Selamat Datang ke Blog Dell!

Bersama Dell di Alam Maya
Sertai Saya

Andai aku seorang penulis



By  Kakdell     Rabu, Mei 22, 2013    Labels:, 


Dell bersyukur kerana telah jumpa seorang rakan yang cenderung dalam bidang penulisan. Perkenalan secara tidak langsung melalui blog, telah memberi peluang kepada Dell untuk mengikutnya pergi ke sesi bersama penulis serta bengkel penulisan. Dell suka dengan cara pemikiran beliau dalam bidang penulisan walaupun beliau dari bidang pertanian (kini sedang melanjutkan pelajaran peringkat master). Beliau boleh menulis kreatif dan ilmiah malah terjemahan artikel. 

Walaupun, rakan Dell ini bukan dari bidang sastera mahupun bahasa tetapi beliau berterusan mencari ilmu untuk bidang penulisan. Malah penulisan beliau lebih baik berbanding mereka yang berada dalam bidang bahasa dan sastera. Sekurang-kurangnya, Dell sudah berjumpa rakan yang boleh berkongsi idea walaupun dari bidang yang berlainan daripada Dell. 

Serik rasanya apabila diperli oleh mereka dari bidang sastera itu sendiri kerana Dell tidak pernah belajar penulisan kreatif. Nampaknya Dell bertanya ilmu kepada orang yang salah. Itulah sebenarnya kejahilan mereka yang tidak dapat bezakan antara bidang linguistik dan bidang sastera. Tidak dinafikan ianya berkait dengan bahasa, tetapi Dell tidak belajar penulisan kreatif. Dell belajar tentang semantik, psikolinguistik, sosiolinguistik, tatabahasa, perkamusan dan lain-lain yang berkaitan. Manakala, minor Dell pula adalah bidang komunikasi. Latar belakang Dell ketika sekolah menengah adalah aliran sains tulen.

Benar Dell mendapat sokongan dan galakan daripada penulis-penulis seperti Dr. Kamariah Kamarudin,  Dr. Lim Swee Tin, Dato' Kemala, pensyarah-pensyarah, sahabat-sahabat karib dan ahli keluarga malah supervisor tetapi untuk mendapatkan momentum tu bukan mudah. Sementelah, Dell terasa ilmu Dell sangat cetek.

Dell bermula menjadi seorang editor sambilan atas cadangan seorang pensyarah dan Dell berjaya menjadi seorang editor untuk sebuah buku motivasi agama iaitu 'Jom Hidupkan Roh Haji' terbitan KarnaDya pada tahun 2009. Waktu itu, Dell mengisi waktu terluang sementara menyiapkan projek Master ketika itu. Dell ada juga mencuba nasib menghantar puisi kepada Dato' Kemala pada tahun 2011 dan alhamdulillah salah satu puisi terpilih untuk diterbitkan dalam buku beliau bertajuk 'Mencari Cinta Haqiqi' pada tahun 2012.

Cita-cita Dell untuk menulis rencana, penulisan kreatif dan penulisan ilmiah tidak padam. Cuma ketika berperang dengan PhD ni, Dell berasa sangat tepu dengan penulisan tesis dan penyelidikan sehingga merasakan masa yang ada terlalu singkat untuk menulis bahan yang lain. Namun, Dell akan cuba juga luangkan masa.

Mudah-mudahan semuanya berjalan seperti yang Dell rancang. Semoga semuanya dipermudahkan oleh-Nya. Amin...


NOTA :
Dell tidak akan lupa kata-kata sindiran dan perli itu sehingga nafas terakhir. Itulah pencetus semangat untuk Dell lebih berjaya. Mungkin kamu boleh lupa dengan kata-kata kamu dan berwatakan seperti tiada apa-apa yang berlaku tetapi tidak bagi diri ini. Jangan salahkan diri ini dingin dengan kamu malah malas untuk bertemu.

Kenali Kakdell

Panggilan nama Kak Dell ini muncul ketika Dell menjadi senior di tahun akhir pengajian Bacelor Sastera (Pengkhususan Bahasa dan Linguistik Melayu) di UPM. Junior yang me'reka' panggilan ini.

2 ulasan:

  1. Dengan kak menulis di blog sahaja sudah dikatakan seorang penulis. Cuma kak belum lagi bergelar penulis komersil media utama.

    Teruskan usaha, insya-Allah pasti menjadi kenyataan. (y)

    BalasPadam