Selamat Datang ke Blog Dell!

Bersama Dell di Alam Maya
Sertai Saya
Muka Lega Level 1
Alhamdulillah... pada 31 Julai lepas, Dell telah selamat menyelesaikan Comprehensive Examination (CE). Lama tertangguh disebabkan penukaran supervisor dan kekeliruan untuk mencari metodologi kajian yang sesuai dengan penyelidikan Dell.

Kini, Dell sedang menumpukan stage yang seterusnya iaitu penyediaan untuk Pilot Test. 

Dalam masa yang sama, Dell sudah mula menghadiri beberapa sesi temuduga kerja. Harap-harap lekatlah salah satu. Maklumlah biasiswa Dell sudah tamat.

Perjalanan masih jauh. Dell perlu teguh berjuang. Semoga dipermudahkan oleh-Nya. Amin...
Buku Antologi Beautifool
Minggu ketiga Ramadan, tiba-tiba Dell menerima sebuah telegram daripada Tuan Shah Othman (editor Jootawan) yang mengajak Dell join projek penulisan mereka bertemakan Beautifool. 

Dell mengambil masa selama beberapa hari sebelum mengatakan "Ya" kerana waktu itu Dell sedang sibuk dengan urusan famili kerana ada kematian keluarga terdekat.

Sebenarnya sewaktu Dell bersetuju untuk menyertai projek itu, Dell masih belum ada apa-apa idea penulisan pun. Puas jugalah memikirkan jalan cerita yang sesuai dengan tema. Dell cuma ada masa menyiapkan penulisan dua minggu sahaja.

Agak mencabar juga tema penulisan kali ini. Kisah bagaimana seseorang itu sanggup memperbodohkan atau diperbodohkan dek kerana ingin menjadi cantik.

"Kasihnya Ayu, Cintanya Susuk."

Akhirnya, seminggu Syawal baru Dell mendapat idea untuk menulis cerpen bertajuk "Kasihnya Ayu, Cintanya Susuk."

Alhamdulillah, Dell dapat menyiapkan penulisan kisah ini dalam masa dua hari.

Buku ini akan diterbitkan pada bulan Ogos ini. Tidak sabar rasanya! :)
Tidak dapat digambarkan betapa gembiranya hati penulis apabila dapat menurunkan kata-kata hikmah kepada pembaca buku-bukunya.
Mengimbau kembali kenangan Dell ketika berada di Pesta Buku Antarabangsa 2015 pada tahun ini. Setiap tahun mempunyai kisahnya yang tersendiri. Itulah rencah kehidupan. Betul tak? ;)

Bersama-sama dengan Tuan Shah Othman (editor Jootawan) dan Tuan Khalid Noordin.
Sudah lama Dell tidak berjumpa dengan Tuan Khalid Noordin kerana kesibukan masing-masing. Kami berkesempatan berjumpa di sini untuk sesi bersama penulis Jootawan.

Mempromosi Buku Rahsia 100 Impian (R100I). Alhamdulillah sudah cetakan yang kedua.
Alhamdulillah... Buku 'Rahsia 100 Impian' telah diulang cetak kali kedua dalam masa tidak sampai setahun. Insya-Allah, buku ini akan dicetak kali ketiga tidak lama lagi. 

Kami sudah berjaya mencari penterjemah bahasa Inggeris untuk buku ini. Yang dapat menterjemah dengan jiwa. Buku ini dalam proses untuk dibawa ke peringkat antarabangsa dalam masa terdekat ini. Insya-Allah.

Bersama-sama dengan seorang pembaca buku R100I. Terkejut ketika cikpuan ini memborong 4 buah buku R100I waktu itu.
Bersama-sama Abang Long (penulis) dan Cikgu Saadon (penulis)
Ketika Dell berada di Medan Selera, Dell terserempak dengan Abang Long. Dell beranikan diri menyapa beliau. Kemudian datang pula cikgu Sofuan Saadon (seorang penulis juga). Terasa meriah ketika Dell makan tengahari waktu tu.

Bersama-sama dengan Abang Long (penulis buku 'Aku, Dia dan Rezeki')
Sesi sistem barter. Hihihi... Tak sangka dapat juga Dell berjumpa dengan penulis Abang Long. Dell ikuti status di facebook miliknya sebelum buku beliau diterbitkan lagi.

