![]() |
| Ya Allah, permudahkanlah... |
Minggu lepas, Dell menghadiri mesyuarat GMJ-ME setelah lebih sebulan tiada mesyuarat. Kelam kabut juga Dell bergegas ke UPM setelah habis tugas di INTI Universiti. Seperti biasa, kami akan membincangkan status artikel yang diterima untuk terbitan seterusnya.
Dell mencadangkan untuk membuat templet kecil sebagai hebahan ketika hari kemasukan siswazah pada bulan September nanti. Jadi, Dell perlu me'reka' templet tersebut sebagai promosi.
Dell tidak sangka kali ini, Prof. Dr. Md. Salleh bertanyakan kepada Dell sekiranya Dell sudah mula menulis artikel jurnal untuk dihantar ke mana-mana. Secara jujur, Dell mengatakan yang Dell belum menulis jurnal lagi kerana Dell masih lagi berperang dalam pembinaan perisian. Risau juga sebenarnya sebab antara syarat kelulusan PhD ialah siswazah perlu terbitkan dua jurnal.
Semalam, kami bermesyuarat dengan pihak iDEC UPM mengenai pembangunan dan penyelenggaraan sistem E-Jurnal GMJ-ME ini. Pelbagai isu yang diketengahkan untuk penambahbaikan terutamanya dari segi penempatan server memandangkan sistem E-Jurnal ini membawa imej UPM di dalam dan di luar negara.
Mudah-mudahan semuanya berjalan dengan lancar.
![]() |
| Mulakan segala-galanya dengan Bismillah... |
Semalam Dell meluangkan masa berjalan-jalan di Alamanda selepas Dell bertugas di INTI University. Saja jalan-jalan. Ikutkan Dell hendak mencari kasut atau sandal dan Dell hendak melihat model kamera digital.
Sedang Dell melayani perasaan 'window shopping', tiba-tiba telefon bimbit Dell berbunyi. Rupa-rupanya ada sms yang diterima, berbunyi 'Salam Dilla, esok saya ada temuduga. Doakan saya berjaya ya'.
Saya membalas, 'Insya-Allah Dr, semoga berjaya! :)'
Terharu dibuatnya kerana seorang pensyarah (lebih tepat lagi guru Dell), meminta Dell mendoakannya. Ini bukan kali pertama Dell menerima sms atau panggilan sebegini.
Dell terharu kerana mereka mempercayai Dell. Biasanya kita sebagai anak didik yang selalu meminta sifu mendoakan kita, apabila sifu meminta anak didik mendoakannya, menunjukkan kepercayaan mereka terhadap kita.
Dell bersyukur di atas kepercayaan yang diberi. Semoga segala-galanya dipermudahkan oleh-Nya.
Seandainya suatu hati nanti, Dell sudah memegang gelaran Doktor dan menjawat jawatan yang sama dengan mereka... Mereka tetap SIFU Dell. Kena hormati. Tanpa didikan mereka, sukar untuk kita melangkah.
![]() |
| Aku seorang guru |
Ada yang bertanya kepada Dell, "Mengapa caj yuran tuisyen terlalu murah sedangkan mengajar lebih daripada dua subjek?"
Dell memang tak boleh menjawab persoalan itu. Dell berasa sangat gembira sekiranya anak-anak murid yang Dell ajar berjaya dunia dan akhirat.
Setiap kali Dell mengajar mereka... Dell akan titipkan sedikit cerita motivasi dan sedikit nasihat berlandaskan agama agar dibukakan minda mereka dan supaya hati mereka bersih.
Dell percaya Allah akan berlaku adil kepada hamba-hamba-Nya. Dia pemberi rezeki.
Setiap yang hilang akan berganti dengan yang lebih baik. Insya-Allah.
Dell tidak berani untuk berkata apa-apa kerana setakat ini, apa yang terdetik di hati sama ada kecil atau besar ianya termakbul.
Dell sedang mendidik hati Dell supaya tidak tamak dengan nikmat yang ada. Semoga keikhlasan dalam mengajar berterusan sehingga ke hujung nyawa.
NOTA :
Sebenarnya Dell tidak sangka akan menjadi seorang pengajar suatu hari nanti. Ianya tiada di dalam kamus Dell sejak kecil tetapi siapa sangka peluang yang diberikan oleh sebuah keluarga Cina setelah Dell bergraduat daripada Bacelor beberapa tahun dahulu, menjadi tapak kepada Dell menjadi pengajar sehingga sekarang walaupun hanya sebagai sambilan sahaja. Perjalanan hidup kita tak siapa yang tahu. Allah yang tentukan. Sebagai seorang hamba-Nya, Dell cuba buat yang terbaik.... Semoga Allah permudahkan segala-galanya.
Hari Isnin lepas, Dell berpeluang berjumpa dengan supervisor. Setiap kali berjumpa dengan supervisor, Dell akan berasa sangat lega kerana dapat selesaikan beberapa perkara. Manakala pakar bidang yang kedua, Dell hanya dapat berbalas sms sahaja dengan beliau kerana beliau ada hal di luar.
Dell berasa sangat bertuah kerana supervisor, ahli jawatankuasa dan pakar-pakar bidang yang Dell temui memang benar-benar hendak membantu Dell. Dell dapat kesan dari segi kerisauan dan sikap ambil berat mereka. Mereka bukan sahaja mengambil berat dari segi pelajaran malah untuk hal yang lain-lain juga. Mereka memang banyak membantu.
