiswa Penuh KPT untuk pengajian PhD Dell. Dell juga menerima geran penyelidikan dari UPM bersama supervisor untuk penyelidikan kami. Kami sedang membina perisian interaktif bahasa visual 3D. Ramai yang terkejut dengan keputusan Dell tu kerana mereka tahu pun setelah Dell serahkan surat letak jawatan. Kini, Dell mengajar home tuition secara sambilan untuk pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah yang sangat lemah pelajarannya serta menjadi editor BM dan penulis sambilan.
Perjalanan hidup tidak mudah sebenarnya. Banyak suka duka yang dihadapi, Dell tidak nyatakan secara terperinci di sini. Insiden nyawa hampir melayang pun ada. Tapi itu semua lumrah hidup jika diduga zahir dan batin. Kena redha, usaha, doa berterusan dan tawakal. Impian Dell sangat besar, bukan hanya duduk ditakuk lama. Disebabkan itulah, Dell berusaha keras untuk berjaya dan menggunakan peluang yang hanya sekali datang untuk setiap perkara.
SAYA BIJAK, SAYA BOLEH!
NOTA :
Diharap coretan ini dapat menjawab soalan-soalan yang sering ditujukan kepada Dell selama ini, terutamanya ketika di Kem Motivasi Super Smarts tempoh hari. Impian Dell bukan hanya ingin menggenggam PhD tau. Ingat, hampir kesemua pemenang nobel pernah diperli malah dianggap gila oleh masyarakat di tempat itu.
Hari Jumaat lepas, Dell berpeluang mengikuti Bengkel Tulis Tesis Cepat dan Mendeley di Bilik Termasa, Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), UPM. Bengkel bermula pada pukul 8.30 pagi sehingga 4.00 petang.
Bengkel dikendalikan oleh Dr. Othman Talib atau nama glamournya Dr. OT. Dell mengenali beliau melalui laman blog beliau iaitu www.drotspss.blogspot.com. Dell sangat tertarik dengan pelbagai teknik dan idea efisyen dalam penulisan tesis yang beliau perkenalkan iaitu RFOT (Research Template of Thesis), OFOT (One File One Thesis), ZDOT (Zero Draft of Thesis), KOT (Keep on Track) dan SROT (Speed Reading on Target). Memang Dell rasa sangat berbaloi menghadiri bengkel yang singkat ini!
Bersama Dr. OT. Sporting Dr. nie. Ketika bengkel lagi, kami semua jadi teruja nak menyiapkan tesis masing-masing dengan cepat. Kami menjadi ghairah dan tak sabar nak mencari bahan-bahan untuk menulis tesis!
Antara peserta bengkel yang membeli buku-buku beliau. Kami terpaksa mengikutnya ke fakulti kerana buku yang di bawa di perpustakaan tidak cukup untuk kami.
Tu dia buku yang Dell beli. Berharga RM85 sebuah. Dell lebih berminat beli buku dari e-book walaupun harganya lebih mahal.
Insya-Allah, Dell akan mengikuti bengkel beliau yang lain pula untuk mempelajari teknik yang lain.
NOTA :
Dell rasa sangat bertuah dilorongkan ke bengkel ini kerana secara kebetulan Dr. OT mempunyai minat yang mendalam dalam penyelidikan Pendidikan Kimia dan Animasi sehingga telah memenangi beberapa pingat di pertandingan PRPI, ITEX dan MTE. Beberapa artikel yang beliau persembahkan sebagai contoh di dalam bengkel rupa-rupanya ada berkait dengan penyelidikan PhD Dell. Dapat Dell beberapa buah artikel secara percuma malah mana tahu suatu hari nanti Dell akan berjumpa dengan beliau sendiri untuk mendapatkan maklumat yang dikehendaki berkaitan dengan tesis Dell. Terima kasih kepada sahabat Dell yang mempelawa Dell mengikuti bengkel ini.
Hari Khamis merupakan hari yang melegakan bagi Dell. Mana taknya, akhirnya Dell dapat peluang berjumpa dengan supervisor Dell. Lega sangat-sangat setelah Dell berkongsi cerita pengalaman Dell ketika bentang seminar tesis pada 18hb Mei yang lepas memandangkan supervisor tidak dapat hadir di saat-saat akhir kerana ada hal kecemasan. Mana taknya, hampir seminggu semangat Dell jatuh dek kerana risaukan komen daripada penilai pada waktu itu.
Secara kebetulan, salah seorang pelajar PhD seliaan supervisor Dell juga berada di dalam pejabat beliau. Jadi, kami berkongsi cerita suka duka perjalanan kami menempuh alam PhD ini. Supervisor juga berkata dugaan menjadi pelajar PhD memang hebat.
Selepas itu, supervisor belanja kami makan di The Garden, Mines. Rezeki Dell pada hari tersebut kerana asalnya Dell hanya hendak memberi supervisor dokumen-dokumen untuk claim geran penyelidikan kami beserta laporan kemajuan geran penyelidikan.
NOTA :
Ada dua perkara yang buatkan Dell berasa lega sangat-sangat pada hari tersebut. Pertama, dapat berkongsi kisah yang berlaku di dalam seminar perbentangan tesis dan yang kedua pula, Dell dapat menyerahkan kesemua dokumen yang diperlukan untuk claim dan laporan kemajuan penyelidikan geran kami memandangkan Dell sudah mula sibuk dengan bengkel, kem motivasi dan perbincangan bersama ahli jawatankuasa tesis Dell tentang teori penyelidikan bermula pada hari Jumaat minggu ini sehingga hari Khamis minggu hadapan.