Dell tertarik dengan gaya penulisan beliau. Berdakwah dengan gaya tersendiri melalui pengalaman peribadi. Itulah buku beliau, 'Aku, Dia dan Rezeki'.
 

Bersama-sama dengan para penulis Legacy.
Seronok dengar Abang Long bercerita.
Sebelum bertolak balik, Dell berkesempatan lepak bersama-sama dengan tim penulis Legacy. Banyak info yang Dell dapat pada hari itu. Terasa seronok sangat. Ikutkan hati mahu sahaja join dengan mereka dengan lebih lama tetapi masa tidak mengizinkan. Insya-Allah, jika ada kesempatan bertemu kembali. :)
'Berkenalan semula dengan Encik Cinta.'

Sungguh ia benar!

'Serasi'

Kisah itu seakan-akan sama seperti cerita arwah nendaku dulu.

Tutup buku. Tarik nafas.

Lalu kucoret testimonial ini.

Dengan lafaz bismillah kuhantar.

Tak sangka terpilih.

Buku 'Aku Terima Cintanya'.

Alhamdulillah...


Sejadah Putih

Tanpa disedari cepat benar masa berlalu. Dah masuk bulan Jun. Seminggu lagi kita akan menemui Ramadan. Dell pun sudah lama tidak berkesempatan menulis kerana dalam masa sebulan lebih ini, Dell banyak pula ke luar kawasan. Sekejap ke sini, sekejap ke sana. Lebih-lebih lagi ke arah utara. Dek kerana kepenatan dengan pelbagai urusan, terkubur sebentar penulisan Dell di sini.

Insya-Allah, jika berkesempatan Dell akan berkongsi kisah-kisah yang berlaku sepanjang dua bulan ini untuk tatapan pembaca.

Kesibukan Dell menguruskan sesuatu yang di luar perancangan membuatkan Dell berasa sedikit stres. Sementelah ia bukan sahaja menggunakan tenaga tetapi minda dalam menyelesaikan sesuatu. Keadaan ini menyebabkan Dell agak kepenatan kerana kurangnya juga masa untuk berehat. 

Dalam pada itu, Dell tercari-cari sejadah berwarna putih. Sejadah ini muncul di dalam mimpi Dell. Pada Dell, sejadah itu sangat cantik dan teringin untuk memilikinya.

Puas Dell mencari namun tak berjumpa. Cuba juga Google gambar sejadah putih namun tiada yang berkenan di hati. Tidak seperti yang tergambar di dalam mimpi Dell itu.

Keinginan yang begitu kuat membuatkan Dell melahirkan hasrat untuk memiliki sejadah ini kepada salah seorang sahabat rapat Dell dengan harapan beliau tahu di mana boleh mendapatkannya.

Sehinggalah pada suatu hari, abangnya yang baru pulang dari umrah menghadiahkan sejadah putih kepada sahabat rapat Dell itu. Terpana Dell melihat sejadah itu. 

Itulah sejadah putih yang Dell cari!

Ini bermakna sejadah putih seperti di dalam mimpi itu benar-benar wujud!

Serba salah sahabat Dell itu. Kerana dia tahu Dell sudah lama mencari sejadah putih itu sejak berbulan-bulan dulu. Jika dia tahu, dia akan suruh abangnya belikan sejadah itu untuk Dell.

Dell tidak menyalahkannya. Tak siapa tahu sejadah putih itu yang Dell berkenan. Cuma Dell bersyukur sekurang-kurangnya Allah beri petunjuk kepada Dell bahawa sejadah putih yang Dell bayangkan itu wujud.

Keesokkan harinya selepas Zohor, Dell pergi ke area Jalan Masjid India dan mencari sejadah putih itu di kesemua kedai. Dell masuk dari sebesar-besar kedai sehinggalah sekecil-kecil kedai.

Kedai pertama yang Dell masuk, penjual itu menjual sejadah itu dengan harga RM350 sehelai. Terkejut Dell. Mahal sangat!

Kedai seterusnya Dell jumpa dengan harga RM265. Cari lagi. Jumpa pula kedai menjual dengan harga RM165. Tapi sayangnya, design-nya Dell tidak berkenan.

Setelah dua jam mencari, Dell berhenti solat Asar terlebih dahulu. Sambil-sambil melepaskan lelah. Kaki pun dah terasa sakit. Maklumlah dah lama Dell tidak berjalan kaki dengan jarak yang jauh.