Walaupun kita sudah belajar sehingga ke peringkat ini, tidak bermakna kita sudah mengetahui semuanya. Banyak lagi ilmu yang kita sebenarnya masih tidak tahu.
Supervisor Dell beritahu selepas raya nanti beliau hendak membawa Dell berjumpa dengan pakar gigi. Tak sabar rasanya. Mungkin dengan kehadiran beliau dapat mengurangkan rasa fobia Dell dengan doktor gigi.
Beliau ini memang menjaga kebajikan Dell sama ada dari segi pelajaran, kewangan malah kesihatan. Tak terbalas budinya.
Dell harap sesiapa yang membaca coretan Dell ini mendoakan agar hidup mereka ini dilapangkan pintu rezekinya dan sejahtera hidupnya. Amin.
Sebelum bulan Ramadan tempoh hari, Dell berkesempatan mengunjungi rumah salah satu keluarga angkat Dell. Sementara Dell menunggu mak angkat Dell berbual dengan tukang buat rumah (dia memperbesarkan rumah sedikit), anaknya mengadu kepada Dell bahawa dia tak lulus subjek yang dia belajar tuisyen dengan seseorang ini. Kebetulan hari itu, dia baru mengambil report card.
Dell bertanya, "Laa... Mengapa jadi begitu?"
Dia terus kompelin bahawa guru tuisyennya tu terlalu garang dan suka marah-marah. Dia terasa cikgunya itu tidak ikhlas mengajarnya. Dia mengaku bahawa dirinya agak slow hendak menangkap apa yang diajar.
Dell bertanya adakah dia ada melawan kata-kata cikgunya itu. Dia menidakkan dan biasanya dia diam sahaja walaupun cikgunya itu berterusan membebel.
Pelik juga Dell kerana cikgu tuisyennya tu cikgu lelaki. Jarang cikgu lelaki ini suka membebel.
Sedang kami berbual, ibunya masuk ke dalam rumah lalu anaknya terus meminta izin hendak belajar tuisyen dengan Dell.
Dia berterusan kompelin tentang cikgu yang garang itu kepada ibunya menjadi punca penyebab dia tak lulus subjek itu. Dia tak boleh belajar dengan cikgu yang sangat garang.
Ibunya kata boleh dan memintanya bersabar sehingga selepas bulan Syawal nanti. Dan terpulang kepada Dell jika setuju untuk menjadi guru tuisyennya.
Dell bersetuju dan cuba yang terbaik untuk mengajar anaknya nanti.
Salam Ramadan semua,
Semalam Dell terbaca beberapa status di facebook yang berbau kesedihan (malah ada yang berbunyi, 'Mengapa bulan ramadan datang lagi kali ini?' dan 'Aku tidak suka lihat kawan-kawan aku sibuk update tentang kemeriahan raya') oleh beberapa rakan yang dikenali akan kehadiran bulan Ramadan dan Syawal ini.
Ini kerana mereka kehilangan ibu atau ayah mereka pada bulan Ramadan atau Syawal terdahulu.
Dell juga tidak terkecuali menghadapi perasaan ini. Arwah nenek Dell telah pergi mengadap Ilahi pada hari raya kedua pada tahun 2003. Waktu itu, Dell berada di tahun akhir universiti untuk Ijazah pertama.
Dell membesar dengan arwah nenek sejak kecil. Terasa ralat juga kerana arwah tidak sempat melihat Dell mengambil skrol di hari konvokesyen Dell yang pertama.
Kesannya sehingga kini Dell tidak begitu beria-ria sangat menyambut hari raya. Jika ada baju raya, adalah. Jika tiada pun tidak mengapa. Cukuplah persiapan yang sederhana sahaja.
Namun, Dell tidak meratapi pemergian arwah nenek sehingga tidak langsung menyambut hari raya atau berterusan bersedih terutamanya di bulan Ramadan kerana di bulan inilah kita mempunyai peluang untuk menghadiahi mereka ini doa dan amalan-amalan lain.
Dell redha dengan pemergian arwah kerana arwah sudah lama menanggung kesakitan disebabkan penyakit yang dihadapi.
Dell tetap menyambut hari raya seperti biasa yakni menziarahi kaum keluarga, sanak saudara, jiran-jiran dan rakan. Ketika menziarahi mereka, kadang-kadang ada di antara mereka sedih dan menangis melihat Dell kerana teringatkan arwah. Dell hanya mampu senyum dan tidak berkata apa-apa. Dell gembira kerana mereka mengingati kebaikan arwah.
Bagi Dell, tidak perlu menghukum ahli keluarga lain untuk bergembira walaupun sementara dek kerana kita meratapi kesedihan.
Tak salah untuk kita bersedih untuk seketika tetapi jangan sehingga perbuatan kita itu seolah-olah tidak redha dengan ketentuan Ilahi. Banyakkan bersabar. Ianya juga ujian bagi kita untuk meneruskan amal kebaikan untuk diri sendiri dan juga kepada orang lain.
Selamat menyambut bulan Ramadan, maaf zahir dan batin buat semua. :)




