Selamat Datang ke Blog Dell!

Bersama Dell di Alam Maya
Sertai Saya

Cinta aku untuk dia



By  Kakdell     Rabu, Mei 29, 2013    Labels: 
"Mengapa sejak kebelakangan ni awak macam dingin je? Seolah-olah ada sesuatu yang tak kena", tanya Mira kepada Zul.

Zul hanya mendiamkan diri sambil menyuap makanan yang bersisa dipinggannya. Geram sungguh Mira dengan sikapnya itu. Mira perasan sejak kebelakangan ini, Zul seolah-olah tidak mahu bercakap dengannya walaupun Zul masih ingin bertemu dengannya. Perwatakkannya turut berbeza, tak seperti dahulu yang banyak bergurau dan sentiasa menghubunginya.

Selepas pulang dari restoren, baru sahaja Mira ingin merehatkan diri di atas peraduannya... Tiba-tiba, telefon bimbitnya berbunyi. Mata Mira terpaku dengan isi kandungan sms itu.

'Saya betul-betul sedih dengan sikap awak sebab awak mengata saya dibelakang. Kalau awak tak suka saya, cakap sahajalah terus-terang depan saya.'

Mira sungguh terperanjat membaca mesej tersebut daripada Zul. Mira benar-benar tidak tahu apa yang dia mengata tentang si Zul ni. Siapa yang menjadi dalangnya? Yang Mira tahu sejak dia bekerjasama di dalam satu projek ni, ada sesuatu yang tidak kena. Projek itu melibatkan dia, Zul dan beberapa orang yang rapat dengan Zul. Tetapi dia tidak faham akan firasat itu. 

Orang-orang yang rapat dengan Zul selalu kutuk Zul didepannya malah pernah mengatakan bahawa ingin mempergunakan untuk kepentingan peribadi. Maklumlah ianya melibatkan keuntungan kewangan. Mira diamkan sahaja. Mira terperanjat dengan apa yang didengarinya tetapi tidak pernah menyampaikannya kepada Zul kerana tidak mahu lelaki yang disayanginya itu kecil hati dengan kawan-kawan rapatnya yang dianggap seperti adik-beradiknya sendiri. Malah, kawan-kawan rapat Zul tidak tahu sejauh mana rapatnya hubungan Mira dengan Zul kerana perkenalan mereka sangat singkat.

'Apa yang saya mengata awak, Zul? Setahu saya, saya tak pernah buat macam tu.'

Balasan mesej daripada Zul selepas itu membuatkan Mira terasa amat sedih kerana apa yang diperkatakan oleh Zul itu merupakan kutukan kawan-kawan rapatnya sendiri di depan Mira. 

Tanpa disedari, air mata Mira jatuh satu persatu kerana dirinya difitnah sebegitu rupa. Mira cuba mempertahankan dirinya tetapi dia tahu Zul lebih percayakan kata-kata kawannya yang lebih sepuluh tahun bersama berbanding dirinya yang hanya dikenali selama enam bulan.

Mira pun mengundurkan diri secara drastik daripada projek tersebut kerana dia tahu, akan timbul masalah lain pula nanti. Puas juga Mira cuba memulihkan hubungannya dengan Zul tetapi sia-sia. Zul berterusan dingin dengannya.

Dalam diam, Mira membuat keputusan untuk pergi jauh dari kelompok mereka tu. Mira berhenti kerja secara mengejut. Ramai di antara mereka terperanjat dengan keputusan Mira yang drastik itu.

Dua bulan berlalu, Zul cuba menghubungi Mira tetapi Mira tidak pernah membalas penggilannya mahupun mesejnya. Zul tidak putus asa, setiap sebulan atau dua bulan sekali dia akan meninggalkan mesej di telefon Mira sama ada ucapan maaf atau tanya khabar.

Setahun kemudian, barulah Mira membalas mesej tersebut tetapi dengan perasaan dingin. Hatinya telah tawar. Mira hanya akan membalas satu daripada beberapa mesej yang dihantar. 

Zul tidak berputus asa tetapi tidak mendesak kerana takut akan terus kehilangan Mira. Pada Zul hatinya sudah cukup bahagia kerana kini Mira sudah mahu membalas mesejnya walaupun Zul tahu Mira masih tidak mahu bercakap dengannya. Malah, dia juga tidak tahu di mana Mira tinggal sekarang ni. Zul berasa lega kerana Mira tidak menukar nombor telefon bimbitnya.

Kadang-kala, Mira merasa geram juga apabila mendapat mesej daripada Zul yang selalu mengatakan dia asyik teringat akan dirinya apabila berada di tempat-tempat yang mereka selalu bersama dahulu. Pada Mira, buat apa dikenang perkara yang lepas?

Diam tak diam, sebulan lagi genaplah dua tahun mereka tidak bertemu. Sengaja Mira mengingatkan bahawa sudah hampir dua tahun mereka tidak bertemu. 

Serta-merta Zul menyatakan bahawa dia ingin bertemu dengan Mira selepas tarikh pilihanraya. Mira hanya mendiamkan diri.

Dua minggu kemudian, Zul mesej lagi mengajak Mira untuk bertemu.

'Maaf. Saya belum bersedia.' balas Mira.

'Baiklah, saya akan tunggu sehingga Mira bersedia.' balas Zul sedikit hampa dengan jawapan Mira. 

Sebulan berlalu, Mira menerima mesej berbunyi, 'Mira, sudahkah awak bersedia?'

Mira hanya tersenyum dan membalas, 'Boleh tak awak tunggu sehingga saya habis pengajian saya dahulu?'

Setengah jam kemudian, Mira menerima mesej berbunyi, 'Baiklah, saya setia menanti. Selepas ini saya tidak akan sms lagi. Saya tidak mahu mengganggu Mira belajar. Tidak sms bukan bererti saya lupakan Mira. Semoga kita akan bertemu juga satu hari nanti. Salam'


P/S : Apa akan jadi dengan hubungan mereka ini ya? Apa pendapat kamu tentang karekter mereka berdua ini? Sengaja saya tidak dedahkan konflik yang berat-berat di sini kerana ianya hanyalah sedutan cerita dari keseluruhannya.




Kenali Kakdell

Panggilan nama Kak Dell ini muncul ketika Dell menjadi senior di tahun akhir pengajian Bacelor Sastera (Pengkhususan Bahasa dan Linguistik Melayu) di UPM. Junior yang me'reka' panggilan ini.

2 ulasan:

  1. Saya tertarik dengan watak Zul. Bagaimana dia cuba memikat semula hati Mira, pasangannya itu. Tetapi tertanya bilakah pula dingin Zul boleh berubah menjadi kepingin?

    Faktor orang sekeliling juga memainkan peranan penting dalam membentuk karakter Zul dan Mira. Ternantikan sambungannya. (y)

    BalasPadam
  2. Saya sudah menerima beberapa 'feedback' daripada pembaca tentang penulisan cerita ini. InsyaAllah, saya akan menyiapkan ceritanya suatu hari nanti. :)

    BalasPadam