Dalam hati, Dell berharap sangat dapat memiliki sejadah putih itu dengan harga yang Dell mampu.

Dell teruskan pencarian dengan mengikut gerak hati. 

Dell memasuki lorong kedai-kedai yang tidak pernah Dell lalui sebelum ini. Dell ikut sahaja gerak hati sehinggalah Dell berhenti di salah satu kedai ini.

Kelihatan dari luar, kedai ini memiliki banyak design untuk sejadah putih. Dell terus bertanya kepada penjual tersebut, "Berapa harga sejadah putih ini?"

"RM130 sehelai, boleh kurang RM120."

Ya Allah, betapa besarnya Kekuasaan-Mu. Tak henti-henti Dell mengucap kesyukuran kepada-Nya.

Tak kisahlah jika dipandang pelik oleh penjual itu.

Akhirnya, Dell jumpa sejadah putih yang harganya Dell mampu beli dan design yang ada sangat cantik pada pandangan mata Dell.

Atas ketentuan Ilahi, memang Dell serasi menggunakan sejadah putih ketika solat dan mengaji. Dell dapat duduk di sejadah putih itu dengan lebih lama. Daya fokus pun lebih baik. Sehingga Dell tidak sedar dapat habiskan bacaan satu juzuk al-Quran dalam masa sehari.

Alhamdulillah. Memang sudah ada niat di hati Dell untuk khatam Quran sebelum habis Ramadan ini. Insya-Allah. Amin...

Itulah pengalaman Dell bersama sejadah putih ini. :)

Nota : Carilah cara yang terbaik untuk tingkatkan ibadah kita. Mintalah petunjuk dan ilham dari-Nya. Insya-Allah dipermudahkan.





Sudah lama Dell tidak menulis di sini kerana kesibukan menguruskan beberapa urusan.

Satu pengalaman yang tidak boleh Dell lupakan berlaku pada 30 Mac 2015. Ketika itu Dell sedang memandu dari arah Serdang menuju ke Jaya Jusco Taman Equine.

Cuaca sudah mendung. Namun selepas lampu isyarat di Taman Universiti Indah tiba-tiba hujan turun dengan sangat lebat. Lebatnya hujan itu sehingga kita agak sukar hendak melihat kereta di hadapan.

Jadi, semua kenderaan termasuk Dell memandu dengan sangat perlahan. Mungkin tidak sampai 60km sejam. 

Apabila tiba di selekoh, tidak tahu mengapa Dell tidak boleh kawal stering kereta. Seolah-olah tayar kereta tertarik ke arah sebelah kiri. 

Dell cuma pegang stering dengan kuat dan stabilkan kedudukan tayar, masih tidak boleh. Hampir-hampir melanggar kenderaan sebelah kiri.

Melalui cermin sisi, Dell perasan kereta dari belakang terus perlahankan kereta. Mungkin mereka ternampak kereta Dell seperti tidak dapat dikawal.

Waktu itu, Tuhan sahaja yang tahu bagaimana keadaan Dell di dalam kereta tersebut.

Dahlah kawasan tersebut selalu ada kejadian kereta terbalik (tayar empat ke atas) dan kemalangan maut. Seriau rasa!

Tayar hadapan kereta pecah.

Namun, Dell bernasib baik kerana mampu mengalihkan kereta ke tempat yang lebih selamat dengan memandu perlahan-lahan.

Akhirnya, Dell berhentikan kereta di tepi jalan berhadapan dengan NAHRIM.

Dell bersyukur urusan dipermudahkan pada hari tersebut.

Ada beberapa orang rakan dan kenalan yang sudi menolong serta bertanya khabar ketika kejadian dan selepas kejadian.

Terasa diri disayangi. :)

Cuma Dell mengalami bengkak urat dalam akibat hentakan yang kuat ketika melanggar divider. Selepas urut, baru terasa lega. Dua minggu juga baru badan Dell rasa pulih.

Manakala, kerosakan kereta hanya tayar yang pecah sahaja. Mujur.

Alhamdulillah, tiada kecederaan teruk pada Dell dan kereta. 

Apa-apa pun berhati-hati ketika memandu kereta kerana sangat bahaya jika ada minyak di jalan raya.